Wednesday, December 19, 2012

HADI - MEMINTA MAAF ATAU TIDAK PERLU DIMAAFKAN LANGSUNG?

 
Analisis Hambali Abdul Latiff
Daripada www.teganuku.blogspot.com

 Pada ketika beberapa ulama hari ini menegaskan bahawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang wajib segera menarik balik amanatnya pada 1981 yang menggambarkan UMNO kafir, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Rabu lalu, penyokong kerajaan, Ramlan Ali (BN-Jabi) (gambar kiri) menegaskan beliau tidak akan memaafkan Presiden PAS itu. Ini kerana menurutnya, Hadi mengkucar-kacirkan hubungan keluarganya sejak sekian lama disebabkan amanat itu.

Dalam nada beremosi, beliau berkata, Amanat Hadi yang dicetuskan di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 itu masih memberikan kesan berpanjangan baginya. Kesan itu juga turut meresap di kalangan masyarakat di DUN Jabi itu sehingga mereka berpecah-belah.

Walaupun sudah 31 tahun berlalu, tetapi Amanat Hadi membarah sehingga ke hari ini di dalam jiwa dan pemikiran pengikut tegar PAS menyebabkan mereka menolak mentah-mentah apa sahaja termasuk kebaikan yang cuba dibawa UMNO dan kerajaan.

Amanat yang menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat Islam itu hakikatnya bukan sahaja berlaku di Terengganu tetapi juga negeri-negeri lain khususnya di Kedah, Kelantan, Pahang dan beberapa negeri lain. Berucap pada perbahasan Bajet 2013 Rabu 12 Disember 2012 pada sidang DUN Terengganu,

Ramlan menyatakan kesedihannya kerana masih terdapat bersolat berasingan di masjid, begitu juga mengebumikan jenazah di tanah perkuburan berasingan serta ada terpisah dengan keluarga.

Ramlan turut merujuk kepada buku karangan bekas ahli seumur hidup PAS, Zainon Ismail atau lebih dikenali sebagai C.N al-Afghani iaitu KAFIRKAH AKU?


Melalui buku itu diceritakan bagaimana puluhan ribu ahli dan pengikut tegar PAS dikesan masih berpegang teguh kepada amanat Hadi pada 1981 yang mengkafirkan UMNO sehingga mereka kekal sehingga kini menganggap orang UMNO adalah kafir.

Yang pasti, masih ramai pengikut tegar parti itu percaya, pemimpin serta ahli UMNO jauh lebih hina daripada orang-orang bukan Islam. Zainon sendiri mendesak Hadi yang kini memegang tampuk kepemimpinan PAS menarik balik amanat berkenaan. Ia demi kepentingan umat Islam di negara ini kerana selagi Hadi tidak berbuat demikian, orang Melayu akan kekal berpecah sampai bila-bila.

Menurutnya, Hadi perlu meletakkan kepentingan akidah jauh lebih penting daripada pertimbangan politik kerana jika tidak, puluhan ribu pengikut PAS terus bergelumang dengan dosa akibat mengkafirkan saudara seagama hanya kerana perbezaan politik.

Kepimpinan PAS tidak boleh berdiam diri dalam hal ini seolah-olah Abdul Hadi tidak melakukan apa-apa kesalahan ketika mengeluarkan amanat kerana kesannya kepada masyarakat terlalu besar. Soal kafir-mengkafir ini isu akidah jauh melebihi kepentingan politik. “Saya salah seorang ahli PAS yang terpengaruh dengan amanat tersebut sehingga sanggup mengkafirkan ayah dan abang sendiri. Sehingga kini saya tidak tenang kerana dihantui dosa itu,” katanya.

Apa yang dikatakan Ramlan dan Zainon itu kini mendapat reaksi sama oleh beberapa ulama, tokoh agama dan ilmuan Islam. Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh menganggap tuduhan Hadi itu merupakan bidaah besar serta bercanggah dengan amalan ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan majoriti umat Islam negara ini.

