Wednesday, July 8, 2009

PEGUAM SAKIT, PERBICARAAN KES LIWAR ANWAR 15 JULAI

Bernama Online/Berita Harian Online

Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditunggu-tunggu, ditangguhkan ke 15 Julai bagi sebutan berikutan peguam belanya telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamad Zabidin Mohd Diah turut menetapkan tarikh yang sama bagi sebutan permohonan Anwar untuk menggugurkan pertuduhan liwatnya dan pendengaran permohonannya bagi diperintahkan pihak pendakwaan menyerahkan semua dokumen berkaitan kes itu kepadanya.

Seramai 100 anggota polis ditempatkan di kompleks itu sejak jam 6.30 pagi untuk mengawal keadaan di sekitar kompleks itu semasa kes Anwar berlangsung.

Tiada kejadian yang tidak diingini berlaku kecuali seorang lelaki berusia 63 tahun diberkas hari ini kerana mengedar DVD bertajuk "Bubar DUN Perak" di perkarangan Kompleks Mahkamah Persekutuan di sini.

Dia ditahan anggota polis ketika leka mengedar DVD itu kepada orang ramai selepas selesai perbicaraan kes liwat membabitkan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada jam 10 pagi tadi.

Polis kemudian membawa lelaki itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan lanjut serta meneliti kandungan DVD itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, berkata polis menahan lelaki itu kerana kesalahan mempamer, mengedar dan memiliki DVD yang mencurigakan.

"Hasil siasatan polis mendapati lelaki itu adalah seorang anggota parti pembangkang di Ipoh," katanya.
Katanya, lelaki itu sudah dibebaskan tengah hari tadi dengan jaminan polis.

Tinjau wartawan mendapati 100 orang penyokong Anwar berhimpun di perkarangan kompleks seawal 7 pagi.

Pendengaran permohonan Anwar bagi penyerahan dokumen itu sudah ditangguhkan empat kali sejak 22 Jun dan perbicaraan kes liwat itu ditangguhkan dua kali.

Seorang daripada peguam yang mewakili Anwar, Edmund Bon, ketika memohon penangguhan itu, berkata peguam utama, Sulaiman Abdullah, dimasukkan ke HKL semalam bagi pemeriksaan berikutan berasa pening tiba-tiba.

Katanya, pihak pembelaan juga memerlukan lebih banyak masa untuk memfailkan hujahan lanjut kepada mahkamah.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, yang mengetuai pasukan pendakwaan, berkata pihak pendakwaan tiada bantahan terhadap penangguhan itu kerana turut prihatin dengan keadaan kesihatan Sulaiman tetapi kes itu perlu diteruskan.

"Menurut laporan doktor, pemeriksaan itu dijangka siap minggu ini. Kes ini adalah kes kepentingan awam dan mahkamah tidak perlu tergesa-gesa untuk mendengar kes ini," kata seorang lagi peguam yang mewakili Anwar, R Sivarasa.

Namun seorang lagi peguam bela, SN Nair, mencelah dengan menyatakan Anwar sudah mengarahkan pasukan pembelaan yang beliau mahu Sulaiman mengetuai pasukan itu.

Anwar, 62, yang hadir bersama-sama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun tahun lalu.

Nair memberitahu pemberita kemudiannya bahawa pihak pembelaan akan memfailkan notis usul pada minggu ini untuk melucutkan kelayakan pasukan pendakwaan atas alasan pihak pendakwaan telah diberi arahan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan pertuduhan itu adalah mala fide dan kes itu adalah kesinambungan kes rasuah terhadapnya pada 1998.

Sementara itu, Anwar berkata, cara pihak pendakwaan yang enggan menyerahkan dokumen itu adalah penghinaan terhadap seluruh proses itu dan menimbulkan persoalan besar.

Sivarasa kemudian menjelaskan mengikut undang-undang, pihak pendakwaan sepatutnya memberikan dokumen yang diminta oleh pihak pembelaan tetapi enggan berbuat demikian, "jadi menimbulkan persoalan akan keikhlasan pihak pendakwaan dan malahan tindakan mereka adalah bercanggah dengan undang-undang dan tidak adil kepada kami."

NIK AZIZ SUDAH ‘SAWAN’

Satu pendapat dalam mStar hari ini (8 Julai 2009) bertajuk “Nik Aziz tidak patut buang masa PM” berkata adalah lebih baik sekiranya Dato’ Nik Abdul Aziz dapat mengatur suatu syarahan bagi sekutu PASnya di Kedah berkenaan bagaimana mentadbir negeri Kedah dengan lebih baik.

