Tuesday, December 31, 2013

PESTA TAHUN BARU - MINTALAH PANDANGAN AGAMAWAN...


Sudah berkali-kali isu mengenai sambutan Tahun Baru ini diperkatakan setiap akhir tahun.

Namun dari tahun ke tahun, selepas satu Perdana Menteri ke satu Perdana Menteri, ia tetap sama.

Tiada perubahan.

Alasan ialah kerana sambutan Tahun Baru untuk seluruh rakyat Malaysia dan menjadi tarikan pelancongan. 

Sejauh ini tidak ada pula disebut berapa belanja penganjuran sambutan dan apa pula untungnya dari segi pelancongan daripada pesta ini.

Sebagai rakyat, saya wajar menyatakan pendirian saya.

Saya menyokong penuh pendapat dua tokoh agamawan iaitu Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman bahawa sambutan ini sepatutnya diisi dengan program kerohanian.

Kelmarin, Pemuda Umno juga mencadangkan kerajaan tidak menganjurkan sambutan ambang tahun baharu 2014 dengan konsert dan pertunjukan bunga api.

Sebaliknya, kehadiran tahun baharu lebih wajar diisi dengan solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat di surau dan masjid seluruh negara.


Harussani mahukan pesta yang yang menjuruskan ke arah kemaksiatan patut dihentikan ketika sambutan tahun baharu dan perlu digantikan dengan acara keagamaan.

Menurutnya, adalah lebih baik kerajaan menyarankan semua penganut agama seluruh negara mengadakan upacara keagamaan di rumah ibadat masing-masing seperti yang dilaksanakan oleh perdana menteri pertama.

“Pada zaman Tunku Abdul Rahman (Al Haj), beliau meminta supaya setiap kali malam sambutan tahun baharu, penganut agama masing-masing berdoa untuk kesejahteraan dan keamanan negara daripada malapetaka dan bencana alam

“Tapi sekarang, pesta maksiat yang diadakan bagi sambutan tahun baharu, ini yang menyedihkan. Sekiranya dapat dilaksanakan perkara tersebut, mungkin kegiatan maksiat dapat dielakkan,” katanya kelmarin.

Kata beliau, walaupun sebelum ini kerajaan pernah mengadakan program ceramah agama pada setiap kali malam tahun baharu, namun malangnya tidak mendapat sambutan.

Kerana kerajaan mesti patah semangat dengan usaha murni itu?

Sepatutnya kerajaan memupuk kembali apa yang telah kita tinggalkan supaya dapat mengembalikan suasana sambutan tahun baharu yang lebih keagamaan.

Ajar rakyat supaya mereka lebih mendekatkan diri dengan keagamaan supaya mereka tidak terlalu terdedah dengan aktiviti maksiat.

Dr Zaharuddin - sambutan tahun baharu sepatutnya mengingatkan kita tanggungjawab yang telah lepas dan apa yang perlu diperbaiki
Bagi Murshid, sambutan yang diselangi dengan konsert dan pertunjukan bunga api bukan saja tidak bersesuaian dengan landasan agama, malah dilihat tidak sensitif dengan keresahan rakyat yang berdepan dengan kenaikan kos sara hidup.

“Dari sudut Islam, sambutan tahun baharu sepatutnya mengingatkan kita tanggungjawab yang telah lepas dan apa yang perlu diperbaiki

Dalam konteks itu, sudah tentu program meningkatkan kesedaran seperti kuliah agama perlu diutamakan. “Lebih-lebih lagi rakyat bakal berdepan dengan kenaikan kos sara hidup tahun depan. Jika tahun baharu disambut dengan pertunjukan bunga api, seolah-olah tidak peka dengan keresahan orang ramai,” kata Dr Zaharuddin.

Yang penting dipertimbangkan kerajaan ialah, setiap program yang diadakan perlu mengandungi pengisian yang dapat meningkatkan kualiti pemikiran masyarakat.

“Jika selama ini syarikat korporat menaja bunga api, mungkin mereka boleh mengubah tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu kepada program selawat, nasyid atau doa selamat.

“Program juga tidak semestinya berbentuk keagamaan, tetapi boleh dipelbagaikan seperti ceramah motivasi dan pengurusan kewangan. Kita mahu agar tahun baharu bukan sekadar sambutan, tetapi dapat mengajak masyarakat ke arah lebih baik,” katanya.

Cara demikian juga boleh mengurangkan masalah sosial yang sering dikaitkan dengan sambutan tahun baharu

Pertanyaan penting – APAKAH PEMIMPIN KERAJAAN TIDAK MERUJUK KEPADA PENDAPAT DAN PANDANGAN AGAMAWAN DALAM PERKARA INI?

Seperti kata Harrusani kerajaan sepatutnya bertemu dengan ketua semua agama dan mengarahkan mereka mengadakan program keagamaan di rumah ibadat masing-masing.

“Sekiranya kerajaan serius, rasanya boleh berbincang perkara ini dengan ketua agama masing-masing. Kita juga menunggu berita yang menggembirakan supaya tiada lagi pesta maksiat. Kalau mahu pun untuk menyambut tahun baharu, mungkin tidak perlu sambutan yang melalaikan kerana akan mendekatkan dengan perkara yang tidak baik,” tegas Harussani.