Friday, April 2, 2010

ANTARA MELAYU MUHYIDDIN & ‘MELAYU’ DALAM PERLEMBAGAAN

Apakah buruk sekali nama Melayu itu sehingga mahu dihapuskan gara-gara kerana ada 1Malaysia?

Apakah buruk sekali bangsa Melayu itu sehingga mahu diperhinakan sedemikian rupa dan jangan disebut apabila gagasan 1Malaysia dijulang?

Apakah salah jika orang Melayu mengatakan dia memang Melayu dan perlu mendahulukan Melayu dan Islam dalam tindak-tanduknya?

Persoalannya apa agenda pembangkang sehingga menimbulkan isu membandingkan Melayu dengan agenda 1Malaysia?

Ramai mungkin lupa bahawa perkara seperti ini sudah dijelaskan dengan nyata oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Pada 15 Jun tahun lalu, Najib dengan jelas menegaskan gagasan 1Malaysia adalah amat berbeza daripada konsep asimilasi yang diamalkan di negara lain, di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan bagi digantikan dengan satu identiti nasional baru.

Perdana Menteri berkata, konsep gagasan tersebut juga jauh berbeza daripada konsep Malaysian Malaysia parti pembangkang yang tidak bertunjangkan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya, menurut beliau, 1Malaysia secara tersurat dan tersirat kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti Perkara 3, 4, 152, 153 dan Bahagian 2 serta 3 yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, janganlah mana-mana pihak berasa khuatir atau menaruh syak serta bimbang bahawa konsep ini akan terpesong daripada apa yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh bapa-bapa negara suatu waktu lalu.

“Sebaliknya, 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.

“Malaysia menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum lain seadanya agar kita dapat hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara,” katanya menjawab soalan Datuk Halimah Mohd. Sadique (BN - Tenggara) pada sidang Dewan Rakyat pada hari tersebut.

Formula 1Malaysia akan terlaksana dalam dua aspek utama iaitu penerapan teras-teras perpaduan dan nilai-nilai aspirasi.

Teras-teras perpaduan:

*Penerimaan antara semua kaum dan rakyat Malaysia.

*Prinsip-prinsip kenegaraan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara
*Keadilan Sosial.

Nilai-nilai aspirasi merangkumi:

*Budaya kecemerlangan dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab.

*Budaya ketepatan dari segi menghormati waktu dan meningkatkan kecekapan.

*Keberanian untuk berinovasi dan meneroka peluang-peluang baru.

*Meritokrasi dalam memberikan tugasan kepada yang paling layak melaksanakannya berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan dasar negara.

*Kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada negara.

*Ketabahan mengharungi cabaran mendatang dan integriti dalam segala urusan dan transaksi.

Memanglah manusia seperti Lim Kit Siang sudah lama memperjuangkan konsep Malaysian-Malaysia. Namun selepas kegagalannya sekian lama dan tidak mendapat sambutan rakyat, apakah isu seperti ini mahu dipermainkan lagi.

Bukan Kit Siang sahaja berpandangan serong malah rakan akrabnya, Karpal Singh pula pernah mendakwa 1Malaysia ditiru daripada konsep Malaysian Malaysia.

Hakikatnya, kerajaan tidak langsung mencuri idea Malaysian Malaysia sambil menyatakan konsep itu jauh berbeza dengan idea DAP yang tidak berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Apabila melihatkan kepada pertikaian soal Melayu ini, siapa rasis sebenarnya?

Siapa yang tidak dapat menerima hakikat yang Melayu memang asal di Tanah Melayu dan Malaysia? Jelas jawapannya pembangkang seperti Kit Siang dan DAP.

Menghairankan rakan-rakan seperjuangan Kit Siang seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan rakan-rakan dalam PAS serta rakan-rakan mereka dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti ‘buta perut’.

Walaupun mereka Melayu tetapi kerana kepentingan kerjasama untuk menumbangkan Barisan Nasional, walaupun Melayu dipertikaikan, mereka diam macam ‘tikus dalam beras’. Menikus!

Apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencabar pembangkang membawa usul untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membuang perkataan "Melayu", ini sesuatu yang serius dan semua orang Melayu yang merasakan mereka Melayu harus sedar.

Kita bukan bangsa seperti American atau British yang walaupun kulit hitam legam sanggup mengakui mereka American atau British. Sebab? Tidak ada tempat lain di dunia ini akan menerima mereka!

Tetapi Melayu adalah daripada kepulauan Melayu dan yang datang ke sini ada sesetengahnya mengatakan mereka sudah Melayu, walaupun asalnya Arab, India, Cina atau Mat Salleh sendiri.

Kenapa Kit Siang tidak boleh fahami ini? Apakah ada tuntutan supaya Kit Siang mengatakan dirinya Melayu?

Nazri terpaksa melontarkan cabaran itu kepada Kit Siang kerana mempersoalkan keseriusan kerajaan melaksanakan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kit Siang mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri tidak menyokong gagasan tersebut apabila sering mengeluarkan kenyataan yang mendahulukan bangsa Melayu.

"Gagasan 1Malaysia ini berpaksikan Perlembagaan dan kalau Yang Berhormat nak bangkitkan perkara-perkara yang disebut oleh Timbalan Perdana Menteri tadi, yang pertama sekali Yang Berhormat kena serang ialah Perlembagaan Malaysia.

"Dalam Perlembagaan Malaysia disebut Melayu...jadi bermakna apa juga yang kita buat dalam gagasan 1Malaysia tidak boleh membelakangkan apa yang telah dijaminkan dalam Perlembagaan.

