"Syarikat media sama ada dari Amerika Syarikat. Great Britain dan Singapura wajar dibawa ke muka pengadilan antarabangsa...terbaru, kononnya China akan bantu 1MDB dalam isu pertikaian dangan IPIC."
Semakin hari
semakin terjejas imej negara dan pemimpin gara-gara ‘laporan jahat’ media
antarabangsa.
Syarikat media sama ada dari Amerika Syarikat. Great
Britain dan negara jiran, Singapura wajar dibawa ke muka pengadilan
antarabangsa untuk diberi pengajaran kerana menyiarkan berita palsu dan
bersifat spekulatif ke seluruh dunia.
Terbaru, ia berkaitan laporan kononnya China akan bantu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam membuat pembayaran balik
kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).
Laporan oleh Financial Times (FT) berpusat di
Britain itu dikeluarkan di tengah pertikaian hutang AS$6.5 bilion antara 1MDB dan IPIC, iaitu syarikat kewangan milik kerajaan Abu Dhabi.
Kerajaan dan 1MDB perlu bertindak terhadap penyiaran
berita sama ada oleh FT atau syarikat berita lain yang tidak bertanggungjawab
itu.
Ini kerana ia boleh menjejaskan imej nama baik Malaysia, kerajaan, pengurusan 1MDB dan individu
tertentu yang terbabit.
Berita ini bukan kecil nilainya. Ia bukan sahaja memberikan
gambaran buruk kepada 1MDB tetapi turut mengaitkan nama Perdana Menteri apabila
setiap kali ada masalah berkaitan dengan 1MDB.
Malah laporan dan ulasan, termasuk oleh South China
Morning Post (SCMP) berpngkalan di Hong Kong turut membawa tajuk “HAS CHINA OFFERED TO BAIL OUT MALAYSIA’S 1MDB? AT WHAT COST?” begitu
membimbangkan.
Lebih mengejutkan, SCMP yang memetik seseorang yang
dikatakan mengetahui mengenai perkara ini memberitahu akhbar berkenaan bahawa
Malaysia akan bertukar aset untuk
mendapatkan pembiayaan China bagi tujuan ini.
“China kini sedang membahagi-bahagikan goodwill di seluruh
wilayah sekitarnya...jadi ini bukan sesuatu yang mengejutkan,” kata Oh Ei Sun, bekas
pembantu penting Datuk Seri Najib Razak.
Beijing memang tidak membuat permintaan yang pelik-pelik
untuk bantuan ekonomi itu tetapi pasti ada harapan bahawa Malaysia ‘perlu tahu
apa yang perlu dilakukannya”, tegas Oh.
Tidakkah laporan ini seakan mengesahkan spekulasi oleh
media Barat dan Singapura sejauh ini?
Berkaitan ini, The Straits Times Singapura semalam
turut memetik laporannya sebelum ini (6 Julai 2016) bahawa sebidang tanah yang
dikatakan bernilai berbilion ringgit dimiliki oleh 1MDB di Pulau Pulau Pinang
menarik minat sebuah syarikat China untuk mengembangkan perniagaanya di
Malaysia.
Tanah selpas 94.7 hektar di Daerah Air Itam itu dikatakan
menarik minat perbadanan China termasuk Metallurgical Corp, yang bersedia
membayar lebih tinggi daripada pembida tempatan.
Kenyataan ini dikatakan disahkan oleh eksekutif kewangan yang terbabit dengan
rundingan perniagaan itu. Dikatakan, syarikat China mahu membeli tanah itu
dengan harga RM2 billion (S$671 million) atau secara perjanjian pembangunan
bersama.
Jika dibangunkan secara bersama, 1MDB dijanjikan
keuntungan sebanyak RM3.5 billion.
Laporan oleh The Straits Times Singapura itu sebagai
susulan FT yang menyebut bahawa tiga individu yang mengetahui perkara itu
berkata, China dijadikan sumber dana bagi 1MDB.
