Thursday, March 28, 2013

AMANAT HADI YANG MEMUNGKINKAN KEPADA BUDAYA MEMBUNUH SESAMA ISLAM DI MALAYSIA…


Kelmarin, 25 Mac 2013, bekas Perdana Menteri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan seluruh rakyat yang bermusuh dalam politik jangan sehinggga sanggup membunuh. Malah Dr Mahathir berharap, cara itu tidak menjadi budaya Malaysia.

Kenapa sampai begitu sekali ingatan dibuat oleh Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri dari 1981 hingga 2003?

Kepada siapa?


Perkara ini timbul selepas kenyataan terbuka bekas anggota PAS seumur hidup, Zainol Ismail yang berhasrat bertemu Dr Mahathir untuk memohon maaf kerana pernah merancang membunuh bekas perdana menteri itu pada 1988.

Dr Mahathir mengatakan beliau tidak sedar ada ada perancangan hendak bunuh beliau kerana ketika beliau ‘turun padang’ dan berjalan merata tempat, beliau tidak pernah rasa takut.

Dan hanya sekarang barulah beliau tahu ada orang hendak membunuh beliau.

Kenyataan ini mengundang pertanyaan, apakah benar Dr Mahathir tidak tahu sedangkan polis dan pihak keselamatan ketika itu berjaya menahan beberapa pemimpin PAS, selain mengawal ketat Dr Mahathir pada setiap majlis ‘turun padang’ beliau ke Kedah dan Kelantan.

“Saya tiada apa-apa, saya harap ini tidak menjadi budaya Malaysia. Di Malaysia kalau kita tidak bersetuju atau bermusuh dalam politik, tidaklah sampai tahap nak bunuh. Saya tiada masalah untuk maafkan dia, saya maaf orang lain juga kalau ada," demikian tegas Dr Mahathir kepada pemberita pada Forum Perdana 'Membina Peradaban Bangsa Melayu kelmarin.

Media tempatan kelmarin melaporkan Zainol atau lebih dikenali sebagai CN Afghani, pada Isnin, membuat pengakuan bahawa rancangan melakukan pembunuhan itu timbul, kerana terpengaruh dengan 'Amanat Haji Hadi' yang mendakwa Umno kafir.

Bukan setakat itu sahaja kerana ada pendedahan lain yang dibuat di PASir Puteh, Kelantan berkaitan komplot untuk menculik, mencederakan dan membunuh bekas Perdana Menteri, itu kerana ketaksuban mereka terhadap Amanat Haji Hadi yang menghalalkan pemimpin UMNO dibunuh.

Kumpulan pertama dikatakan merancang perkara itu pada 1988 untuk menculik dan membunuh Dr Mahathir manakala kumpulan kedua pula pada 1994, yang mahu melempar bom petrol ketika beliau melakukan lawatan di Semarak, di Pasir Puteh, Kelantan.


Selain Zainon, iaitu bekas EXCO Pemuda PAS Kedah, turut dikaitkan dengan isu mahu membunuh Dr Mahathir ialah oleh bekas Timbalan Ketua Keselamatan PAS Kelantan, Shaidi Hussin, 45 (gambar atas).

Beliau mendedahkan perkara itu kepada pemberita selepas menghadiri majlis Himpunan Selamat Tinggal PAS di Gaal, malam kelmarin. Zainon, penulis buku Kafirkah Aku mendakwa dia bersama lebih 30 orang yang semuanya ahli PAS, merancang untuk menculik dan seterusnya membunuh Dr Mahathir yang dianggap darahnya halal.

Beliau mahu bertindak demikian kerana menurutnya, sistem pilihan raya di Malaysia lambat untuk PAS mencapai kemenangan, lantas merancang untuk meramPAS kuasa atau membunuh Perdana Menteri pada masa itu.

Mereka turut menyediakan Kabinet bayangan dengan Hadi (Datuk Hadi Awang) sebagai Perdana Menteri.

“Bagi kami ketika itu membunuh Dr Mahathir adalah satu ibadat. Kami memahami sebegitu daripada Amanat Haji Hadi,” tegasnya.

Bagaimanapun, sebelum rancangan itu berjaya dilaksanakan pihak keselamatan dapat menghidu rancangan berkenaan dan sebahagian ahli kumpulan ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Zainon yang pernah ditahan mengikut ISA selama enam tahun dari 2001 hingga 2006 bagaimanapun menegaskan tidak memaklumkan mengenai rancangan itu kepada kepemimpinan atasan PAS ketika itu. Shaidi pula mendedahkan selePAS berlaku peristiwa pembunuhan di Memali pada 1985, beliau diarahkan oleh ketuanya untuk merancang membunuh Dr Mahathir.

Mereka merancang untuk melempar bom petrol yang dicampur dengan racun ketika lawatan Dr Mahathir di Semarak. Namun cubaan itu gagal kerana kawalan ketat oleh pihak keselamatan terhadap Dr Mahathir ketika itu.

