Tuesday, November 3, 2015

BERAPA KALI LAGIKAH KERAJAAN MAHU BIARKAN LAPORAN PALSU?


“Kenapa tindakan tegas tidak dikenakan, bukan sahaja menghukum tetapi memberi pengajaran kepada individu dan syarikat yang menerbitkan berita palsu kerana ia   menjejaskan siasatan  dan ‘menutup periok nasi ‘pegawai yang dikaitkan.”

Sekali lagi berita palsu tersebar membabitkan pegawai tinggi kerajaan yang ada kaitan dengan kes penting yang sedang disiasat.

Kali ini dilaporkan ada arahan perpindahan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Shazalee Abdul Khairi diarahkan untuk kembali ke Jabatan Peguam Negara  (AGC)  walaupun tempoh pinjamannya dilanjutkan sehingga 2017.

Laporan yang disifatkan EKSLUSIF oleh portal berita berkenaan semalam sudah pasti mengejutkan semua pihak.


Laporan bertajuk ‘Pemindahan mengejut pendakwa raya’ yang disiarkan pada  2 Nov 2015, 6:45 petang itu menyebut, “Seorang pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) yang terbabit dengan penahanan beberapa saksi penting secara mengejut dipindahkan hari ini. Menurut sumber kepada Malaysiakini, pegawai itu adalah Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Shazalee Abdul Khairi.”

Laporan portal berita itu turut menyebut, pemindahan Ahmad Shazalee secara mengejut itu juga disahkan oleh sumber daripada Jabatan Peguam Negara dan SPRM.

Bagaimanapun, tidak diketahui di mana Ahmad Shazalee melaporkan diri untuk kerjanya hari ini.

Portal berita berkenaan turut melaporkan : “Apa yang menjadi pemindahannya penuh tanda-tanya adalah peminjaman Ahmad Shazalee ke SPRM baru sahaja dilanjutkan pada pertengahan tahun ini dan sepatutnya berkuatkuasa sehingga 2017.”


Bagaimanapun, Peguam Negara Mohamed Tan Sri Apandi Ali pada surat bertarikh 14 Oktober mengarahkan Ahmad Shazalee melaporkan diri pada hari berikutnya. Difahamkan SPRM hanya menerima surat arahan pemindahan itu pada hari Jumaat (30 Oktober) lalu.

Menurut portal berita itu lagi yang memetik sumber yang tidak mahu namanya disiarkan, keputusan Jabatan Peguam Negara itu sebagai 'kerja gila' kerana tidak ada penggantian.

Sumber yang dipetik The Malaysian Insider pula menyebut, Ahmad Shazalee yang ditahan polis kerana didakwa membocorkan maklumat sulit Ogos lalu, dikatakan masih bertugas dengan SPRM, walaupun ada laporan mengatakan beliau dipindahkan secara mengejut ke Pejabat Peguam Negara.

"Beliau tidak menerima sebarang surat pertukaran walaupun beliau dijadualkan akan dinaikkan pangkat. Beliau boleh kekal dalam SPRM selepas proses kenaikan pangkat ini," kata sumber itu kepada The Malaysian Insider sambil menyatakan Shazalee sudah berkhidmat dengan SPRM sejak 7 tahun lepas. 


Pada 1 Ogos, Shazalee merupakan antara tujuh pegawai SPRM yang ditahan polis kerana didakwa membocorkan maklumat sulit berkaitan siasatan ke atas SRC International.

Ia berhubung pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pemindahan seterusnya RM42 juta ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.

SRC International adalah bekas anak syarikat milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada Ogos lalu, Ahmad Shazalee adalah seorang daripada enam pegawai SPRM yang ditahan polis yang bertanggungjawab menyiasat dakwaan kebocoran maklumat berkaitan siasatan pasukan petugas khas 1MDB.

Polis menyerbu rumah beliau di Persint 11, Putrajaya dan pejabat Badan Operasi Khas SPRM di Presint 3.

