Sunday, May 5, 2013

BN AKAN TERUS BERKUASA, YAKIN TAWAN SELANGOR & KEDAH

Tan Sri Muhyiddin membuang undi pagi ini.
Rakyat sudah mula mengundi sejak dibuka jam 9 pagi tadi.

Barisan Nasional (BN)  dijangka terus berkuasa di Perlis, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Sabah, tanpa banyak rintangan.

Tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) selama 15 hari berakhir secara rasminya pada 12 tengah malam tadi.

Momentum kempen parti politik yang bertanding bermula sejak hari penamaan calon pada 20 April lepas dengan penganjuran beribu ceramah selain pelbagai aktiviti bertemu pengundi.

Ketika menghampiri detik terakhir tempoh berkempen, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan masa berbaki untuk turun padang bertemu rakyat.

Kedua-dua pemimpin negara itu berada di 'gelanggang' masing-masing iaitu Najib di Pekan, Pahang dan Muhyiddin di Taman Bintang Emas, Bukit Pasir, Muar bagi program Himpunan Rakyat 1Malaysia. Sepanjang tempoh berkempen, Najib dan Muhyiddin mempunyai jadual padat dengan menjelajah seluruh pelusuk negara bagi mendekati pengundi.

Calon lain yang bertanding juga mempunyai atur cara padat di kawasan masing-masing bagi menyelesaikan perkara yang mungkin berkisar kepada isu tempatan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang manakala Penasihat DAP Lim Kit Siang di Taman Sutera Utama, Johor Bahru.

Penyokong parti juga memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej kepada orang ramai untuk menggalakkan mereka keluar mengundi, antaranya menggunakan tarikan motosikal berkonvoi dan menghiasi kereta dengan bendera di sekitar ibu kota.

Seramai 13,268,002 orang layak mengundi pada PRU13 dengan 275,341 merupakan pengundi awal dan selebihnya pengundi biasa.

Pengundi  mula beratur panjang di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Putra Jaya, Presint 9, Putrajaya, pagi ini.
Pada PRU13 ini, sejumlah 222 kerusi Parlimen akan dipertandingkan termasuk termasuk 31 kerusi di Sarawak, manakala 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), akan dipertandingkan di peringkat negeri.

Kini, lebih separuh iaitu 65 peratus pengundi atas pagar yang selama ini belum membuat keputusan, kini sudah tahu parti mana yang akan dipilih hari ini.

Menurut penganalisis politik, Profesor Dr Shamsul Adabi, kelompok ini yang mewakili kira-kira 10 peratus pengundi berdaftar ini bakal memberi impak besar kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). "Setakat ini peluang kepada BN cerah.

"Kalau kita lihat untuk BN menang, ia perlu berusaha mengekalkan kemenangan pada 2008 dan menambah lapan kerusi sahaja lagi untuk mendapat dua pertiga," katanya kepada Sinar Harian Online.

Melihat kepada perkembangan semasa, beberapa jam sebelum kempen PRU13 berakhir, Pakatan Rakyat (PR) pula katanya berhadapan laluan sukar kerana perlu menang 30 kerusi untuk menawan tampuk kuasa.

"Kerjasama dalam BN itu sendiri nampaknya begitu baik," ujar beliau. Sebelum Parlimen dibubarkan, komposisi Dewan Rakyat ialah BN menguasai 137 kerusi, manakala selebihnya disandang DAP (29), Pas (23), PKR (23) kerusi, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan parti Kesejahteraan Insan Tanahair (Kita) masing-masing satu kerusi.

Lapan lagi kerusi disandang anggota Parlimen Bebas. Mutakhir ini pelbagai ramalan muncul sama ada dari pemerhati politik, pusat kajian akademik, pemimpin parti, media malah hampir seluruh Malaysia dengan pelbagai telahan.

Ramalan akhir Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) sehingga pagi semalam menyatakan jurang amat hampir namun kecenderungan rakyat kepada PR tinggi.

Hari terakhir kempen, semalam, menyaksikan 'perang' di media sosial juga tidak dapat dibendung lagi.

Masing-masing menggunakan perang psikologi sama ada dengan memuat naik gambar sambutan rakyat di sesuatu program dan banyak lagi.

Hakikatnya bukan mudah untuk mempengaruhi 13.3 juta pengundi di negara ini. Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya, Profesor Kamaruddin M.Said pula dengan yakinnya menyatakan BN akan menang besar kali ini.

"PRU 2008 dahulu sebenarnya adalah peluang keemasan kepada PR. Tetapi 2013 ini adalah masa untuk rakyat membuat penjajaran semula," ujar beliau.

Menurut Kamaruddin, percakaran dalam PR juga turut menyumbang kepada perubahan aliran sokongan pengikut mereka pada 2008.

"Kita tidak boleh lihat sebenarnya daripada sambutan kempen mereka tetapi rakyat yang berpendidikan ini akan menilai sama ada PR ada atau tidak kebolehan memimpin negara," ujarnya lagi.

Kehadiran ribuan manusia ketika ceramah PR terutama membabitkan pemimpin utama PR, sering digambarkan sebagai aspirasi rakyat secara keseluruhannya.

Pemerhati menyifatkan ia sebagai suatu penilaian yang salah. Seorang lagi penganalisis politik, Profesor Madya Dr Ismail Sualman meramalkan BN akan memperoleh kemenangan dengan 149 kerusi di peringkat Parlimen.

"Jika tidak ada apa-apa kejutan, kalau ada isu-isu baru keluar maka ia akan merubah keputusan sama ada menurun atau bertambah.

"Tetapi kalau bertambah mungkin sampai 152 kerusi," ujarnya lagi.

Sehubungan itu beliau mengingatkan mana-mana parti politik supaya mengawal penyokong masing-masing supaya tidak berlaku sebarang kekecohan dan kekacauan semasa proses mengundi.

