Monday, August 31, 2009

SABOTAJ PARTI DIHALALKAN OLEH UMNO?



Ternyata ramai pemimpin UMNO kini takut kepada bayang-bayang sendiri.

Walaupun ada anggota dan pemimpin parti yang jelas nampak mensabotaj parti, pucuk pimpinan di Pusat membiarkan sahaja mereka bebas dengan kerenah.

Apakah UMNO akan kekal kuat atau menuju kehancuran dengan wujudnya ahli dan pemimpin UMNO seperti ini?

Apakah perbuatan mensabotaj parti itu bebas dilakukan kerana ia dihalalkan berikutan mendapat perlindungan segelintir pemimpin tinggi UMNO yang langsung tidak bimbang parti itu akan ranap?

Atau apakah ketika dan saat ini, perbuatan mensabotaj pemimpin tertentu UMNO sebagai “matlamat menghalalkan cara” pada keadaan tertentu atau terpilih?

Sedangkan dengan mempunyai ahli dan pemimpin seperti itu, UMNO akan ranap juga secara perlahan dan apabila ‘sekam yang membakar mula mengeluarkan api” dan sukar untuk dibendung lagi.

Malah, api inilah yang akan membakar dan merentungkan UMNO.

Inilah yang terjadi di Terengganu ketika ini.

Walaupun terang-terangan ada pemimpin UMNO yang mensabotaj parti, pemimpin UMNO pusat seolah-olah tidak boleh berbuat apa-apa.

Dengan kata lain, cara mendisiplin ahli UMNO sudah tidak wujud lagi dan jika sudah mahu berlaku, biarkan ia berlaku. Yang penting pemimpin tertinggi UMNO kekal di tampuk kedudukan mereka.

Yang di cawangan, bahagian atau negeri, pandai-pandailah mereka menyelesaikan sendiri.
Lantas banyak pihak tertanya-tanya apakah krisis atau sengketa yang berlaku dalam UMNO Terengganu sekarang dirancang atau direstui sesetengah pemimpin UMNO Pusat.

Kata mereka, kalau betul UMNO Pusat mahu menyelesaikan krisis, tindakan yang menjurus kepada mendisiplinkan ahli parti perlu dilaksanakan. Namun usaha kini jelas bagaikan ‘biarlah UMNO Terengganu ranap sendiri’.

Selepas Datuk Ahmad Said diserang dan dikecam hebat, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dianggap mampu sebagai penyelamat UMNO Terengganu?

Namun itu kata UMNO Pusat. Bagi mereka yang marahkan Ahmad Said, Hishamuddin bukan orangnya. Dia ‘tidak reti’ politik Terengganu. Terengganu bukan Johor, kata bekas Exco dan ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid.

Menurut Rosol melalui blognya, dengan tajuk “Lain padang…lain belalang” , beliau mempertikaikan kefahaman dan keupayaan Hishamuddin mengenai politik Terengganu.

“Saya tidak tahu sejauhmana kefahaman Pengerusi Perhubungan tentang senario politik Terengganu. Kalu nak disamakan dengan politik Johor, saya rasa satu kesilapan. Saya bercakap dengan orang kuat UMNO Johor bahawa orang Melayu Johor amat taksub kepada UMNO. Dan ini berbeza dengan Terengganu...” kata Rosol.

Lantas beliau menamatkan tulisannya dengan mengatakan: “Lain hulu lain parang...lain padang lain belalang...Fikir-fikirkanlah...”

Apakah makna tersirat di sini? Bukankah Rosol mentafsir Hishamuddin sebagai orang yang menyamakan UMNO Terengganu dengan UMNO Johor?

Rosol yang sering menjadi jurucakap Kumpulan 10 yang menentang kepimpinan Ahmad Said jelas mempersoal dan merasakan Hishamuddin ‘belum masak’ dengan suasana di Terengganu.

Malah Kumpulan 10 sebenarnya mempertikaikan usaha Hishamuddin memperbetulkan perjalanan UMNO selepas Majlis Tertinggi UMNO menurunkan pangkat Ahmad Said hanya sebagai Timbalan Pengerusi UMNO.