Beberapa kotak fail dan komputer riba antara yang dirampas daripada agensi itu.

Jika memang benar laporan ‘ekslusif’  itu TIDAK BENAR atau PALSU, ia sesuatu yang sangat malang kepada jabatan dan agensi kerajaan, selain kepada  Ahmad Shazalee sendiri.

Ini kerana selain perbuatan itu  pastinya akan menjejaskan siasatan ke atas SRC International, ia juga mungkin menjejaskan kenaikan pangkat pegawai berkenaan.

Dilaporkan , laporan media yang tidak disahkan boleh menjejaskan kenaikan pangkat Shazalee ini.

Shazalee adalah satu-satunya timbalan pendakwa raya yang berkhidmat dengan unit operasi khas SPRM ketika ini, yang mengendalikan kes berprofil tinggi, dan terdapat kira-kira 30 timbalan pendakwa raya dipinjamkan ke SPRM dari Jabatan Peguam Negara bagi membantu siasatan dan menjalankan pendakwaan. 

Beliau sudah berkhidmat dengan perkhidmatan kehakiman dan perundangan selama 20 tahun.

Agak aneh dengan laporan ‘ekslusif’ itu apabila tuan badan sendiri - Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) – berkenaan – menegaskan beliau sendiri  tidak mengetahui mengenai arahan perpindahan ke Jabatan Peguam Negara (AGC) sehingga ia dilaporkan media.

Ahmad Shazalee terkejut mengenai arahan perpindahan secara tiba-tiba itu."Saya juga terkejut. Saya masih datang ke pejabat SPRM, tiada siapa memberitahu saya apa-apa mengenai arahan perpindahan," katanya semalam.

Yang peliknya pula laporan ada menyebut bahawa Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Seri Mohd Shukri Abdul mengesahkan arahan perpindahan itu tetapi berkata beliau tidak pasti tarikh arahan itu berkuatkuasa. Beliau enggan mengulas lanjut mengenainya.

Peguam Negara Tan Sri Mohd Apandi Ali semalam menafikan dakwaan bahawa timbalan pendakwa raya (DPP) di bahagian operasi khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysua (SPRM) dipindahkan.

“Saya sudah semak. Berita kamu berkaitan DPP yang dikatakan dipindah keluar daripada SPRM adalah palsu,” katanya dalam pesananteks kepada Malaysiakini lewat malam semalam.

Tweet Pejabat Peguam Negara (AGC) malam semalam  menyebut:“AGC menjelaskan bahawa tiada arahan pemindahan kepada DPP Shazalee Abdul Khairi keluar daripada SPRM.”

Persoalannya:

1.     Berapa lama lagi pihak berkuasa mahu membiarkan perbuatan menyebarkan berita palsu yang menjejaskan siasatan dan kenaikan pangkat pegawai berterusan?

2.     Kenapa tindakan tegas tidak dikenakan, bukan sahaja menghukum tetapi memberi pengajaran kepada individu dan syarikat yang menerbitkan berita palsu terpaksa menerima hukumannya;

3.     Tindakan tegas sangat wajar apabila berita palsu boleh menjejaskan siasatan sesuatu kes penting seperti dalam isu SRC International ini;

4.     Jika benar laporan sebegini boleh menjejaskan kenaikan pangkat seseorang, tidakkah ini perbuatan ‘menutup periok nasi keluarga pegawai’ berkenaan; dan

5.     Bagi individu yang teranianya sebegini, apakah tidak ada peluang untuk mereka mengambil tindakan, umpamanya saman ganti rugi atau sebagainya?

Kerana itu, Jabatan Peguam Negara, SPRM, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta agensi lain yang berkaitan juga Ahmad Shazalee sendiri boleh menilai opsyen tindakan yang sewajarnya.

Lebih dibimbangi, laporan ini dibuat mungkin dengan sengaja mahu menjejaskan reputasi semua pihak yang ada kaitan dengan siasatan terhadap SRC Internasional.


Mungkin banyak lagi jawapan dan tindakan selepas ini.