Friday, August 13, 2010

DINAR EMAS - KELANTAN DIJANGKA BERTELINGKAH DENGAN PUSAT

"Adalah tidak sah untuk Kerajaan Kelantan mengeluarkan mata wang walaupun dalam apa bentuk sekali lagi, termasuk Dinar Emas dan Dirham....Kalau keluar dinar untuk simpanan dibolehkan tetapi kalau dipaksa kedai-kedai menerima Dinar Emas dan Dirham sebagai bayaran, ini cirinya sudah seperti legal tender, yang memang tidak dibenarkan." - Dr Awang Adek

Dinar emas dikatakan mata wang Islam yang pernah digunakan di negara Madinah al-Munawwarah pada zaman Nabi Muhammad SAW lagi dan kemudian diperluaskan lagi pada zaman Khulafa Al Rasyidin yang tersebar dari Afrika Utara, Andalusia hinggalah ke Bukhara, Delhi dan akhirnya ke Asia Tenggara.

Pakar ekonomi mengatakan dinar emas boleh berperanan untuk meningkatkan serta mempertahankan kekayaan. Bukan seperti mata wang, nilainya akan jatuh tetpi tidak dengan dinar emas.

Spekulator mata wang pun tidak boleh membuat spekulasi sebab dinar emas ini adalah benar bukan seperti wang yang boleh dicetak sesuka hati yang tiada nilai intrinsik.

Kerana itu selepas krisis ekonomi pada tahun 1997 akibat penyangak mata wang George Soros, Tun Dr Mahathir Mohamad merasakan dinar emaslah cara penyelesaian kepada masalah itu.

Tetapi oleh kerana gagasan seperti ini agak baru, pendapat itu dipandang remeh dan dilihat sebagai saingan serta seakan Euro Dollar di Eropah. Lagipun siapa yang percaya bahawa Dolar Amerika akan runtuh seperti yang berlaku hari ini.

Penggunaan dinar emas bukan bermakna kita mesti memikul emas setiap kali berurus niaga. Sebaliknya, ia menjadi asas kepada kedudukan simpanan kewangan kita.

Antara mekanisme berbelanja ialah mewujudkan sistem pembayaran emas elektronik seperti kad debit yang digunakan sekarang. Dengan itu, kita boleh berbelanja tanpa menggunakan wang fizikal.

Kerajaan PAS Kelantan melancarkan dinar dan dirhamnya semalam. Ia adalah langkah berani kerajaan PAS – sama ada genuine untuk kepentingan perdagangan atau sebagai gimik politik belum dapat dipastikan.

Yang pasti ia sebagai alternatif kepada ringgit tetapi apakah ia langkah berasaskan saranan pakar kewangan Dinar Emas atau untuk menunjukkan kepada rakyat, khususnya orang Islam bahawa kerajaan Kelantan serius dalam menangani isu kewangan akibat kejatuhan dolar.

Lagipun, mengikut undang-undang, pengeluaran mata wang sama ada alternatif atau tidak, adalah di bawah bidang kuasa mutlak Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia kerana ia membabitkan urusan dasar serta pengurusan kewangan Malaysia.

Kerana itu, pelancaran mata wang Dinar Emas dan Dirham membabitkan tiga perkara asas:

1. Apakah legal atau sah untuk Kelantan yang tidak semena-mena mengumumkan akan menggunakan dinar dan dirham untuk pelbagai urusan di Kelantan?

2. Bukankah sebarang legal tender di negara ini hanya boleh dilakukan atau dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia dan sahkah jika kerajaan melakukannya tanpa merujuk atau persetujuan Bank Negara? dan,

3. Jika Kelantan atau mana-mana individu terbabit dengan pengumuman didapati melanggar peraturan, apakah mereka boleh didakwa?

Melalui sms, saya dapatkan pandangan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek yang pernah bekerja di Bank Negara sebagai Timbalan Gabenor, mengenai perkara ini. Beliau mengesahkan hanya Bank Negara Malaysia yang boleh mengeluarkan legal tender.

Dengan kata lain adalah tidak sah untuk Kerajaan Kelantan mengeluarkan mata wang walaupun dalam apa bentuk sekali lagi, termasuk Dinar Emas dan Dirham.

Katanya: “Kalau keluar dinar untuk simpanan dibolehkan tetapi kalau dipaksa kedai-kedai menerima Dinar Emas dan Dirham sebagai bayaran, ini cirinya sudah seperti legal tender, yang memang tidak dibenarkan,”

Beliau sudahpun membuat ulasan melalui Berita Harian Online yang antara lain menyebut: “Tiada peruntukan undang-undang yang membolehkan kerajaan negeri mengeluarkan mata wang, tidak timbul soal mata wang alternatif atau tidak walaupun hanya untuk urusan jual beli di negeri itu."