Bukan itu sahaja, Hishamuddin turut dipersoal tindakannya menukarkan ketiga-tiga penjawat penting Perhubungan UMNO termasuk Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan tetapi tidak melantik orang daripada Kumpulan 10 berkenaan.

Suara protes dan tidak puas hati terus kedengaran. Mereka sebenarnya mahukan Ahmad Said bukan sahaja dikeluarkan daripada pentadbiran parti tetapi juga pentadbiran kerajaan negeri – melucutkan jawatan Menteri Besar.

Oleh kerana Najib dan Hishamuddin jelas tidak melakukan perkara sedemikian, rasa tidak puas hati mereka terus membara.

Tidak tahulah sama ada Rosol betul atau sebaliknya apabila berpendapat Hishamuddin tidak ‘mengenali UMNO Terengganu’.

Ini kerana ketika Hishamuddin mengatakan krisis UMNO Terengganu sudah ‘beres’, Presiden UMNO sendiri - Datuk Seri Mohd Najib Razak - pula menganggap masih wujud pergolakan di negeri berkenaan dan perlu diperbetulkan.

Pada Jumaat 28 Ogos 2009, Najib berkata, Umno sedang berusaha untuk mententeramkan pergolakan politik parti itu yang berlaku di Terengganu.

"Kita sedang berusaha untuk mententeramkan keadaan," kata Presiden Umno ketika diminta mengulas mengenai pergolakan Umno yang berlaku di Terengganu pada masa ini.

Juga mengejutkan ialah apabila seorang ADUN UMNO Terengganu kelmarin mengakui memang ada rundingan melibatkan beberapa orang wakil rakyat lain daripada UMNO berhubung cadangan untuk lompat parti.

ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad berkata cakap-cakap mengenai tindakan untuk meninggalkan Umno bermula sejak dua bulan lalu, berikutan rasa tidak senang dengan kepemimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

"Ini bermula daripada cadangan. Cadangan ini ada daripada PKR dan ada daripada individu," katanya kepada Malaysiakini, tanpa menamakan individu-individu berkenaan.

Beliau turut mengesahkan terdapat sembilan orang wakil wakyat Umno yang kini tidak lagi menyokong kepimpinan ADUN Kijal.

"Memang betul kami tidak berpuas hati dengan menteri besar," kata Nawi lagi.

Memang niat tanpa perbuatan tidak boleh dijadikan sebagai suatu keputusan atau pendirian.

Namun persoalannya kenapa ada niat atau cadangan mahu melompat parti? Apakah jalan lain sudah buntu?

Atau apakah Kumpulan 10 ini sudah tidak yakin dengan UMNO Pusat mampu menangani krisis ini?

Atau mereka sengaja mempersoalkan arahan Presiden parti yang memberikan mandat kepada Naib Presiden mengatasi kemelut ini.

Juga apakah Najib ‘terikat tangannya’ untuk melakukan sesuatu bagi ‘menjernihkan suasana’ di Terengganu?

Dalam konteks UMNO Terengganu, rasanya Najib faham di mana dan bagaimana dia boleh bertindak dan apa pula tembok yang menghalangnya.

Bagi saya, Hishamuddin pun faham kenapa ‘tangannya terikat’ dan cara terbaik baginya ialah mengikut arahan Presiden parti dan UMNO Pusat.

Masalahnya, kumpulan yang tidak berpuashati itu berusaha melakukan apa sahaja cara, biarpun nampak jelas mereka terpaksa ‘mensabotaj UMNO’. Persoalannya:

1. Bukankah memulaukan sidang DUN pada 14 April lalu bersifat mensabotaj parti?

2. Bukankah menyerang dari belakang terhadap Menteri Besar yang dipersetujui Majlis Tertinggi dan Presiden UMNO mensabotaj parti?

3. Bukankah membisu seribu bahasa pada sidang DUN April serta Selasa dan Rabu minggu lalu dengan tidak mengemukakan pertanyaan lisan dan menyertai perbahasan kerana ‘protes senyap’ juga mempunyai unsure sabotaj terhadap UMNO dan Barisan Nasional? dan

4. Bukankah menentang keputusan istana melantik Ahmad Said sebagai Menteri Besar adalah sabotaj dan engkar kepada keputusan Sultan?