Menurutnya, bidaah seseorang umat Islam yang menuduh umat Islam lain sebagai kafir juga amat berbahaya kerana tuduhan itu dikhuatiri akan berbalik kepada orang yang mengeluarkannya.

"Bahaya ini bukan kepada UMNO sebagai kerajaan serta ahlinya kerana tiada kesan, tetapi sebenarnya orang yang menuduh kerana akan berbalik kepadanya. Jadi kembalilah kepada ajaran ahli Sunnah Wal Jamaah kerana menurut hadis, individu yang mengeluarkan fitnah serta bidaah seumpama ini tidak akan diterima amalannya sama ada sunat ataupun wajib," katanya pada Isnin.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria turut menggesa Presiden PAS itu menarik balik amanat mendakwa Umno kafir, yang dikeluarkan lebih tiga dekad lalu.

"Selagi seseorang Islam itu mengucap dua kalimah syahadah, melaksanakan amalan, bagaimana boleh dikatakan kafir. "Itu hanya pendapat melulu dan tidak berasas. Dari segi syarak, saya bangkit mengatakan kebenaran. Beliau (Hadi) wajib menarik balik amanat tersebut," katanya. ," kata Mufti Perak kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra sempena pertemuan bersama Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan di Kuala Lumpur kelmarin (17 Disember 2012).

Pengerusi Penerbitan Dakwah Islamiah Malaysia (Pedim), Datuk Mat Jahaya Hussin yang berharap semua pihak hanya bercakap perkara yang benar sahaja.

"Ada ayat al-Quran menyebut jauhkan diri daripada prasangka tidak baik. "Adalah lebih baik kita mengikut nas al-Quran, sama ada daripada tulisan atau ceramah," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, perbuatan mengkafirkan sesama Islam adalah sama seperti golongan khawarij.

Maksud amanat tersebut secara langsung dan jelas bahawa PAS menuduh Umno berpaling dari agama Islam. “Mereka (PAS) menuduh Umno kafir kerana membawa ideologi atau fahaman yang boleh menghancurkan umat Islam, sedangkan ia meleset sama sekali,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas ahli Pas, Zainon Ismail bahawa Abdul Hadi mengeluarkan amanat pada 1981 yang mengkafirkan Umno sehingga ada ahli Pas sehingga kini menganggap orang Umno adalah kafir.

Namun gesaaan itu tidak digemari pemimpin PAS apabila Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib mengingatkan semua mufti untuk tidak masuk campur dalam hal berkaitan politik tanah air jika tidak tahu sejarah perkembangan sesebuah parti politik itu. Harussani berkata perkara ini sudah pun dijelaskan yang mana ia bukan masalah parti.

Harun berkata Hadi tidak perlu menarik balik kenyataan yang pernah dibuat itu kerana apa yang dikatakan itu berpunca daripada kepimpinan Umno terdahulu

“Kita (PAS) akui ucapan itu pernah dibuat dan beliau (Abdul Hadi) tidak perlu tarik balik. Harussani perlu ingat sejarah. Perlu ingat isu debat yang dibatalkan Umno semasa kepimpinan Mahathir ( Tun Dr Mahathir Mohamad). “Kalau mufti tidak tahu sejarah politik, jangan campur tangan. Mufti perlu tutup mulut,” ulas Harun kepada Sinar Harian kelmarin.

Berbalik kepada Zainon penulis buku KAFIRKAH AKU, kita boleh mentafsir kesalannya apabila mengatakan: “Saya salah seorang ahli PAS yang terpengaruh dengan amanat tersebut sehingga sanggup mengkafirkan ayah dan abang sendiri. Sehingga kini saya tidak tenang kerana dihantui dosa itu. Saya memohon kepada Allah agar diampunkan dosa sebelum ajal menjelma.

“Tapi sebagai individu bertanggungjawab apatah ketika berkuasa, Abdul Hadi perlu membetulkan semula akidah pengikut PAS kerana masih terdapat puluhan ribu ahli parti yang taksub dan menganggap Umno kafir,” katanya kepada Utusan Malaysia kelmarin.