Berikutan itu, Kementerian Kewangan dan BNM akan mengkaji tindakan yang boleh diambil berhubung perkara ini, katanya.

Beliau membuat ulasan itu merujuk kepada tindakan kerajaan Kelantan melancarkan dinar dan dirham yang akan digunakan di kira-kira 1,000 premis perniagaan di sekitar negeri itu, termasuk Pasar Besar Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), Bazar Buloh Kubu dan Pasar Siti Khadijah.

Blog yang mendakwa dirinya orang Kelantan www.kijang-jantan.blogspot.com ada membuat ulasan mengenai isu ini dengan tajuk “Dinar, Dirham – Pergeseran Baru Kelantan dan Pusat?” dengan memulakan entrinya mempersoalkan “Apakah yang sedang dilakukan dan cuba dibuktikan oleh kerajaan PAS Kelantan?"

Pengurus Kewangan Permodalan Kelantan Berhad, Azmi Harun menunjukkan emas dinar dan perak dirham pada Majlis Pelancaran Matawang Syariah Emas Dinar dan Perak Dirham Kelantan yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pusat Dagangan Kelantan di Kota Bharu, semalam.

Menurut blog kijang-jantan berkenaan:

Selepas gagal melaksanakan Hudud dan menjadikan negeri itu benar-benar diperintah dengan peraturan Islam, gimik terbarunya untuk menunjukkan negeri negeri Islam, ia melancarkan matawang dinar dan dirham Islam.

Semalam gegak gumpita seluruh Kelantan apabila Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan negeri itu akan melaksanakan urusan perdagangan kerajaan menggunakan dinar dan dirham.

Nik Aziz berkata, Kerajaan Pas Kelantan melancarkan mata wang syariah dinar dan dirham Kelantan yang digunakan sebagai alternatif kepada mata wang sedia ada.

Selain mahu menjadi negeri pertama menggunakan dinar dan darham, kerajaan PAS Kelantan juga mahu menunjukkan kepada dunia bahawa Islam mempunyai mata wangnya sendiri untuk perdagangan.

Katanya, ia tidak bertentangan dengan undang-undang dan ia dirangka mengikut peruntukan peraturan yang disediakan oleh Bank Negara.

Menurutnya, wang syariah tersebut boleh digunakan di kira-kira 1,000 buah kedai dan restoran di sekitar bandar ini untuk transaksi perniagaan.

Orang kanan Nik Aziz, Datuk Husam Musa iaitu Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, mencanangkan, pengeluaran dinar dan dirham Kelantan mengikut standard piawai yang ditetapkan oleh Pengeluar Syiling Dunia Islam (World Islamic Mint).

"Dalam Islam standard telah dibuat oleh Saidina Umar iaitu satu dinar emas 22 karat iaitu 4.5 gram kenapa 22 karat bukannya 24 karat sebab ia wang yang digunakan setiap hari untuk tahan lasak dia akan tambah logam lain tetapi berat masih 4.5 gram, bagi dirham pula tujuh dirham bersamaan dengan satu dinar.

"Pengeluaran kita sebanyak RM2 juta sebelum ini telah habis dan kita akan mencetak setiap hari bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat," katanya.

Bagaimanapun Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Husin hari ini berkata mengikut undang-undang, pengeluaran mata wang sama ada alternatif atau tidak, adalah di bawah bidang kuasa mutlak Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Ini kerana ia membabitkan urusan dasar serta pengurusan kewangan Malaysia.

Dr Awang menjelaskan, tiada peruntukan undang-undang yang membolehkan kerajaan negeri mengeluarkan mata wang, tidak timbul soal mata wang alternatif atau tidak walaupun hanya untuk urusan jual beli di negeri itu.

Kementerian Kewangan dan BNM akan mengkaji tindakan yang boleh diambil berhubung perkara ini, katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam.

Nik Aziz berkata mata wang syariah ini hanya pilihan kepada orang ramai untuk menggunakannya, tetapi ia juga untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Islam mempunyai mata wang sendiri untuk perdagangan.

"Sejarah juga membuktikan bahawa dinar emas dan dirham perak tidak akan terjejas dengan inflasi sehingga menjejaskan ekonomi negara.

