Showing posts with label Rais. Show all posts
Showing posts with label Rais. Show all posts

Saturday, January 8, 2011

ROBINGAH - RAIS ORANG YANG BAIK...LAPORAN SAYA DIPERKOSA TIDAK BENAR

Robengah, 46, (kanan), bekas pembantu rumah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim yang diambil dari laporan portal berita detik.com, di Kuala Lumpur. Gambar itu diambil oleh wartawan di rumahnya di Desa Pagelak, Kecamatan Madukara, Kabupaten Banjarnegara, Jawa Tengah, Jumaat. Robengah menafikan dirinya diperkosa menteri Malaysia itu yang telah menjadi majikannya dari tahun 1999 hingga 2007. Beliau juga membantah keterangan Migrant Care dan media Malaysia dalam temubual bersama BERNAMA semalam .

"Datuk orang yang baik. Saya tidak pernah ada masalah dengannya (Rais).

"Semua laporan yang mengatakan saya diperkosa sama sekali tidak benar," demikian kata Robingah dalam kenyataan yang disiarkan portal berita Detiknews.com semalam. Laman web itu ialah portal berita paling berpengaruh di Indonesia.

Jadi di manakah kebenaran laporan sama ada oleh bloggers mahupun mereka yang memetik berita daripada blogger berkenaan mengatakan Rais adalah ‘perogol’?

Wanita itu berkata, jika Rais berperangai jahat dan berperilaku kasar terhadapnya, tentu beliau tidak akan dapat bertahan untuk bekerja selama itu di rumahnya.

Semua keluarga Rais juga melayan para pembantu dengan baik, katanya.

"Jadi jika ada pemberitaan yang menyatakan bahawa saya pernah diperkosa Datuk, itu sama sekali tidak benar," katanya.

Suami wanita itu yang berusia 52 tahun, yang turut mendampinginya semasa ditemuramah wartawan, telah menyatakan rasa terkejut ketika mendengar berita yang menyebutkan bahawa bekas majikan isterinya itu kononnya telah memperkosa pembantunya, apalagi mahu mempercayai bahawa mangsa itu adalah isterinya.

"Selama bekerja di Malaysia, isteri saya tidak pernah mengeluh mendapat perlakuan yang tidak baik daripada majikannya," kata beliau.

Bekas pembantu rumah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Robingah, 46 semalam menafikan dakwaan dia telah dirogol oleh bekas majikannya itu seperti yang tersebar dalam Internet baru-baru ini.

Malah, wanita itu, sebaliknya memberitahu, dia telah dilayan dengan baik oleh Rais dan ahli keluarganya sepanjang bekerja di rumah majikannya itu dari tahun 1999 hingga 2007.

"Datuk Rais Yatim orang yang baik. Bahkan pemberitaan yang selama ini menyebutkan saya sudah diperkosa sama sekali tidak benar. Saya juga sering diberi wang serta oleh-oleh daripada beliau," jelas wanita warga Indonesia berusia 46 tahun itu kepada wartawan di rumahnya di sebuah perkampungan di Jawa Tengah, Jumaat.

Laporan portal berita detik.com memetik beliau sebagai berkata bahawa sepanjang lapan tahun beliau bekerja sebagai pembantu di rumah Rais dari 1999 hingga 2007, beliau pernah diberi cuti satu setengah bulan.

Katanya, beliau bekerja bersama tiga orang pembantu lain dari Indonesia.
"Biasanya kami sering bahagi-bahagi tugas. Saya bertugas sebagai pengantar makanan jika ada jamuan di rumah Datuk. Selain itu juga membukakan pintu pagar bila Datuk baru pulang," katanya.

Robingah semalam dikunjungi empat kakitangan Balai Pelayanan Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BP3TKI) di rumahnya di Banjarnegara, Jawa Tengah untuk siasatan mengenai dakwaan tersebut.

Dan semalam juga NGO - Migrant Care yang berpangkalan di Jakarta memutuskan untuk tidak akan membawa perkara berkenaan kepada mahkamah, lapor Kompas.com.
Ia kerana menghormati hak seorang amah Indonesia yang didakwa dirogol oleh seorang menteri Malaysia.

"Kami berada pada posisi menghormati permintaan mangsa supaya kes ini tidak dihebahkan dan dibawa ke muka pengadilan,” kata penganalis dasar, Migrant Care, Wahyu Susilo, pada sidang media di Warung Daun, Cikini, Jakarta. Menurut Wahyu, Migrant Care berharap kejadian itu dijadikan teladan kepada kerajaan Indonesia supaya tidak mengabaikan nasib pekerjanya di luar negara.

"Pemerkosaan perlu dibuktikan dan harus ada laporan sebelum membolehkan tindakan lanjut diambil. Tetapi sehingga malam semalam, mangsa masih belum mahu membuat laporan, maka kami hanya menghormati.

Saya kira dalam keadaan ini kami tidak boleh ke mahkamah tetapi hanya ingin menegakkan hak asasi manusia dan mahu kes tersebut dijadikan pelajaran kepada kedua-dua kerajaan untuk benar-benar serius soal perlindungan buruh asing,” katanya.

Amat jelas kini dengan Rais membuat penafian dan Robingah semalam menafikan Rais ‘merogolnya’, kes ini seakan tamat.

Rabu lalu, Rais menafikan segala dakwaan yang dibuat ke atasnya oleh beberapa orang bloger dan juga beberapa pemimpin parti pembangkang bahawa dia telah memperkosa pembantu rumahnya berbangsa Indonesia empat tahun lalu ketika masih berkhidmat di bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.

Malah, hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk julung-julung kalinya mengulas mengenai kes ini dengan menggesa semua pihak agar tidak membuat andaian ke atas tuduhan yang dilemparkan kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, bahawa beliau telah merogol pembantu rumahnya empat tahun dahulu.

Perdana Menteri berkata, semua pihak harus membenarkan undang-undang mengambil tempatnya kerana Rais telah menyatakan kesediaannya untuk disiasat secara menyeluruh berkaitan dakwaan tersebut.

"Beliau telah pun membuat kenyataan berhubung dakwaan itu dan beliau berdiri teguh bahawa beliau tidak melakukan perbuatan itu. Oleh itu kita tidak harus membuat andaian dan menjatuhkan hukuman ke atas seseorang melainkan siasatan telah selesai dilakukan," ujar Najib.

Banyak pihak meminta Najib membuat pendirian mengenai isu ini dan ternyata dua penafian oleh Rais dan Robingah telah menjernihkan imej Rais.

Kini terpulanglah untuk Rais yang berkelulusan undang-undang untuk memikir atau menilai apakah akan mengambil sebarang tindakan terhadap orang yang ‘memfitnahnya’.
Apakah Rais akan menyaman dan menuntut ganti rugi kerana memalu dan mengaibkan diri dan tempias terhadap keluarganya.

Kita juga mahu mendengar apakah ada permohonan kemaafan daripada mereka yang sebelum ini mendakwa Rais seorang ‘perogol’.

Thursday, January 6, 2011

SIASAT TUDUHAN RAIS ROGOL AMAH KE AKAR UMBI

Majlis Veteran Umno Kelantan mengutuk sekeras-kerasnya tuduhan liar yang disiarkan oleh sebuah blog di internet yang mendakwa Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim terlibat dalam satu kes jenayah memperkosa pada 2007.

Pengerusinya, Datuk Rozali Isohak berkata tuduhan melulu tanpa usul periksa dibuat dengan niat jahat dan berkepentingan untuk menjatuhkan nama baik seseorang menteri diamanahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Veteran Umno Kelantan mengesa polis menyiasat laporan itu hingga ke akar umbi dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas mereka yang bertanggungjawab melemparkan tuduhan buruk itu," katanya.

Rais dalam kenyataanya semalam menafikan sebarang alegasi tersebut sama ada yang berkaitan alegasi memperkosa mana-mana individu empat tahun lepas atau lain-lain dakwaan yang dicetuskan penulis liar blog di Internet atau mana-mana entiti politik.

Beliau mendakwa ianya tuduhan yang dicetuskan penulis liar blog dan parti politik pembangkang.

Sehubungan itu beliau pihak yang terlibat membuat tuduhan tersebut disiasat mengikut lunas undang-undang.

Rais turut memaklumkan beliau dan keluarga, sedia memberi kerjasama membantu siasatan dan menerima apa sahaja keputusan siasatan akhir nanti.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyambut baik cadangan Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mahu isu dakwaan seorang menteri merogol pembatu rumah Indonesia, diselesaikan mengikut lunas undang-undang.

Sambil mengalukan penafian keterlibatan yang dibuat Rais semalam, beliau mahu isu itu disiasat dengan segera kerana ia membabitkan nama baik negara dan mampu menjejaskan hubungan serantau Malaysia-Indonesia.

