"Penerima (BR1M) iaitu
golongan miskin tegar dan miskin bandar sudah pasti ia akan memberi undi
kepada BN. Impaknya besar...Perdana Menteri sedar pilihan raya
akan dilaksankan dalam tempoh tiga bulan selepas BR1M 2.0 dan kesan
positif BR1M tidak akan habis."
- Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua
Jika sebelum ini mereka dengan yakin mengatakan akan turun ke padang (Pilihan Raya Umum ke 13) tetapi kini makin banyak suara kebimbangan mengenai kekuatan Barisan Nasional (BN) hasil BR1M ini. Seperti orang takut kepada ‘polong’, begitulah takutnya pakatan pembangkang kepada BR1M.
Lebih 2.3 juta permohonan diterima untuk BR1M 2.0 pada 17 Disember, dengan lebih 1.6 juta untuk penerima bujang dan 720,000 isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan layak menerima RM500 wang tunai.
Bagi penerima bujang, mereka di bawah umur 21 tahun dan berpendapatan bawah RM2,000 sebulan layak menerima RM250 wang tunai.
BR1M 2.0 dijangka akan memberikan manfaat kepada 4.3 juta isi rumah dan 2.7 kumpulan bujang berbanding 4.2 juta penerima BR1M pertama tahun lalu.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mengakui penerima iaitu golongan miskin tegar dan miskin bandar sudah pasti ia akan memberiundi kepada BN “Impaknya besar, terutamanya mengekalkan pengundi “tradisional” mereka di luar bandar, itu sebabnya kenapa (Perdana Menteri) menangguhkan pilihan raya,” kata Pua.
“Beliau sedar pilihan raya akan dilaksankan dalam tempoh tiga bulan selepas BR1M 2.0 jadi kesan positif BR1M tidak akan habis,” kata Pua lagi.
PR jelas Pua tidak memiliki dana sekukuh BN, terutamanya di negeri-negeri yang bukan di bawah bidang kuasa mereka seperti di Johor, Pahang, dan Perak, dan itu menyukarkan mereka untuk mendapatkan sokongan masyarakat luar bandar.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata semalam, sebanyak 2,684,916 permohonan baharu untuk BR1M 2.0 telah diterima sehingga hari ini di mana ia melibatkan 1,823,039 individu bujang manakala baki 861,877 diterima daripada isi rumah (keluarga).
"Kerajaan menggalakkan lebih ramai individu bujang memohon untuk mendapatkan BR1M 2.0. Pendaftaran akan terus dibuka sehingga satu tarikh yang diumumkan kelak," katanya.
Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad turut menyokong kenyataan Pua, namun mengingatkan BN BR1M hanya mengukuhkan sokongan penyokong tegar mereka, bukannya kumpulan pengundi muda yang merangkumi sekitar 30 peratus daftar pemilih.
“Sementara sekelompok rakyat yang tidak dapat akses kepada media alternatif, mereka semakin yakin untuk menyokong BN. “Namun kelompok 30 peratus yang menjadi rebutan BN dan PR adalah kelompok yang tidak dapat dikelabui mata dan pendirian mereka, kumpulan pengundi baru,” katanya dan menegaskan, kumpulan pengundi itu sedar, sejumlah RM3 bilion untuk BR1M 2.0 adalah dana kutipan cukai daripada rakyat.
“Kelompok 30 peratus itu adalah kelompok penentu dalam pilihan raya umum,” tegasnya. Peruntukan untuk BR1M 2.0 meningkat 40 peratus daripada BR1M sebelumnya, yang hanya menelan perbelanjaan RM2.1 bilion.
Penganalisis politik turut mengakui faktor BR1M akan memancing undi untuk golongan pengundi luar bandar, serta mengukuhkan sokongan pengundi tetap BN. Malah hasil pemberian itu BN dijangka akan menerima sokongan pengundi yang tinggi dalam pilihan raya tahun ini, memandangkan Putrajaya akan mula mengedarkan BR1M bermula Febuari depan.
“BR1M akan memberikan impak berganda, bukan sahaja kepada ekonomi, tetapi turut diistilahkan di dalam undi,” kata pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Asri Salleh.
Apapun, ternyata seperti diakui Phua, BR1M untuk kumpulan miskin khususnya di bandar yang menderita akibat tekanan harga barang dan keperluan harian. Namun BR1M bukan segala-galanya kerana banyak dasar lain yang membela rakyat dan ini adalah pemberian kali kedua dan tidak boleh dijadikan perkara yang pautut dinyatakan dalam manifesto BN, walaupun tetap ditakuti pembangkang.
Ketua Penerangan Umno Johor, Datuk Samsol Bari Jamali, tidak melihat BR1M sebagai “rasuah” politik BN, sebaliknya ia adalah manifestasi BN dalam menepati janji mereka. “Jika benar BR1M untuk pilihan raya, kenapa kerajaan telah memulakannya sejak tahun lepas?
“Ia bukan kerana BN, ia manifestasi kerajaan untuk rakyat,” katanya.
Professor Dr Jayum Jawan, penganalisis politik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata beliau tidak terkejut jika BR1M akan berupaya menarik undi rakyat menyokong BN, namun mengkritik tindakan itu kerana apa yang utama adalah polisi ekonomi untuk jangka panjang. “BR1M hanya one-off ... rakyat sedar ia untuk pilihan raya,” tambahnya.
“Jika BN mahu menawan hati pengundi, mereka perlu mengemukakan pelan jangka panjang ekonomi yang komprehensif dan merangkumi keseluruhan masyarakat,” kata Jayum.
Namun , apa pun kata mereka yang bimbang dengan BR1M, hakikatnya golongan berpendapatan rendah dapat mengurangkan beban kehidupan mereka dengan bantuan itu.
Tetapi bukan sekadar BR1M yang meringankan beban rakyat. Pelbagai bantuan dan insentif lain bakal dinikmati segenap lapisan masyarakat di negara ini pada tahun depan hasil daripada pembentangan Bajet 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen pada 28 September lalu.
Paling menarik ialah sebahagian besar peruntukan yang dibentangkan dalam bajet tersebut akan memberi manfaat secara terus kepada rakyat sama ada dalam bentuk wang tunai atau rebat cukai.
Selain 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang yang akan mendapat manfaat BR1M , Skim Rumah Pertamaku, penurunan kadar cukai pendapatan individu, bonus satu bulan gaji kepada 1.3 juta penjawat awam serta bantuan wang tunai kepada 5.4 juta pelajar sekolah.
Manfaat itu tidak termasuk bantuan dan insentif lain seperti elaun bantuan sara hidup nelayan, peningkatan pencen minimum, sumbangan kepada bekas tentera, rebat pembelian telefon mudah alih pintar 3G dan Baucar Buku 1Malaysia.
Insentif dan bantuan yang disebut itu dianggarkan melibatkan peruntukan bernilai kira-kira RM10 bilion oleh kerajaan untuk rakyat melalui Bajet 2013.
Semua ini pastinya akan menghantui pembangkang dan ketakutan kepada BR1M itu hanya sebahagian sahaja!
Sumber - The Malaysian Insider & Bernama