Tuesday, October 6, 2015

TPPA – TAHNIAH MUSTAPA KERANA PRIHATIN DENGAN KEHENDAK RAKYAT...


Kita wajar mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam kaitannya dengan Rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)  peringkat  menteri-menteri TPPA di Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat.

Mustapa sebelum ini berkata, kehadirannya bukan untuk menandatangani perjanjian itu kerana keputusan muktamad akan diputuskan Parlimen.

Mustapa yang mewakili Malaysia pada rundingan TPPA dengan 11 pihak lain iaitu Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam jelas menunjukkan sikap keprihatinan beliau kepada kehendak rakyat negara ini.

Mustapamenegaskan, Malaysia tidak akan memihak kepada perjanjian yang tidak mengikut Perlembagaan negara atau yang menjejaskan dasar-dasar teras yang dimulakan oleh kerajaan untuk manfaat rakyat.

Jaminan ini sangat penting kerana banyak perkara dibimbangi akan merugikan negara, termasuk agenda Bumiputera.


Mustapa -  sepanjang rundingan, mulai 30 September hingga 1 Oktober lalu, sentiasa berkomunikasi dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memaklumkan perkembangan terkini mengenai kemajuan rundingan, serta, mendapatkan panduan dan mandat bagi melindungi kepentingan Malaysia.

Najib sebelum ini memberikan jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa negara akan mendapat faedah daripada pasaran lebih luas dengan menyertai TPPA memandangkan 12 negara yang sedang berunding perjanjian itu berpotensi bertambah kepada 20 pada masa depan.

Perdana Menteri berkata jika Malaysia tidak menyertai TPPA, negara akan kerugian besar memandangkan Malaysia sebuah negara berorientasikan eksport yang membentuk sebahagian daripada rejim perdagangan bebas global.

Beliau berkata TPPA berpotensi menawarkan akses pasaran yang lebih luas bukan sahaja kepada syarikat-syarikat yang sedang beroperasi di Malaysia, malah mampu menarik minat pelabur di seluruh dunia untuk membuka operasi perniagaan mereka di Malaysia.

Dengan itu, perkongsian TPP boleh menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik sekaligus meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI).

Perjanjian perdagangan itu sudah dirancang sejak 2008 tetapi ia tergendala susulan pertikaian politik yang sensitif, termasuk pergaduhan antara Amerika Syarikat dan Jepun ke atas industri automotif.

Satu daripada pertikaian terakhir yang berjaya diselesaikan membabitkan antara Australia dan Amerika Syarikat, yang menuntut perlindungan 12 tahun ke atas ubatan biologi berbanding tiruan generik. 

Kedua-dua negara mencapai kata sepakat yang rumit dengan menyediakan sekurang-kurangnya 5 hingga 8 tahun eksklusif terhadap produk berasaskan biologi. 

Chile, Peru dan negara-negara lain terus bimbang tentang kenaikan harga ubat-ubatan melalui tempoh eksklusif yang panjang itu, menurut mereka yang mengikuti perbincangan itu.

Menurut laporan, Amerika Syarikat, Jepun dan 10 negara lain di rantau Asia Pasifik hari ini mencipta sejarah apabila memeterai perjanjian bagi mengurangkan halangan perdagangan barangan dan perkhidmatan serta menetapkan peraturan komersial dua per lima daripada ekonomi global, kata pegawai, menurut laporan. 


Menurut akhbar The Wall Street Journal (WSJ), pegawai kanan negara yang terlibat dijangka mengumumkan perkara itu pada sidang media di Atlanta, semalam.

Bagi Amerika Syarikat, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) membuka pasaran pertanian di Jepun dan Kanada, mengetatkan peraturan harta intelek bagi memberi manfaat kepada syarikat teknologi dan mewujudkan 1 blok ekonomi yang padu untuk menyaingi pengaruh China di rantau ini.

Perjanjian itu adalah satu kejayaan bermakna buat Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang melihatnya sebagai perangsang kepada pertumbuhan ekonomi, meningkatkan industri berdaya saing dan menyatukan negara Pasifik yang dengan aliran pemikiran yang sama ketika China – bukan sebahagian daripada blok ekonomi itu – mengamalkan postur ekonomi dan ketenteraan yang lebih menonjol di rantau ini.