Di Indonesia, NGO yang mendedahkan isu ini, Migrant Care akan membuat satu sidang media khas sebagai menjawab isu ini selepas laporan mereka didedahkan oleh WikiLeaks dan kemudiannya media khasnya laman web dan blog di Malaysia.

"Kita setuju bahawa isu ini perlu disiasat. Kita minta polis menyiasat dakwaan dalam blog-blog yang telah mendedahkan perkara ini. Kita tidak mahu nama baik Malaysia terjejas dan juga menjatuhkan imej Rais Yatim," kata Mahfuz ketika mengulas kenyataan Rais.

Namun blog manakah yang perlu disiasat?

Menariknya, sebuah blog menyebut, isu Datuk Seri Utama Rais Yatim yang dituduh memperkosa orang gajinya empat tahun yang lalu merupakan FITNAH yang paling jijik dan terkutuk ke atas seorang menteri kabinet.

Blog melalui entrinya pada 1 Januari 2011 lalu (sebelum Rais membuat penafian) menyebut: “Fitnah ini sengaja direka-reka, seperti mana fitnah yang dilemparkan ke atas Datuk Seri Najib berhubung pembunuhan Altantuya Saaribu. Lebih malang lagi, fitnah ini datangnya daripada para bloggers mesra kerajaan sendiri, yang seharusnya lebih berhati-hati atas segala maklumat yang diterima. Sepatutnya selidik, periksa dan teliti terlebih dahulu tuduhan-tuduhan tersebut, jangan jadikan blog kita seperti kedai kopi. "

Kata blog itu lagi: “Isu DS Rais Yatim sengaja dibangkitkan ekoran ura-ura rombakan kabinet akan berlaku tidak lama lagi dan terdapat pihak tertentu yang mahu melihat DS Rais tersingkir daripada kabinet. Terbukti, terdapat beberapa bloggers yang diberi upah bagi menjatuhkan menteri-menteri tertentu, melalui serangan peribadi. Kita sebagai bloggers mesra kerajaan biar bertindak secara bijak. Jangan sesekali menjadi bloggers upahan semata-mata mahu jadi kaya."

Tidak diketahui sejauh mana blogger berkenaan mendapat upah tetapi kebanyakan blog merujuk isu ini daripada pendedahan awal oleh rocky’s bru dan bigdotcom.

Kita lihatlah nanti sejauh mana siasatan akan dilakukan hasil kenyataan Rais itu.

Saturday, September 25, 2010

DR M RASIS, JEJAS KESTABILAN NEGARA?

"Saya sependapat dengan Dr Mahathir bahawa sebagai penduduk majoriti di negara ini orang Melayu harus beranggapan bahawa kuasa itu tidak seharusnya hilang dari tangan mereka. Jadi, kalau anggapan itu sudah tidak lagi dipakai, maka orang Melayu sendiri akan menerima padahnya dan mereka harus menerima di masa akan datang mungkin jawatan Perdana Menteri bukan lagi milik orang Melayu." - Dr Rais Yatim

Benarkah Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga terkenal kerana bukunya The Malay Dilemma - seorang yang rasis dan tidak bertanggungjawab?

Hakikatnya, itulah yang disebut mengenai bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan mempunyai otak perkauman dan wajar jika diajak berdebat.

Yang mengatakan Dr Mahathir perkauman ialah bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaludin yang terus meroyan mahu menjadi Menteri Besar dan yang ajak berdebat ialah pemimpin muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berpangkat ‘cucu’ dibandingkan dengan Dr Mahathir.

Saya mengatakan cucu kerana bukan sahaja dalam konteks usia tetapi pada suatu ketika (antara 1980an dan 1990an) Anwar Ibrahim dan keluarga cukup rapat dengan Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Sudah pasti ‘cucu’ berkenaan - ahli parlimen Lembah Pantai, Nuzul Izzah Anwar (anak Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga menjadi kenalan rapat Dr Mahathir dan keluargapada suatu ketika.

Namun kini kerana masa sudah berubah, kepentingan dan perjuangan juga berubah - Nurul Izzah sanggup mengajak Dr Mahathir berdebat dan baginya, kenyataan Mahathir itu tidak bertanggungjawab dan adalah sebahagian daripada usaha terdesak untuk menjejaskan kestabilan negara.

“Selain penggunaan isu perkauman, UMNO juga memakai satu-satunya pendekatan yang mereka mahir, iaitu 'Politik Ketakutan'. 'Politik ketakutan' menggunakan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sebagai alat untuk penipuan yang penuh terdesak,” katanya.

