Friday, September 20, 2013

KENAPA MUKHRIZ AMBIL KEPUTUSAN TANDING NAIB PRESIDEN...


"Saya akui "bin" saya memang menarik perhatian. Ia juga menaikkan saya ke satu imej tertentu kerana beliau (Tun Dr Mahathir) menjadi pemimpin untuk tempoh yang lama dan beliau masih ada sokongan yang tinggi. Saya seronok dapat meneruskan apa yang beliau perjuangkan tetapi saya ada idea-idea saya sendiri." 
- Datuk Paduka Mukhriz Mahathir

Daripada http://teganuku.blogspot.com

Kini apa yang dinanti-nantikan oleh semua orang benar-benar menjadi kenyataan - Menteri Besar Kedah, Datuk Paduka Mukhriz Mahathir secara rasminya mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan naib presiden Umno.

Pengumuman yang dinanti-nantikan itu akan disahkan pada Sabtu ini apabila semua calon diwajibkan mendaftar hasrat mereka untuk bertanding di Ibu Pejabat Umno di PWTC, Kuala Lumpur.

Jika semua calon yang sebelum ini telah pun mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding mengemukakan borang pendaftaran Sabtu ini, maka kesemuanya akan ada enam calon yang bakal merebut jawatan panas itu.

Selain penyandang jawatan - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Afdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein - mereka akan ditentang oleh bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam dan bekas Naib Presiden, Tan Sri Isa Samad.



Kini Mukhriz masuk gelanggang menjadikannya orang keenam yang mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan naib.

Tetapi sehingga jam 5 petang Sabtu ini, janganlah terlalu yakin yang jumlah calon terhenti setakat enam orang itu sahaja.

Mungkin ada lagi yang tiba-tiba muncul untuk menyerahkan borang pendaftaran.

Siapa tahu.

Kembali ke Mukhriz, sememangnya beliau tidak mempunyai banyak pilihan melainkan turut serta dalam pertandingan ini.

Sebabnya mudah. Jika Mukhriz tidak berbuat demikian sekarang, dari segi hierarki kepimpinan, bermakna, beliau akan ketinggalan di belakang Khairy Jamaluddin yang selaku ketua pergerakan Pemuda Umno Malaysia adalah juga bertaraf naib presiden Umno Malaysia.


Ramai yang melihat ini sebagai tidak baik untuk kerjaya politik Mukhriz. Bayangkan senario ini: dalam pemilihan sekali lagi tiga atau empat tahun dari sekarang, Khairy akan melangkah setapak di hadapan selaku ketua pemuda yang menawarkan diri untuk jawatan naib presiden sedangkan Mukhriz baru hendak menawarkan diri.

Jika ini berlaku, sudah tentulah Khairy memiliki kelebihan sepertimana Hishammuddin menawarkan diri bertanding kerusi naib selaku penyandang jawatan ketua pemuda dahulu.

Untuk pusingan akan datang, senario Khairy akan bertanding jawatan naib bukan lagi satu kemungkinan tetapi satu kemestian sesuai dengan umurnya yang telah matang dan kedudukannya yang telah kukuh dalam kepimpinan politik Umno.

Bercakap dari segi umur walaupun umur Khairy jauh lebih muda daripada  Mukhriz iaitu mereka dipisahkan hampir lapan tahun namun barang diingat yang mereka adalah seangkatan atau segenerasi dalam Umno.

Kedua-duanya aktif hampir serentak dan kedua-duanya bertanding jawatan ketua pemuda Umno Malaysia yang berakhir dengan Khairy menang menewaskan Mukhriz dan seorang lagi calon iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo.


Dari sudut itu, Khairy mengatasi Mukhriz tetapi pada masa yang sama, Mukhriz tidak kalah segala-galanya.

Ini kerana dari sudut jawatan dalam kerajaan, Mukhriz terlebih dahulu mengatasi Khairy dengan dilantik sebagai timbalan menteri Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa sedangkan Khairy tidak.

