Friday, November 16, 2018

SIAPA ‘WARIS’ DALAM 'BUKU FARAID’ BERKAITAN SIASATAN SPRM TERHADAP eNTRI?



Sektor pelancongan antara sektor terbesar di Malaysia, membentuk 13.7% atau RM168 bilion daripada seluruh ekonomi negara pada 2016 dengan 1.73 juta pekerjaan di Malaysia disumbang secara terus atau tidak terus oleh sektor ini.

Berikutan itu, kegusaran bekas perdana menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak yang menggesa kerajaan memulihkan kemerosotan jumlah pelancong China ke Malaysia, selepas media melaporkan jumlah pelancong jatuh 35 peratus baru-baru ini, sebenarnya perlu disusuli dengan beberapa persoalan lain yang berkaitan.

Antara langkah dilakukan oleh kerajaan ketika pentadbiran Najib untuk menarik pelancong China ke Malaysia ialah melalui pengenalan permohonan Visa melalui Pendaftaran dan Maklumat Perjalanan Elektronik atau Electronic Travel Registration & Informatian (eNTRI).

Bagaimanapun persoalan ialah, apakah ada yang tidak kena dengan sistem eNTRI ini?

Atau, syarikat yang menggendalikannya mulai tidak aktif kerana sebab-sebab yang akan diketahui selepas ini?

Najib menganggap penambahbaikan melalui eNTRI mampu menarik lebih ramai pelancong khususnya dari China dan India, terutama bagi mereka yang ingin merasai pengalaman percutian melalui penawaran pelbagai pakej menarik dan unik dengan harga yang berpatutan.

Malah Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) turut menganggap sistem diperkenalkan oleh kerajaan terdahulu melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) lebih terjamin dan tidak menjejaskan keselamatan, malahan mempertingkatkannya.

Namun, kenapa jumlah pelanconcong berkurangan? Menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) kerana dasar baru pelaburan negara China di Malaysia atau kerana Kuala Lumpur dan Beijing sudah ‘tidak akrab’?


Apakah itu niat Najib dalam memperkatakan penurunan kedatangan pelancong China ke negara ini?

Persoalan menarik yang lain ialah, apakah pengenalan sistem ini sebagai cara membantu sebuah syarikat yang diamanahkan untuk  melaksanakannya dengan terbaik  sebaliknya  mengalami kegagalan, cuma mengaut keuntungan keuntungan semata-mata?

Siapa yang bermanfaat daripadanya?

Ternyata kini, Kementerian Dalam Negeri sedang  mengkaji semula perjanjian konsesi dengan vendor yang mengendalikan pelbagai sistem Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) termasuk sistem VLN.

Ini kerana BERUK atau sesiapa sahaja yang tidak memiliki maklumat diri yang benar pun boleh memohon dan mendapat kelulusan visa untuk ke Malaysia.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memandang serius pendedahan yang dilakukan oleh akhbar Harian Metro kelmarin mengenai kelemahan sistem VLN dalam talian termasuk Electronic Travel Registration & Informatian (eNTRI) dan eVISA untuk pelancong China dan India yang ingin memasuki Malaysia.
  

Berkaitan itu, kita menunggu siasatan terhadap sebuah syarikat dengan lapan kakitangan pengurusan tertinggi yang diberikan hak ekslusif menggendalikan sistem eNTRI membabitkan pelancong dari China.

Sejak eNTRI diperkenalkan pada Mac 2016 hingga September 2018, syarikat berkenaan  sudah mengutip lebih RMB329,337,280 (RM198,066,952) membabitkan kelulusan permohonan kepada 2,058,358 orang.

Is juga dikatakan melantik 20 ejen di seluruh China bagi menguruskan sistem permohonan Entri.

Kenyataan Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Hishamuddin Hisham menyatakan segala-galanya.

Pihaknya mengesahkan bahawa syarikat berkenaan dengan mudah mengaut keuntungan ‘atas angin sehingga RM198 juta sejak Mac 2016 sehingga September lalu..

KDN pada 2016 memberikan hak eksklusif kepada syarikat berkenaan mengendalikan VLN atas talian termasuk eNTRI dan eVISA untuk pelancong China yang ingin datang ke Malaysia.

SPRM  juga sudah merampas wang tunai ratusan ribu ringgit daripada beberapa individu selain menyita aset termasuk rumah.

Lebih  menarik dalam rampasan berkenaan ialah satu 'Buku Faraid’ milik syarikat berkenaan yang merekodkan pembayaran kepada pihak tertentu.

Siapa 'Waris dan Penerima' yang akan mendapat 'ketetapan pembahagian harta' daripada proses faraid berkenaan?

Identiti sama ada persaorangan atau berkumpulan pastinya akan terserlah jua apabila SPRM selesai menjalankan siasatan.

Ia dilakukan mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009, Seksyen 4 Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan (KK).

Malah reaksi dan pengesahan SPRM bahawa kemudahan eNTRI sekadar menyalurkan wang secara mudah kepada sebuah syarikat yang diberi hak eksklusif oleh itu  
sangat mengejutkan.

Kemudahan yang dianggakan oleh Najib dan KDN sebelum ini sebenarnya tidak menepati matlamatnya sebagai satu sistem saringan atau tapisan awal, sebagaimana yang diuar-uarkan.

Ternyata syarikat yang dikatakan dakses penuh untuk mengeluarkan eNTRI didapati membolot semua hasil kutipan fi iaitu RMB160 atau RM100 untuk satu permohonan tanpa sedikitpun menjadi hasil kerajaan.

Malah, menurut laporan urusan permohonan eNTRI yang  dilakukan secara dalam talian didakwa dilakukan sambil lewa dengan kelulusan dalam masa cuma lima minit dan aspek keselamatan negara nyata diabaikan apabila individu yang disenarai hitam serta ada rekod jenayah turut diberi kelulusan masuk ke negara ini.

Reaksi segera Muhyiddin ialah pelaksanaan sistem eNTRI yang dikendalikan oleh syarikat berkenaan gagal berperanan sebagai sistem saringan dan tapisan awal ke atas warga China yang memasuki negara ini.

Muhyiddin menegaskan, sejak memulakan tugas sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau  mengarahkan pengurusan KDN mengkaji semula perjanjian-perjanjian konsesi dengan vendor-vendor yang mengendalikan pelbagai sistem imigresen termasuk sistem VLN.

Ternyata Muhyiddin dapat menghidu ada banyak yang tidak kena di KDN.

Bagi beliau, tujuan kajian semula ini ialah bagi memastikan kepentingan kerajaan dan keselamatan negara tidak terjejas oleh sebarang bentuk kelemahan yang berkemungkinan wujud di dalam perjanjian mahupun pelaksanaan sistem.

Berikutan itu, KDN akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet untuk menaik taraf sistem imigresen sedia ada sebelum membangunkan satu sistem baharu yang lebih efisien bagi memastikan perkhidmatan disediakan adalah lebih cekap, selamat dan menjimatkan kos.

Di samping menunggu sistem baru, kita ingin mengetahui sejauh mana benarnya pendedahan Harian Metro dan siapa sebenarnya PENYANGAK dan PENYAMUN yang menggunakan syarikat terbabit.

Malah, pendedahan identiti yang mendapat faedah atau ‘waris’ daripada 'Buku Faraid’ syarikat yang disiasat itu akan memberikan gambaran sebenar bagaimana amanah yang diserahkan oleh rakyat dikhianati.

Kita mengalu-alukan pendedahan penyelewengan demi melakukan reformasi ke atas salah satu kementerian penting kerajaan sebagai menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya umum ke-14.

1 comment: