Tok Him (Datuk Ibrahim Ali) tidak usah beria-ia untuk menuntut kerajaan mengambil tindakan terhadap pihak persoal Perkara 153 Perlembagaan di bawah Akta Hasutan.
Banyak kali sudah desakan seperti ini dibuat sebelum ini tetapi kerajaan kita yang liberal dan mahu menjaga hati ‘orang lain’ dan tidak akan melakukan apa-apa.
Buat laporan polis? Sudah terlalu banyak laporan polis dibuat namun tiada tindakan yang diambil setakat ini, jadi tidak perlu dan biarlah Melayu atau haknya terus dipersoal asalkan UMNO dan Barisan Nasional ikut liberal.
Pemimpin kita, khususnya dari UMNO lebih gemar ‘ambil hati dan memujuk’ orang lain dari orang Melayu sendiri, lebih-lebih lagi dalam soal sensitif seperti ini.
Cakaplah apa yang anda suka, walaupun mempersoalkan Perkara 153 Perlembagaan Malaysia.
Cakaplah bahawa Perkara 153 Perlembagaan Malaysia sebagai akta yg membuli lain-lain kaum, kerajaan akan hanya berdiam diri.
Tahu erti Buli? Kalau buli kat sekolah pasti kena tindakan disiplin atau buang sekolah. Jadi Melayu buli kaum lain bagaimana? Melayu kena buang dari negeri ini?
Malaysia adalah negara bebas dan Menteri tidak akan mengambil apa-apa tindakan. Paling kuat pun kenyataan untuk meredakan keadaan seperti yang dibuat Timbalan Perdana Menteri kelmarin.
Percayalah, kerajaan tidak akan berani untuk mengambil tindakan terhadap ketua gereja Rev. Dr Eu Hong Eng, seorang pemimpin tertinggi Gereja National Evangelical Christian Fellowship (NECF) yang membuat kenyataan sensitif ketika sambutan Krismas baru-baru ini.
Lagipun itu ketua gereja, lainlah kau Tok Imam atau Tok Guru, mungkin tindakan akan diambil kerana membuat kenyataan berunsur ‘keganasan’!
Kita patut ikut cakap Dr Abdul Aziz Bari yang dianggap ‘pakar perlembagaan’ oleh pembangkang yang mempertahankan seorang paderi yang menurutnya tiada sebarang unsur hasutan dalam ucapan itu.
Kata Aziz Bari: “Tidak betul untuk Perkasa mengeluarkan cabaran dan membangkitkan peristiwa 13 Mei 1969. Ini kerana paderi itu tidak mempersoalkan dasar atau apa-apa yang berkaitan dengan Artikel 153, beliau hanya mengeluarkan pendapat tentang bagaimana artikel itu dilaksanakan. Ia boleh diterima, tiada unsur hasutan tentang perkara itu.
"Semasa kita memasuki kemerdekaan negara yang ke-55, kita seharusnya matang untuk berhujah dan mengemukakan pandangan-pandangan, malah segala apa yang berlaku dan isu seperti ini memberi kesan kepada negara. Kita mesti ingat bahawa dasar-dasar dan peruntukan di bawah Artikel 153 dibiayai , sesuatu yang memberikan kita semua hak untuk memberikan komen tentang apa yang berlaku," katanya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.
Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali sebelum ini menyelar tindakan Eu yang mempersoalkan Perlembagaan 153 dalam rumah ibadat sempena sambutan perayaan Krismas.
Hakikatnya perkara sedemikian tidak pernah berlaku dalam mana-mana khutbah di masjid sama ada ketika sambutan perayaan Aidilfitri mahupun Aidiladha.
“Nampaknya serangan terhadap Perlembagaan 153 sudah ditahap kemuncak bila ketua agama lain juga mempersoalkannya....lebih menyedihkan, ia dipersoalkan di dalam gereja oleh ketua agama, Perkasa berpendapat paderi tersebut tidak faham Fasal 153 Perlembagaan Negara itu atau sengaja mahu timbul ketegangan,” tegasnya lagi.
Presiden Perkasa kelmarin membuat mendesak kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mempersoalkan Perkara 153 Perlembaan negara dengan mendakwa mereka menggunakan Akta Hasutan.
Tok Him melihat tindakan itu perlu bagi menghalang kenyataan-kenyataan sedemikian dikeluarkan pihak yang tidak bertanggungjawab dan mengelakkannya daripada terus mempengaruhi generasi muda dan mengakibatkan mereka memandang serong terhadap masyarakat Bumiputera.
“Perkasa melahirkan rasa kesal dan tidak senang hati berkenaan kenyataan...Kami menuntut kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mempersoalkan perkara 153 ini di bawah Akta Hasutan, kerana dilihat perkara ini akan mempengaruhi generasi muda untuk memandang serong terhadap kaum Bumiputera.
“Biar mahkamah yang menentukan keputusan perkara berkenaan setelah ianya dibawa ke muka pengadilan. Kami hanya menuntut kerajaan gunakan Akta Hasutan, bukannya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kita lihat keputusan mahkamah, siapa salah dan siapa betul,” katanya.
Selepas melihat UMNO begitu layu dengan cabaran dan penghinaan seperti ini, kita mahu melihat apa pula yang Perkasa akan lakukan.
Tok Him sendiri membuat kenyataan bahawa :“Perkasa ingin memberi ingatan kepada pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatann jangan cuba menjolok sarang tabuan, kami sudah terlalu lama bersabar.”
Agaknya apa yang akan dilakukan Perkasa?
Atau akhirnya sama saja, kenyataan demi kenyataan dan layu seperti UMNO juga.
Sementara orang Melayu terus terkapai-kapai dengan merasakan dilindungi melalui perkara-perkara tertentu dalam Perlembagaan tetapi kian dicabar dan dihina!