Namun begitu, selepas Pilihan Raya Umum Ke-13, kedua-dua mereka kembali berada di tahap yang sama apabila Khairy dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan manakala Mukhriz pula menyandang jawatan Menteri Besar Kedah.

Kedua-duanya telah menunjukkan prestasi yang membanggakan malah di antara ramai menteri dan muka baru, mereka berdua adalah antara yang paling menyerlah dan menunjukkan kematangan serta potensi sebagai pemimpin di peringkat yang tinggi.

Jadi pendek kata, Mukhriz mahu tidak mahu perlu masuk gelanggang sekarang daripada menunggu satu lagi pusingan tiga atau empat tahun dari sekarang.


Mukhriz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah sudah menjelaskan kehadirannya dalam politik negara bukan bertujuan untuk mewujudkan dinasti bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, tetapi kerana minat beliau sendiri.


"Saya akui "bin" saya memang menarik perhatian. Ia juga menaikkan saya ke satu imej tertentu kerana beliau (Tun Dr Mahathir) menjadi pemimpin untuk tempoh yang lama dan beliau masih ada sokongan yang tinggi. Saya seronok dapat meneruskan apa yang beliau perjuangkan tetapi saya ada idea-idea saya sendiri," katanya pada sidang media selepas mengumumkan hasratnya bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti Oktober ini.

berkata ketika ini sudah ada di kalangan rakyat dan perwakilan Umno yang mula menilai keupayaan beliau sendiri untuk mentadbir dan memikir strategi demi kelangsungan parti.

Beliau akan mengisi borang untuk bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Jerlun pada pemilihan bahagian itu setelah diberi laluan oleh penyandang Datuk Abu Hasan Sarif.

"Datuk Abu Hasan maklumkan saya bukan bertanding tetapi penyerahan jawatan daripada beliau kepada saya. Kami (Umno Kedah) percaya penuh kepada perpaduan kerana menerusi perpaduan kami memenangi semula negeri ini.

"Beberapa daripada "kawasan" kami, saya akui wujud sedikit perpecahan sebelum ini tetapi menjelang pilihan raya umum lepas kami berjaya menyelesaikannya, dan mengenepikan semua perbezaan pendapat dan berjuang sebagai satu barisan bersepadu dan ianya membuahkan hasil," katanya

Dengan itu, jika Mukhriz ditakdirkan menang, maka di dalam hierarki parti, beliau akan meletakkan semula kedudukannya setaraf dengan Khairy yang sudah pastinya akan menang mudah jawatan ketua pemuda Umno yang juga bertaraf naib presiden.

Sumber MStar & Bernama

Sunday, September 15, 2013

LUPAKAN PAS YANG GAGAL PERJUANG KEPENTINGAN ISLAM, MELAYU& RAJA-RAJA MELAYU


"Amat wajar sekali tahaluf siasi bersama PKR ini dikaji setelah berlaku perkara-perkara yang boleh melemahkan Pas dan merosakkan hubungan di dalam tahaluf siasi...Pertukaran, perebutan dan penyerahan kerusi potensi Pas kepada PKR juga antara faktor yang perlu dikaji kembali dan ia antara faktor utama yang perlu diberi perhatian"
 - Datuk Dr Harun Taib

Akhirnya PAS mengakui ia gagal meyakinkan pengundi Melayu.

Bukan sahaja gagal merangka dan membentangkan cadangan membangunkan ekonomi orang Islam, Melayu dan Bumiputera.

PAS nyata gagal dalam semua perkara, termasuk politik.

Kegagalan PAS memikat hati pengundi Melayu bermakna bahawa PAS sebenarnya gagal berperanan sebagai sebuah parti politik memperjuangkan Islam di negara ini.

Dengan perjalanan parti itu yang mementingkan kerjasama dengan bukan-Melayu secara ‘berlebihan’ membuatkan orang Melayu sedar bahawa PAS bukan wadah perjuangan mereka.

PAS sendiri semalam, mengakui ia agal memainkan peranan penting dan berkesan untuk memartabatkan bangsa Melayu dan memelihara kepentingan Islam termasuklah dalam pelaksanaan syariat Islam di Malaysia.


Kenyataan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib (kiri) sewaktu menyampaikan ucaptama di Multaqa Ulamak Se-Malaysia yang diadakan di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut, Alor Setar, semalam menceritakan segala-galanya.

Mutaqa Ulamak dianjurkan oleh Dewan Ulamak PAS Pusat yang berlangsung sehari suntuk semalam, menghimpunkan perwakilan ulamak dari setiap negeri. PAS akan menghadapi pemilihan pucuk pimpinannya pada muktamar yang dijadualkan November ini.

Antara yang disenaraikan terbabit dengan ucapan, perbahasan dan wacana ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Naib Ketua Dewan Ulamak, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad, Datuk Dr. Mohamad Khairuddin at Takiri, Datuk Dr. Johari Mat, Datuk Nik Zawawi Salleh, Zaharuddin Mohamad,  Mokhtar Senik dan Dr. Ahmad Nazri Mansor.

PAS dilihat ‘berlebihan’ bertolak ansur ialah apabila ia banyak ‘memejamkan mata’ dan kadangkala dilihat ‘menggadaikan’ prinsip perjuangannya demi memuaskan hati sesetengah pemimpin PAS yang melihat kuasa dan politik adalah ‘segala-galanya’.

Malah PAS membelakangkan Islam apabila sanggup menggadai maruah Islam demi kerjasamanya dengan DAP dan PKR untuk ‘ke Putrajaya’.

Kata Dr Harun, sikap toleransi berlebihan dan tidak berhati-hati PAS terhadap tawar menawar bukan Islam dan bukan Melayu juga amat meragukan pengundi Melayu terhadap kemampuan PAS dalam memelihara kepentingan mereka.

Pas telah menjalinkan kerjasama dengan DAP dan PKR secara rasminya pada 1 April 2008 di mana ia merupakan lonjakan baru bagi politik tanah air.Ketiga-tiga parti ini telah dinamakan satu parti perikatan yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat.

"Sekalipun undi Cina meningkat 14.1 peratus terhadap PAS pada PRU13 lalu, PAS tetap tidak akan dapat untuk mengukuhkan kedudukan dan pengaruhnya dalam parlimen. Adalah mustahil bagi PAS untuk terus berkembang selagi ia tidak mampu memperjuangkan haknya dalam Pakatan Rakyat bagi menambah memenangi lebih banyak kerusi parlimen, apatah lagi untuk PAS menjadi teras kerajaan Malaysia sekiranya Pakatan memerintah kelak," ujarnya.


Berikutan itu PAS Pusat digesa agar segera menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji dan menilai kemerosotan sokongan pengundi Melayu kepada PAS serta menilai kembali tahaluf siyasi.

Menurut Datuk Harun : "Amat wajar sekali tahaluf siasi bersama PKR ini dikaji setelah berlaku perkara-perkara yang boleh melemahkan Pas dan merosakkan hubungan di dalam tahaluf siasi," katanya.

Dr Harun dalam kertas ucapatamanya juga berkata, bagi melaksanakan kajian ini jawatankuasa khas perlu ditubuhkan untuk mengkaji dan menilai kemerosotan sokongan pengundi Melayu ekoran tahaluf siasi dengan erti reformasi, PKR.

"Pertukaran, perebutan dan penyerahan kerusi potensi Pas kepada PKR juga antara faktor yang perlu dikaji kembali dan ia antara faktor utama yang perlu diberi perhatian," katanya.

Amat nyata, PAS terpaksa mengkaji semula kerjasama politiknya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi memastikan hala tuju parti itu tidak tersasar daripada landasan sebenar.

Ini bukan gesaan Dr Harun semata-mata tetapi menjadi resolusi yang dicapai pada Perhimpunan Ulama Se-Malaysia berkenaan yang mencadangkan supaya Tahaaluf Siyaasi(kerjasama politik) bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat khususnya PKR disemak semula oleh Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat. 

"Perkara ini bagi tujuan menjaga maslahah (faedah) dan membendung serta menghalangmafsadah (kejahatan) Syar'iyyah," demikian menurut resolusi berkenaan.

Amat nytara, isu kerjasama politik antara PAS dan sekutu mereka dalam pakatan pembangkang pernah menjadi polemik dalam parti itu tahun lalu apabila bekas Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa mencetuskan kontroversi dengan mengeluarkan kenyataan yang mendakwa PAS sudah lari daripada matlamat asal perjuangannya.

Malah Nasharuddin yang ketika itu juga masih menjadi ahli Majlis Syura Ulama turut menggesa agar PAS mengkaji semula kerjasama mereka dalam pakatan pembangkang.

Bagaimanapun pada Muktamar PAS ke-58 di Kota Baharu November tahun lalu, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din menegaskan Majlis Syura mengambil ketetapan bahawa PAS masih lagi parti yang sama sejak ia ditubuhkan.

Penegasan itu sekaligus mengukuhkan pendirian PAS untuk meneruskan kerjasama mereka dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP.

Selain sedar tentang kelemahannya mendapatkan sokongan orang Melayu, multaqa itu turut menekankan tentang hala tuju ulama haraki PAS dalam memperjuangkan Islam sebagai pemimpin politik dan cabaran serta keyakinan dalam menegakkan Islam.


Amat nyata penghakisan kuasa ulama dalam PAS sebelum ini menyebabkan multaqa berkenaan meminta supaya PAS bersetuju dua jawatan tertinggi dalam PAS dipegang oleh golongan ulama. Walaupun Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu tidak mendesak anggotanya dalam menentukan siapa presiden dan timbalan presiden tetapi gesaan itu sangat signifikan.

“Kita amalkan sifat keterbukaan supaya mereka boleh menilai dan memilih sendiri siapa yang layak. Pintu untuk memegang jawatan ini tidak pernah ditutup kepada mana-mana anggota yang layak," katanya selepas majlis penutup mulataqa itu.

Ramai ahli PAS melihat PAS sepanjang dua tahun lalu terlalu fokus kepada pilihan raya dan sanggup mengetepikan golongan ulama apabila menolak Nasharuddin untuk digantikan dengan Mohamad Sabu. 

Kenyataan-kenyataan kontroversi Mohd Sabu ‘memeningkan’ kepala beberapa pemimpin PAS dan majoriti senyap dalam PAS mula menyuarakan tidak puas hati mereka terhadap perjalanan parti, termasuk dalam isu Kalimah Allah dan perbuatan memperlekehkan agama Islam, Raja-Raja Melayu serta kaum Bumiputera. 

Pada Multaqa Ulamak Se-Malaysia bertemakan Multaqa Ulamak Se-Malaysia ‘Ulamak Haraki Benteng Izzah Islam’ semalam, penekanan ialah hala tuju ulama haraki PAS dalam memperjuangkan Islam sebagai pemimpin politik dan cabaran serta keyakinan dalam menegakkan Islam.


Untuk lebih jelas, pada Multaqa Ulamak Se-Malaysia yang bersidang semalam (14 September 2013), diperturunkan beberapa resolusi yang terkandung di dalam ucaptama dan perbahasan seperti berikut untuk tatapan pembaca:

1- Ulamak Haraki hendaklah memposisikan diri mereka dengan lebih berkesan sebagai pemimpin politik yang menyambung tugas para nabi-nabi. Mereka hendaklah memahami tentang cabaran semasa dan mempertingkatkan keyakinan terhadap Allah bagi menegakkan Islam.

2- Multaqa Ulamak Se-Malaysia juga mengajak para ulamak haraki PAS bagi melakukan pengukuhan gerak kerja, antaranya: i- mengukuhkan gerak kerja tarbiyah ii- mengukuhkan kedudukan kepimpinan ulamak yang menjadi tunjang utama kepada PAS iii-memperkasakan ilmu pengurusan dan kepimpinan.

3- Multaqa Ulamak Se-Malaysia mengambil ketetapan untuk bersama-sama menangani dan menghadapi pemikiran yang merosakkan (haddamah) dengan pelbagai usaha dan pendekatan supaya umat Islam tidak tersasar dari asas Islam.

