Monday, May 29, 2017

SOSIALISASI POLITIK JANGAN SAMPAI WUJUDKAN POLARISASI KAUM, AGAMA...


Poliarisasi dan ketegangan kaum di negara ini sepatutnya sudah menjadi sejarah.

Apa tidaknya, selepas dilaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) mulai awal 1970-an yang memakan masa 20 tahun, ia dianggap formula terbaik menyelesaikan masalah polarisasi kaum dalam masyarakat Malaysia sejak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, 

Dengan matlamat serampang dua mata – menghapuskan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat – selain Rukun Negara yang turut diperkenalkan, sewajarnya polarisasi kaum tidak lagi wujud, apa lagi ketegangan kaum selepas pengajaran daripada peristiwa 13 Mei 1969.

Malah, dengan Perlembagaan Malaysia yang sering dipinda untuk bersesuaian dengan keadaan semasa, wajar sekali isu polarisasi kaum sudah lenyap dan bukan menjadi sesuatu yang menjadi ancaman kepada kestabilan negara.

Namun ternyata kini, malah hari ini, isu polarisasi kaum ini bukan semakin terhakis. Malah, ia kembali berpenyakit dalam kalangan masayarakat Malaysia.

Apakah ini menggambarkan bahawa Gagasan 1Malaysia tidak berkesan atau memerlukan lagi masa atau tempoh untuk merealisasikannya?

Juga apakah slogan 'Sehati Sejiwa' hanya ucapan semata-mata dan pada parktiknya ia untuk sokongan kepada kerajaan semata-mata?

Malah kini, kadangkala polarisasi kaum ini dikaitkan dengan isu agama dan semakin menjadi-jadi, apa lagi apabila kerajaan sendiri nampaknya tidak jelas atau bersungguh dalam menangani isu ini.

Lebih memburukkan keadaan,  politik ketegangan kaum yang cuba diredakan oleh pemuafakatan parti politik perkauman bermula dengan pakatan pembangkang mulai pilihan raya 1990, kini dilihat semakin berkecai.

Namakanlah apa sahaja. Sama ada ia Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan - selain persefahaman bagi tujuan memenangi pilihan raya - matlamatnya ialah menuju ke arah pelupusan ‘konflik dan ketegangan’ antara kaum.

Namun, segala-galanya kini jelas dengan parti pemerintah sendiri – Barisan Nasional (BN) – sering dilihat turut memainkan sentimen perkauman dan agama menyebabkan masyarakat Malaysia menjadi kacau-bilau dan haru-biru.

Formula politik BN yang mulanya menenangkan masyarakat yang seketika dahulu meredakan ketegangan kaum,  kini sudah tidak lagi.

Akhir-akhir ini akibat ‘perbalahan politik’ yang semakin memuncak. apa lagi BN, khususnya Perdana Menteri  begitu bimbang akan kehilangan kuasa, serangan berbentuk perkauman terhadap parti tertentu bersifat perkauman dan sentimen agama amat menakutkan.

Malah tindakan The Star semalam yang menyiarkan gambar orang Islam sedang menunaikan solat di muka satunya beserta dengan tajuk utama 'Malaysian Terrorist Leader', membawa kesan negatif dan tanggapan buruk terhadap masyarakat Melayu dan Islam di negara ini.



Ini bukan kali pertama kekhilafan seperti ini dilakukan  oleh The Star, menyebabkan sebilangan orang Islam merasakan 'Islam semakin dipersendakan' oleh media yang dikawal oleh pemilik bukan Melayu dan bukan Islam.

Memburukkan keadaan The Star dimiliki oleh MCA - sebuah parti komponen Barisan Nasional - yang sering melaung-laungkan pentingnya  perpaduan kaum menunjukkan sikap dan keputusan editorialnya yang boleh dipersoalkan.

Bayangkan jika media pembangkang melakukan kekhilafan seperti ini, apa akan dilakukan oleh kerajaan, parti-parti komponen BN dan pemimpin BN terhadap media berkenaan?.

Kekhilafan dapat diatasi sekiranya sidang pengarang The Star tidak merangkumkan kedua-duanya, iaitu gambar dan tajuk pada muka yang sama.

