Orang bukan Melayu sedang memerhatikan gelagat orang Melayu dan Islam bercanggah sesama sendiri, khususnya mengenai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Dan yang banyak bercakap mengenai isu ini akhir-akhir ini ialah pemimpin dan penyokong PAS.
Yang tunjuk perasaan dan membantah rata-ratanya ‘mahasiswa’ Islam dan dibuktikan dengan wanitanya bertudung tetapi tidak pula berani mendedahkan wajah mereka.
Jika benar isu PTPTN adalah isu nasional, mana pemimpin bukan Melayu dari PKR dan DAP bercakap mengenai isu ini?
Malah, terbukti sudah, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng memang menyokong kuat rang undang-undang penubuhan PTPTN berdasarkan hansard pada 14 Mei 1997, bilangan 27, jilid III.
Ketika rang undang-undang ini dibentangkan pada 1997 oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Menteri Pelajaran, pembangkang turut menyokong penubuhan tabung itu.
Malah, Kit Siang sebagaimana dipetik daripada hansard Parlimen berkata: "Tuan Yang Dipertua, saya mengalu-alukan Rang Undang-Undang PTPTN untuk memperuntukkan satu tabung bagi membenarkan anak-anak kita berpeluang melanjutkan pendidikan tinggi.
"Dalam masa negara kita menuju kepada satu masyarakat berilmu, institusi pengajian tinggi tentulah memainkan satu peranan yang penting dan kita perlu memupuk satu budaya cemerlang dalam semua bidang di universiti."
Petikan hansard mengenai sokongan Kit Siang dan Guan Eng tersebut turut didedahkan di dalam laman blog, http://www.mole.my.
Guan Eng pula dipetik sebagai berkata: "Tuan Yang Dipertua, saya ingin mendapat jaminan daripada Yang Berhormat Menteri bahawa rang undang-undang ini akan dilaksanakan dengan adil dan saksama, tidak kira kaum serta agama.
"Ia mesti berdasarkan latar belakang sosial pelajar tersebut, iaitu kalau kita hendak meluluskan biasiswa atau pinjaman, ia mesti berdasarkan dua kriteria yang penting iaitu merit dan keperluan."
Guan Eng ketika itu Ahli Parlimen Kota Melaka berkata, peruntukan awal RM100 juta untuk PTPTN tidak mencukupi, sebaliknya menggesa kerajaan menyediakan dana sekurang-kurangnya RM1 bilion jika benar-benar ikhlas.
Kenapa mereka berdua kini berdiam diri? Mudah sahaja, mana-mana yang mereka merasakan menguntungkan bangsa mereka, mereka tidak akan bersuara.
Sekiranya jika kerajaan membuat apa-apa keputusan pun, mereka juga akan menerima untungnya.
Lagipun, kalau dah ‘mahasiswa Melayu’ sanggup turun ke jalanan, lebih baik mahasiswa mereka belajar dan mendapatkan keputusan yang baik!
Mengenai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita tidak hairan kalau beliau turun sama ke ‘padang’. Pertama, dia memang ‘kaki demonstrasi’ dan keduanya, keputusannya ketika belajar pun bukan baik sangat.
Pelajar cemerlang? Jauh sekali!
Kita memang kecewa dengan sikap membantah secara terbuka dan bersifat politik apabila contohnya pada demonstrasi di Kuala Terengganu kelmarin, UMNO dan Menteri Besar dijadikan sasaran.
Apakah PAS dan pengikutnya sedar bahawa dengan kehadiran kira-kira 100 ‘mahasiswa’ dan beberapa ibu bapa menggambarkan persetujuan ‘mahasiswa’ lain? Mereka mencanangkan 500 akan hadir namun jumlah yang hadir itu jauh merosot,
Kenapa?
Kerana yang lain hanya ‘menggelengkan kepala’ melihat telatah anak muda yang mudah dipengaruhi kononnya wujud ‘solidariti’ di kalangan mereka.
Ternyata kenyataan mereka tidak benar kerana beberapa kenyataan perwakilan pelajar turut menyokong dan mempertahankan PTPTN.
Timbalan Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Tuan Ahmad Nazmi Safwan Tuan Mat semalam berkata, pemansuhan pinjaman PTPTN sudah tentu akan memberi kesan kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) kerana kos kehidupan yang tinggi pada hari ini.
“PTPTN perlu dikekalkan kerana ia adalah bantuan untuk memberi pembiayaan kepada mahasiswa. Walaupun bersifat pinjaman sekurang-kurangnya kerajaan ada usaha untuk membantu.
Bagi Tuan Ahmad Nazmi, biarlah madu yang dihisap kita pada hari ini dapat dirasai oleh adik-adik kita pada masa hadapan.