Saturday, July 14, 2012

SIAPA ORANG POLITIK YANG BANYAK MEROSAKKAN NEGARA?


"Polis menjaga keamanan dan keselamatan semua dan mana-mana orang yang jaga keselamatan negara, dia perlu memantau...pemantauan-pemantauan perlu dibuat bukan sahaja kepada penjenayah-penjenayah, termasuk juga kepada orang-orang politik yang nak merosakkan negara dan yang selalunya merosakkan negara ini orang politiklah."
– Tan Sri Musa Hassan 

 Tan Sri Musa Hassan dengan tegas mengatakan ‘selalunya merosakkan negara ini orang politiklah’. Kita ingin juga tahu siapa pemimpin politik yang dimaksudkan.

Sepatutnya Musa menyatakan dengan terang kerana perbuatan sesetengah politik kini sudah ‘terang lagi bersuluh’ melakukan perkara-perkara yang boleh mencemarkan imej dan mengancam keselamatan negara.

Namun daripada jawapan yang disebutkan bekas ketua polis negara (KPN) itu sedikit sebanyak kita dapat mengagaknya.

Mereka adalah:

1. Yang menjual rahsia negara, termasuk pertahanan dan keselamatan;

2. Mereka yang mendapatkan dana luar untuk menjatuhkan kepimpinan negara;

3. Mereka yang mempunyai kaitan dengan tokoh politik dan NGO luar yang mahu menghurukan negara termasuk mengadakan perhimpunan dan bantahan awam;

4. Mereka yang menggunakan media asing di dalam dan di luar negara untuk memburuk-burukkan kepimpinan negara;

5. Mereka yang mengadakan ikatan dengan gerakan-gerakan sosial dan agama untuk menggugat keyakinan dan perpaduan rakyat;

6. Mereka yang mengagung-agungkan tokoh, dasar serta tindakan tertentu pihak luar sedangkan apa yang dilakukan kerajaan di Malaysia jauh lebih baik;

7. Mereka yang menggunakan instrumen seperti artis, rancangan hiburan, program budaya melalui ‘telunjuk luar’ untuk mengubah amalan dan persepsi golongan muda agar menentang dan membenci kerajaan;

8. Mereka yang memperkenalkan bentuk pendidikan tertentu yang bercanggah dengan budaya dan amalan beragama di negara ini untuk merosakkan keharmonian di kalangan rakyat; dan

9. Banyak lagi. 

Menurut Musa:

“Polis menjaga keamanan dan keselamatan semua dan mana-mana orang yang jaga keselamatan negara, dia perlu memantau.

“That means, pemantauan-pemantauan perlu dibuat bukan sahaja kepada penjenayah-penjenayah, termasuk juga kepada orang-orang politik yang nak merosakkan negara dan yang selalunya merosakkan negara ini orang politiklah” kata bekas KPN itu semasa diwawancara oleh The Malaysian Insider semalam.

Musa membuat kenyataan itu menafikan dakwaan presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah, mengenai polis cawangan khas (SB) yang dikatakan hanya memberikan tumpuan memantau aktiviti politik berbanding memerangi jenayah.

Pada sidang akhbar di ibu pejabat PKR baru-baru ini, Dr Wan Azizah turut mempersoalkan tentang mengapa masih belum ada maklumbalas dari menteri dalam negeri tentang persoalan yang beliau bangkitkan minggu lepas.

“Mengapakah pihak SB melebihkan aktiviti mengintai rakyat sendiri daripada mencegah aktiviti jenayah? “Rakyat dan PKR akan terus menanti jawapan daripada pihak yang bertanggungjawab,” kata Dr Wan Azizah lagi.

Bagi bekas KPN itu, ahli-ahli politik tidak kebal dari undang-undang baik dari parti kerajaan mahupun pembangkang.

“Tidak betul dakwaan dia (Wan Azizah) itu, polis memantau semua perkara termasuklah ahli-ahli politik sekali. Kalau dia (orang politik) buat sesuatu yang menggugat keselamatan negara, kita (polis) perlu bertindak."

Hakikatnya orang politik tidak kebal dari undang-undang baik dari pembangkang mahupun kerajaan.