Friday, April 2, 2010

BELANG KIT SIANG 'MALAYSIA DAHULU'

Oleh Marhaini Kamaruddin (Utusan Malaysia, 1 April 2010)

MINGGU ini, Lim Kit Siang menjerit lagi. Kali ini beliau mencabar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sekiranya gagal membuktikan beliau berpendirian "Malaysia dahulu, barulah Melayu" (Malaysian first, Malay second).

Ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan diraja minggu pertama sidang Parlimen penggal ketiga, Penasihat DAP itu telah pun mengemukakan cabaran yang sama. Kononnya beliau sedia menyokong gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Namun seperti biasa, sokongan itu bersyarat. Beliau mahu kerajaan bersetuju konsep 1Malaysia adalah gagasan yang berlandaskan ketuanan rakyat Malaysia dan bukannya ketuanan Melayu.

"Adakah Najib, Muhyiddin dan semua pemimpin UMNO bersedia berdiri dan mengumumkan bahawa mereka adalah rakyat Malaysia dahulu dan Melayu kemudian?

"Saya mengumumkan di sini bahawa saya seorang rakyat Malaysia dahulu, Cina kemudian. Adakah setiap menteri BN sanggup membuat perisytiharan yang sama?" jerit Kit Siang pada masa itu.

Ucapan Ahli Parlimen Ipoh Timur itu mengenai konsep "Malaysia dahulu, kaum kemudian" memang manis bunyinya.

Sesiapa yang tidak biasa mendengar beliau berucap atau baru berjinak-jinak dalam politik dan penuh dengan idealisme, akan mudah terpesona dan digula-gulakan dengan ucapan beliau.

Retorik pengumuman Kit Siang kononnya beliau orang pertama yang akan menyokong konsep 1Malaysia jika kerajaan sanggup mengaku yang ia berlandaskan 'Malaysia dahulu, kaum kemudian' tersingkap tanpa perlu menunggu lama. Menghampiri penghujung ucapan perbahasannya, belang beliau terserlah.

Tatkala menyentuh isu penggiliran Ketua Menteri Sabah, pendokong gagasan Malaysian Malaysia yang kini dijenamakan semula sebagai Middle Malaysia itu menyerlahkan perjuangan politik perkaumannya. Kit Siang yang baru sahaja melaungkan kononnya dialah rakyat Malaysia tulen yang sanggup meletakkan kaumnya di tempat kedua, tanpa rasa bersalah pula mempersoalkan latar belakang kaum yang menduduki kerusi Ketua Menteri Sabah.

"Dalam 16 tahun sejak 1994, jawatan Ketua Menteri Sabah telah dipegang oleh masyarakat Kadazan selama sembilan bulan, Cina selama empat tahun dan UMNO selama 11 tahun," katanya berulang kali.

Jika benar bagi Kit Siang, "Malaysia dahulu, kaum kemudian" atau "Malaysia nombor satu, Cina jatuh nombor dua", kenapa soal kaum mana yang menjadi ketua menteri hendak dipolitikkan?
Dengan tindak-tanduk tak serupa bikin beliau itu, tidak hairanlah jika cabaran yang dibuatnya terhadap Muhyiddin dilihat sebagai cabaran bermuslihat. Sokongannya terhadap konsep 1Malaysia juga sokongan bermuslihat.

Semalam, Muhyiddin telah pun menjawab cabaran beliau. "Saya tetap Melayu dahulu," tegasnya. Dan Muhyiddin menjelaskan pendiriannya itu tidak bermaksud beliau rasis dan mempertikaikan semua hak kaum lain.

Namun kita percaya, penjelasan Muhyiddin itu tidak penting bagi Kit Siang. Kerana yang penting bagi pemimpin pembangkang itu ialah dia telah mendapat satu lagi bahan untuk dimanipulasikan.

No comments:

Post a Comment