Selain itu, Nik Aziz juga wajar menasihati mereka untuk membatalkan mana-mana dasar yang tidak menguntungkan semua rakyat Malaysia di Kedah.

Tan Keng Liang, Ketua Pemuda Gerakan Kedah yang menghantar pendapatnya kepda mStar merujuk kepada jemputan yang berterusan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Perdana Menteri kita, Dato Seri Najib Razak untuk suatu debat antara mereka.

“Seperti yang diketahui oleh Datuk Nik Abdul Aziz, Perdana Menteri kita sedang menumpu perhatiannya untuk memperkukuhkan ekonomi negara kita dan menjalankan perkara-perkara lain yang akan menguntungkan semua rakyat Malaysia. Oleh yang demikian, Dato’ Nik Abdul Aziz perlu dengan serta merta berhenti membazirkan masa Perdana Menteri kita dengan perkara-perkara yang tidak menguntungkan rakyat Malaysia”, kata Tan.

Saya melihat apa yang cuba ditimbulkan oleh Tan ini manifestasi orang muda Cina yang mahukan supaya PAS memperbetulkan perjalanan dalamannya dahulu sebelum cuba menasihati atau memperbetulkan kepimpinan parti lain, khususnya Barisan Nasional (BN).

Belainan dengan Tan, saya melihat Nik Aziz kini bukan lagi meroyan seperti Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin (bekas Menteri Besar Perak) tetapi lebih jauh itu ‘sawan’.

Tidak guna menjelaskan kepada beliau apa Najib sedang lakukan kerana dia tidak akan melakukan kerja-kerja memulihkan ekonomi atau memulihkan semangat orang Islam tetapi mengusut dan mengelirukan lagi rakyat, termasuk orang Melayu sendiri dan Islam yang menjadi pegangan 100 peratus orang Melayu di Malaysia.

Sudah jelas lagi bersuluh bahawa apabila kerajaan perpaduan (bukan kerajaan campuran) berjaya dihalang oleh beliau (termasuk menundukkan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang), Nik Aziz merasakan dirinya kini berada pada peringkat terlalu tinggi – sama dengan Perdana Menteri.

Nik Aziz lupa bahawa sebagai pemimpin utama negara. Najib boleh berjumpa sesiapa sahaja beliau suka – rakyat biasa atau pemimpin – tetapi selepas memburuk-burukkan kepemimpinan BN, Nik Aziz kembali mahu bersemuka.

Nik Aziz mungkin sudah ‘nyanyuk’ apa yang dikatakannya kepada UMNO sebelum ini dan sedarkah siapa Presiden UMNO yang diburuk-burukkan olehnya.

Kalau Nik Aziz boleh membenci, Najib juga ada hak untuk ‘membenci’ kepada PAS, walaupun tidak semua.

Kita lihat sendiri bagaimana di Manek Urai kelmarin, Hadi dan Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh begitu akrab walaupun memimpin parti masing-masing pada penamaan calon.

Kenapa Nik Aziz tidak boleh berbuat demikian. Kenapa benci Nik Aziz kepada UMNO dan Melayu begitu buruk sekali?

Nik Aziz kena tanya ‘apa salah dengan Melayu’ bukan “Melayu ada apa?” seperti yang saya ulas semalam.

Yang pasti, Nik Aziz mungkin kini terasa bahangnya kerana walaupun berjaya menyekat kerajaan perpaduan yang mendapat sokongan lebih 60 peratus perwakilan PAS di muktamarnya sendiri, beliau tetap bertegas dengan pendapatnya berpandukan istiqamah.

Jika demikian dan UMNO itu ‘pengkhianat’, buat apa mahu bertemu Najib.

Bukankah elok kalau bertemu dan bertanya terlebih dahulu - kenapa UMNO mahu berbaik dengan PAS dalam konteks kerajaan perpaduan – daripada mengulangi kebencian yang dikaibatkan oleh ranapnya kerjasama UMNO dan PAS pada 1978?

Bukankah kebencian, dendam kesumat dan syak wasangka itu bercirikan sifat syaitan?

Apakah Nik Aziz masih berpegang kepada falsafahnya ‘boleh bekerjasama dengan syaitan?”

Eloklah kalau Najib tidak layan pemimpin seperti ini.

