Tuesday, February 15, 2011

PEMIKIRAN DR ASRI SEMAKIN CELARU?

Saya tidak faham dan menganggap ada sedikit kekalutan dalam pemikiran bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainol Abidin.

Penulis hormati beliau sebagai orang yang berilmu Islam tetapi terkejut apabila membaca sebuah laporan melalui portal berita yang menyokong pembangkang membawa tajuk “Dr Asri: Tidak mustahil kuasa rakyat berlaku di M'sia”.

Pada entri itu Dr Asri dipetik berkata, tidak mustahil kuasa rakyat yang menumbangkan Presiden Hosni Mubarak di Mesir berlaku di Malaysia jika penduduk negara ini tidak tahan dengan kekangan dan penindasan

TV Selangor memetik beliau berkata walaupun Malaysia jauh makmur berbanding Mesir, namun, rasa tidak puas hati rakyat boleh dicetuskan oleh aspek lain seperti kebebasan bersuara yang terhakis.

"Dari segi kemiskinan kita tak sama, Mesir ada 42 peratus rakyat di bawah taraf kemiskinan. Dari segi faktor yang menyumbang ruang seperti Internet, mungkin Malaysia lebih. Tapi ketidakpuasan hati rakyat itu berbeza mengikut negara. Negara miskin mungkin tak puas hati kerana tak ada makanan. Negara yang lebih 'educated' mungkin tak puas hati kerana tiada kebebasan menyuarakan pendapat," katanya.

Justeru Asri berkata, mana-mana kerajaan termasuk di Malaysia terdedah kepada menghadapi kuasa rakyat di jalanan jika terlampau mengekang dan menindas penduduk khususnya bersabit hak asasi mereka.

Walaupun jelas kedudukan di Malaysia lebih baik daripada Mesir tetapi Dr Asri tetap memberikan faktor yang akan menyumbang seperti apa yang berlaku di Mesir.

Antara perkara yang ditekankan Dr Asri ialah – penindasan, kebebasan bersuara yang terhakis, tiada kebebasan menyuarakan pendapat serta hak asasi.

Nada ini melambangkan bahawa Dr Asri sudah semakin kalut dan mungkin pengalaman dirinya dijadikan contoh atau kes untuk mengatakan wujudnya kebebasan bersuara, wujudnya penindasan dan hak asasi.

Nada ini sebenarnya adalah nada pembangkang dan mungkin ketika ini Dr Asri sudah jauh ‘berada di sebelah sana’. Dr Asri sekarang bukan dirinya yang ketika beliau menjadi Mufti.

Persoalannya, apa bentuk penindasan yang dilakukan kerajaan?

Perkara asas ialah wujudnya kuasa rakyat yang diberikan melalui pilihan raya. Kuasa siapakah yang memberikan ruang untuk PAS menerajui kerajaan di Kelantan dan Kedah?

Kuasa siapakah yang memberikan Parti Keadilan Rakyat dan DAP menerajui Selangor?

Bukankah kuasa rakyat yang membolehkan DAP membentuk kerajaan pembangkang di Pulau Pinang?

Seperti juga di Parlimen, Dewan Rakyat kini tidak lagi dikuasai Barisan Nasional dengan majoriti dua pertiga. Bukankah itu melalui kuasa rakyat?

Apakah kuasa rakyat hanya akan wujud apabila pembangkang berkuasa atau memerintah negara ini.

Amat malang jika orang yang bijak dan berilmu agama seperti Dr Asri menafikan wujudnya kuasa rakyat di Malaysia.

Tidak adil jika Dr Asri berselindung sebagai ahli akademik dan pakar mengenai Islam, sebaliknya bercakap politik ala-pembangkang. Lebih baik beliau menjerumuskan dirinya ke dalam parti politik untuk mudah kita membaca sikapnya.

Dengan berselindung di sebalik ahli akademik dan wajah bekas seorang Mufti tetapi mendakwa ‘tidak berpihak; Dr Asri mengelirukan rakyat.

Kenyataan mengatakan pemerintahan Malaysia ditegakkan bukan melalui kuasa rakyat dan kemungkinan-kemungkinan akan berlaku seperti di Mesir kerana penindasan serta tiada hak bersuara akan membawa ‘kepercayaan palsu’ kepada rakyat kerana beliau seorang yang dihormati dan berpengaruh.

Dengan mengatakan bahawa ‘mana-mana kerajaan termasuk di Malaysia terdedah kepada menghadapi kuasa rakyat di jalanan jika terlampau mengekang dan menindas penduduk khususnya bersabit hak asasi mereka’ walaupun peringatan tetapi mempunyai maksud tersirat.
Kerana itu amat wajar Dr Asri tidak usah berselindung – dedahkan diri sebenar kerana dengan cara itu akan lebih dihormati dan tidak perlu teragak-agak untuk mengatakan secara lantang kedudukan sebenar kerajaan dan politik Malaysia.