Tuesday, January 8, 2013

SELANGOR LARANG AGAMA BUKAN ISLAM GUNA KALIMAH ALLAH

"Sultan Selangor telah membuat ketetapan dan menitahkan dengan tegas bahawa kalimah ALLAH yang merupakan kalimah suci khusus bagi umat Islam tidak boleh sama sekali digunakan di Negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam yang Iain sebagaimana yang telah difatwa dan diwartakan pada 18 Februari 2010." 
- Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohd Misri Idris

Kini seorang Sultan, iaitu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah menyatakan terkejut dan kesal dengan pendirian Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang lebih dua minggu lalu meminta agar kerajaan membenarkan kalimah ALLAH digunakan dalam Bible berbahasa Melayu.

Lebih terkejut, tiga ulamak pakatan pembangkang, Hadi, Kit Siang dan Anwar Ibrahim mengatakan Kalimah ALLAH itu boleh digunakan!

Kita tidak tahu selepas ini giliran Sultan yang mana pula akan menyatakan pendirian mengenai perkara ini. Sebagai 'pelindung agama Islam' rasanya Sultan wajar membuat pendirian.

Di pihak pakatan pembangkang, mereka begitu gembiran kerana - Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) - mencapai pendirian bahawa penggunaan kalimah ALLAH boleh digunakan oleh penganut Kristian dengan syarat ia tidak disalahgunakan.

Siapa buat keputusan?  Keputusan pakatan pembangkang itu diumumkan selepas mesyuarat pemimpin tertinggi pakatan pembangkang yang dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam. 

Hadi berkata, Pas berpendirian konsisten seperti yang pernah dikeluarkan pada 4 Januari 2010 lalu di mana kalimah ALLAH adalah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat.

"Walau bagaimanapun, Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah ALLAH dalam amalan mereka walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran," katanya.

Semalam, di sebalik percanggahan pendapat mengenai isu kalimah ALLAH, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat sepatutnya orang bukan Islam diberi ruang menggunakannya.

Menurutnya, ruang tersebut boleh diberikan namun beliau menegaskan penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam adalah berdasarkan ketetapan tertentu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohd Misri Idris berkata: "Sultan Selangor telah membuat ketetapan dan menitahkan dengan tegas bahawa kalimah ALLAH yang merupakan kalimah suci khusus bagi umat Islam tidak boleh sama sekali digunakan di Negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam yang Iain sebagaimana yang telah difatwa dan diwartakan pada 18 Februari 2010."

Berikutan kenyataan dan gesaan tersebut, Sultan Selangor telah memanggil satu mesyuarat khas dengan beberapa orang ahli Mais, Mufti Selangor serta pegawai tertìnggi Mais dan Jabatan Agama Islam Selangor kelmarin

Sultan Selangor juga menitahkan Mais dan Jais untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak sama ada orang bukan Islam atau di kalangan orang Islam sekali pun yang masih mempersoal atau memperlekehkan fatwa yang telah dikeluarkan mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada di negeri itu.

Polemik penggunaan kalimah ALLAH timbul kembali apabila Guan Eng dalam perutusan Krismasnya pada 24 Disember lalu meminta kerajaan membenarkan penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible Bahasa Melayu memandangkan ia telah dibenarkan di Sabah dan Sarawak sejak 50 tahun lalu dan diguna pakai di Timur Tengah hampir 1,000 tahun lalu.

Menurut Mohd Misri, di Selangor terdapat undang-undang yang telah digubal oleh Dewan Undangan Negeri pada April 1988 dan dikuatkuasakan pada Julai 1988 berkaitan pengawalan penggunaan kalimah ALLAH iaitu Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Enakmen ini telah diwujudkan selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Katanya, Seksyen 9 enakmen berkenaan telah dengan jelas melarang kalimah ALLAH dari digunakan oleh orang bukan Islam di dalam apa-apa perkara yang berkaitan dengan agama mereka.

Mohd Misri juga berkata Sultan Selangor juga menitahkan agar orang bukan Islam supaya tidak mencampuri urusan agama Islam bagi mengelakkan permusuhan dan salah faham di kalangan kaum negara ini.

"Selanjutnya DYMM Tuanku menitahkan bahawa mana-mana pihak adalah ditegah dan dilarang sama sekali dari menggunakan atau memperalatkan agam Islam sebagai modal politik mereka kerana ia akan mengakibatkan kemusnahan kepada keamanan yang dikecapi oleh rakyat pelbagai agama di negara ini," kata beliau.