5. Ini belum lagi beberapa perkara berkaitan sms ugut bunuh dan memulaukan pertemuan dengan Ahmad Said pada majlis-majlis tertentu.

Cuma agak menghairankan ialah bagaimana pemimpin pusat UMNO dan Putrajaya boleh membiarkan mereka yang menentang kepimpinan kerajaan negeri UMNO dan BN yang diperkenankan oleh istana Terengganu itu terus-terusan melakukan sabotaj sedemikian?

Apakah UMNO Pusat dan Putrajaya bimbang jika tindakan diambil ke atas sekurang-kurangnya 10 ADUN, UMNO Terengganu akan bergoncang secara terang?

Mungkinkah UMNO Pusat dan Putrajaya tidak sanggup berdepan dengan kemungkinan perletakan jawatan beramai-ramai atau tindakan lompat parti dilakukan oleh ADUN yang dikenakan tindakan?

Mahu tidak mahu UMNO Pusat dan Putrjaya mengharapkan biarpun ada ‘api dalam sekam”, ia mudah untuk dipadamkan daripada berlakunya ‘pemberontakan secara terbuka’ akibat tindakan disiplin yang dikenakan ke atas ADUN yang membantah, boleh menyebabkan ‘api besar’ yang mungkin mencetuskan pelbagai risiko berat.

Dalam konteks pergolakan ini, suatu keputusan membabitkan cara-cara mendisiplin ahli dan pemimpin perlu dilakukan.

Presiden UMNO, Timbalan dan semua pihak di UMNO Pusat perlu tegas dan tidak membiarkan kemelut berpanjangan.

Jadilah doktor - buang sahaja barah dan penyebab penyakit - selagi barah dalam UMNO Terengganu terus wujud, ia akan terus menganggu-gugat kelicinan pentadbiran parti dan kerajaan Terengganu.

Yang perlu diberikan amaran diberikan amaran dan yang perlu dikenakan tindakan disiplin, lakukan sahaja. Ini kerana UMNO tidak boleh kekal dan bertahan dengan ahli dan pemimpin yang sabotaj parti.

Sebarang keputusan dan tindakan dibuat, ia bukan untuk UMNO semata-mata. Ia juga akan menjaga dan menghormati istana yang pada dasarnya mempunyai kuasa dalam banyak perkara membabitkan perlantikan Menteri Besar yang sah.

Bagaimanapun, dalam melakukannya yang penting – bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus dan tepung jangan berserakan.

SIDANG DUN BAWAH POKOK LAGI KE?

Sivakumar dan Mohd Nizar dah buat hal pula. Sidang Dewan Undangan Negeri Perak apa pada Rabu ini (lusa)?

Pelik sungguh tindakan ADUN, Tronoh V. Sivakumar yang memanggil persidangan itu sedangkan beliau bukan lagi Speaker.

Mungkin dia tengah mabuk atau sengaja tidak mahu mengiktiraf bahawa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ketika ini ialah Datuk R. Ganesan.

Sungguh aneh apabila Adun Tronoh yang tidak mempunyai kuasa untuk memanggil sidang DUN berbuat demikian.

Lebih aneh ialah bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddinturut mengatakan sidang itu akan tetap diadakan Rabu ini walaupun disifatkan sebagai tidak sah oleh Speaker diiktiraf Barisan Nasional (BN).

Jelas Mohd Nizar, sidang DUN akan tetap diteruskan sebagimana telah dimaklumkan oleh V. Sivakumar "selaku Speaker yang sah" dalam notisnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang dan ADUN Pasir Panjang berkata Ganesan tidak boleh menghalang mana-mana ADUN daripada menghadiri sidang kali ini.

Ditanya kemungkinan akan ada usaha menghalang sidang yang dimaksudkan itu sebagaimana pernah disaksikan 3 Mac lalu, Nizar memberitahu, usaha sedang diambil oleh Sivakumar untuk mengelakkan suasana sedemikian, Mohd Nizar menjelaskan, Sivakumar sudah memohon kepada mahkamah agar dikeluarkan satu perintah bagi menghalang mana-mana pihak eksekutif daripada mengadakan halangan.

