Monday, September 28, 2009

NIK AZIZ, IBRAHIM ALI SAMA-SAMA ‘HARAM’

Seronok juga melihat dan membaca pertikaman lidah antara Nik Aziz dan Ibrahim Ali. Hmm
…perbalahan antara ulama dengan ‘orang jahil’.

Kini sudah mula keluar perkataan-perkataan yang mampu mengaibkan antara satu sama lain.

Namun hukum atau fatwa yang disebutkan oleh kedua-dua mereka langsung tidak boleh dipakai – sama sahaja. Antara fatwa orang jahil dengan ulama tidak apa bezanya. Sama-sama mendesak masing-masing meletakkan jawatan.

Pada ketika PAS mahu menjamin kemenangannya di Pasir Mas untuk tiga DUN, Ibrahim ditatang bagai minyak yang penuh.

PAS mahu menjamin Tendong, Pengkalan Pasir dan Chetok jadi miliknya. Bagi PAS kerusi Parlimen Pasir Mas tidak penting.

PAS tidak mahu ganggu Ibrahim dan PAS juga tidak mahu Ibrahim ganggu PAS. Akhirnya Barisan Nasional (UMNO) lingkup di Parlimen dan DUN (Pada 2004, UMNO menang dua DUN iaitu Pengkalan Pasir (melalui pilihan raya kecil) dan Tendong). Parlimen Pasir Mas memang dikuasai oleh PAS.

Bagi Ibrahim, beliau mahu membuat ‘comeback’ dan membuktikan kepada UMNO Kelantan yang dia memang berpengaruh.

Ibrahim menggunakan peluang ‘rakyat marahkan Pak Lah’ dan kerana Tun Abdullah Ahmad Badawi menyebabkan beliau terpelanting dari UMNO, peluang Ibrahim ‘palu UMNO’ pada kempen pilihan raya umum 2008 begitu meyakinkan pengundi.

Ada tuduhan mengatakan Ibrahim menyerahkan sebahagian wang kepada pemimpin PAS untuk ‘membeli’ kerusi Parlimen berkenaan. Ibrahim manafikannya banyak kali.

Hari ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi gesaan agar Ahli Parlimen Pasir Ma situ melepaskan jawatan ekoran tindak-tanduknya yang semakin bertentangan dengan parti itu.

Nik Abdul Aziz berkata, langkah itu perlu jika mahu amal solehnya diterima Tuhan kerana rezeki yang diperoleh melalui hasil jawatan tersebut adalah ‘tidak betul.’

Berat sungguh apa yang dikatakan oleh Nik Aziz terhadap Ibrahim. Ia bermakna rezeki yang Ibrahim dapat adalah haram sementara amal soleh Ibrahim belum tentu diterima Allah kerana hasil daripada jawatan yang disandangnya ‘salah’.

Lebih memburukkan keadaan, kata Nik Aziz, rakyat Pasir Mas tidak lagi merestui Ibrahim sebagai wakil rakyat mereka yang diberi kemenangan selepas bertanding sebagai calon bebas atas tiket PAS dalam pilihan raya umum lalu.

Sehubungan itu katanya, langkah terbaik yang perlu dilakukan oleh Ibrahim adalah dengan melepaskan jawatan itu dan memberi laluan pilihan raya kecil di kawasan itu.

“Kalau orang Pasir Mas kata dia kena berundur, berundurlah. Duit yang dia makan tu tak betul, dia sembahyang Tuhan tak terima, dia buat apa pun Tuhan tidak terima.

Kalau ikut Nik Aziz, Ibrahim kini makan duit haram, sembahyang tidak sah dan apa sahaja yang Ibrahim buat tidak akan terima. Maknanya, sebagai orang Islam, Ibrahim bukan lagi seorang yang amal ibadahnya diterima Allah.

Berat ni….Ibrahim perlu insaf dan kerana itu Nik Aziz nasihatkan beliau agar “letak jawatan lagi senang. Perut kenyang pun tapi kalau masyarakat perlekeh buat apa? Dulu orang PAS yang undi dia, orang UMNO ada sedikit sahaja,” kata Nik Aziz di rumahnya semalam.

Kenyataan terbaru Nik Aziz itu adalah susulan desakan pemimpin Pas Kelantan sebelum ini yang mahukan Ibrahim melepaskan jawatan kerana beliau dilihat sudah berpaling tadah.

Jika Nik Aziz pertikaikan Ibrahim, Ahli Parlimen Pasir Mas itu, selain pertikaikan Menteri Besar Kelantan itu mengulangi desakan supaya beliau mengosongkan kerusi Parlimen turut mendesak Nik Abdul Aziz supaya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka.

Bagi Ibrahim, Nik Aziz gagal melaksanakan tugas walaupun telah diberi mandat oleh rakyat hampir 20 tahun menerajui negeri ini.

Mursyidul Am Pas itu, bagi Ibrahim tidak berhak untuk mendesaknya melepaskan jawatan. Ini kerana kemenangannya pada pilihan raya umum lalu diberikan oleh penduduk Pasir Mas dan parti hanya menjadi landasan untuk berbakti.

Tanya Ibrahim: “Kenapa saya perlu meletak jawatan, dia yang sepatutnya meletakkan jawatan, apa yang dia buat sejak memerintah Kelantan pada 1990? Tidak ada perubahan langsung.

“Nik Abdul Aziz gagal untuk mentadbir dan ia jelas terbukti, jadi dia yang harus meletakkan jawatan kerana sudah lama memerintah tetapi tidak ada apa yang dibuat untuk rakyat di negeri ini.

