Tuesday, August 10, 2010

TIDAK AKAN ADA PM DARIPADA DAP

Sengaja perturunkan pendapat MCA ini. Untuk direnungi bersama.

MCA Perlu Beri Lebih Penjelasan Kepada Pengundi Cina

MCA, parti politik kaum Cina yang terbesar di negara ini, perlu memberikan lebih banyak penjelasan kepada para pengundi Cina mengenai "gambaran tersembunyi" jika pakatan parti pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR)-DAP-PAS berkuasa pada peringkat persekutuan.

Pengerusi Institut Penyelidikan Analisis Strategik dan Kajian Dasar (INSAP), sebuah badan pemikir MCA, Tan Sri Dr Fong Chan Onn berkata tidak sukar bagi MCA untuk meraih kembali sokongan masyarakat Cina, selepas mendedahkan "gambaran tersembunyi" parti pakatan pembangkang.

"Bagi memenangi kembali sokongan para pengundi Cina tidak sukar asalkan kita dapat menjelaskan kepada mereka apakah 'alternatif' parti pakatan sebenarnya.

"Contohnya, (saya fikir) tiada pemimpin daripada PKR atau DAP yang boleh menjadi perdana menteri. Hakikatnya, pemimpin daripada PAS yang akan dicadangkan menjadi perdana menteri jika mereka memperoleh kuasa," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Menjelaskan perkara itu, Dr Fong, yang juga bekas naib presiden MCA dan Menteri Sumber Manusia, berkata ini kerana PKR tidak mempunyai "struktur politik", berbeza dengan DAP dan PAS.

"PAS mempunyai persamaan struktur politik seperti UMNO. DAP juga mempunyai struktur politik, tetapi berikutan syarat seorang yang beragama Islam dilantik sebagai Perdana Menteri, DAP akhirnya perlu membenarkan seorang pemimpin daripada PAS menjadi perdana menteri," katanya.

Dr Fong berkata oleh yang demikian, MCA perlu melakukan lebih banyak penjelasan mengenai "gambaran tersembunyi" ini dan tidak mengubah Malaysia menjadi sebuah negara autokratik.

"Meskipun ramai menyatakan PAS di Kelantan melayan kaum Cina dengan baik tetapi hakikatnya kekal ulama menjadi nadi pentadbiran negeri. Jadi apabila PAS memerintah Malaysia, wujud kemungkinan parti itu menggunakan model serupa seperti Iran yang menyaksikan pengaruh ualam dalam pentadbiran negara. Adakah kaum Cina akan selesa dengan keadaan ini," katanya.

Dr Fong berkata DAP berjaya mengelirukan rakyat tentang perkara ini meskipun mereka mengetahui tiada pemimpin DAP atau PKR boleh dilantik sebagai perdana menteri jika pakatan parti itu dapat berkuasa," katanya.

"Kita perlu menjelaskan perkara ini. Ini adalah satu realiti," katanya.

Dr Fong berkata sudah tiba masanya bagi MCA, yang menjadi parti komponen kedua terbesar Barisan Nasional, menggemblengkan anggota parti untuk bertindak bersama dan menjelaskan "gambaran tersembunyi" yang dipromosikan pakatan pembangkang.