Thursday, December 16, 2010

KEPENTINGAN MELAYU – AHMAD SAID TIDAK BERRETORIK

"Berapa banyak tanah tempatan dibeli oleh orang lain dan dihalau oleh pembelinya begitu sahaja? Tetapi kerajaan bayar segala-segalanya, ayam, pokok pun (kerajaan) bayar. Malah orang yang menumpang di tanah (kerajaan) puluhan tahun secara haram, kerajaan tak pernah denda, sebaliknya beri lagi sagu hati, rumah dan subsidi. Ia mencerminkan keprihatinan kerajaan," - Ahmad Said

Tidak ada ucapan berdegar-degar memperjuangkan kepentingan Melayu. Tidak ada pernyataan untuk membela Melayu.

Bagi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, yang penting ialah melakukan. Melaksanakan program yang mampu menjamin orang Melayu mempunyai pemilikan dan tinggal dalam bandar.

Ahmad Said terbuka...sedia menerima memorandum daripada penduduk yang diatur oleh ADUN PAS.

Peduli apa dengan PAS dan parti pembangkang lain di Terengganu yang cuba menimbulkan suasana kurang selesa dan ‘menggugat’ usaha Ahmad Said.

Di Terengganu – Melayu itu Islam, Islam itu majoritinya dianuti orang Melayu.
Selagi kekal Melayu di bandar, masjid akan penuh dan aktiviti orang Islam akan berterusan.

Dengan kata lain di Terengganu, apabila Ahmad Said memperjuangkan kepentingan Melayu, khususnya di bandar raya, ia bermakna perjuangannya turut membabitkan Islam –bukan asobiyah yang dilaung-laungkan PAS.

Apakah yang dilakukan beliau?

Langkah paling berani ialah kerajaan negeri Terengganu sentiasa memastikan 80 peratus orang Melayu kekal di kawasan penempatan mereka, termasuk di Bandaraya Kuala Terengganu.

Kerajaan Negeri membina pangsapuri di dalam kawasan bandar dengan menyediakan subsidi 50 peratus terhadap pembeliannya dan menjualnya dengan harga RM75,000 setelah tiga tahun disewa.

"Berapa banyak tanah tempatan dibeli oleh orang lain dan dihalau oleh pembelinya begitu sahaja?

Tetapi kerajaan bayar segala-segalanya, ayam, pokok pun (kerajaan) bayar. Malah orang yang menumpang di tanah (kerajaan) puluhan tahun secara haram, kerajaan tak pernah denda, sebaliknya beri lagi sagu hati, rumah dan subsidi. Ia mencerminkan keprihatinan kerajaan," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, kelmarin.

Tindakan Ahmad Said membela orang Melayu itu menjawab dakwaan ADUN PAS Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi kononnya kerajaan negeri tidak peka dengan nasib dan hak orang Melayu berkaitan isu pengambilan tanah bagi tujuan penyusunan semula bandar raya Kuala Terengganu.

Syed Azman menuduh turut menuduh Kerajaan Negeri tidak mempertahankan hak orang Melayu dalam proses penyusunan semula bandar raya itu tidak benar sama sekali.

Hakikatnya, bagi Kerajaan Terengganu, pengambilan tanah bagi tujuan penyusunan semula bandar raya Kuala Terengganu turut dilakukan ekoran kajian mendapati terdapat banyak masalah sosial di kawasan Tanjung dan Ladang seperti sumbang mahram dan penyalahgunaan dadah.

Semalam pula Ahmad Said diasak lagi oleh pembangkang kononnya Kerajaan Negeri tidak peka dengan masalah orang Melayu di Bandaraya Kuala Terengganu.

Sedangkan realitinya, perancangan penyusunan semula bandar raya Kuala Terengganu dibuat dengan mengambil kira kepentingan orang Melayu agar mereka tidak terpinggir.

Kerana itu, pengambilan balik tanah dilakukan dengan imbuhan sewajarnya yang begitu tinggi termasuk kepada mereka yang menduduki secara haram di kawasan terbabit sejak sekian lama.

Selain itu Menteri Besar turut mengotakan janjinya mengenai sewa RM126 sebulan bagi pangsapuri ladang gemilang di pusat bandar raya ini tetapi sekarang dikenakan RM300.

Ahmad Said menjelaskan, kadar sewaan untuk tempoh beberapa tahun itu hanya dikhususkan kepada golongan benar-benar miskin dan bayaran RM300 kepada yang lain adalah wajar dengan keadaan pangsapuri dan lokasinya.

Isunya ialah sampai bilakah Bandaraya Kuala Terengganu tidak wajar diusik dan sakit mata memandang?

Orang Terengganu, khususnya nelayan, buruh dan peniaga kecil yang tinggal di Bandaraya Kuala Terengganu sewajarnya mulai sedar bahawa kerja tradisional itu perlu ditransformasi dalam bentuk semasa dan tidur mereka pun tidak boleh lagi didesirkan oleh angin TImur Laut.

Yang penting, mimpi dan harapan diterjemahkan kepada realiti bahawa tanah semakin meningkat dalam bandaraya dan jika Kerajaan Negeri tidak bantu, mereka bukan sahaja lambat laun akan terusir atau diusir tetapi mereka mungkin akan kehilangan segala-galanya.

Sekurang-kurangnya ketika ini mereka mungkin hilang nikmat ‘berumah di tepi pantai dan tidur dibelai bayu lembut’ tetapi mereka memiliki harta dan kediaman yang terjamin yang tidak kurang daripada RM100,000.

Pada ketika yang sama mereka mendapat pampasan, bantuan untuk berpindah serta berpeluang membeli harta itu dengan harga jauh lebih murah.

Sepatutnya mereka merenung sampai bilakah orang Melayu mahu dibiarkan tinggal dalam bandar dengan rumah beratapkan zinc dan suasana kediaman yang daif dan tidak tersusun?

Hari ini, bagi mereka yang sudah mempunyai flat dan pangsapuri, mereka bukan sahaja menerima subsidi ketika pembelian tetapi nilai harta mereka sudah meningkat hampir 40peratus daripada asalnya.

Pertanyaan ialah siapa yang aan mendapat untung apabila Kerajaan Negeri Terengganu menyasarkan untuk membina 13,000 unit rumah mampu milik menjelang 2013?

Bukankah di Terengganu majoritinya orang Melayu dan sudah pasti mereka yang akan mendapat faedah dengan memiliki rumah sendiri.

Semua rumah yang dibina itu dianggarkan menelan kos RM800 juta dengan keluasan lebih 800 kaki persegi untuk memberi keselesaan kepada rakyat.

Ketika ini hampir 7,000 unit rumah mampu milik sedang dalam proses pembinaan dan bilangan unit rumah itu tidak termasuk peruntukan yang diberikan kerajaan pusat untuk membina 1,002 lagi unit rumah yang sama dengan kos sebanyak RM100 juta.

Jika peluang ini dibuka kepada bukan-Melayu, sudah pasti bukan sahaja mereka berterima kasih menjela-jela tetapi mereka akan berebut-rebut untuk mengumpul sebanyak mungkin flat dan pangsapuri yang ditawarkan dengan harga yang begitu rendah.

Kerana itu orang Melayu Terengganu perlu buka mata luas-luas dan tepuk dada tanya selera!