Friday, October 16, 2015

MAAF ZAM – KAPAL NAJIB TIDAK AKAN TENGGELAM, KARAM


‘Kapal’ Najib tidak akan tenggelam. Andaian ZAM (Tan Sri Zainuddin Maidin) jauh tersasar!

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bukan calang-calang nakhoda. Dia nakhoda UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Biarpun kini sedang dilanda badai dan taufan yang kuat, kapal yang dinakhodakan itu sama sekali tidak akan tenggelam.

Najib mempunyai ramai pembantu yang setia dan kuat. Ahli Majlis Tertinngi dan Ketua Bahagian UMNO bukan dilantik tetapi dipilih.

Bermakna mereka sudah melalui ujian dan berjaya.

Cumanya mereka ini bukan seperti Datuk Saifuddin Abdullah yang meninggalkan parti itu kerana kononnya tidak mahu ‘karam’ bersama.

Andaian bekas Menteri Penerangan itu  yang menjangkakan lebih ramai ahli UMNO akan menjejaki langkah Saifuddin TIDAK BENAR dan TIDAK AKAN BERLAKU.

ZAM seolah-olah melihat Saifuddin sebagai pemimpin besar. Atau ZAM cuba mempengaruhi pendapat awam untuk tinggalkan UMNO?

Ketika ini, kalaupun mereka bersuara menentang Najib tetapi mereka tidak mahu parti lawan memerintah negara ini.

Sebagai bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia, tidakkah ZAM membaca kenyataan pemimpin yang mengkritik Najib?

Mereka hanya tidak mahu Najib terus menjadi Perdana Menteri, bukan mahu UMNO dan BN kalah dalam pilihanraya umum ke 14 nanti. Itu saja.

Baca elok-elok kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Afdal, waima Tan Sri Sanusi Junid!

Kata Sanusi yang juga bekas Setiausaha Agong UMNO, mereka mahu Najib berundur tetapi BN kekal memerintahnegara ini.


Selain itu, besar mana sangat pengaruh Saifuddin?

Saifuddin boleh memberikan pelbagai alasan kerana tinggalkan UMNO termasuk tidak puas hati dengan cara kerajaan mengendalikan skandal 1MDB.

Saifuddin juga berkata tindakannya keluar parti adalah disebabkan kerana tiada tindakan yang dikenakan terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak berhubung wang yang dideposit ke akaun peribadinya berjumlah RM2.6 bilion.

Selain itu, katanya,  dia mahu masuk BN pada 1986 tetapi tiada sistem yang terus boleh jadi ahli BN.”Jadi saya perlu masuk salah satu parti komponen dahulu. Sebab itu, saya dah beberapa kali menyuarakan seseorang itu boleh jadi ahli BN dan bukan parti komponen. Tetapi UMNO tetap berkeras mahu memakai sistem lama.”

Apakah UMNO perlu menukar sistem dan perlembagaannya hanya kerana memenuhi hasrat Saifuddin.


Katanya :"Hari ini politik tawar menawar contohnya seperti UMNO jaga Melayu, MCA jaga Cina dan MIC jaga India. Konfigurasi politik tersebut hanya sesuai pada masa tertentu.Tetapi masa sudah berubah. Mereka mahu politik yang lebih multiracial. Dalam konteks ini ada parti dalam BN cuba tetapi tidak berjaya.”
  
Baguslah jika beliau merasakan di luar UMNO dan BN boleh memperjuangkan cita-citanya. Selamat Maju Jaya.

Mungkin dia akan diberikan kedudukan atau apa-apa yang dicarinya.

Namun beliau patut dengar nasihat bekas menteri UMNO,  Datuk Zaid Ibrahim bahawa sebagai  ahli terbaru PKR Saifuddin perlu  mempelajari selok-belok menjadi seorang pembangkang tanpa terburu-buru.