“Saya tidak makan duit haram, semua elaun saya sebagai Ahli Parlimen saya kembalikan kepada rakyat bagi memastikan mereka tidak hidup dalam keadaan susah kerana kerajaan negeri tidak membantu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Pasir Mas semalam.

Dua perkara di sini disebutkan oleh Ibrahim. Pertama Nik Aziz gagal tadbir Kelantan dengan baik dan keduanya tidak apa yang dibuat oleh Menteri Besar berkenaan.

Berasaskan apa yang disebutkan oleh Ibrahim, betullah slogan Tengku Razaleigh Hamzah sewaktu menghadapi pilihan raya 1999 bahawa PAS ‘makan gaji buto (buta)”.

Kalau demikian jadinya, apakah tidak haram ambil gaji tetapi tidak menyumbangkan kepada rakyat dan negeri?

Keduanya, kalau sudah tahu diri tidak mampu menjadi pentadbir yang baik, kenapa Nik Aziz terus duduk di kerusi Menteri Besar? Tidakkah mengambil gaji dan upah tanpa menyumbang itu namanya ‘haram’?

Jadi apa bezanya Nik Aziz dan Ibrahim? Kedua-duanya sama ‘haram’.

Kalau Nik Aziz suruh Ibrahim letak jawatan, Nik Aziz pun kenalah juga letak jawatan.

Atau bagaimana kalau saya cadangkan kedua-dua letak jawatan dan adakah pilihan raya baru di DUN Cempaka dan Parlimen Pasir Mas?

Bersediakah kedua-duanya melakukannya?

Kenapa Ibrahim tidak nyatakan beliau sedia letak jawatan kalau Nik Aziz sedia letak jawatan di Cempaka?

PAKATAN PEMBANGKANG - SEKARANG RASAKAN

Menjadi pembangkang memang mudah. Boleh bantah, kumpul penduduk caci kerajaan dan sebagainya. Bila jadi pemerintah baru rasa.

Belum bentuk kerajaan boleh janji itu dan kini. Kini janji sedang dituntut. Bagaimana?

Kalau dulu sanggup bertegang leher tetapi kini bagi tikus dalam beras. Bukan sekadar menyorok tetapi lari lintang pukang ‘menyelamatkan diri’.

Itulah kes Taman Saujana Puchong. Menurut laporan Malaysiakini semalam, selama lima tahun, penduduk Taman Saujana Puchong telah berkempen membantah rancangan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) untuk menjadi sebahagian daripada hutan simpan Ayer Hitam sebagai kawasan tanah perkuburan.

Ketika itu, penduduk terbabit mendapat sokongan daripada parti pembangkang DAP, PKR dan PAS.

Sekarang bagaimana?

Kini ketiga-tiga parti berkenaan merupakan sebahagian daripada kerajaan Pakatan Rakyat yang mentadbir negeri Selangor sejak setahun setengah yang lalu.

Sewaktu sesi dialog dengan pegawai kerajaan negeri pada 22 Jun lalu, penduduk dijanjikan oleh pengerusi jawatankuasa setinggan, pengurusan bangunan dan perumahan, Iskandar Abdul Samad bahawa penyelesaiannya akan dicapai dalam tempoh tiga bulan.

Dan kini, tempoh tiga bulan itu yang berakhir pada 22 September telah berlalu tanpa sebarang maklumat dari pihak berkuasa.
Sehubungan itu, jawatankuasa sementara membantah projek tanah berkuburan itu, menulis surat kepada Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim untuk mendapatkan penjelasan mengenainya.

"Mereka bersama kami sebelum menjadi kerajaan. Kami berharap mereka cepat membuat keputusan mengenai perkara itu. Kami mahu tinggal di sini dalam keadaan aman dan tidak perlu bimbang mengenai tanah perkuburan tersebut," kata jurucakapnya Lau Seng You.

Cadangan untuk membina tanah perkuburan awam seluas 55 hektar di situ, termasuk tempat membakar mayat - yang dianggap terbesar di negara ini - akan membabitkan sebahagian besar kawasan hutan simpan yang kini dimiliki Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan kini digunakan untuk tujuan penyelidikan.

Menurut penduduk, hutan simpan seluas 3,000 hektar itu adalah antara segelintir kawasan hijau yang masih tinggal di negara ini. Ia juga menjadi tempatan tinggal masyarakat Orang Asli.

Kira-kira 1,500 penduduk di situ bimbang mengenai kejatuhan nilai hartanah serta pencemaran alam sekitar ekoran cadangan pembinaan tempat pembakaran di situ.

Wakil jawatankuasa sementara penduduk itu telah memfailkan semakan kehakiman pada 2006 tetapi kes berkenaan telah beberapa kali ditangguhkan.

Hari ini penduduk telah membawa pihak media ke pinggir kawasan hutan simpan tersebut untuk bergambar bersama kain rentang yang dibuat pada 2007, dengan kandungannya disarankan oleh Iskandar, yang juga seorang ahli politik PAS.

Lau berkata, walaupun perkara itu telah dibawa ke mahkamah dan tarikh untuk mendengarnya belum ditetapkan, tetapi pihaknya berharap ianya dapat diselesaikan di luar mahkamah.

Jelas isu ini akan sekali lagi menguji kepimpinan Khalid yang selama ini menganggap membentuk kerajaan dan memerintah sebagai perkara mudah.

Sekarang rasakan sendiri. Janji sudah dibuat sebelum pilihan raya. Selesaikanlah.

Kepada Khalid – sendiri mahu ingatlah!