Thursday, January 6, 2011

ABDUL HADI ANGGAP SULTAN SELANGOR TIDAK BERTAMADUN?

"SPA mencalonkan tiga nama dan dipersembah kepada Ketua Eksekutif Selangor, iaitu Sultan Selangor yang termaktub di bawah undang-undang Perkara 50 yang menyatakan 'the executive authority of the state shall be the Royal Highness'...Jadi, sebagai ketua eksekutif negeri, SPA yang mahu melantik SUK yang baru secara konvensyen menyerahkan nama calon untuk Sultan Selangor memperkenannya.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Tidak Bertamadun?

Ini benar jika berasaskan analogi Datuk Seri Hadi Awang.

Menurut Hadi, pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang dipersetujui Sultan Selangor itu dibuat secara tidak bertamadun dan merupakan cubaan Umno BN merampas kerajaan Selangor.

Hadi menyalahkan UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) di atas pelantikan itu sambil menganggap caranya ‘tidak bertamadun’.

Tetapi sedarkah Hadi mengenai proses pelantikan di Selangor itu?

Amat jelas bahawa Sultan Selangor hari ini bertitah bahawa pelantikan Mohammed Khusrin adalah sah mengikut peraturan serta prosedur yang ditetapkan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Perlembagaan Persekutuan.

Sultan Sharafuddin menitahkan agar pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri ini tidak terus diperbesarkan, dipolitikkan dan disensasikan sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat.
Baginda kesal dengan tindakan beberapa pihak yang memanipulasikan titah baginda berhubung isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.
Terang lagi bersuluh bahawa Sultan Selangor murka apabila titah Baginda diputar belit dan menganggap pelantikan SUK itu sah.

Dalam nada tegas baginda bertitah:”Pada hari ini beta merasa amat terharu dan kesal kerana banya titah beta yang telah dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan telah mengelirukan ramai rakyat beta di negeri Selangor ini."

Titah baginda itu dibuat pada Majlis Pengurniaan Darjah Kebesaran Selangor dan pelantikan pegawai kerajaan negeri di Istana Kayangan di Shah Alam , hari ini.

Sultan Sharafuddin juga bertitah bahawa baginda pernah menyatakan kepada Exco Selangor pada Majlis Santapan Sembah kasih sempena ulang tahun keputeraan baginda ke-65 pada 5 Disember lalu bahawa baginda tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.

"Hasrat beta adalah untuk melihat negeri Selangor yang beta kasihi ini sentiasa dalam aman dan rakyatnya tidak kira apa bangsa dan agama hidup dalam harmoni dan sentiasa tolong menolong, bantu-membantu dan bekerjasama antara satu sama lain," titah baginda.

"Justeru beta menyeru dan menasihatkan supaya janganlah tiap-tiap perkara itu dipolitikkan kerana ianya akan membebankan rakyat dan melambatkan proses kemajuan," titah baginda.

Dalam pada itu baginda turut menitahkan supaya seluruh pegawai kerajaan Selangor memberikan kerjasama yang baik kepada Mohammed Khusrin agar urusan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan lancar. Beta juga menitahkan supaya Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan dasar kerajaan yang memerintah mengikut undang-undang dan peraturan semasa," titah baginda.

Dalam kenyataan kepada Harakahdaily pada 6 Januari 2010 (semalam) , beliau berkata:

"Kita semua menyedari bahawa Umno BN tidak pernah menghormati undang-undang yang mereka sendiri gubal, sehingga mereka sanggup melanggarnya demi kepentingan politik sempit mereka.

"Kerajaan Umno BN ini berusaha untuk merampas kerajaan Selangor dengan menggunakan peruntukan pentadbiran bagi mewujudkan suasana keresahan dalam pentadbiran kerajaan, semuanya dengan cara yang tidak bertamadun dan di luar batas demokrasi," katanya.

Beliau mengulas isu pelantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai SUK Selangor yang baru yang ditentang kerajaan Pakatan Rakyat Selangor kerana didakwa membelakangkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Isunya ialah kenapakah Hadi mengaitkan isu pelantikan Khusrin ini dengan UMNO? Tidak bolehkah jika setiap keputusan kerajaan Pusat itu tidak dikaitkan dengan politik?

Isunya, apakah UMNO yang melantik Khusrin?

Hadi dengan lantang mengatakan: "Mereka sepatutnya mengambilkira budi bicara dalam membuat pelantikan, dengan memahami hasrat serta kehendak kerajaan negeri Selangor ini khususnya dalam pelantikan SUK. Sikap melawan kehendak pentadbiran kerajaan Selangor ini dilihat suatu tekanan dan berlaku akibat dari fahaman salah konsep federalisma yang dianut oleh kerajaan pusat pimpinan Umno BN," tambahnya lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa usaha pencabulan konsep federalisma oleh Umno BN ini, hanya akan mengakibatkan berlakunya kebangkitan luar biasa rakyat di peringkat nasional. Umno katanya, menggunakan teknik yang sama yang mereka telah lakukan di negeri Perak dengan menjadikan rakyat sebagai pertaruhannya.

Pusat tegasnya, perlu menghormati kerajaan negeri yang telah dipilih rakyat, termasuk dalam membuat pelantikan perkhidmatan awam.

Apakah Hadi tidak faham bahawa pelantikan Khusrin Munawi oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam itu memang haknya mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Selangor?

Pengamal undang-undang Datuk Salehuddin Saidin, berkata undang-undang itu, selain tidak menyatakan pelantikan tersebut perlu dirujuk kepada Menteri Besar, Fasal 1 dan 2 Perkara 52 mensyaratkan ia mesti dilakukan oleh suruhanjaya perkhidmatan yang relevan, beragama Islam dan berbangsa Melayu.

Bekas Ketua Unit Pendakwaan Selangor itu berkata, dalam situasi negeri Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) berhak membuat pelantikan kerana jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri datang daripada waran kerajaan Persekutuan iaitu jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik, Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) A.

"Jadi, yang relevan ialah SPA. Walaupun tidak dinafikan wujudnya SuruhanjayaPerkhidmatan Awam Negeri, namun ia bukan suruhanjaya yang relevan dalam pelantikan ini. Jadi, suruhanjaya negeri tak boleh meletak pegawai dari perkhidmatan mereka untuk jawatan SUK itu.

"Jadi, apa yang berlaku ialah SPA mencalonkan tiga nama dan dipersembah kepada Ketua Eksekutif Selangor, iaitu Sultan Selangor yang termaktub di bawah undang-undang Perkara 50 yang menyatakan 'the executive authority of the state shall be the Royal Highness'." katanya pada satu sidang akhbar di Shah Alam hari ini.

Salehuddin berkata Sultan Selangor juga dinasihati Penasihat Undang-undang Negeri bagi mematuhi prosedur lantikan berkenaan.

Amat jelas memang pelaksanaannya (eksekutif) terletak kepada Menteri Besar dan exco sebagai eksekutif pentadbiran, tetapi kuasa eksekutif asalnya datang dari Sultan.

Jadi, sebagai ketua eksekutif negeri, SPA yang mahu melantik SUK yang baru secara konvensyen menyerahkan nama calon untuk Sultan Selangor memperkenannya.

Jadi dengan Abdul Hadi mempersoalkan cara, bukankah ia melibatkan Sultan Selangor?

Dengan mengatakan cara itu tidak bertamadun, apakah langkah yang diambil oleh Sultan Selangor itu tidak bertamadun?

Juga dengan mengaitkannya dengan politik, apakah Hadi berlaku adil dengan Sultan Selangor apabila Baginda menjelaskan bahawa Baginda tidak menyebelahi mana-mana pihak?

Kenapakah dua pemimpin PAS – Hadi dan sebelum ini Musyridul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat – sanggup mempersoalkan keputusan Sultan Selangor.

Jika Nik Aziz mempersoalkan mengenai titah Sultan Selangor terhadap larangan ‘menggunakan masjid untuk tujuan politik”, kali ini Hadi pula terpalit dengan isu pelantikan SUK.

Siapakah kedua-dua pemimpin ini? Apakah mereka bukan Melayu dan Islam yang tertakluk di bawah ‘perlindungan’ Raja-Raja Melayu yang sewenang-wenangnya mengkritik bidang kuasa Raja Melayu?

SIASAT TUDUHAN RAIS ROGOL AMAH KE AKAR UMBI

Majlis Veteran Umno Kelantan mengutuk sekeras-kerasnya tuduhan liar yang disiarkan oleh sebuah blog di internet yang mendakwa Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim terlibat dalam satu kes jenayah memperkosa pada 2007.

Pengerusinya, Datuk Rozali Isohak berkata tuduhan melulu tanpa usul periksa dibuat dengan niat jahat dan berkepentingan untuk menjatuhkan nama baik seseorang menteri diamanahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Veteran Umno Kelantan mengesa polis menyiasat laporan itu hingga ke akar umbi dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas mereka yang bertanggungjawab melemparkan tuduhan buruk itu," katanya.

Rais dalam kenyataanya semalam menafikan sebarang alegasi tersebut sama ada yang berkaitan alegasi memperkosa mana-mana individu empat tahun lepas atau lain-lain dakwaan yang dicetuskan penulis liar blog di Internet atau mana-mana entiti politik.