Permohonan itu telah dibuat baru-baru ini dan diharap keputusan akan diperoleh esok, katanya.
Sebenarnya masih jelas dalam kepala otak kita bahawa ADUN pembangkang daripada PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pernah mencuba mengadakan persidangan Dewan pada Mac lalu.

Mereka telah tidak dibenarkan masuk ke dewan dan akhirnya 28 Adun terbabit mengadakan persidangan di kawasan lapang berhampiran dan episod itu dikenali sebagai “Sidang DUN bawah pokok”.

Kali ini kalau tidak bawah pokok, bawah apa pula – jambatan?

Ramai semakin mengetahui peraturan bahawa mengikut peruntukan Artikel 36 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, menyebut kuasa memanggil sidang DUN adalah kuasa mutlak Sultan Perak.

Dengan perbuatan Sivakumar itu, jelas beliau bukan sahaja cuba mewujudkan keadaan tidak stabil di Perak tetapi bagaikan mencabar kuasa Sultan Perak.

Bagaimanakah orang seperti ini dibiarkan melakukan perbuatan sedemikian yang bukan sahaja memalukan dirinya tetapi turut palitkan istana dalam soal ini.

Sivakumar bukan tidak tahu bahawa sidang DUN perlu mendapat pengisytiharan Sultan Perak yang mana baginda sendiri akan menentukan tarikh, masa dan tempat persidangan seterusnya akan diwartakan mengikut Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak.

Dia juga tahu bahawa inilah amalan yang sewajarnya menjadi ikutan kini dan sebelum in. Namun keranapakh dia berani bertindak demikian?

Seharusnya rakyat Perak bangkit menentang perbuatan menentang atau membelakangkan Sultan Perak dengan mendesak suatu tindakan seharusnya dikenakan terhadap beliau.

Apakah orang Melayu Perak tidak sensitif dengan tindakan Sivakumar mencampuri urusan dan kuasa Sultan Perak itu?

Juga apakah Sivakumar merasakan dia berkuasa dan kuasanya setaraf Sultan Perak?
Tindakan Sivakumar melampau dan perbuatannya memanggil sidang DUN tanpa mendapat perkenan Sultan Perak boleh dianggap sebagai sebagai “rampasan kuasa”.

Bukankah ini penghinaan serta penderhakaan kepada institusi diraja Perak.

Ganesan tidak boleh mengertak atau mengugut untuk tidak teragak-agak mengambil tindakan mengikut peruntukan Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak terhadap Sivakumar atau pihak terbabit dalam “sidang DUN” pada Rabu ini.

Rakyat mahu melihat keputusan bukan amaran.

Yang pasti, Sivakumar terus “menyamar” dan bertindak sebagai YDP dengan memanggil sidang sedangkan DUN tidak pun bercadang untuk mengadakan persidangan pada tarikh berkenaan.

Sudah jelas bahawa berdasarkan kepada ketetapan dewan yang bersidang pada 7 Mei lalu antara lainnya, dengan suara majoriti telah melucutkan jawatan Adun Tronoh daripada jawatan Yang Dipertua dan selanjutnya melantik Ganesan sebagai Yang DiPertua yang baru,” katanya.

Berikutan itu semua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak tidak perlu menghadiri persidangan dewan yang dipanggil pada pada Rabu ini kerana arahan yang dikeluarkan adalah daripada sumber tidak sah.

Ganesan sendiri membuat laporan polis meminta siasatan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap Sivakumar berhubung perkara berkenaan.

Kenapakah UMNO, khususnya pemuda atau kumpulan pendesak di Perak yang menjunjung tinggi kedaulatan kesulatanan Perak masih berdiam diri?

Kenapakah membiarkan Sultan Perak terus dicerca sedemikian rupa?

Berapa lama lagikah rakyat Perak – khususnya orang Melayu di negeri itu – mahu membiarkan Sultan mereka dipersenda?

Mungkin benar seperti dicadangkan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali bahawa tindakan tegas menggunakan peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Perlu (Kes-kes Keselamatan) 1975 (ESCAR) adalah selayaknya bagi bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak itu.

