Monday, July 2, 2012

PAS BIMBANG SABOTAJ, TARIK BALIK SALAHUDDIN SEBAGAI MB JOHOR

 

"Salahuddin ke Johor bukan sebab dia dihantar balik ke negeri ini. Dia ditendang oleh Pas Kelantan. Saya ingin tanya pada dia (Salahuddin) yang mahu datang ke Johor, apa dia sudah buat di Kubang Kerian? Maju sangat ke Kubang Kerian sehingga mahu datang dan menjaga Johor? Kalau di Kubang Kerian dia tidak boleh jaga, macam mana orang Johor boleh nak serahkan pentadbiran Johor kepada dia." - Razali Ibrahim, 
Naib Ketua Pemuda UMNO

Hari itu calon Menteri Besar Johor. Hari ini tidak pula!

Itulah nasib Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub.

Dia kini terumbang ambing dan kelmarin sudah secara rasmi dihantar ke Johor.

Tidak apalah demi polimik politik, katakan PAS menang di Johor (tidak mungkin berlaku pada PRU13), siapa lagi calon Menteri Besar?

Tidak berani confirm Salahuddin,  takut akan berlaku sabotaj?

Penyokong PAS Johor pastinya tertanya-tanya kenapa Salahuddin, bukan Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Mahfodz Mohamed?

Atau nama-nama lain yang mungkin lebih baik dan diterima rakyat Johor? Ketika ini Salehuddin akan tumpukan kerjanya di Johor.

Apa jadi dengan pengundi di Kubang Kerian Kelantan? Pandai-pandailah ‘orang nak hidup’. Tempoh sebelum pilihan raya umum ini wujud ‘vacuum’ kepimpinan PAS di Kubang Kerian.

Itu memang cara PAS…dapatkan sokongan rakyat dan tinggal seperti perangai sesetengah pemimpin PAS yang kahwin tetapi abaikan isteri!

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin mengesahkan Salahuddin akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tetapi bukan calon Menteri Besar.

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pas belum lagi mencalonkan mana-mana pemimpin daripada parti itu untuk jawatan tersebut, sebaliknya lebih menumpukan gerak kerja untuk merampas negeri itu daripada Barisan Nasional (BN).

Seperti tidak yakin dan untuk tidak memalukan SaLahuddin, Hadi mengatakan PAS belum calon sesiapa untuk menjadi Menteri Besar Johor dan mahu menang dulu.

Salahuddin yang lahir di Kampung Serkat, Tanjung Piai, Pontian, berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Kerian pada PRU12 dan mengekalkan kerusi Naib Presiden Pas pada pemilihan parti itu pada Jun tahun lalu.

Selain namanya disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor, Salahuddin sebelum ini juga dikatakan dirisik agar bertanding Parlimen Pasir Mas di Kelantan, Titiwangsa (Wilayah Persekutuan) selain Dun di Johor bagi menghadapi PRU13.

Banyak pihak melihat Salahuddin ‘dihantar ke Johor’ kerana pemimpin PAS Kelantan mahu mengambil balik kerusi berkenaan.

Begitu juga dengan kerusi Parlimen Bachok yang kini dipegang bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa akan turut diambil balik.

Nasharuddin kini terpaksa mencari kerusi baru atau digugurkan terus. Desas-desus bertiup kencang bahawa Datuk Husam Musa akan ke kerusi Parlimen dan kerusi paling baik untuk beliau ialah Kubang Kerian, bukan Bachok.


Semalam,Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim mendakwa kepulangan Salahuddin untuk bertanding di Johor pada PRU13 kerana tidak diterima kepimpinan Pas di Kelantan.

“Saya ingin tanya pada dia (Salahuddin) yang mahu datang ke Johor, apa dia sudah buat di Kubang Kerian? Maju sangat ke Kubang Kerian sehingga mahu datang dan menjaga Johor?

Kalau di Kubang Kerian dia tidak boleh jaga, macam mana orang Johor boleh nak serahkan pentadbiran Johor kepada dia. “Salahuddin ke Johor bukan sebab dia dihantar balik ke negeri ini.

Dia ditendang oleh Pas Kelantan. Begitu juga dengan Nasharudin yang sedang mencari kerusi di Terengganu sedangkan dia Ahli Parlimen Bachok,” katanya.

Malam kelmarin, Salahuddin diserahkan secara rasmi kepada pimpinan Pas Johor pada Himpunan Hijau ke Putrajaya di Dataran Dahlia, Johor Bharu. Penyerahan Ahli Parlimen Kubang Kerian itu kepada Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Mahfodz Mohamed disempurnakan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan. Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa.