Wednesday, July 21, 2010

MEROKOK - 4 JUTA RAKYAT MALAYSIA AMAL TABIAT BURUK

Kempen antimerokok kerajaan gagal atau rakyat Malaysia memang tidak berminat membuang tabit buruk berkenaan?

Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan, berkata sekurang-kurangnya satu daripada dua lelaki dikenal pasti sebagai perokok.

Kajian menunjukkan empat juta rakyat Malaysia, atau 21.5 peratus daripada jumlah penduduk dewasa ketagihan merokok.

Ia menunjukkan 30 peratus kematian akibat kanser dan 90 peratus daripada penyakit paru-paru kronik di negara ini adalah disebabkan tabiat merokok.

Naib Presiden dan Pengurus Besar (Asia Selatan) GlaxoSmithKline Consumer Healthcare Sdn Bhd (GSK), Akhil Chandra berkata, tabiat buruk itu menjadi punca utama banyak masalah kesihatan di negara ini.

"Selain membazirkan wang, merokok membahayakan kepada kedua-dua perokok dan sekunder," katanya kepada pemberita selepas melancarkan produk terbaru GSK, Niquitin semalam.

Hadir sama Pengarah Institut Perubatan Respiratori, Datin Dr Aziah Ahmad Mahayiddin dan Profesor Madya Dr M. Haniki Nik Mohamed dari Initiative of Malaysian Health Professionals’ Alliance on Cessation of Tobacco (Impact).

Sehubungan itu, Akhil berkata Niquitin boleh membantu perokok menghentikan tabiat mereka itu.
Aziah yang juga merupakan Presiden Impact berkata, produk tersebut dapat membantu usaha kerajaan untuk mengurangkan jumlah perokok.

Haniki pula berkata kajian menunjukkan perokok yang menggunakan Niquitin mengalami simptom enggan merokok yang minimum.

"TAKKANLAH SAYA NAK MEMBOHONG...” - HARUSSANI

"Saya seorang mufti takkanlah saya nak membohong, cuma saya tak nak sebut nama orang yang bertemu dengan saya itu....jadi saya tidak membohong. Dia nak tuduh saya membohong itu dia punya pasal. Yang penting dia seorang Islam atau tidak... berjuang atas nama Islam atau tidak, kenapa nak bersekongkol dengan yang lainnya." - TAN SRI HARUSSANI


Untuk Tan Sri Harussani - Jangan hairanlah dengan dua pemimpin PAS yang ini – Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Memang kerja dua Naib Presiden PAS ini menyerang apa juga usaha merapatkan PAS dan UMNO. Mereka adalah daripada sekutu kumpulan Erdogan yang tidak mahu langsung mendengar perkataan perpaduan Melayu dan Islam.

Mereka berketuakan pemimpin PAS yang bencikan perpaduan kerana bimbang hilang ‘kerusi’ yang mereka impikan – ke Putrajaya.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria semalam menegaskan sekali lagi bahawa ada pemimpin PAS dan UMNO menemuinya bagi mendapatkan pandangan.

Apa salahnya kalau mereka merujuk kepada mufti. Apakah ilmu Salahuddin dan Mahfuz lebih tinggi dariapada Harussani?

Kedua-dua Naib Presiden PAS iaitu Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar semalam dilaporkan menuduh Harussani membuat fitnah serta melakukan pembohongan besar bahawa terdapat pemimpin PAS dan UMNO yang menemuinya untuk mendapatkan pandangan bagi menyatukan kedua-dua parti itu.

Mereka dilaporkan sebagai berkata, selama ini pimpinan PAS tidak pernah mengeluarkan arahan rasmi khususnya di dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi parti supaya menemui Harussani untuk membincangkan isu tersebut.

'Kita tidak pernah keluarkan satu arahan atau ada diminitkan bahawa kita mahu melantik orang tengah apatah lagi dalam urusan untuk bekerjasama dengan UMNO, tidak pernah sama sekali. Itu merupakan satu fitnah dan satu pembohongan besar yang ditimbulkan oleh mereka,'' kata Salahuddin pada sidang media di ibu pejabat Pas kelmarin.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, isu kerjasama UMNO dan Pas tidak lagi berbangkit dan ia boleh dianggap sudah tutup buku.

Selain mereka berdua, Mufti Perak yang berusaha menyatukan orang Melayu menjadi sasaran kritikan pemimpin PAS lain, termasuk pada ceramah yang diadakan di Kampung Pasir Putih Tambahan di Ipoh, malam kelmarin.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad menuduh Harussani mahu mencampuri urusan politik sedangkan beliau adalah mufti yang bertanggungjawab terhadap hal-hal yang berkaitan agama.