"Jangan kita melakukan sesuatu yang tidak diingini. Nanti orang akan melihat pilihan raya kita ini kotor dan sebagainya," ujar beliau lagi.

Bagi BN, setelah merasai kepahitan akibat kehilangan penguasaan di beberapa negeri pada 2008, ia dilaporkan  bingkas kembali untuk melancarkan serangan secara habis-habisan untuk menguasai kembali negeri berkenaan dan kini terdapat tanda-tanda ia akan kembali menguasai Kedah melalui pilihan raya umum ke-13 (PRU13), hari ini.

BN dilihat mempunyai peluang cerah untuk memenangi sekurang-kurangnya 20 daripada 36 kerusi di Kedah memandangkan keadaan Pakatan Rakyat yang terkial-kial dalam usahanya untuk menangkis kempen BN, di samping kehadiran calon Bebas yang bakal mencuri penyokongnya.

Perhatian utama pastinya bertumpu kepada Datuk Mukhriz Tun Mahathir, yang bertanding bagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Ayer Hitam di kawasan parlimen Jerlun, kerusi yang dimenanginya pada 2008.


Ini kerana beliau dilihat akan menduduki kerusi menteri besar sekiranya BN kembali berkuasa di negeri itu. Mukhriz berkata beliau yakin, BN mempunyai peluang lebih cerah kali ini setelah hanya meraih 13 kerusi negeri pada PRU lepas berikutan kegagalan PAS yang menerajui pentadbiran negeri itu, melaksanakan sebarang pembangunan serta ketidakmampuannya meneruskan projek yang dimulakan kerajaan BN sebelum ini.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak, yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah, tidak sehaluan dengan timbalannya Datuk Phahrolrazi Zawawi.

BN juga berusaha secara habis-habisan untuk menawan kembali Selangor dan Pulau Pinang yang terlepas daripada tangannya pada PRU lepas serta merampas Kelantan yang terletak di bawah penguasaan PAS sejak 23 tahun lepas.

Selangor, negeri terkaya di Malaysia, menyaksikan pertandingan sengit apabila BN melancarkan gerak gempurnya dengan menurunkan barisan calon yang hebat dengan diterajui sendiri pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pemerhati politik berkata parti gabungan itu mempunyai harapan baik untuk memenangi 29 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, berbanding hanya 20 kerusi yang dimenanginya pada 2008.

Perdana menteri berkata agenda utama kerajaan BN ialah untuk menyelesaikan masalah air di negeri itu, yang menjadi semakin parah di bawah pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Keputusan Abdul Khalid untuk bertanding di Pelabuhan Klang menyerlahkan kebenaran cakap-cakap sebelum ini tentang pelariannya dari Ijok, kerusi yang dimenanginya pada 2008, kerana bimbang akan ditolak pengundi di sana.

Dalam pertarungan untuk menguasai Pulau Pinang, BN yang memenangi 11 daripada 40 kerusi pada PRU 2008, kesemuanya oleh calon Umno, mendapat sambutan menggalakkan daripada pemilih, terutama di Bukit Tengah, Pulau Tikus, Tanjung Bunga dan Bagan Dalam.

Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow bertanding di Bukit Tengah untuk menentang penyandang kerusi itu daripada PKR Ong Chin Wen, manakala rakannya daripada Gerakan dan muka baharu Rowena Yap, serta bekas timbalan menteri Datuk Seri Chia Kwang Chye, memberi tentangan sengit kepada lawan masing-masing di Pulau Tikus dan Tanjung Bunga.

Di Bagan Dalam, calon BN M.Karuppanan daripada MIC, yang fasih berbahasa Mandarin, diterima baik oleh pemilih. Ketika melawat Pulau Pinang pada 1 Mei, Najib mengumumkan pembinaan 9,999 unit rumah kos sederhana rendah dan rumah mampu milik di negri itu serta memberi jaminan bahawa Umno tidak akan menuntut jawatan ketua menteri sekiranya BN kembali berkuasa di negeri itu.

Di Kelantan, peningkatan penerimaan pemilih yang begitu dahagakan pembangunan dan perubahan, memberi sinar harapan kepada BN untuk melakar sejarah gemilang di Dewan Undangan Negeri Kelantan yang mempunyai 45 kerusi itu.

Pada PRU 2004, BN memenangi 22 kerusi di dewan itu, tetapi hanya meraih enam kerusi pada PRU 2008. Kali ini, parti gabungan itu berkeyakinan mampu menguasai sekurang-kurangnya 23 kerusi, manakala pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed diumumkan akan menduduki kerusi menteri besar sekiranya parti itu berjaya mengetepikan PAS.

Di PERAK, BN dan Pakatan Rakyat masing-masing berkeyakinan untuk menguasai negeri itu setelah menyaksikan drama lompat parti pada 2009 yang memberi peluang kepada BN meraih majoriti di dewan undangan negerinya yang mempunyai 59 kerusi.

BN, yang menguasai 28 kerusi pada 2008, kini menyasarkan 34 kerusi, dengan kebanyakan kerusi dimenangi Umno, manakala Pakatan Rakyat pula meramalkan ia mampu memenangi 38 kerusi.

Parti yang bertanding memberi fokus terhadap 18 kawasan yang mencatat kemenangan kurang 1,000 undi pada PRU lepas iaitu Selama, Kubu Gajah, Kuala Kurau, Alor Pongsu, Selinsing, Kuala Sepetang, Trong, Kamunting, Pokok Assam, Lubok Merbau, Manjoi, Kepayang, Manong, Pangkalan Baharu, Sungai Rapat, Teja, Rungkup dan Changkat Jong.

Sumber - Sinar Harian & Bernama