Sunday, December 7, 2008

SELAMAT MENYAMBUT AIDILADHA

Saya mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT AIDILADHA kepada semua Umat Islam. Maaf Zahir Batin.

Blog ini ‘bercuti’ esok dan akan kembali pada Selasa.




KUALA TERENGGANU - MAT SABU KEMBALI LAGI?

(Bahagian Ketiga)

Menyusuri bandar Kuala Terengganu - pulang berhari raya Aidiladha - masih kelihatan aman tanpa poster pilihan raya. Saya dapat gambarkan betapa bandar ini akan menjadi ‘meriah’ apabila tiba pilihan raya kecil nanti.

Saya yakin dengan bermulanya penamaan calon pada 6 Januari depan, Kuala Terengganu akan bertukar kepada ‘medan pertempuran’ antara Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Malah, pertempuran pandangan melalui komen – sama ada melalui email atau sms – mengenai pilihan raya kecil ini semakin banyak saya terima daripada pembaca dan rakan-rakan yang memperkatakan mengenai pilihan raya kecil ini.

Ada pendapat nakal daripada pengomen bungaraya pada 2 Disember lalu, melalui posting awal saya “KUALA TERENGGANU – PAS, PKR BEREBUT” pada 2 Disember lalu, mengenai pilihanraya kecil Kuala Terengganu.
bungaraya mengatakan: “Kenapa tidak Datuk Seri Idris Jusoh menjadi calon BN. Ini satu cara yang terbaik untuk mengubat luka lama.

Menteri Besar sekarang sendiri yang harus mencadangkannya. Pak Najib boleh menjadikannya Menteri Persekutruan suatu hari nanti. Okey kan? BN Trengganu tentu rasa terlepas dari tekanan kerana Mantan MB itupun bukannya calang-calang orang. Telah mampu membuktikan kepimpinannya.”

Tetapi lebih menarik, Mummy Rokiah pada tarikh sama melontarkan komen berikut: “Terengganu? Sesiapa juga calon itu faktor nombor 2. Faktor utama ialah MB Ahmad Said dengan Idris Jusoh mesti berganding tangan dengan ikhlas, jujur dan tulus. Jika ini tidak jelas, BN akan kecundang.”

Pendapat bungaraya sukar dilakukan (ada banyak perkara sensitif di Terengganu) walaupun ada kemunasabahnya. Ini bermakna Idris yang kini ADUN juga bertanding kerusi Parlimen.

Parlimen Kuala Terengganu dimenangi Allahayarham Datuk Razali Ismail dengan majoriti 628 undi apabila menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dan seorang calon bebas, Maimun Yusuf.

Bagaimanapun tiga dari kerusi DUN di menangi PAS iaitu Ladang, Batu Buruk dan Wakaf Mempelam. Sementara BN menang di DUN Bandar yang diwakili oleh MCA. Ladang, yang umumnya sukar dimenangi pembangkang, dimenangi PAS baru-baru ini dengan 31 undi sahaja. PAS juga pernah menguasai kerusi DUN ini pada 1999.

Satu faktor yang juga penting ialah sokongan padu orang Cina Terengganu terhadap Barisan Nasional yang membolehkan DUN Bandar dimenangi BN cukup membuktikan pada pilihan raya kali ini BN memerlukan sokongan mereka.

Pendapat kedua sangat menarik dan ini dinanti-nantikan. Memang wajar sementera
Mohd Sayuti Omar (MSO) menggariskan lima ‘fatwanya’ untuk PAS menang di Kuala Terengganu.

Yang penting kini Mat Said dan Idris Jusoh perlu membuktikan kepada pengundi Terengganu bahawa mereka berdua hanya ‘orang yang menurut perintah’ dan bukan penentu untuk jawatan Menteri Besar.

Dalam konteks ini baik juga ditinjau dahulu lima ‘fatwa’ oleh Mohd Sayuti Omar (orang rapat dengan kepimpinan PAS dan dikatakan ada pengaruh ) (lihat http//:msomelayu.blogspot. com) melalui blognya untuk direnung bersama. Kata Sayuti, fatwa untuk merampas kerusi itu mudah saja, sesiapa pun saya rasa ada menyimpan fatwa ini dalam kepala dan bersetuju dengannya.

Saya tidak menurun fatwa Sayuti di sini, sebaliknya saya juga ingin menurunkan ‘lima fatwa balasan + 1” untuk BN menang di Kuala Terengganu.

Tetapi saya rasa fatwa ini sukar sedikit untuk dilaksanakan dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) sekiranya ahli UMNO meletakkan kepentingan lain – selain menang pilihan raya – sebagai asas sokongan mereka pada pilihan raya kali ini.