"Mufti ini pelik bercakap pasal Melayu, bukannya bercakap mengenai Islam. Kalau nak bersatu, UMNO kena bersatu dulu. Dalam parti dia berpecah-belah. Tengok apa berlaku di Sungai Petani dan Setiu," kata Idris.

Menurut Idris, Harussani tidak perlu menjadi orang tengah kerana Pas tidak mahu bekerjasama dengan UMNO dan mendakwa dasar parti itu bukannya berasaskan Islam. Sebaliknya, katanya, Pas mahu terus bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana mereka mempunyai persamaan menentang rasuah dan memperjuangkan keadilan rakyat.

Berucap di hadapan kira-kira 100 penyokong, Idris menegaskan, Pas tidak akan bersatu dengan UMNO secara politik kerana kepemimpinan parti tersebut telah menyatakan akan terus komited dengan pakatan pembangkang.

Mufti Perak itu menafikan dakwaan dua naib presiden PAS bahawa kononnya beliau membuat fitnah serta melakukan satu pembohongan berhubung adanya pemimpin PAS dan UMNO yang menemuinya untuk mendapatkan pandangan bagi menyatukan kedua-dua parti itu.

"Saya seorang mufti takkanlah saya nak membohong, cuma saya tak nak sebut nama orang yang bertemu dengan saya itu....jadi saya tidak membohong. Dia nak tuduh saya membohong itu dia punya pasal.

"Yang penting dia seorang Islam atau tidak... berjuang atas nama Islam atau tidak, kenapa nak bersekongkol dengan yang lainnya," katanya selepas pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dengan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam di Putrajaya semalam.

Harussani berkata pertemuan itu memang berlaku, walaupun wakil yang datang bertemu dengannya itu bukan dihantar oleh PAS secara rasmi.

Katanya pemimpin PAS yang datang itu bertaraf tinggi dan ada juga pemimpin UMNO yang bertaraf tinggi juga datang berjumpa beliau.

"Saya pun tidak faham.. pertemuan itu semata-mata untuk pertahankan Islam dan orang Melayu, kenapa sampai nak tuduh macam-macam dan yang marah sangat kenapa," katanya.

Harussani berkata beliau bercakap untuk kepentingan orang Melayu dan Islam kerana jika orang Melayu berpecah, Islam juga akan hancur.

GUNA WANG KERAJAAN SOKONG PEMBANGKANG?

Benarkah dakwaan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) semalam penaja The Malaysian Insider, sebuah portal berita pro-pembangkang, telah menggunakan wang yang diperolehi daripada kontrak kerajaan untuk membuat fitnah terhadap kerajaan?

Amat menyedihkan jika benar wang diperolehi daripada kerajaan digunakan untuk menyerang kerajaan.

Yang Dipertua JMM, Azwanddin Hamzah mendakwa, Efficient E-Solution Berhad merupakan syarikat yang membiayai kos operasi portal tersebut.

Efficient E-Solution juga mempunyai kepentingan 20 peratus dalam VPI International Sdn. Bhd., yang telah mendapatkan kontrak perkhidmatan pengimejan dan pengimbasan pengumpulan data daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), yang pada mulanya berjumlah RM216,090,927 dan kemudian dinaikkan kepada RM585,540,927.

Azwanddin mendakwa dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam bahawa Datuk Kalimullah Hassan dan Shaik Aqmal Alauddin merupakan pengarah dalam Efficient E-Solution, manakala Shaik Aqmal dan Sreedhar Subramaniam adalah pengarah VPI International.

Ketua JMM itu juga meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menjelaskan hubungan beliau dengan ketiga-tiga pengarah itu kerana kontrak itu diperolehi sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan II.

Azwanddin juga mendakwa Shaik Aqmal dan Sreedhar, yang menjadi penandatangan kontrak dengan LHDN telah menggunakan Regalia Records Management Sdn. Bhd., yang mana VPI International mempunyai kepentingan di dalamnya, untuk menaja dan membiayai Malaysian Insider yang diilhamkan oleh Sreedhar.

Ternyata bukan Kalimullah sahaja yang perlu menjelaskan persoalan ini tetapi juga Nor Mohamed yang sebelum ini ada lagi beberapa beberapa perkara yang menjadi persoalan mengenai beliau.