Bagaimanapun, Obama bakal berdepan cabaran tidak lama lagi bagi mendapatkan kelulusan daripada ahli Kongres negaranya yang terbahagi. 

Hanya segelintir ahli Demokrat menyokong dasar perdagangan dibawa Obama, dan sokongan puak Republikan dalam pilihan raya tahun depan tidak dapat diduga, bergantung kepada pendirian calon presiden dan kepimpinan baharu dalam Dewan.

Dalam keadaan sekarang, perjanjian itu tidak boleh dibentangkan untuk diundi dalam Kongres hingga awal tahun depan. 

Selepas berpuluh-puluh rundingan dan 5 hari tawar-menawar diadakan di Atlanta, menteri perdagangan dan pegawai kanan lain berkata mereka menyelesaikan pertelingkahan berhubung perlindungan harta intelek terhadap ubatan biologi, peraturan pemasangan-automotif dan produk tenusu. 


Jika ia diluluskan Kongres, perjanjian itu akan mengembangkan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara yang dimeterai 2 dekad lalu membabitkan Jepun, Australia, Chile, Peru dan beberapa negara di Asia Tenggara.

Menurut Mustapa, perundingan itu bersetuju untuk mempertimbang hampir kesemua kebimbangan dan sensitiviti yang dibangkitkan Malaysia seperti isu pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara dan bumiputera.

Butiran fleksibel diberikan kepada Malaysia termasuk tempoh peralihan lebih panjang dan layanan berbeza bagi perkara yang sensitif kepada negara.

"Saya ingin mengulangi sama ada Malaysia menjadi pihak atau sebaliknya kepada TPPA akan menjadi keputusan secara kolektif. Sebaik sahaja teks rasmi perjanjian siap dan disediakan, ia akan dibawa kepada pengetahuan umum dan dibentangkan di Parlimen untuk dibahas.

"Kita juga akan mengadakan perundingan penuh dengan pihak-pihak berkepentingan dan orang awam," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengenai isu hak harta intelek, beliau berkata Malaysia tetap tegas  bahawa TPPA tidak seharusnya menghalang akses orang ramai kepada ubat-ubatan dan penjagaan kesihatan yang mampu milik, dan pada masa yang sama, memastikan insentif yang perlu untuk pencipta farmaseutikal menghasilkan ubat-ubatan baharu.

Berhubung akses pasaran, elemen asas dalam mana-mana perjanjian perdagangan bebas (FTA), Malaysia merumuskan rundingan dengan semua pihak, dengan duti import bagi hampir semua produk akan dihapuskan.

"Pada dasarnya, hasilnya akan menyediakan peluang akses pasaran yang lebih besar bagi syarikat-syarikat Malaysia, terutamanya di pasaran seperti Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru yang mana Malaysia tidak mempunyai FTA.

"Pengeksport Malaysia akan mendapat kelebihan daya saing berbanding pesaing serantau dalam mengeksport produk dari sektor elektrik dan elektronik, bahan kimia, barangan minyak sawit, keluaran getah, barangan kayu, tekstil, dan juga bahagian dan komponen automotif.

"Semua ini merupakan eksport utama bagi Malaysia dan menjana sejumlah besar pendapatan bagi ekonomi negara dan mengambil ribuan rakyat Malaysia sebagai pekerja," katanya.

Apapun, Mustapa amat yakin bahawa TPPA akan membolehkan Malaysia  mempromosikan lagi agenda perdagangan dan pelaburan serta membantu mengurangkan cabaran ekonomi global.

Jadi kepada yang ragu-ragu atau bimbang kerajaan tersilap langkah, nasihat memang baik tetapi hargailah kerajaan yang prihatin terhadap pandangan semua pihak di negara ini mengenai TPPA ini.

Berilah pandangan bernas, bukan sering menyalahkan kerana TPPA adalah sesuatu yang sensitif  kepada kerajaan yang memerintah, bukan sahaja kepada parti politik, NGO dan rakyat seluruhnya.