Zaid yang telah berada bersama UMNO dan juga PKR menasihatkan bahawa ‘penghijrahan’ itu bukan persembahan rodeo.

Sebelum ini Saifuddin ‘bernafas’-  selepas kalah pilihan raya - mengetuai Gerakan Moderate Global sebuah badan keamanan dunia.

Bukankah badan itu diilhamkan oleh Najib ketika ucapannya pada sidang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 2010?

Dengan kata lain, selama ini dia minta ‘nyawa politik’ atau mungkin menggadailan kehidupannya dengan UMNO dan Najib.

Kalau tidak kalah di Parlimen Temerloh dan mungkin kekal sebagai Timbalan Menteri, Saifuddin tidak akan mudah tinggalkan ‘nikmat’ yang dikecapinya selama ini.

Saifuddin bernasib baik dilantik jadi Timbalan Menteri tetapi nasibnya tidak baik kalah pilihan raya.

Lainlah kalau sebelum pilihan raya umum lalu dia tinggalkan UMNO, adalah sedikit ‘weight’ untuk dia mengatakan masih popular dalam UMNO.

Saya tidak mengatakan Saifuddin sebagai liabilitiseperti Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, namun memang kadangkala ada menyusahkan UMNO.

Malah saya tidak bersetuju dengan bekas bos saya, Tengku Adnan yang menyifatkannya sebagai ‘sampah’ dalam UMNO. Mungkin ada yang baik disumbangkan oleh beliau.

Cumanya, gelihati bila membaca kenyataan ZAM bahawa "Saifuddin nampak pengaruh Najib semakin terhakis, jadi beliau melompat sebelum kapal tenggelam. Saya berpendapat lebih ramai akan melompat sebelum kapal UMNO karam,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pendapat ini wajar disanggah. ZAM bermain dengan andaian apabila menyebut lebih ramai akan melompat sebelum kapal UMNO karam

Kenapa mesti melompat?

Kenapa tidak gantikan dengan nakhoda baru atau sama-sama menyelamatkan kapal daripada karam.

Selepas itu semua boleh runding. Buatlah keputusan terbaik untuk UMNO.

Laipun, dalam UMNO, mereka yang setia dan sanggup berjuang bukan perangai seperti Saifuddin.

Mereka setia kepada parti kerana jasa dan perjuangan UMNO. Bukan sangat kerana pemimpinnya.


Pemimpin datang dan pergi.

Kalau Najib tiada, orang lain ada. Syaratnya UMNO terus berbakti dan menjamin sokongan rakyat untuk menang pilihan raya.

Kata ZAM lagi tindakan Saifuddin meninggalkan UMNO memberi kesan lebih buruk kepada Najib berbanding UMNO.

Tidak sekali-kali. Tidak terguris pun Najib. Kalau tokoh lain yang berwibawa tinggalkan UMNO, mungkin juga tetapi tidak Saifuddin.

Menggunakan isu Saifuddin keluar UMNO untuk mengkritik Najib rasanya tidak kuat dan andaian yang sangat meleset.

Menurut Zainuddin, tindakan ahli beramai-ramai meninggalkan UMNO akan menjejaskan parti tetapi pada masa yang sama beliau yakin tindakan itu bakal menyaksikan mereka bersatu pada kemudian hari.

Hakikatnya, Saifuddin bukan Ketua UMNO Bahagian pun.

Hiraki dalam UMNO ialah, ia banyak bergantung kepada keputusan Ketua Bahagian dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO sendiri. Mereka inilah yang menentukan sama ada mahu memecat atau mengekalkan Najib.

Yang lain semuanya ‘ikan bilis’ yang tidak mempunyai apa kuasa pun untuk melemahkan UMNO.

Pengikut UMNO sangat setia dengan pemimpinnya bak pepatah ‘Pantang Melayu Menderhaka’. Jadi? Maaflah ZAM, andaian anda untuk kali ini jauh tersasar!!!!