1. UMNO dan parti komponen BN lain hendaknya menghadapi pilihan raya itu secara bersama tanpa ada 'keluk kelik' dengan mengambil kira perkara yang titik bengit. UMNO dan komponen BN harus sepakat dalam membuat kenyataan atau memberi pandangan tentang pilihan raya berkenaan bagi mengelakkan ianya dieksploitasikan oleh media massa. Sejauh ini BN tidak membuat kenyataan awal seperti Mursyiul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahukan Mohamad Sabu;

2. Parti komponen BN lain, perlu bekerja keras dan jangan menganggap ini calon UMNO tetapi BN. Tunjukkan ‘ribut dalam secawan kopi’ ialah amalan biasa dalam BN. Jangan timbulkan isu-isu yang menyentuh perpaduan kaum dan persefahaman mengamalkan agama masing-masing. PKR dan PAS ada masalah kerana PKR masih terasa dengan sikap Pesruruhjaya Pas Terengganu, Mustafa Ali yang sebelum ini bersikap dingin dengan Penasihat PKR, Anwar Ibrahim dan tidak berkecimpungan dalam pilihan di Permatang Pauh dulu. Tidak tahulah aka nada perbuatan membalas dendam atau sebaliknya;

3. Pemimpin utama komponen BN khususnya MCA, Gerakan atau juga PPP, dan dari Sabah dan Sarawak perlu turun sendiri semasa hari penamaan calon, mengiringi calon BN seperti mana ditunjukkan oleh Mursyidul Am Pas, yang datang bertongkat pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh menyokong Anwar. Berkubulah di situ dan secara tidak langsung juga cara itu boleh memulihkan persepsi kurang elok di kalangan penyokong BN dan tunjukkan perpaduan dalam BN;

4. Kalangan UMNO sendiri juga kena bersatu. Walaupun tidak ada kumpulan seperti dalam PAS seperti ‘Erdogan atau Pas klon’ perbuatan ‘cas keting’ akan merugikan BN. Kalau ada pihak yang melakukan demikian, boleh buang daripada parti. Jelaskan sebaik-baiknya kenapa orang seperti Datuk Zaid Ibrahim mesti disingkir; dan

5. Soal calon dalam BN tidak ada masalah. Dia mesti calon yang boleh diterima oleh semua pihak. Seperti juga PAS, pilihan raya kecil Kuala Terengganu ini memberi erti dan signifikannya yang tersendiri - Umno dan BN. Kejayaan UMNO dan BN akan membuktikan bahawa pilihan raya itu akan menjadi petunjuk apakah pengundi Terengganu khasnya di Kuala Terengganu tidak keliru atau kecewa dengan kegagalan projek 16 September.

Faktor tambahan bagi saya ialah yang membabitkan MCA – Faktor ini sama pentingnya dengan faktor lain kerana MCA menguasai satu kerusi DUN dalam Parlimen Kuala Terengganu.

Saya yakin pembangkang akan cuba mempengaruhi orang bukan-Melayu dengan janji-janji mereka, khususnya daripada Parti Keadilan Rakyat. Sebelum ini bukan-Melayu di Kuala Terengganu mungkin belum pernah terdedah denhan janji PKR tetapi sudah biasa dengan PAS.

Dengan janji dan harapan masa depan PKR yang sejauh ini berjaya mempengaruhi bukan-Melayu di Pantai Barat, apakah bukan-Melayu khususnya orang Cina di Kuala Terengganu akan turut termakan umpan PKR?

(Bersambung)

ADA USAHA SEKAT NAJIB JADI PM?

(Sembang Ahad)

Ramai yang pening kepala dan bingung apabila saya melontarkan pandangan mengatakan “Najib Tidak akan Menjadi Perdana Menteri” kira-kira tiga minggu lalu.

Dalam posting saya “AMARAN – NAJIB TIDAK AKAN JADI PM?” yang memetik tulisan Raja Petra Kamaruddin (PRK) melalui kolumnya No Holds Barred bertajuk ‘BALASUBRAMANIAM’S STATUTORY DECLARATION REVISITED’, Jumaat 21 November 2008, ada yang mengatakan perkara seperti ini tidak akan pernah dan tidak mungkin berlaku.

Mereka berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pasti akan menunaikan janjinya untuk melepaskan jawatan apabila Datuk Seri Mohamad Najib Razak secara rasmi menjadi Presiden UMNO.

Namun kini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan Najib tidak akan menjadi Perdana Menteri hanya sebagai ‘khabar angin’, tetap memberikan amaran.
Dr Mahathir berkata, pengekalan Abdullah sebagai PM tetap akan menyemarakkan kebencian rakyat kepada Umno dan BN sehingga menyebabkan politik akan bergolak sepanjang masa sehingga pilihanraya. Apabila datang pilihanraya percayalah majoriti rakyat akan tolak Umno dan BN, katanya.

Apakah Dr Mahathir kini turut bimbang serta separuh percaya, cumanya tidak mahu mengesahkan kemungkinan itu?

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pula berkata, Datuk Seri Abdullah Badawi tidak perlu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas Datuk Seri Najib Razak mengambil alih Presiden UMNO pada Mac.

Dalam tulisannya, RPK menyebut, Perlembagaan Malaysia tidak menyatakan seseorang Presiden UMNO semestinya menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Sambungnya, apa yang disebut dalam Perlembagaan Malaysia ialah Yang DiPertuan Agong mesti melantik Ahli Dewan (Rakyat) (salah seorang daripada 222 Ahli Parlimen yang mendapat keyakinan atau sokongan daripada majority Ahli Dewan sebagai Perdana Menteri).

Kata RPK, Pak Lah sudah mempunyai 82 ahli Parlimen Pakatan Rakyat dengannya dan 20 Ahli Parlimen dari UMNO. Yang diperlukan hanya 10 sahaja daripada MCA, MIC dan Gerakan yang kesemuanya berjumlah 20 orang.

Ini bermakna menurut RPK, walaupun tanpa Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak, Pak Lah boleh kekal menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Dan Malaysian Insider, 3 Disember 2008, memetik Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai berkata, Datuk Seri Abdullah Badawi tidak perlu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas Datuk Seri Najib Razak mengambil alih Presiden UMNO pada Mac.

“Ia adalah prerogatifnya kerana beliau (Abdullah) mendapat mandat untuk lima tahun,” kata Razaleigh .

Beliau menjawab tulisan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Abdullah masih berminat kekal berkuasa selepas adanya pemilihan parti berkenaan.

Tengku Razaleigh mengakui akan terus menyokong kepimpinan Abdullah dan kerajaan dalam kapasitinya sebagai Ahli Parlimen.

Razaleigh berpendapat: “Dia (Razaleigh) mendapat keyakinan majoriti Ahli Parlimen. Dan Perdana Menteri dilantik oleh Yang DiPertuan Agong, bukannya Perhimpunan Agung,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Tegasnya, dengan UMNO semakin lemah, kini tiada lagi hubungan antara Presiden Parti dengan jawatan Perdana Menteri.

“UMNO hari ini tidaklah sekuat sebelum ini dan kini kita hanya mengawal 30 peratus sahaja kerusi Parlimen.

Sehari sebelum itu, pada 2 Disember 2008, dalam postingnya bertajuk ‘Mac 2009’ Tun Dr Mahathir Mohamad berkata biasanya sesiapa yang menjadi Presiden Umno akan menjadi Perdana Menteri jika Barisan Nasional menang dan menjadi parti yang terbesar dalam Parlimen.
Tetapi ini tradisi sahaja. Jika diberi kepercayaan oleh majoriti ahli Dewan Rakyat, yang bukan Presiden Umno dan Pengerusi BN juga boleh jadi Perdana Menteri.

Menurut Tun Dr Mahathir, negara tertunggu-tunggu Mac 2009 di waktu mana peralihan kuasa dikatakan akan berlaku. Kepercayaan bahawa ini akan berlaku diasaskan kepada pengumuman oleh Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dia akan serah jawatannya kepada Dato' Seri Najib Tun Razak pada tarikh tersebut.

Abdullah juga menyatakan yang dia tidak akan bertanding jawatan Presiden Umno dalam pemilihan ahli Majlis Tertinggi Umno pada Mac 2009. Justeru tidak ada bahagian yang mencalonkan Abdullah sebagai Presiden.

Bagaimanapun, Tun Dr Mahathir member amaran, “Berita angin sudah berkembang bahawa walaupun Najib akan jadi Presiden Umno, tidak semestinya dia akan jadi Perdana Menteri. Berita yang didengar ialah Abdullah masih berminat meneruskan jawatan Perdana Menteri. Jika diambil kira sikap pemimpin dan ramai ahli Umno, kemungkinan ini berlaku tidak mustahil. Mereka tidak akan menentang Abdullah kerana mereka amat selesa dengan kepimpinan beliau dan nikmat tertentu yang mereka dapati darinya.”

Apapun Dr Mahathir berkata, pengekalan Abdullah sebagai PM tetap akan menyemarakkan kebencian rakyat kepada Umno dan BN. Politik akan bergolak sepanjang masa sehingga pilihanraya. Dan apabila datang pilihanraya percayalah majoriti rakyat akan tolak Umno dan BN.

Dr Mahathir berkata, jika Abdullah cuba terus menjadi Perdana Menteri selepas Mac 2009, rakyat harus beri mesej yang jelas yang UMNO serta BN akan dikalahkan.

Melihat kepada ulasan mereka ini, saya ingin sekali lagi melontarkan soalan yang pernah saya kemukakan sebelum ini – benarkah ada gerakan menyekat Najib menjadi Perdana Menteri?

Apakah usaha itu dilakukan secara terancang oleh kumpulan yang mempertahankan Abdullah?

Siapa yang terbabit?