Friday, January 14, 2011

PM ARAH MASJID KAMPUNG KERINCI PERLAHANKAN SUARA AZAN?

Aduan peguam yang tinggal di Pantai Hill Park - dimajukan terus kepada perdana menteri sebelum dipanjangkan kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri dan JAWI serta akhirnya dimaklumkan kepada pihak masjid...peguam itu mendakwa bunyi solat Subuh di masjid itu "amat lantang" sehingga mengejutnya dari tidur!



Sukar mempercayainya. Namun itulah yang diperkatakan oleh penduduk sekitar masjid Kampung Kerichi di tengah Bandaraya Kuala Lumpur.

Kesian dengan penduduk Kampung Kerinci yang dikatakan majoritinya orang Islam dan Melayu.

Kini mereka berdepan dengan bantahan seorang peguam yang mahukan suara azan dan bacaan ayat suci al-Quran diperlahankan.

Apakah kejadian atau keputusan yang dibuat ke atas Majid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinci ini akan menjadi contoh ikutan pada masjid lain di Selangor?

Apakah orang bukan Islam yang komponennya 50 peratus atau lebih di sesuatu kawasan akan turut ‘pasang lawyer’ seperti yang berlaku di Kampung Kerinci?

Laporan Malaysiakini hari ini menyebut “Ekoran aduan, azan masjid Kg Kerinci diperlahankan” yang memaksa pihak pengurusan mengambil pendekatan memperlahankan bunyi pembesar suara ketika laungan azan termasuk ketika solat Jumaat.

Menurut laporan Malaysiakini, tindakan masjid itu dibuat ekoran aduan seorang peguam bukan Islam yang mendakwa bunyi solat di masjid itu "amat lantang".

Malah turut difahamkan aduan peguam tersebut yang tinggal di Pantai Hill Park - yang terletak lebih kurang satu kilometer dari masjid berkenaan. - dimajukan terus kepada Perdana Menteri sebelum dipanjangkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan JAWI serta akhirnya dimaklumkan kepada pihak masjid.

Betulkah dakwaan itu atau sengaja nama Perdana Menteri dan Menteri digunakan?

Dengan membabitkan nama Perdana Menteri dan Menteri, ia akan menjadi isu lebih besar dan semestinya memerlukan penjelasan mereka!

Pengurusan masjid berkenaan dimaklumkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan ( JAWI ) bahawa sebelum ini, peguam berkenaan ada menelefon jabatan itu, merungut bahawa bunyi azan "masih lagi kuat".

Ketua imam masjid berkenaan Mahadi Abdullah berkata semalam, pihaknya mengurangkan kadar laungan azan itu selepas mengadakan perbincangan dengan (JAWI) akhir Disember lalu.

Mahadi berkata beliau difahamkan aduan peguam tersebut yang tinggal di Pantai Hill Park - dimajukan terus kepada perdana menteri sebelum dipanjangkan kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri dan JAWI serta akhirnya dimaklumkan kepada pihak masjid.

Katanya, dalam surat tersebut - yang salinannya diberi oleh JAWI kepada pihak masjid - peguam itu mendakwa bunyi solat Subuh di masjid itu "amat lantang" sehingga mengejutnya dari tidur.

Mengenai rungutan penduduk yang mereka tidak lagi mendengar bacaan al-Quran dan pengajian kuliah Maghrib manakala laungan azan Jumaat yang perlahan sekarang, Mahadi sekali lagi berkata: "Saya tidak boleh berbuat apa-apa, kita hanya terima arahan dari pihak atasan".

"Selepas berjumpa dengan JAWI, kita memperlahankan sedikit laungan azan (pembesar suara) pada setiap waktu solat.

"Ketika khutbah Jumaat, kita menggunakan pembesar suara dalam dewan solat sahaja," katanya seperti dilaporkan Malaysiakini petang semalam.

Mahadi yang mula bertugas di masjid berkenaan sejak Mac tahun lalu berkata keputusan pihak masjid itu menimbulkan 'rasa tidak puashati' di kalangan penduduk yang majoritinya orang Melayu.

Bagaimanapun, Mahadi berkata beliau "tidak boleh buat apa-apa kerana ia adalah arahan pihak atasan".

"Kita terpaksa ikut," katanya sambil menambah pertemuan beliau dengan pihak JAWI berlangsung pada akhir Disember lalu.

Ditanya mengenai rancangan sekumpulan individu untuk mengadakan perhimpunan membantah tindakan peguam berkenaan, Mahadi berkata, pihaknya ada mendengar mengenainya.

"Tetapi kita (masjid) tidak terlibat apa-apa," katanya sambil menambah beliau tidak mengetahui identiti kumpulan berkenaan.

Yang pasti, isu ini menarik untuk diperhatikan dan Malaysiakini akan ada perkara menarik yang akan berpanjangan untuk dijadikan bahan beritanya!