Ini kerana perbuatan Sivakumar dengan mengeluarkan arahan untuk mengadakan sidang DUN Perak Rabu ini tanpa perkenan jelas merupakan penderhakaan terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Tegas beliau, kerajaan Barisan Nasional (BN) Perak termasuk Speaker barunya, Datuk R. Ganesan adalah sah secara demokrasi setelah diputuskan oleh baginda dan mahkamah.

"Ini bermakna perbuatan Sivakumar itu selain mencabar dan menderhaka kepada Sultan Azlan Shah kerana tidak terlebih dahulu mendapat perkenan baginda, beliau juga telah mencabar keputusan mahkamah itu,” katanya.

Kritikan nampaknya ditumpukan kepada Sivakumar. Bagaimana dengan Mohd Nizar yang turut menjadi ‘kembarnya’ dalam isu ini?

Sikap meroyan dan ‘gila’ Mohd Nizar dalam isu Menteri Besar dan kali ini membabitkan sidang DUN ‘bawah pokok’ sama sahaja dengan Sivakumar.

Apakah beliau boleh bebas begitu sahaja?

Peruntukan ESCAR pernah digunakan untuk mendakwa 29 anggota Al-Maunah pada 2000 yang merancang untuk mengkhianati negara dengan menentang kerajaan yang dipilih secara demokrasi.

Bagaimanapun dalam kes itu, pendakwaan dibuat secara terbuka mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melancarkan serangan terhadap Yang di-Pertuan Agong atau pemerintah atau Yang Dipertua Negeri yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.


1ISLAM, 1AL-QURAN LEBIH SELAMAT

Selamat menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia untuk semua.

Saya sambut merdeka tahun ini pada usia 55 tahun, tiga tahun lebih tua daripada usia kemerdekaan negara.

Saya menyokong penuh apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib melalui perutusan Hari Kemerdekaan ke 52 malam semalam bahawa rakyat perlu terus mengurus kejayaan dan membina di atas apa yang ada dengan membajai dan menyuburkan kerukunan yang terpupuk selama ini.

"Beringatlah, apa yang ada tidak semestinya akan bertambah baik malahan akan musnah jika rakyat tidak berwaspada. Buktinya, lipatan sejarah dunia yang sarat dengan catatan bahawa kejayaan yang tidak diurus dengan baik akan berakhir dengan kegagalan,” katanya.

Bagi saya, sambutan kali ini bukan kerana 1Malaysia semata-mata atau apa juga slogan tetapi di atas keikhlasan saya sebagai rakyat yang cintakan keamanan, perpaduan, kemakmuran dan akhir sekali menjamin Islam terus utuh di negara ini.

Kenapa saya katakan demikian?

Ini kerana Islam mampu menjamin kesejahteraan, keamanan, kemakmuran dan kesatuan berasaskan satu Tuhan dan satu kitab suci al-Quran.

Bagi saya Allah yang satu menjamin semua umat untuk hidup secara damai dan hormat menghormati sesama Islam antara antara Islam dan bukan Islam.

Kerana itu saya berpendapat UMNO sebagai teras dan tunjang kepada Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara ini perlu meletakkan Islam sebagai dasar pejuangan, kerana Islam adalah amalan dan anutan orang Melayu yang menekankan pentingnya perpaduan dalam kepelbagaian.

Apa lagi, Islam itu sendiri tidak pernah menafikan kepelbagaian sambil menekankan perpaduan yang menolak dan memerangi sebarang bentuk tindakan perkauman dan ekstrem.

Kesederhaan yang ditekankan Islam akan menjadikan UMNO sebagai wadah perjuangan orang Islam-Melayu diterima dan dibelai untuk sampai bila-bila.

Namun untuk mencapainya, pemimpin UMNO perlulah meletak dan mengamalkan Islam sebagai yang penting dalam perjuangan bagi diri dan UMNO – bukan sekadar retorik politik semata-mata.

Sebagai rakyat Malaysia, saya menjunjung Rukun Negara dan konsep 1Malaysia yang diterapkan kepada seluruh rakyat yang sewajarnya dijadikan sebagai satu resolusi untuk setiap sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan negara.

Namun lebih penting, apakah pemimpin UMNO bersedia untuk menegakkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang benar-benar menjadi contoh perpaduan, keamanan, kemakmuran dan kelestarian sejagat?

