Saturday, September 11, 2010

DUA KHABAR SEDIH AWAL SHAWAL

Paderi Dove World Outreach Center, Terry Jones menjawab soalan mengenai rancangan meneruskan membakar al-Quran hari ini.

Dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri semalam, saya sedih kerana ada berita dari Barat (Amerika Syarikat dan Jerman) yang mengatakan pihak tertentu mahu membakar al-Quran dan kartunis yang melukis karikatur Nabi Muhammad s.a.w. pula diberikan anugerah.

Perkhabaran di hari yang mulia yang menyedihkan ini benar-benar mengguris hati saya dan mungkin juga umat Islam seluruhnya.

Apakah dua kejadian ini menjadi ujian kepada umat Islam di seluruh dunia dan Malaysia sendiri?
Kartunis Denmark, Kurt Westergaard (kiri) bersama Angela Merkel sebelum majlis penyampaian anugerah media M100 2010 di Potsdam, timur Jerman, kelmarin.

Juga, apakah masyarakat Islam di Malaysia keseluruhannya peka mengenai perkara ini dalam kesibukan dan kegembiraan kita menyambut Aidilfitri?

Berita mengenai sebuah gereja kecil di Florida merancang membakar beratus al-Quran hari ini (11 September 2010) dikecam banyak pihak di dunia dan di negara kita.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan tindakan ekstremis, Paderi Terry Jones untuk membakar Al-Quran sebagai amat dikesali. Ia dianggap satu keingkaran, tidak bertamadun dan hendaklah dikutuk oleh mereka yang berfikiran rasional.

"Ia akan menjadi satu implikasi yang sangat serius. Saya sangat berharap dan berdoa agar presiden Barack Obama dan kerajaan Amerika Syarikat akan berbuat sesuatu untuk menghalang daripada berlaku," tegas Najib.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula berkata rancangan paderi di Amerika Syarikat untuk membakar Al-Quran sebagai tindakan di luar jangkaan manusia. Menteri Besar Kelantan itu berkata, Allah Taala akan laknat jika ada pemimpin agama seperti itu.

Katanya, cadangan paderi berkenaan tidak masuk akal kerana mereka orang berilmu, yang tahu bahawa Islam bukanlah agama pengganas dan golongan ini boleh membuat kajian mengenai agama Islam dalam pelbagai bahasa.

Paderi Florida itu ternyata mengundang kecaman dunia kerana kniatnya itu, walaupun berkata mungkin membatalkan hasratnya itu jika Presiden Amerika Syarikat Barack Obama meminta beliau untuk tidak melakukannya.

Apakah paderi ini sengaja menempah permusuhan atau hanya mencari populariti diri melalui kenyataan yang boleh meresahkan dunia?

Rancangan membakar sejumlah 200 al-Quran yang kebanyakan didermakan kepada gereja dibuat menyusuli satu perdebatan yang membangkitkan kemarahan mengenai rancangan membina sebuah pusat kebudayaan Islam di New York berhampiran dengan tapak bekas Pusat Dagangan Dunia.

Memanglah niat akan menjadil niat yang tidak tertunai jika benar beliau mahu membatalkan hasratnya. Namun hati yang terguris akan kekal lama. Jika pun ada kemaafan, tidak bermakna umat Islam akan melupakan niat dan kenyataan paderi itu.

Terry Jones - Ketua Dove World Outreach Center - memberitahu akhbar USA Today semalam, beliau belum dihubungi Rumah Putih berhubung rancangannya membakar kita suci Islam itu sempena menandakan ulang tahun kesembilan serangan pengganas 11 September.

Presiden Barrack Obama semalam memberi amaran tindakan membakar al-Quran akan hanya menguntungkan kumpulan pengganas Al-Qaeda yang didakwa melancarkan serangan terhadap AS pada 2001 itu yang membunuh hampir 3,000 orang.

“Anda tahu, tindakan berkenaan akan mencetuskan keganasan serius di tempat seperti Pakistan atau Afghanistan,” Obama memberita rangkaian televisyen ABC.

Sebelum ini, walaupun pelbagai kritikan diterima daripada pegawai tertinggi Amerika Syarikat, tentera, Vatican dan pemimpin agama lain, gereja terbabit sebelum ini menyatakan ia tetap enggan menangguhkan rancangan membakar al-Quran itu.

Jones memberitahu satu sidang media kelmarin gereja beliau menerima banyak mesej yang menyokong tindakan itu.

Semalam, Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur berkata kerajaan Amerika Syarikat membidas rancangan Jones itu dan menganggap tindakan sengaja memusnahkan sebarang buku suci adalah menjijikkan dan menimbulkan perbalahan, sesuatu yang ditolak oleh majoriti rakyat Amerika.

"Kami mempunyai penghormatan tidak berbelah bagi untuk Al-Quran dan Islam sebagai salah sebuah agama teragung di dunia,” katanya. Kenyataan itu menyebut semalam, Obama telah menyatakan cadangan kumpulan itu adalah bertentangan dengan nilai-nilai rakyat Amerika.

Juga menyedihkan, sehari sebelum ancaman membakar al-Quran, Canselor Jerman, Angela Merkel hadir pada satu majlis anugerah untuk seorang kartunis Denmark yang melukis karikatur Nabi Muhammad memakai serban menyerupai bom.

Merkel yang meletakkan kebebasan sebagai sesuatu yang begitu penting bagi dirinya langsung tidak sensitif terhadap kemarahan umat Islam

Lukisan Kurt Westergaard,75 dari Denmark adalah antara 12 karikatur Nabi Muhammad yang mencetuskan protes umat Islam di seluruh dunia sehingga menyebabkan 50 orang maut lima tahun lalu.

Westergaard yang melukis karikatur paling kontroversi mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh selepas penyiarannya dalam sebuah akhbar Denmark pada 2005.

Merkel, 56, pada majlis anugerah semasa persidangan mengenai kebebasan akhbar di Potsdam dekat Berlin mengatakan, bagi dirinya, kebebasan ialah pengalaman paling gembira dalam hidupnya. Beliau menyifatkan kebebasan akhbar sebagai ‘komoditi yang sangat berharga’.

Walaupun Merkel yang membesar di bawah rejim komunis di Jerman Timur terkenang akan kegembiraan beliau semasa Tembok Berlin runtuh pada 1989 tetapi caranya menyanjungi dan mengiktiraf ‘kebebasan’ dengan menghargai kartunis yang menulis karikutur Nabi Muhammad, adalah sesuatu yang sangat dikesali dan tersasar jauh.

Memang wajar kalau tokoh Islam di Jerman Aiman Mazyek dari Majlis Islam Pusat mengkritik Merkel dengan mengatakan, “Merkel memberi penghormatan kepada kartunis yang pada pandangan kami telah memijak-mijak Nabi kami dan memijak-mijak seluruh umat Islam.”

Kita menunggu apa pula reaksi daripada umat Islam dunia dan Malaysia mengenai dua kejadian di awal Shawal ini.

Yang nyata, dua berita ini menyedarkan saya bahawa ancaman terhadap Islam kini benar-benar serius pada ketika ancaman dan kritikan terhadap Islam kini semakin menyerlah dari dalam negara sendiri.