"Sebagai contoh, pada zaman Rasulullah SAW, harga seekor ayam kira-kira RM13, lebih kurang harga seekor ayam pada masa sekarang," katanya selepas melancarkan mata wang syariah, dinar dan dirham di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di Kota Bharu.

Nik Aziz berkata, dinar emas dan dirham itu dikendalikan oleh Kelantan Gold Trade (KGT) iaitu anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Sebagai simbolik kepada majlis pelancaran itu, Nik Abdul Aziz menyerahkan dinar emas kepada Ketua Pegawai Eksekutif PMBK, Ir Mustapha Salleh bagi pembayaran gaji kepada kakitangannya untuk bulan ini.

Tabung Haji dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bersetuju menjadi ejen dan menerima mata wang syariah itu untuk berurusniaga.

"Buat masa sekarang kita belum ada perancangan untuk membayar gaji kakitangan awam dengan mata wang syariah tetapi saya amat bersetuju sekiranya usaha ke arah itu dibuat sekarang.

"Bermula tahun ini, orang ramai boleh membayar zakat dengan dinar emas dan dirham perak, sebelum ini kita tidak ada kesempatan kerana ia belum dilaksanakan lagi," katanya.

Sementara itu pakar ekonomi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Amir Hussin Baharuddin, turut mengesahkan pengeluaran mata wang di luar bidang kuasa kerajaan negeri, malah tindakan kerajaan PAS Kelantan itu tidak praktikal dan tidak kena pada caranya.

Apapun saya fikir Bank Negara Malaysia tidak akan berdiam diri mengenai isu. Pasti kalau tidak hari ini, esok ia pasti akan mengeluarkan kenyataan.

Dan dari situlah, akan bermulanya politik mengenai motof sebenar kenapa Kerajaan PAS Kelantan melancarkan Dinar Emas dan Dirham.

Sejauh ini, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Abdul Fatah Harun sudah membuat ulasan mengenai apa yang dikatakan oleh Dr Awang apabila beliau menyebut:

“Kerajaan Kelantan sedia patuh kepada peraturan Kerajaan Persekutuan sebelum melaksanakan sesuatu dasar yang ada hubungkait dengan bidang kuasa Kerajaan Pusat itu… ini termasuk dalam soal penggunaan mata wang syariah dinar dan dirham.”

Menurutnya: “Apa sahaja dasar yang kita (kerajaan negeri) lakukan adalah berdasarkan kajian sebelum ia dilaksanakan, begitu juga dengan penggunaan dinar emas dan dirham perak yang akan dijadikan mata wang syariah sebagai alernatif dalam urusniaga dan muamalat," katanya hari ini.

Abdul Fatah berkata pemimpin politik tidak wajar melihat segala dasar yang dilaksanakan oleh negeri ini dari sudut politik.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Bukit Tuku itu berkata, kerajaan negeri sudah membuat pelbagai kajian dari segi teknikal dan undang-undang berkaitan penggunaan mata wang syariah itu sebelum ia diperkenalkan.

Apakah ini bermakna Bank Negara Malaysia sudah memberikan lampu hijau kepada kerajaan Kelantan?

Jika demikian mengapa Dr Awang yang juga Timbalan Menteri Kewangan ‘agak terkejut’ dengan langkah Kerajaan Kelantan itu seolah-olah Bank Negara Malaysia sendiri tidak tahu menahu mengenainya?

RAHIMAH BUKAN ISTERI MUDA SAYA – KHALID

Blog Ruang Bicara Faisal (RBF) dan The Unspinners bohong dan mereka-rekakan cerita kononnya Menteri Besar Selangor mempunyai isteri muda?

Beberapa blog lain turut memetik entri ini dan kisah ini sudah menjadi perkara sulit yang diketahui umum (known secret).
Melalui Malaysiakini, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini menjelaskan beliau hanya mempunyai seorang isteri sahaja, iaitu Salbiah Tunut.

Khalid dikatakan ketawa besar apabila diajukan soalan sama ada beliau melantik isteri keduanya pegawai kanan di Perbadanan Menteri Besar Selangor, seperti dakwaan yang tersebar di internet.

“Tidak (benar). Mereka (penulis blog) bercakap tentang pembantu peribadi saya. Dia sudah bekerja dengan saya semasa di PNB (Permodalan Nasional Berhad) sejak tahun 1980 lagi,” jelas bapa kepada empat orang anak itu.

Pada entri Isnin 2 Ogos 2010 (dah banyak kali pun sebelum ini) The Unspinners dengan tajuk “Kronisma Khalid ... letak Rahimah, bini muda kerja di opis MB “ mengatakan pihaknya pada hari itu, RBF mendapat gambar dan butiran Rahimah yang lebih jelas.