4- Multaqa Ulamak Se-Malaysia mengambil ketetapan mencadangkan kepada PAS Pusat supaya melakukan analisis yang menyeluruh dan telus serta mengemukakan analisa bagi tujuan untuk menilai prestasi PRU13 untuk lonjakan PRU14.

5- Multaqa Ulamak Se-Malaysia turut mencadangkan supaya Tahaaluf Siyaasi bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat khususnya PKR disemak semula oleh Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat melalui kuasa yang ada bagi tujuan menjaga maslahah dan membendung serta menghalang mafsadah Syar'iyyah.

6- Multaqa Ulamak Se-Malaysia menyarankan kepada semua kerajaan negeri di bawah PR supaya memberi ruang yang munasabah dan bersesuaian kepada ulama haraki PAS yang berkelayakan supaya dapat melibatkan diri mereka di dalam urusan pentadbiran dan pemerintahan.

7- Multaqa Ulamak Se-Malaysia menerima saranan daripada wakil-wakil perbahasan untuk menegaskan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS sewajarnya daripada kalangan ulama yang memahami dan faqih tentang islam dan realiti semasa. Jawatan-jawatan lain termasuk naib-naib presiden juga turut perlu dipertimbangkan daripada kalangan ulama dengan gandingan bersama golongan profesional dan aktivis.

8. Multaqa Ulamak Se-Malaysia menyeru kepada seluruh ulamak haraki PAS supaya bersiap sedia untuk mengukuhkan kedudukan dan memainkan peranan masing-masing dalam usaha mencapai kemenangan dalam PRU14 ke arah perlaksanaan Islam yang syumul di Malaysia.

Kita tidak pasti sejauh mana berkesannya saranan Dr Harun supaya PAS mengkaji semula kerjasama dengan sekutu pembangkangnya akan mendapat sokongan ahli PAS namun, cadangan supaya kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat – Selangor dan Pulau Pinang, kecuali Kelantan - memberikan ruang yang munasabah dan sesuai kepada golongan ulamak untuk turut serta dalam kepimpinan dan pengurusan kerajaan negeri rasanya tidak akan ke mana-mana.

Rakyat Islam, Melayu dan Bumiputera selain bukan Islam dalam pakatan pembangkang sedang memerhatikan PAS. Apakah PAS akan berubah untuk sokongan Melayu dan Bumiputera atau kekal sebagai parti yang ‘ikut telunjuk DAP dan PKR” akan kita ketahui November ini!

Sumber – Bernama, Hakarahdaily Online & Sinar Harian

Thursday, September 5, 2013

MAAFKANLAH...BUKAN SALAH BESAR JIKA KIBAR SANG SAKA MALAYA?


Kibar Bendera Sang Saka Malaya sebagai perbuatan melawan kemungkaran dalam sistem pilihan raya dan menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia dan generasi muda?

Malah, seseorang melawan kerajaan bolehkah dianggap sebagai hero kerana memperjuangkan prinsip dan melawan kemungkaran kerajaan Barisan Nasional?

Juga kibar Sang Saka Malaysia sebagai kesalahan kecil yang boleh dimaafkan?

Setidak-tidaknya itulah pandangan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagi kumpulan ini, mana satukah bendera negara Malaysia yang berdaulat?

Bendera Sang Saka Malaya yang mirip kepada sebuah negara jiran itu atau Jalur Gemilang?

Ironinya ada individu tertentu yang bertindak mengibar bendera berkenaan hanya menunjuk berani di khalayak ramai tetapi mencuri-curi balik ke rumah.

Persoalannya, jika benar-benar berani dan berpendirian, kenapa Pengerusi bersama BERSIH Datuk A Samad Said menyelinap masuk ke rumah pada tengah malam kelmarin?

Berani buat berani tanggunglah… Berikutan itu polis terpaksa menahan A Samad yang menyelinap masuk ke rumah pada tengah malam kelmarin.

Ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mendakwa polis pada awalnya mengunjungi rumah A Samad pada Selasa malam lalu namun sasterawan negara itu hanya pulang pada tengah malam dengan senyap-senyap.