"Tetapi kalau rakan-rakan Yang Berhormat Melayu yang lain sebelah pembangkang sana merasakan perlu kita pinda Perlembagaan, buang perkataan 'Melayu', buatlah, runding-runding bawalah usul, supaya kita boleh pinda Perlembagaan," katanya.

Nazri menyatakan perkara ini ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Parlimen.

Justeru itu, Mohamed Nazri berkata, gagasan 1Malaysia perlu dilaksanakan dengan mengambil kira batasan yang wujud dalam Perlembagaan khususnya berhubung hak-hak keistimewaan orang Melayu.

"Itu tidak boleh kita ketepikan kerana kalau tidak, ia akan merupakan anti perlembagaan atau menentang perlembangaan, jadi sebab itu Yang Berhormat, kalau ada 1Malaysia pun, kita tak boleh ketepikan jaminan yang sudah kita beri kepada warga Malaysia," katanya.

Beliau berkata, ini juga tidak bermakna dengan slogan 1Malaysia, kerajaan boleh mengambil tindakan menutup sekolah aliran China dan Tamil kerana perkara tersebut sudahpun dijamin dalam Perlembagaan.

"1Malaysia tidak boleh menjejaskan apa-apa juga hak yang telah kita ada, wujud dan diberikan kepada kita.

"Jadi, jika Yang Berhormat kata bila buat gagasan 1Malaysia maknanya semua kena menampakkan 1Malaysia, tak bolehlah Yang Berhormat sebab kita ada Perlembagaan," katanya.

Bagaimanapun, Mohamed Nazri berkata, kerajaan masih boleh melaksanakan gagasan 1Malaysia di mana yang boleh asalkan tidak menyentuh hak dan keistimewaan yang disebut dalam Perlembagaan secara langsung.

BELANG KIT SIANG 'MALAYSIA DAHULU'

Oleh Marhaini Kamaruddin (Utusan Malaysia, 1 April 2010)

MINGGU ini, Lim Kit Siang menjerit lagi. Kali ini beliau mencabar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sekiranya gagal membuktikan beliau berpendirian "Malaysia dahulu, barulah Melayu" (Malaysian first, Malay second).

Ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan diraja minggu pertama sidang Parlimen penggal ketiga, Penasihat DAP itu telah pun mengemukakan cabaran yang sama. Kononnya beliau sedia menyokong gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Namun seperti biasa, sokongan itu bersyarat. Beliau mahu kerajaan bersetuju konsep 1Malaysia adalah gagasan yang berlandaskan ketuanan rakyat Malaysia dan bukannya ketuanan Melayu.

"Adakah Najib, Muhyiddin dan semua pemimpin UMNO bersedia berdiri dan mengumumkan bahawa mereka adalah rakyat Malaysia dahulu dan Melayu kemudian?

"Saya mengumumkan di sini bahawa saya seorang rakyat Malaysia dahulu, Cina kemudian. Adakah setiap menteri BN sanggup membuat perisytiharan yang sama?" jerit Kit Siang pada masa itu.

Ucapan Ahli Parlimen Ipoh Timur itu mengenai konsep "Malaysia dahulu, kaum kemudian" memang manis bunyinya.

Sesiapa yang tidak biasa mendengar beliau berucap atau baru berjinak-jinak dalam politik dan penuh dengan idealisme, akan mudah terpesona dan digula-gulakan dengan ucapan beliau.

Retorik pengumuman Kit Siang kononnya beliau orang pertama yang akan menyokong konsep 1Malaysia jika kerajaan sanggup mengaku yang ia berlandaskan 'Malaysia dahulu, kaum kemudian' tersingkap tanpa perlu menunggu lama. Menghampiri penghujung ucapan perbahasannya, belang beliau terserlah.

Tatkala menyentuh isu penggiliran Ketua Menteri Sabah, pendokong gagasan Malaysian Malaysia yang kini dijenamakan semula sebagai Middle Malaysia itu menyerlahkan perjuangan politik perkaumannya. Kit Siang yang baru sahaja melaungkan kononnya dialah rakyat Malaysia tulen yang sanggup meletakkan kaumnya di tempat kedua, tanpa rasa bersalah pula mempersoalkan latar belakang kaum yang menduduki kerusi Ketua Menteri Sabah.

"Dalam 16 tahun sejak 1994, jawatan Ketua Menteri Sabah telah dipegang oleh masyarakat Kadazan selama sembilan bulan, Cina selama empat tahun dan UMNO selama 11 tahun," katanya berulang kali.

Jika benar bagi Kit Siang, "Malaysia dahulu, kaum kemudian" atau "Malaysia nombor satu, Cina jatuh nombor dua", kenapa soal kaum mana yang menjadi ketua menteri hendak dipolitikkan?
Dengan tindak-tanduk tak serupa bikin beliau itu, tidak hairanlah jika cabaran yang dibuatnya terhadap Muhyiddin dilihat sebagai cabaran bermuslihat. Sokongannya terhadap konsep 1Malaysia juga sokongan bermuslihat.

Semalam, Muhyiddin telah pun menjawab cabaran beliau. "Saya tetap Melayu dahulu," tegasnya. Dan Muhyiddin menjelaskan pendiriannya itu tidak bermaksud beliau rasis dan mempertikaikan semua hak kaum lain.

Namun kita percaya, penjelasan Muhyiddin itu tidak penting bagi Kit Siang. Kerana yang penting bagi pemimpin pembangkang itu ialah dia telah mendapat satu lagi bahan untuk dimanipulasikan.