Beliau mendakwa ianya tuduhan yang dicetuskan penulis liar blog dan parti politik pembangkang.

Sehubungan itu beliau pihak yang terlibat membuat tuduhan tersebut disiasat mengikut lunas undang-undang.

Rais turut memaklumkan beliau dan keluarga, sedia memberi kerjasama membantu siasatan dan menerima apa sahaja keputusan siasatan akhir nanti.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyambut baik cadangan Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mahu isu dakwaan seorang menteri merogol pembatu rumah Indonesia, diselesaikan mengikut lunas undang-undang.

Sambil mengalukan penafian keterlibatan yang dibuat Rais semalam, beliau mahu isu itu disiasat dengan segera kerana ia membabitkan nama baik negara dan mampu menjejaskan hubungan serantau Malaysia-Indonesia.

Di Indonesia, NGO yang mendedahkan isu ini, Migrant Care akan membuat satu sidang media khas sebagai menjawab isu ini selepas laporan mereka didedahkan oleh WikiLeaks dan kemudiannya media khasnya laman web dan blog di Malaysia.

"Kita setuju bahawa isu ini perlu disiasat. Kita minta polis menyiasat dakwaan dalam blog-blog yang telah mendedahkan perkara ini. Kita tidak mahu nama baik Malaysia terjejas dan juga menjatuhkan imej Rais Yatim," kata Mahfuz ketika mengulas kenyataan Rais.

Namun blog manakah yang perlu disiasat?

Menariknya, sebuah blog menyebut, isu Datuk Seri Utama Rais Yatim yang dituduh memperkosa orang gajinya empat tahun yang lalu merupakan FITNAH yang paling jijik dan terkutuk ke atas seorang menteri kabinet.

Blog melalui entrinya pada 1 Januari 2011 lalu (sebelum Rais membuat penafian) menyebut: “Fitnah ini sengaja direka-reka, seperti mana fitnah yang dilemparkan ke atas Datuk Seri Najib berhubung pembunuhan Altantuya Saaribu. Lebih malang lagi, fitnah ini datangnya daripada para bloggers mesra kerajaan sendiri, yang seharusnya lebih berhati-hati atas segala maklumat yang diterima. Sepatutnya selidik, periksa dan teliti terlebih dahulu tuduhan-tuduhan tersebut, jangan jadikan blog kita seperti kedai kopi. "

Kata blog itu lagi: “Isu DS Rais Yatim sengaja dibangkitkan ekoran ura-ura rombakan kabinet akan berlaku tidak lama lagi dan terdapat pihak tertentu yang mahu melihat DS Rais tersingkir daripada kabinet. Terbukti, terdapat beberapa bloggers yang diberi upah bagi menjatuhkan menteri-menteri tertentu, melalui serangan peribadi. Kita sebagai bloggers mesra kerajaan biar bertindak secara bijak. Jangan sesekali menjadi bloggers upahan semata-mata mahu jadi kaya."

Tidak diketahui sejauh mana blogger berkenaan mendapat upah tetapi kebanyakan blog merujuk isu ini daripada pendedahan awal oleh rocky’s bru dan bigdotcom.

Kita lihatlah nanti sejauh mana siasatan akan dilakukan hasil kenyataan Rais itu.

GANJARAN KERAJAAN PUSAT SELEPAS TERENGGANU, KELANTAN & PERAK

http://teganuku.blogspot.com

Pasukan bola sepak negara yang menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 di Jakarta baru-baru ini, akan meraikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu majlis makan tengah hari pada Rabu depan, di Seri Perdana di Putrajaya.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata semalam. pada majlis itu juga Najib dijangka mengumumkan ganjaran yang bakal diterima kesemua pemain yang telah beraksi pada kejohanan melibatkan negara-negara Asia Tenggara tersebut.

Terengganu mengumumkannya habuan lebih awal untuk pemain berasal dari negeri itu apabila pada 1 Januari lalu, sekembalinya dari bercuti diu luar negara, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengatakan enam pemain negeri yang terbabit dengan Piala Suzuki itu akan menerima ‘durian runtuh’.

Semalam, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, Ahmad Said berkata enam pemain negeri yang membantu skuad negara memenangi Piala Suzuki AFF baru-baru ini, akan menerima insentif tanah kediaman dan wang, seperti yang dijanjikan pada Isnin ini.

Pemain tersebut ialah Mohd. Ashaari Shamsuddin dan Mohd. Sharbinee Alawee, yang kini mewakili skuad Terengganu serta Norshahrul Idlan Talaha (gambar kanan) dari skuad Kelantan. Tiga lagi pemain skuad Harimau Muda A iaitu Mohd. Muslim Ahmad, Mohd. Faizal Muhammad dan Izzaq Faris Ramlan.