 Pasukan polis yang sedang menunggu pada masa itu menahan A Samad sebaik beliau pulang, kata Khalid dalam satu sidang media hari ini.

Katanya, polis sebelum itu telah meminta A Samad menyerah diri tetapi permintaan tersebut tidak dipenuhi.

Mengenai cadangan kerajaan menarik balik gelaran Sasterawan Negara daripada A Samad, PAS menyelar pihak yang mahu tindakan itu dilakukan.

Tuan Ibrahim berkata, tuntutan seperti itu tidak wajar kerana A Samad banyak berjasa dalam memartabatkan kesusasteraan Melayu walaupun "tidak mesra kerajaan".

"Ketokohan dan keberanian Pak Samad pada usianya yang lanjut untuk melawan kemungkaran dalam sistem pilihanraya melalui BERSIH telah menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia dan generasi muda.

"Di sanubari rakyat, Pak Samad bukan sahaja adalah Sasterawan Negara, malah kini terkenal sebagai hero kerana kekentalannya dalam memperjuangkan prinsipnya dan melawan kemungkaran kerajaan," kata Tuan Ibrahim.

Kenyataan itu timbul ketika polis menggiatkan siasatan ke atas A Samad, yang berucap dalam satu perhimpunan bersama individu yang mengibar bendera Sang Saka Malaya semasa sambutan ambang kemerdekaan Jumaat lalu.

Tuan Ibrahimmelihat bahawa tindakan kerajaan ke atas pengerusi bersama BERSIH itu sebagai satu usaha untuk mengalih perhatian isu kenaikan harga minyak.

"Tindakan kerajaan salah saja tangkap, salah sikit tangkap, benar-benar menjadikan Malaysia negara polis. Sedangkan dialog, perbincangan dan pelbagai medium boleh diguna bagi menjernihkan keadaan," katanya.
 

Beliau juga menggesa agar Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, yang mengulas mengenai tindakan tersebut, agar mengadakan dialog bersama Pak Samad dan tidak mencemuhnya di media.

Menyokong pandangan Tuan Ibrahim itu, ketua penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Yusapiza Yaacob menyifatkan desakan tersebut sebagai satu "ugutan, tidak bermoral dan zalim" terhadap A Samad yang menabur banyak jasa memartabat sastera negara

Sebelum ini kumpulan berhaluan kanan Melayu PERKASA menuntut agar tindakan tegas dikenakan ke atas individu yang menghina berndera Malaysia dan mengagung-agungkan bendera lain.

Ketua penerangannya Ruslan Kassim dalam satu laporan Utusan Malaysia berkata individu yang mengibar bendera Sang Saka Malaya itu tidak layak menjadi warganegara Malaysia kerana perbuatan itu didakwa menghina bangsa dan negara.

“Sebelum ini kita lihat satu demi satu kesilapan dan kesalahan yang dilakukan tanpa sebarang tindakan tegas diambil.

“Apabila tiada tindakan tegas, seolah-olah ia satu perbuatan yang betul dan akan menjadi idola kepada golongan muda yang tidak faham sejarah dan kenal erti sebuah perjuangan memerdekakan negara,” katanya seperti dipetik akhbar tersebut.

A Samad pula bagaikan mencabar sekiranya kerajaan memenuhi tuntutan kumpulan pendesak agar gelaran Sasterawan Negara yang diterimanya pada 1985 ditarik balik.

Tidak cukup dengan itu, tokoh sastera itu berkata beliau juga tidak kisah jika kewarganegaraannya juga dilucutkan.

"Soal tarik balik anugerah Sasterawan Negara itu sangat bapak alu-alukan. Teruskanlah. Malah kalau ingin tarik balik warga negara saya pun, saya alu-alukan,” katanya dalam kiriman SMS kepada Malaysiakini.

Kenyataan itu timbul ketika polis menggiatkan siasatan ke atas beliau, yang berucap dalam satu perhimpunan bersama individu yang mengibar bendera Sang Saka Malaya semasa sambutan ambang kemerdekaan Jumaat lalu.