Menurut Nurul Izzah, masyarakat Melayu diindoktrinasi melalui pelbagai cara termasuk penggunaan NGO untuk berlakon sebagai mangsa.

Sementara Nizar yang disingkirkan, mendakwa Tun Dr Mahathir dikuasai otak perkauman dan kenyataannya bersifat rasis dan hasutan.

Bagaimanapun, kita boleh merujuk apa pula kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim mengenai perkara ini.

Kata Rais semalam, ingatan Dr Mahathir bahawa orang Melayu akan kehilangan kuasa dan suara sekiranya pembangkang berjaya memerintah negara adalah benar.

Ia berasaskan fakta politik, rekod pemerintahan dan Perlembagaan, kata Dr Rais.

Katanya, politik ialah bilangan iaitu siapa yang mempunyai majoriti akan diharap untuk menerajui pimpinan dan kerajaan manakala realiti yang tidak boleh dinafikan ialah sesebuah negara itu diperintah mengikut rekod serta tuntutan Perlembagaan.

"Apa yang dizahirkan oleh Tun Dr Mahathir bahawa sekiranya pihak-pihak pembangkang yang berselera tajam sekarang memerintah orang Melayu akan hilang kuasa adalah satu kebenaran.

"Kenyataan itu saya nilaikan sebagai satu ingatan yang sangat tajam dan setiap orang yang bernama orang Melayu harus berfikir dan sekiranya tidak (berfikir) janganlah nanti disalahkan orang lain," katanya mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir itu pada sidang media di Wisma Angkasapuri semalam.

Dr Rais berkata, atas faktor tersebut beliau sependapat dengan Dr Mahathir bahawa sebagai penduduk majoriti di negara ini orang Melayu harus beranggapan bahawa kuasa itu tidak seharusnya hilang dari tangan mereka.

"Jadi, kalau anggapan itu sudah tidak lagi dipakai, maka orang Melayu sendiri akan menerima padahnya dan mereka harus menerima di masa akan datang mungkin jawatan Perdana Menteri bukan lagi milik orang Melayu.

"Mungkin apa yang dirasai oleh Raja-Raja Melayu dan diterima oleh orang-orang Melayu juga tidak lagi berada di tahap yang ada sekarang," katanya.

Berhubung tindakan pembangkang yang merasakan semua kenyataan kerajaan yang berkaitan dengan hak-hak orang Melayu sebagai berlawanan dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan, Dr Rais berkata, ia merupakan satu pandangan yang sempit dan tidak berlandaskan Perlembagaan.

Beliau berkata, pandangan pembangkang berkenaan Perlembagaan biasanya sempit dan hanya berkaitan dengan hak dan orang Melayu sahaja.

"Landasan Perlembagaan ialah Perkara 153 wujud di situ sebagai keistimewaan orang Melayu dan juga "the legitimate interest of the others communities" (kepentingan kaum-kaum lain mengikut undang-undang)...tapi orang tak ingat perkataan itu di bawah Perlembagaan, mereka ingat tentang orang Melayu sahaja.

"Sebenarnya perkataan atau ungkapan and the legitimate interest of the other communities adalah sebahagian daripada Perkara 153. Jadi, dengan perkataan itu bermakna hak majoriti orang Melayu di bawah 153 sudah ada dan kita tidak mengubahnya (Perlembagaan)," katanya.

Dr Rais berkata, gagasan 1Malaysia bukan mengubah perlembagaan sebaliknya hanya mengubah sikap masyarakat supaya menerima Perlembagaan negara seterusnya menerima 1Malaysia berasaskan perlembagaan tersebut.

Katanya, perkara mengenai kontrak sosial iaitu kuasa-kuasa raja, bahasa kebangsaan, hak-hak istimewa, hak-hak komuniti yang lain dan juga perkara berkaitan dengan agama, pilihan agama dan hak berpendidikan telah diterima umum sejak sekian lama.

"Jadi, kita jangan silap, perlembagaan itu harus dilihat semula, bukannya berdasarkan apa yang ditokok tambah.

Kalau ada pihak-pihak yang masih memutar belitkan kenyataan itu terserah kepada mereka dan saya tidak gentar untuk menyatakan bahawa hak kita di bawah Perlembagaan jangan diusik dan kita perlu terus bina Malaysia atas realiti yang ada," katanya.