Monday, April 22, 2013

CALON PEMBANGKANG JENIS PENGEDAR 'PIL KUDA', KOMUNIS & 'TANGKAP MUAT' ?


Membaca laporan teganuku, timbul persoalan, siapa calon pembangkang ‘Jenis Edar Pil Kuda’ & Pengikut Sosialisme-Komunisme?”

Kepada siapa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tujukan?

Berucap pada ceramah kempen pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) di Kampung Tebakang, DUN Alor Limbat di malam kelmarin, Hadi membuat pendedahan berupa jawapan kenapa ada pertindihan calon antara PAS dan PKR.

Mungkin terlebih emosi atau mahu mendedahkan bahawa calon PAS lebih berkredibiliti daripada calon PKR dan Bebas di negeri ini, beliau menyebut bahawa ada calon pembangkang yang dikemukakan oleh rakan sekutunya iaitu pembangkang disyaki ‘pengedar pil kuda.’ '

Sementara ada juga yang jenis menjulang Lenin dan Stalin, memakai lambang dan menampal gambar Karl Marx dalam markas.

Berikutan itu, Presiden PAS berkenaan bimbang calon yang dikemukakan oleh sekutu pembangkangnya jenis ‘tangkap muat’.



Pendedahan ini walaupun cuba meng’up’ kan calon PAS tetapi jelas bukan sahaja memperlekeh tetapi menghina dan menuduh calon parti rakan se ‘Pakatan Rakyat’ nya.

Hadi menyebut: “Gambar Karl Marx duduk dalam markaS, macamana orang PAS nak bekerja (sama), sebab itu ada bertindih bertanding....untuk menyelamatkan Pakatan Rakyat. "Kita tak mahu memerintah sekejap dan jatuh, PAS bertindak untuk memelihara keteguhan bukan sahaja masa pilihanraya tetapi keteguhan apabila diberi kemenangan oleh Allah SWT.” 

aknanya Hadi tahu siapa mereka tetapi bagaimana komponen pembangkang tetap meletakkannya sebagai calon.

Nak tahu juga kita siapa calon edar pil kuda dan pengikut komunis yang dimaksudkan oleh Presiden PAS itu?

Apakah calon PKR bertanding di Terengganu yang dimaksudkan?

Sedangkan Pilihan Raya Umum Kali Ke-13 (PRU13) bukan sahaja menjadi sejarah kerana pembangkang berusaha memberikan saingan amat sengit untuk ke Putrajaya, tetapi di Terengganu, pembangkang khususnya PAS berusaha keras untuk kembali ke Wisma Darul Iman.

Kerana itu pemimpin pembangkang termasuk Presiden PAS itu bukan sekadar berusaha mempertahankan kerusi Parlimen di Marang tetapi lebih penting kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang mesti dimenangkan walau cara apa sekali pun.

Tetapi apabila berlakunya pertandingan tiga penjuru dan Hadi dapati yang mewakili pembangkang bukan calon PAS dan bermasalah, Hadi meletakkan calon PAS untuk menjamin kemenangan. Jelas Hadi dan PAS tidak yakin dengan calon PKR, menyebabkan PAS meletakkan calonnya.

Tetapi persoalan menarik seperti disebut teganuku : “Yang sahihnya, Hadi bukan tuju kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) atau Bebas kerana menurutnya calon PAS terpaksa diletakkan di kawasan tertentu bimbang pembangkang akan kalah.” 

Hadi menyebut bimbang kalah, pertindihan terpaksa dilakukan kerana PAS mahu selamatkan pakatan pembangkang! Tanpa menamakan kawasan, Hadi bimbang calon yang dikemukakan rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang itu juga jenis tangkap muat.

Rasional Hadi ialah :"Kita tak mau jadi kerajaan kita jatuh seperti negeri Perak, PAS mempunyai jentera yang ramai di seluruh negara.... PAS tidak menentang calon kawan-kawan dalam pilihanraya tapi kalau ada calon yang kita khuatir calon yang tangkap muat."Calon yang boleh menyebabkan berbagai-bagai kemungkinan boleh berlaku, maka PAS mesti bertindak...... maka jadi berlaku pertindihan,"ujarnya.