Jika UMNO dan BN gagal, peranan ini akan dimainkan oleh pihak lain dan jangan meratap jika UMNO semakin terpinggir kerana bukan sahaja ia tidak memahami aspirasi rakyat jelata tetapi hilang arah kerana UMNO itu dilahirkan untuk menjamin masa depan orang Melayu dan Islam ditegakkan sesuai dengan kedudukan sebagai agama rasmi negara.

MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA!

UMAT ISLAM BELANJA RM1.7B SEPANJANG RAMADAN, AIDILFITRI

Ramadan bulan bisnes di Malaysia. Ia menyumbang menggerakkan ekonomi dalam negara.
Sumbangan umat Islam kepada negara yang berbelanja sebanyak RM1,700 juta (RM1.7b) untuk berbuka dan persediaan hari raya adalah sesuatu yang perlu diberikan pengiktirafan.

Angka itu berdasarkan anggaran purata perbelanjaan RM100 bagi setiap individu Islam di negara ini yang kini mencecah kira-kira 16 juta orang, sama ada kos itu dikeluarkan individu terbabit atau pembelian kelengkapan untuk mereka ditanggung pihak lain melalui aktiviti amal jariah.

Ini belum dikira sumbangan zakat serta sumbangan lain sama ada oleh individu Islam atau syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan Islam seperti bank, persatuan dan badan-badan lain sepanjang Ramadan.

Kerana itu, rakyat Malaysia jangan melihat Islam sebagai membawa kemuduran sebaliknya memainkan peranan penting menggerakkan ekonomi dalam negara.

Perayaan Ramadan bukan sekadar menjadikan hotel ‘hidup’ dengan tempahan tetapi pusat beli belah membuat promosi selama sebulan – mengatasi perayaan lain seperti Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas atau juga promosi jualan murah ketika musim cuti sekolah yang selalunya selama seminggu.

Sementara bazaar Ramadan memberikan peluang untuk seluruh rakyat berniaga menjual pakaian, makanan dan kelengkapan lain. Setidak-tidaknya peluang ini dapat direbut oleh mereka yang berusaha mencari pendapatan lebih menerjunkan diri dalam alam perniagaan kecil-kecilan.

Perbelanjaan untuk Aidilfitri tahun ini dijangka meningkat sehingga 20 peratus berbanding tahun lalu berikutan kedudukan ekonomi negara yang semakin pulih hasil pelbagai program rangsangan ekonomi yang diperkenalkan kerajaan.

Profesor Ekonomi, Prof Dr Mohd Fauzi Mohd Jani, berkata rakyat akan berbelanja lebih sedikit untuk Aidilfitri kali ini kerana keadaan ekonomi semakin baik, selain pengguna tidak mempunyai bebanan lain selain persiapan hari raya.

Katanya, tahun lalu, sambutan Aidilfitri yang jatuh pada Oktober dikira sudah hampir penghujung tahun yang mana duit disimpan untuk menampung perbelanjaan bagi persiapan persekolahan anak-anak.


“Tahun ini, agak berbeza sedikit kerana pengguna semakin yakin dengan perkembangan ekonomi negara yang dalam proses pemulihan, selain banyak simpanan akibat kebimbangan mengenai krisis ekonomi yang melanda negara sejak akhir tahun lalu.

“Oleh kerana sesi persekolahan masih berjalan dan sesi baru lambat lagi iaitu kira-kira tiga bulan lagi, ramai yang akan berbelanja lebih sedikit berbanding tahun lalu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Prof Mohd Fauzi yang juga Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata perbelanjaan pengguna petanda yang baik untuk ekonomi negara terutama kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS).

Ahli Ekonomi Kanan Bank Islam Malaysia Bhd, Azrul Azwar Ahmad Tajudin pula berpendapat sambutan Aidilfitri kali ini sederhana berikutan majoriti penganut Islam dijangka berjimat cermat dalam keadaan ekonomi yang belum begitu stabil ketika ini.

“Pengguna dijangka membuat persiapan secara `ala kadar’ dan wang dikeluarkan hanya untuk perkara perlu - mungkin untuk sepasang pakaian baru, manakala kuih muih pula dibeli sekadar ‘cukup syarat’,” katanya.