Monday, February 14, 2011

DRAMA YANG AKAN TERUS DIPERTONTONKAN...

Muncul di mahkamah hanya sebagai satu syarat, sebab semua keputusan telah dirancang. Sekali anda didakwa, anda pasti akan dipenjarakan,” - Anwar Ibrahim

New American Foundation : Anwar Ibrahim (bertanda bulat). Paul Wolfowitz (bertanda bulat) dan John Mallot juga turut hadir menyokong kenyataan Anwar - AIDC

Saya boleh pilih untuk tinggal di sini (Washington) dan tidak kembali ke Malaysia, tetapi pilihan telah dibuat. Satu kaki saya di Parlimen dan satu kaki lagi di penjara. Saya harus balik ke Malaysia esok dan perlu muncul di mahkamah pada 14 Februari.”

Demikian bunyi skrip yang ditulis oleh pelakon dan pengarahnya sendiri – Anwar Ibrahim.

Drama ini dilakonkan di Washington Khamis lalu dan mungkin diulang tayang di Kuala Lumpur atau mana-mana tempat lain di Malaysia kerana beliau perlu muncul di mahkamah hari ini.

Mengenai lakonan seterusnya di mahkamah hari ini hanya Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja tahu apa bentuk skrip dan bagaimana beliau akan mengarahkan dirinya sendiri untuk episod berkenaan.

Laporan Utusan Malaysia hari ini jelas Anwar cuba menarik perhatian Washington dan dunia amnya bahawa beliau kini tidak ada pilihan. Seolah-olah kerajaan kejam dan tidak membiarkan beliau mendapat keadilan – jika kembali ke Malaysia seolah-olah akan disumbat ke penjara.

Kerana itu beliau berani mendakwa di luar negara bahawa beliau mempunyai dua pilihan sama ada mahu menetap di Washington atau kembali ke tanah air bagi menghadapi perbicaraan kes liwat.

Sedangkan hakikatnya beliau mempertahankan dirinya pada ketika pelbagai pihak kini mendedahkan ketua pembangkang itu sedang merancang melarikan diri ke luar negara.
Tujuannya? Bagi mengelak perbicaraan kes liwat kerana bimbang beliau akan dipenjara.

Berucap pada forum The Future of Democracy in the Islamic World, anjuran sebuah badan pemikir Amerika Syarikat, New America Foundation yang berpangkalan di Washington DC, Amerika Syarikat, Khamis lalu, Anwar dengan angkuh mengatakan kemunculannya di mahkamah hanya sebagai syarat.

Tegas Anwar: “Saya boleh pilih untuk tinggal di sini (Washington) dan tidak kembali ke Malaysia, tetapi pilihan telah dibuat. Satu kaki saya di Parlimen dan satu kaki lagi di penjara. Saya harus balik ke Malaysia esok dan perlu muncul di mahkamah pada 14 Februari. Muncul di mahkamah hanya sebagai satu syarat, sebab semua keputusan telah dirancang. Sekali anda didakwa, anda pasti akan dipenjarakan,” katanya.

Ucapan beliau dapat dipetik daripada laman blog http://www.anwaraidc.com.

Dakwaan mengenai perancangan Anwar itu mula didedahkan sebuah blog, http://gerakan-anti-pkr.blogspot.com selepas ketua pembangkang tersebut berjaya menangguhkan kesnya sebanyak 50 kali.

Pendedahan itu kemudian disahut Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dengan laporan polis dan pada masa sama, badan tersebut mendesak supaya pihak berkuasa menahan pasport Anwar dengan segera.

Turut menyokong desakan itu ialah Ummi Hafilda Ali yang mahu kerajaan bertindak tegas dengan menghalang Anwar daripada bebas untuk keluar dan masuk negara ini kerana ia boleh memberi imej buruk kepada negara. Menurutnya, kerajaan tidak perlu berlembut dan memberi ruang kepada ketua pembangkang itu untuk berbuat demikian kerana sikapnya yang suka menyebarkan fitnah demi meraih simpati negara lain.

Bukan sekadar bebas ke luar negara sahaja dipersoalkan, malah bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari, mengatakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu mempunyai kekayaan hampir setara dengan Mubarak, sehingga membolehkan ketua pembangkang tersebut mampu hidup mewah.

Berikutan itu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) digesa menyiasat secara terperinci jumlah sebenar kekayaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sekian lama menjalani kehidupan mewah termasuk hampir keluar negara setiap bulan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali juga menggesa LHDN menyiasat jumlah sebenar kos guaman yang dibayar oleh Anwar kepada barisan peguamnya terutama dalam kes liwat.

Sambil tidak menolak andaian bahawa Anwar mempunyai kekayaan hampir setara dengan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak (AS$70 bilion), beliau berkata, ketua pembangkang itu banyak meraih kekayaan semasa memegang jawatan selaku Menteri Kewangan dahulu.

Beliau percaya kos guaman yang dibayar oleh Anwar kepada barisan peguamnya terutama membabitkan Karpal Singh, mencecah jutaan ringgit memandangkan kos guaman untuk kes biasa pun sudah berharga puluhan ribu ringgit. Adalah tidak mustahil kos sebenar adalah lebih tinggi memandangkan Anwar mempunyai barisan peguam yang ramai ekoran terlalu banyak kes mahkamah melibatkan beliau selain faktor masa yang berlarutan sekian lama, terutamanya dalam kes liwat.

"Kes Anwar ini sudah berapa lama? Peguam kalau pergi ke mahkamah caj dia berapa? Berapa ramai peguam Anwar? Berapa banyak kes mahkamah membabitkan Anwar. Kalau dia kata semua kos ini percuma, Anwar adalah seorang pembohong paling besar," tegas Ibrahim.