Hadi menjelaskan, pertindihan di Johor kerana calon yang ditunggu-tunggu tidak tiba dan PAS bertindak masuk mengemukakan calon, kerana bimbang Barisan Nasional menang tanpa bertanding.

Namun, sebaik sahaja calon PAS masuk katanya, calon tersebut tiba-tiba muncul dan masuk memfailkan kertas pencalonan. Apapun PAS tetap meneruskan kerjasama dengan PKR dan DAP dan tidak ada apa-apa masalah dalam kerjasama tersebut, kata Hadi.

Kepimpinan Hadi sendiri pun turut diuji di peringkat negeri Terengganu kali ini selepas menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada lapan kerusi, - dua di peringkat parlimen dan enam di peringkat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ini boleh dianggap sejarah dalam pilihan raya di Terengganu kerana ternyata empat calon Bebas adalah daripada UMNO.

Selain itu selepas tamat tempoh penamaan calon kira-kira jam 11. 00 pagi kelmarin (20 April 2013), ternyata ada pertandingan tiga penjuru di dua kerusi Parlimen dan enam kerusi DUN.





Untuk kerusi Parlimen P36 Kuala Terengganu dan P39 Dungun, pertandingan tiga penjuru adalah antara UMNO, PAS dan Bebas.


Begitu juga dengan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Kota Putra (N2), Permaisuri (N6), Seberang Takir (N11), Alor Limbat (N17) Ajil (N24) dan Bukit Besi (N25).

Ada cakap-cakap kononnya calon Bebas yang disertai ahli UMNO itu ditaja namun tidak jelas siapa penajanya.

Parlimen Kuala Terengganu menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PAS, BN dan Bebas sebagaimana PRU12 tahun 2008, lalu.


Calon bebas tidak lain dan tidak bukan Maimun Yusuf, 94 yang berdepan dengan PAS yang mengemukakan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Ahmad. Calon BN ialah tokoh pendidik negeri, Mohd Zuber Embong.

Sementara di Dungun pula, pertandingan membabitkancalon BN bagi kerusi Datuk Rosli Mat Hassan ditentang calon Pas, Wan Hassan Wan Ramli, 56, serta Mazlan Harun, 56, (Bebas).

Pertandingan tiga penjuru di DUN pula menarik kerana dua sebab. Ada tiga penjuru antara BN, PAS dan Bebas, sementara ada kawasan berlaku pertandingan antara BN, PAS dan PKR.

Di DUN Permaisuri, Alor Limbat dan Ajil pertandingan adalah antara BN, PAS dan Bebas di mana tiga kerusi berkenaan sebelum ini disandang oleh calon BN.

Tetapi di Bukit Besi lain ceritanya. Ini kerana DUN Bukit Besi menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, PAS dan PKR.


Calon BN Roslee Daud ditentang Roslan Ismail (Pas) dan Mohd Shamsul Mat Amin (PKR). Di DUN Seberang Takir juga melibatkan pertandingan antara penyandang kerusi itu, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman (BN) dengan Zakaria Dagang (Pas) dan Ahmad Nazri Mohd Yusof (PKR).

Satu lagi kerusi membabitkan PAS dan PKR ialah Kota Putera apabila melibatkan Mohd Mahdi Musa (BN) menentang calon PKR, Dr Mohamed Abdul Ghani Ibrahim dan Adam Mat Said dari Pas.

Berdasarkan kepada apa yang dikatakan Hadi (enggan mendedahkan menimbulkan spekulasi) yang tidak mahu menyebut di mana, apakah calon PKR ini ‘bidan terjun’ dan ada kalangan mereka mengedar dadah dan berfahaman sosialisme-komunisme yang berminat dengan Karl-Marx?

Atau apakah di luar Terengganu?

Apapun, yang nyata pendedahan Hadi membuktikan ada pihak 'main-main' meletakkan calon dan parti seperti ini wajar ditolak bukan sekadar calonnya tetapi keseluruhannya.

Kenapa? Kerana parti main-main dan tidak serius untuk mentadbir negara.

Betullah kata Datuk Seri Mohd Najib Razak, kalau beri pembangkang, alamatnya lingkup dan meranapkan Malaysia!.