Namun, nasi sudah menjadi bubur.

Tekanan terhadap kerajaan agar tindakan keras diambil juga akan menguji sejauh mana sebenarnya kerajaan bersedia bertindak untuk kesilapan yang membawa 'kemarahan orang Melayu dan Islam di negara ini' dapat diredakan.

Sebaliknya, persoalan berkaitan ialah, apakah kerajaan akan menyalahkan orang Melayu dan Islam di negara ini berkaitan kekhilafan oleh The Star ini?

Atau apakah orang Melayu dan Islam akan 'menerima sahaja' apa sahaja keputusan Kementerian Dalam Negeri yang akan membuat keputusan hari ini atau sehari dua ini gara=gara kekhilafan ini?

Amaran atau mungkin sehingga amaran keras adalah tindakan yang biasa dikenakan kepada media yang nyata tidak sensitif kepada isu agam dan perkauman,  namun apa kesan yang tersirat dalam konteks hubungan kaum dan agama di negara ini?

Selain isu seperti ini,  dengan kedudukan di mana penggunaan media sosial yang semakin sukar untuk dikawal, lebih-lebih lagi serangan secara terang-terangan terhadap kaum tertentu yang dijangka akan semakin memuncak apabila semakin dekatnya Pilihan Raya Umum ke-14, sangat berbahaya kepada negara jika tidak segera dikawal.

Amat malang kerana pada ketika Malaysia yang mempunyai berbagai jenis kumpulan etnik, banyak pengguna media sosial berbagai kaum menggunakannya untuk tujuan salah - menunjukkan perasaan tidak puas hati, kemarahan serta kebencian mereka,  selain kejengkelan terhadap kepercayaan agama atau juga budaya kaum lain di laman media sosial.


Sewajarnya media sosial digerakkan ke arah memupuk persefahaman dan meredakan pertelingkahan.

Memburukkan lagi keadaan sama ada oleh parti pemerintah atau juga pembangkang ialah meraka saling salah menyalahi antara satu dengan lain dan tiada ‘mediator’ dan pihak yang menyelesaikan ketegangan secara yang bersungguh-sungguh.

Masa sudah tiba supaya kumpulan 'meredakan ketegangan' diwujudkan..

Banyak kali beban diletakkan di atas bahu kerajaan atau juga pembangkang namun siapa sebenarnya yang sepatutnya mengambil peranan atau fungsi mengatasi isu polarisasi kaum yang semakin membimbangkan ini?

Sering diperhatikan, permasalahan atau tuduh menuduh walaupun seperti nampak lenyap tetapi tetap ‘membakar seperti api dalam sekam’.

Ironinya dan sangat menyedihkan ialah kedudukan dan keadaan kedua-dua pihak – kerajaan dan pembangkang - seperti gembira menggunakan isu ketegangan kaum ini sebagai platform bagi meraih undi.

Penulis bersetuju dengan pendapat pensyarah Sains Politik dan Kewartawanan di Universiti Tunku Abdul Rahman, Perak,  Edwin Michael yang baru-baru ini bahawa kebanyakan kita – kerajaan atau pembangkang -  gagal memahami bahawa  segala persepsi dan mentaliti anti sesuatu kaum itu kini kebanyakkanya dibentuk melalui proses sosialisasi politik di media sosial.


Kesannya ialah,  akan semakin terhakislah kesepaduan sesama etnik dan kaum akibat proses sosialisasi politik yang seperti terbiar ini

Yang pasti, sosialisasi politik akan membentuk budaya politik dalam sesebuah kumpulan etnik. Keadaan ini sudah pastinya akan membentuk pula hala tuju pemikiran rakyat dalam menilai sesuatu perkara, termasuk dalam isu perpaduan kaum yang akan memberikan kesan kepada budaya politik negeri dan negara.

Apa juga kejadian, peristiwa atau insiden yang menyebabkan kepada ketegangan antara etnik dan kaum pastinya akan merenggangkan hubungan antara rakyat. Akhirnya amalan dan pola politik di kalangan rakyat akan menjadi tidak sihat.

Persoalan mudah, sanggupkah kita melihat antara etnik dan kaum di negara ini tidak menghormati lagi antara satu sama lain?

Sebagai pemerintah,  BN perlu membentuk pelan dan strategi sosialisasi politik di kalangan rakyat, terutamanya kalangan golongan muda yang bijak menggunakan media sosial ke arah perpaduan, bukannya ke arah kebencian.

Apalagi jika media sosial itu menjurus atau membawa kepada ketegangan budaya dan agama.

Pembangkang yang dilihat berkesan mencipta dan menggerakkan sosialisasi politik dalam kalangan penyokongnya di media sosial, juga perlu mengelakkan pertembungan pendapat dan nilai yang boleh merosakkan perpaduan kaum di negara ini.

Banyak sudah insiden yang mendatangkan kebimbangan kemungkinan akan berlakunya konflik antara kaum, Kerajaan tidak boleh menganggapnya sebagai masalah sementara atau juga terpencil, lebih-lebih lagi insiden seperti pergaduhan berhampiran sebuah surau di Taman Austin Perdana, Johor Bahru, Jumaat lalu.

Ia sangat terkesan dan masih ramai lagi yang belum lupa dengan insiden kes kecurian telefon di Plaza Low Yat pada Julai 2015 yang hampir mencetuskan rusuhan apabila dilihat sebagai isu perkauman.

Soalnya apa langkah segera untuk mengawal keadaan ini?

Berikutan itu pandangan pensyarah seni bina Islam di Universiti USCI, Dr Tajuddin Rasdi,  jangan dipandang sebelah mata.


Beliau memberikan cadangan agar ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengenal pasti punca ketegangan kaum yang ‘sedang membara’ di Malaysia ketika ini.

RCI berkenaan perlu mengenal pasti segera apakah polarisasi kaum yang semakin memburuk kini kesan daripada sistem pendidikan, ekonomi atau sistem kepartian yang terus mementingkan kaum dan agama di negara ini>

Atau apakah ketegangan diakibatkan oleh isu pentadbiran dan perancangan termasuk penguatkuasaan terhadap harga barangan, pengedaran atau apa sahaja yang melibat kepentingan pengguna dan budaya kepenggunaan.

Mungkin juga ada kes yang perlu dilihat dalam aspek penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan, polis atau pihak-pihak lain yang ada kena mengena dengan kepentingan masyarakat setempat.

Juga jangan lupa, tindakan tegas perlu diambil terhadap sesiapa sahaja yang menyalahgunakan media sosial seperti mengajak ke arah pertelingkahan yang boleh menghasilkan ketegangan kaum.

Parti politik termasuk kerajaan jangan pula membiarkan penyokong menghina kaum atau agama lain dalam kempen atau kritikan mereka terhadap perjuangan atau arah tuju sesebuah parti dan pemimpinnya.

Dengan kedudukan di mana Perdana Menteri sendiri mengatakan masa depan Malaysia bergantung kepada kestabilan politik dan sosial berterusan, iaitu prasyarat menjamin dasar Transaformasi Nasional 2050 (TN50)  berjaya dilaksanakan, selain memerlukan keharmonian antara agama dalam kalangan rakyat Malaysia, adalah wajar parti pemerintah menjadi contoh ke arah usaha ini.

Kenyataan pemimpin kerajaan, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan, termasuk pemimpin politik dari BN sewajarnya tidak melampui garis panduan dalam isu keharmonian kaum.

Kalaupun mahu ‘menyerang’ atau berbalas kenyataan dengan parti lawan, pastikan perkara yang menyentuh agama dan budaya dielakkan.

Apa juga percakapan dan tindakan, pastikannya ia tidak menghala serta mempengaruhi pemikiran rakyat untuk membenci kaum atau agama selain kalangan mereka.

Yang penting, jika tindakan tegas perlu diambil, bertindaklah.

Dan pastikan tindakan itu adil, tidak bersifat berat sebelah dan dilihat tidak mengambil peluang untuk menekan pihak lain.