Ahmad Said berkata, majlis tersebut akan diadakan di Kuala Terengganu, serentak dengan majlis menandatangani perjanjian para pemain skuad Terengganu dan T-Team.

Beliau memberitahu, pada majlis tersebut, pemain terbabit akan menerima imbuhan RM5,000 seorang dan diberi borang bagi urusan pemberian sebidang tanah untuk kediaman.

Menurut Menteri Besar, pemberian insentif itu menunjukkan keprihatinan dan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan Terengganu cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk pelajaran.

Pada 29 Disember lalu, skuad kebangsaan di bawah kendalian jurulatih K. Rajagobal menjuarai Piala Suzuki AFF 2010, menewaskan Indonesia pada perlawanan akhir kedua di Jakarta dengan agregat 4-2.

Semalam juga Kerajaan negeri Perak berkata ia akan memberi imbuhan sebanyak RM10,000 kepada penyerang pasukan kebangsaan Mohd Safee Mohd Sali (gambar kiri) kerana membantu negara menjulang Piala Suzuki AFF 2010 serta muncul sebagai penjaring terbanyak pada kejohanan itu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang mengumumkan ganjaran itu, berkata Mohd Safee akan menerima RM5,000 kerana membantu negara memenangi piala berprestij itu manakala RM5,000 lagi kerana muncul penjaring terbanyak dengan lima gol.

Turut menerima ganjaran RM5,000 ialah dua lagi pemain anak Perak yang mewakili pasukan negara pada kejohanan itu iaitu Mohd Sabre Mat Abu dan Mohamad Fadli Mohd Shas.

"Adalah wajar kita memberikan sumbangan kepada tiga anak Perak yang menyumbangkan tenaga untuk negara...Saya cukup terharu dan bangga dengan kejayaan kita menjuarai Piala Suzuki AFF selepas menanti selama 14 tahun," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini Rabu.

Mohd Safee merupakan anak kelahiran Behrang dan kini keluarganya menetap di Tapah. Beliau pernah belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat sebelum bepindah ke Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Manakala Mohd Sabre pula adalah anak kelahiran Parit Buntar dan Mohamad Fadli pula adalah anak anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang lahir di Lumut.

Kesemua mereka akan menerima imbuhan masing-masing dalam satu majlis ringkas yang akan diadakan tidak lama lagi.

Sebelum ini Kelantan turut memberikan anugerah kepada salah seorang pemain pasukan kebangsaan iaitu penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat (gambar kiri)yang mengharumkan nama negara.

Dilaporkan, Kerajaan Kelantan sedang berbincang untuk mencari rumah serta lokasinya yang sesuai untuk dihadiahkan kepada

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunaan Insan, Belia Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata kerajaan negeri juga belum menetapkan nilai rumah yang akan dihadiahkan kepada pemain remaja itu.

Dua hari lalu Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan hadiah tersebut. Khairul Fahmi turut mengharumkan nama negeri Kelantan.

Dengan semangat ‘membalas jasa’ dan menjadikan contoh bagaimana mereka yang mengharumkan nama Malaysia akan diberikan habuan sewajarnya sperti pasukan kebangsaan yang turut dikenali sebagai skuad Harimau Malaysia.

Kejayaan itu menamatkan penantian 14 tahun negara untuk membawa pulang piala AFF Suzuki selepas menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 29 Disember lalu, bukan sahaja kerajaan negeri tetapi Kerajaan Pusat juga amat menghari sumbangan mereka.

Berikutan kemenangan itu Perdana Menteri mengumumkan Jumaat berikutnya iaitu 31 Disember lepas sebagai cuti umum.

Selain ganjaran daripada kerajaan, pemain akan turut menerima wang tunai daripada Tabung Akujanji Ganjaran Piala AFF Suzuki anjuran Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM).

Tabung yang ditubuhkan bagi mengumpul sumbangan kepada skuad bola sepak kebangsaan jika mereka memenangi piala tersebut, setakat ini menerima ikrar sumbangan lebih RM80,000.

Rasanya jumlah itu adalah masih kecil dan penyumbang masih boleh menghulurkan sumbangan mereka agar menjelang Rabu dengan, ia menjadi jumlah yang lebih besar.

Jika Indonesia menjanjikan RM1 juta untuk dibahagikan sekiranya pemain mereka menjadi johan, Malaysia yang terkenal dengan rakyatnya yang pemurah, mampu menyaingi jumlah tersebut.

Bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi ia adalah perangsang untuk anak muda yang akan melihat bahawa sukan juga mampu mendatangkan rezeki yang baik jika pencapaian mereka baik di persada antarabangsa.