Nampaknya isu Khalid menggaji isteri sendiri dalam pejabat Menteri Besar bakal meletup ini. Mana boleh dalam kerajaan atau swasta, isteri dan suami berada satu department?

Penulis berminat dengan cerita ini kerana pernah beberapa kali berjumpa Rahimah ketika di Kumpulan Guthrie dulu. Ketika itu penulis adalah penulis skrip program BISNES MALAYSIA TV1 dan sering ke pejabat yang menjadi bos di Kumpulan Guthrie itu untuk membuat temubual dengan untuk program tersebut.

Selain itu suami kepada Rahimah (ketika itu) adalah kenalan baik yang pernah bertugas bersama di Harian Watan dan beliau ialah Pengurus Pemasaran akhbar berkenaan. Penulis ketika itu adalah Ketua Pengarang akhbar berkenaan.

Oleh kerana lama sudah tidak bertemu Rahimah dan suaminya, apabila timbul berita ini, penulis turut ingin tahu perkembangan sebenar.

RBF telah menulis dan dedahkan detail Rahimah berikut:

Banyak keputusan yang dilakukan oleh Khalid tidak disenangi oleh orang-orang PAS dan PKR.

Antaranya ialah:

Melantik rakan-rakan korporat dia dalam jawatan-jawatan penting di Selangor termasuk dalam GLC milik Kerajaan Selangor.

Meminta PKNS membayar dan menghantar lembu korban ke kawasan parlimennya di Bandar Tun Razak.

Menggunakan wang kerajaan negeri untuk penyelenggaraan kenderaan peribadinya (lexus).

Itu antaranya, saya difahamkan banyak lagi yang ada. Ini pula kisah yang baru sampai ke pengetahuan saya.

Difahamkan wanita dalam gambar di bawah ini adalah isteri muda Khalid Ibrahim yang dilantik oleh Khalid untuk bekerja dengannya.
Nama : Rahimah Bt Kamarudin

K/P : 5x12x0 - 04 - 5x60

Jawatan : Pegawai Koordinasi Kepada MB Selangor

Gaji : RM 5000.00 Elaun : RM 2000.00
Gaji dibayar oleh MBI

Alamat : Shah Alam dan Taman Cahaya Ampang (alamat penuh saya tidak boleh siarkan)

Untuk pengetahuan pembaca semua, jawatan Pegawai Koordinasi Kepada MB Selangor tidak wujud semasa zaman pemerintahan BN dahulu.

Difahamkan jawatan tersebut diwujudkan oleh Khalid semata-mata untuk meletak Rahimah di situ. Dan beliau mengarahkan MBI supaya membayar gaji Rahimah.

Inilah tandanya kerajaan pimpinan Khalid Mengkronikan Ekonomi Selangor. Slogan Merakyatkan Ekonomi Selangor hanya pembohongan semata-mata. Buktinya ada di sini.

Jika benar seperti yang didakwa bahawa Rahimah adalah isteri muda Khalid, maknanya Khalid telah melakukan kesalahan moral yang serius. Ini kerana belum pernah lagi dalam pentadbiran negara atau negeri kita mendengar seseorang pemimpin melantik isteri mudanya bekerja satu pejabatnya dengannya. Jika dalam sesebuah syarikat sendirian berhad ianya perkara biasa.

Berita yang sampai kepada saya juga mengatakan kakitangan-kakitangan di pejabat MB Selangor dan pejabat-pejabat exco amat tidak senang dengan Rahimah. Dia cuba mengawal segalanya dan mereka-mereka semua perlu merujuk kepada Rahimah terlebih dahulu. Pendek kata, Rahimah berkuasa dalam segala hal.


Khalid menjelaskan, beliau membawa masuk pekerja lamanya ke pejabat menteri besar bagi mengatasi kemungkinan berlakunya kebocoran maklumat pentadbiran.

Tambahan lagi, katanya, pembantunya itu sudah berkahwin, mempunyai dua anak dan turut mengenali isterinya Salbiah.

“Mereka (yang menuduh ini) bodoh. Apa boleh buat, banyak orang bodoh di negara ini. Isteri saya kenal dia. Dia sudah bekerja dengan saya selama 30 tahun, bukan kelmarin atau hari ini,” kata Khalid.

Mereka juga mendakwa jawatan tersebut tidak wujud semasa pemerintahan BN dahulu.

Bagaimanapun, jawab Khalid: “Ini jawatan lama.”