“Ketika itu saya yakin saya benar kerana kepemimpinan PAS ambil sejarah Rasulullah dan membandingkan dengan sejarah perjuangan PAS. Di situ saya yakin sehingga sanggup untuk menyertai komplot membunuh Dr Mahathir, katanya yang mendakwa mendapat latihan ketenteraan di selatan Thailand,” tegasnya.

Menarik berkaitan isu ini ialah kenyataan Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman bahawa Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada tahun 1984 pernah melaporkan tentang kumpulan ekstremis PAS yang diwujudkan untuk membunuh Mahathir ketika itu.

Abdul Rahman yang bertugas sebagai pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Bernama ketika laporan itu disiarkan berkata maklumat bagi penghasilan laporan khas bertarikh 11 September 1984 nukilan wartawan Bernama itu diperoleh daripada sumber risikan agensi berita itu sendiri.


"Bernama dapat mengesan ancaman terhadap Dr Mahathir itu lebih awal daripada pembunuhan yang dirancang ingin dilakukan pada 1988," katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Bernama dalam laporan lain bertarikh 14 Sept 1984 menyiarkan reaksi Dr Mahathir terhadap ancaman itu, yang beliau telah mendapat tahu ura-ura PAS menubuhkan kumpulan untuk membunuh pemimpin Umno, namun menegaskan tidak mempunyai bukti tentang perkara itu.

Laporan khas pada 11 September itu juga mendakwa seorang daripada pemimpin PAS Kedah dikatakan pernah memberikan senarai lima tokoh Umno yang harus dibunuh demi menegakkan hukum Islam di negara ini.

Ditanya adakah isu ini ditimbulkan semula bagi meraih kepentingan politik, Abdul Rahman berkata setiap orang punya pendapat masing-masing, namun mengingatkan rakyat di negara ini supaya tidak memandang enteng tentang hal keselamatan negara.

"Dulu masa awal tragedi di Lahad Datu ada pihak yang tidak begitu memandang serius, malah ada individu yang menuduh ini permainan politik. Tetapi bila ia mengorbankan nyawa anggota keselamatan kita, baru semua orang pandang serius.

"Generasi kita sekarang tidak mengalami situasi yang dialami generasi terdahulu seperti ancaman komunis, mungkin kerana itu mereka kurang waspada tentang perkara seperti ini. Apapun masyarakat diharap tidak memandang remeh perkara sebegini," katanya.

Mengulas reaksi Dr Mahathir dalam laporan itu yang menyebut perjuangan PAS menjadi berbahaya setelah menukar kepimpinan, Abdul Rahman berkata kenyataan itu berasas kerana adanya pemimpin muda PAS seperti Abdul Hadi yang kini presiden PAS, juga pengasas pendapat ekstremis 'Amanat Haji Hadi'. "Abdul Hadi ketika itu pemimpin muda PAS yang punya pengikut sendiri terutama dalam kalangan golongan muda. Beliau seorang pemidato yang berani, membuatkan ramai yang terpengaruh," katanya.

Seperti biasa PAS akan menafikan semua ini. Tidak hairan jiga Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali semalam berusaha menempelak cubaan pihak-pihak tertentu mengaitkan PAS dengan pengakuan bekas ahli seumur hidup parti itu, Zainon Ismail yang mengaku pernah merancang untuk membunuh bekas Perdana Menteri itu.

Mustafa menyifatkan cubaan Zainon dan beberapa media membangkitkan semula isu 30 tahun lalu itu kerana sudah menjadi "alat Umno", beliau bagaimanapun meminta polis segera menyiasat kerana isu bunuh bukan perkara main-main.

"Ini 'rubbish'. Patut polis siasat dia (Zainon). Dia mengaku dia hendak bunuh (Dr) Mahathir. Pengakuan hendak bunuh orang ini berat," ujar Mustafa kepada Sinar Harian Online semalam.


Menyifatkan Zainon sebagai alat UMNO, Mustafa kata bekas pemimpin PAS itu boleh kata apa sahaja. “Bila UMNO suruh kata apa pun, mereka (Abdul Rahman dan Zainon) ini akan kata," bidas Mustafa lagi.

Isunya memang bukan pemimpin tertinggi PAS yang suruh melakukan pembunuhan namun bahaya ‘Amanat Hadi’ sudah jelas, apa lagi jika ada pengikut PAS yang taksub.

Walaupun sedar amanat itu sudah mendatangkan banyak kesan tidak baik namun Hadi tetap berdegil tidak mahu menarik balik amanat berkenaan.

Memburukkan keadaan ada pemimpin PAS yang mempertahankan amanat itu dan mengganggapnya sebagai ‘tiada apa’ walapun ternyata sesetengah masyarakat Islam di negara ini merasai derita dan perit kerananya.

Sampai bilakah Hadi mahu berdegil?