Baik juga kalau Najib mengusahakan semula perbincangan awal dengan Presiden PAS atau Timbalannya mengenai bagaimana membantu umat Islam yang ketinggalan kerana masalah ekonomi atau tekanan ekonomi dunia yang semakin parah.

Atau bagaimana menjadikan orang Islam lebih bersatu untuk ekonomi sejagat daripada melayan Nik Aziz yang seperti orang kena sawan memaki hamun UMNO dan memperlekehkan orang Melayu.

Tugas ini rasanya lebih berfaedah. Lagipun Nik Aziz jenis ‘keras keng’ dan sukar menerima pandangan orang.

ADUN DAP JADI JUTAWAN?

Rasanya Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan dari DAP Ng Suee Lim akan menjadi jutawan tidak lama lagi?

Kenapa?

Ini kerana hari ini beliau menyahut cabaran bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Muhamad Khir Toyo untuk menjadi ejen hartanah bagi menjual rumah agam yang didakwa bernilai RM24 juta di Seksyen 7 di Shah Alam dengan komisyen 50 peratus.

"Hari ini, saya secara rasmi menerima tawaran untuk menjadi broker beliau. Berikan saya surat tawaran terbuka (untuk menjadi ejen), surat pemberian kuasa dan kunci-kunci rumah. Saya akan jual rumah itu," katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Laporan Bernama memetik Ng mendakwa beliau sudah mempunyai empat pembeli berpotensi yang sanggup untuk membayar lebih daripada RM8 juta bagi rumah agam berkonsepkan Bali, yang menunjukkan tawaran sedemikian membuktikan bahawa ia bernilai lebih daripada RM3.5juta memandangkan para pembeli menawarkan sekali ganda jumlah tanpa melihat rumah agam itu.

Semalam, Dr Khir yang juga ADUN Sungai Panjang menafikan bahawa rumah itu dan dua lot tanah seluas 0.5hektar itu berharga RM24 juta tetapi beliau membeli tanah itu termasuk banglo yang terletak di salah satu daripada tanah yang diperoleh melalui pinjaman dengan tempoh bayaran balik selama 30 tahun dengan bank HSBC tiga tahun lalu.

Beliau juga mencabar Ng untuk menjadi ejen hartanah dan menjual rumah agam dengan harga RM24 juta dan akan memberikan Ng komisyen 50 peratus.

Dr Khir dilaporkan dalam sebuah akhbar tempatan hari ini bahawa beliau bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ng atas dakwaan itu.

KABINET LULUS MATEMATIK, SAINS DALAM BAHASA MELAYU MULAI 2012

(TERBARU)Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris akan kembali dikendalikan dalam Bahasa Melayu, umum Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya hari ini.

Beliau juga mengumumkan bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil, pengajaran dan pembelajaran dua subjek itu akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.
Pelaksanaannya akan berkuatkuasa pada tahun 2012.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan pelaksanaan akan bermula secara berperingkat dan perubahan ini tidak membabitkan tingkatan enam dan matrikulasi,” katanya pada sidang media khas bagi mengumumkan keputusan Kabinet itu di sini.

Bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), Muhyiddin berkata, pengajaran dan peperiksaan kedua-dua mata pelajaran terbabit akan dilaksanakan dalam dwi bahasa sehingga kumpulan terakhir PPSMI tamat pada 2014.

Beliau berkata, kerajaan mengambil keputusan itu selepas meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan berhubung PPSMI, sama ada yang dilaksanakan Kementerian Pelajaran atau badan bebas sejak dasar terbabit mula diperkenalkan pada 2003.

Katanya, hasil kajian itu menunjukkan dasar itu tidak pernah dilaksanakan seperti yang dihasratkan.

“Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM, di mana guru mengajar pelajaran Sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu,” katanya.

Bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), Muhyiddin berkata, pengajaran dan peperiksaan kedua-dua mata pelajaran terbabit akan dilaksanakan dalam dwi bahasa sehingga kumpulan terakhir PPSMI tamat pada 2014.

Beliau berkata, kerajaan mengambil keputusan itu selepas meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan berhubung PPSMI, sama ada yang dilaksanakan Kementerian Pelajaran atau badan bebas sejak dasar terbabit mula diperkenalkan pada 2003.

Katanya, hasil kajian itu menunjukkan dasar itu tidak pernah dilaksanakan seperti yang dihasratkan.

“Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM, di mana guru mengajar pelajaran Sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu,” katanya.