Ia menambah, satu sumber memberitahu akhbar itu yang
Malaysia akan melakukan pertukaran aset bagi pembiayaan itu.
Berikutan itu, hari ini pihak kerajaan membuat penafian
keras terhadap dakwaan ada rundingan antara firma pelaburan milik kerajaan itu
dengan kerajaan mahupun syarikat dari China berhubung bantuan kewangan dalam
pertikaian dengan IPIC itu.
Pengerusi 1Malaysia Development Berhad Tan Sri IrwanSerigar Abdullah hari ini menafikan laporan Financial Times itu dengan
mengatakan: “Sebagai pengerusi 1MDB, tidak ada perkara seperti itu.
Berunding dengan China atau apa-apa. Itu sangat jelas.
"Saya pengerusi 1MDB, saya tahu. Jadi tiada
apa-apa," kata beliau yang juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
Semalam, Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani
mendakwa beliau tidak tahu menahu bahawa China dihubungi untuk membantu 1MDB
menyelesaikan komitmennya kepada syarikat IPIC.
Dalam kenyataan menerusi pesanan teks kepada Malaysiakini
Johari mencadangkan supaya portal ini menghubungi Presiden 1MDB Arul Kanda
Kandasamy untuk penjelasan.
"Saya tak tahu apa yang tertulis mengenai perkara
itu. Mungkin anda patut tanya dengan Arul Kanda," katanya.
Kata Johari beliau tidak melihat ada sebarang alasan
untuk China terlibat dalam pertikaian antara 1MDB dan IPIC.
Ditanya sama ada kerajaan atau kabinet ada membuat
sebarang keputusan mengenai pembayaran semula 1MDB atau pertukaran aset bagi
bantuan kewangan itu, Johari berkata, tiada sepanjang pengetahuannya.
Berikutan laporan FT itu, anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli
mendesak kerajaan memberi penjelasan mengenai laporan FT berkenaan.
Katanya berita disiarkan FT itu benar-benar merunsingkan
kerana ia seolah-olah mengesahkan maklumat yang diperolehinya beberapa bulan
lalu mengenai kemungkinan salah satu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan
disenaraikan di bursa Singapura tahun depan.
Arul Kanda turut menjelaskan, beliau sudah memberi reaksi
kepada FT mengenai laporan berkenaan.
Ditanya sama ada beliau menafikan laporan berkenaan, Arul
Kanda meminta supaya Malaysiakini merujuk responnya kepada FT.
Dalam berita disiarkan FT semalam, Arul Kanda dilaporkan
enggan memberi sebarang komen berhubung isu berkenaan.
Katanya 1MDB tidak ada apa-apa sebarang komen untuk
ditambah kepada kenyataan dikeluarkan berhubung pertikaian agensi pelaburan
berkenaan dengan IPIC sebelum ini.
1MDB dan IPIC kini terlibat dalam proses timbang tara di
mahkamah London membabitkan pertikaian bernilai lebih AS$6.5 bilion (RM28.72
bilion).
Persoalannya kini, kenapa media antarabangsa menyerang
Malaysia bertalu-talu?
Tidak cukup dengan penulisan, mereka turut menyiarkan
gambar dan kartun yang sangaja cuba memburukkan Perdana Menteri dan kerajaan.
Kenapa apabila timbul isu mempersoalkan integriti negara
ini, pemimpin parti utama Barisan Nasional, termasuk UMNO dan pertubuhan bukan
kerajaan yang aktif menunjukkan kekuatan hanya berdiam diri dan tidak melakukan usaha
misalnya menyaman media antarabangsa yang membuat fitnah?
Jika menentang
pembangkang dalam negara, BERSIH 5, isu Rohingya, dana Soros dan sebagainya dilihat untuk
mempertahankan kerajaan dan Perdana Menteri, bagaimana pula dengan laporan palsu
media antarabangsa yang bertalu-talu ‘menyerang
Najib dan UMNO’?