“Keputusan mereka adalah ‘keputusan besar’ yang jarang berlaku. Ramai yang memasang angan-angan menjadi menteri, malah ada yang sanggup merajuk dan mengugut....ada ‘kayu buruk dan mati ’ dalam Kabinet tetapi enggan berhenti. Tunggu sampai mati atau dunia kiamat."
Datuk Mahfuz Omar, janganlah terlalu teruja dengan
keengganan dua bekas menteri tidak mahu dilantik semula ke Kabinet.
Memanglah perletakan jawatan mereka menimbul dan meninggalkan seribu satu
persoalan. Namun apakah benar ia protes senyap dan undi tidak percaya terhadap
Najib?
Apa pasal tidak sabar-sabar desak Husni dan Wahid bercakap pasal 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?
Kalau mereka tidak cakap pun ramai, sudah tahu
kedudukannya. Malah mereka sebenarnya sudah mendedahkan perkara sebenar sebelum
ini.
Biarlah mereka berdua bertenang dahulu, walaupun ada beribu persoalan.
Mereka sudah banyak kali cakap mengenai perkara 1MDB tetapi ramai daripada kita tdak ambil peduli. Apakah kerana ketika itu mereka dalam kerajaan?
Itulah antara kesilapan kita.
Soalan andaian Mahfuz, “Kenapa
mereka meletakan jawatan di waktu negara sedang dilanda krisis ekonomi dan
kewangan yang meruncing? Persoalan 1MDB yang makin rumit dan membebankan negara
dan rakyat. Kenapa mereka berdua melarikan diri dari skandal besar negara
1MDB?” tidak payah dijadikan tekanan untuk mereka.
Dalam pengumuman rombakan kabinet di Putrajaya, petang semalam,
Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang meminta untuk berundur atas sebab peribadi
sementara Tan Sri Abdul Wahid Omar menamatkan tugasnya dalam kerajaan pada 4
Jun yang lalu tetapi dikekalkan sebagai Ahli Majlis Ekonomi.
Tidakkah dapat
dibaca sedikit sebanyak isi hati mereka kenapa meminta tidak dilantik
semula? Wahid mahu kembali ke swasta dan Husni mahu “berehat”?
Kemungkinan ketika menyertai Kabinet Najib pada mulai 5
Jun 2013, Wahid tidak menjangka akan ada isu yang mengharu-biru kerajaan. Begitu juga mungkin kepada Husni yang bersetuju menyambung khidmatnya mulai
tarikh itu. Husni mula memegang jawatan menteri pada 10 April 2009.
Keputusan mereka adalah ‘keputusan besar’ yang jarang
dilakukan. Ramai yang memasang angan-angan menjadi menteri, malah ada yang
sanggup merajuk dan mengugut.
Malah, walaupun tahu diri ‘kayu buruk dan mati ’ dalam
Kabinet, ramai yang masih enggan berhenti. Tunggu sampai mati atau dunia
kiamat.
Dalam konteks Wahid dan Husni ini keputusan mereka rela
berhenti bukan calang-calang keputusan. Ia bukan berhenti di kedudukan kontrak kerja gred
48 atau 54. Menteri oooo!
Tapi kini?
Diakui, kedudukan Husni dan Wahid dalam Kabinet mempunyai banyak pengetahuan
yang tersembunyi berkaitan perkara penting yang membabitkan kerajaan dan
Perdana Menteri. Namun, apakah kerana tidak lagi menteri, maka semua
perkara mahu didedahkan, termasuk rahsia kerajaan dan negara?
Guna otaklah Mahfuz, jangan berkelakuan ‘Mr Bean’
sepanjang masa!
Wahid pernah mengakui model dan dana pelaburan strategik
negara milik Kementerian Kewangan 1MDB tidak mapan dari awal-awal lagi. Ini
kerana model yang mereka ambil adalah modal rendah dan pinjaman yang besar.
“Saya fikir kerana mereka tahu, ia bukan satu model
mampan. Dengan itu datang kesedaran hutang, di mana ahli lembaga kini telah
memulakan pelan rasionalisasi," beliau dilaporkan memberitahu penyiar
Amerika CNBC pada 4 April 2016 lalu.
Berikutan itu ia sangat membebankan kerana kegagalannya
menjana tunai berbanding hutang besar syarikat tersebut.
1MDB membuat pinjaman bank dan pasaran modal dalam
membeli aset tetapi gagal menjana aliran tunai yang menyebabkan ia tidak
mampan.
"Selama ini
mereka berkembang dengan membuat pinjaman daripada bank atau pasaran modal,
mereka membeli banyak aset termasuk IPP (syarikat jana kuasa bebas) sehingga
meningkat hutang RM4.2 bilion setakat Mac 2014.
"Jadi anda boleh bayangkan
bebanan hutang yang tinggi, ia sebenarnya sangat tinggi dan ini sukar,"
katanya pada forum anjuran Akademi Kapten Hussein di Petaling Jaya, Selangor.
Wahid yang bercakap sebagai seorang yang berpengalaman
dalam pengurusan kewangan berkata selagi aset yang dibeli itu tidak dapat
menghasilkan aliran tunai, maka selagi itu 1MDB tidak akan mampan.
Bukankah benar kata Wahid itu? Ini bukankah satu pendedahan? Ia bukan dibuat oleh Tok Gawa (Penggawa), Tok Siak atau Pengerusi JKKK. Ini menteri yang pernah
mentadbir sebuah bank terbesar yang cakap.
1MDB, dimiliki sepenuhnya Kementerian Kewangan,
mencatatkan kerugian selepas cukai RM665.4 juta daripada hasil RM4.26 bilion
bagi tahun kewangan berakhir Mac 2014. Kerugian mungkin lebih parah kalau bukan
kerana keuntungan menerusi penilaian aset hartanah berjumlah RM896.8 juta.
Wahid dan Husni tu orang cerdik. Yang tidak boleh
disimpan maklumat seperti hutang 1MDB
itu terpaksa didedahkan kerana ia
kenyataan. Mereka tahu menyusun langkah
dan dia tahu bila mahu bertindak.
Husni ialah seseorang yang ‘straight forward’ dan selama
ini berusaha untuk menjalankan tugas dengan baik.
Husni yang menjadi Menteri Kewangan Kedua sejak selepas
pilihan raya 2008 dihormati kerana kurang bercakap.
Usahanya untuk membela kerajaan melalui isu Bantuan
Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan 1MDB kalaupun tidak berkesan, sekurang-kurangnya beliau
berani menyatakan sesuatu bagi pihak kerajaan dan Datuk Seri Najib Razak,
khususnya.
Juga sudah pasti beliau mendapat info daripada 1MDB
sendiri untuk membuat kenyataan. Cumanya info yang diberikan itu tepat atau ‘kelentong’,
kita sendiri dapat menagaknya.
Contohnya dalam isu aset 1MDB yang ada di Singapura dalam bentuk ‘unit itu ‘’itu,
pastinya turut mendapat persetujuan
Perdana Menteri sebagai penasihat Lembaga Pengarauh 1MDB.
Apakah Husni berani mengeluarkan kenyataan begitu sahaja?
Pada 24 Mei 2015 bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad mendakwa Najib "berbohong" berhubung isu dana firma pelaburan
1MDB bernilai US$1.103 bilion (RM3.97 bilion), dengan menyatakan mungkin ada
salah laku jenayah.
Melalui blognya Dr Mahathir merujuk jawapan Parlimen Perdana
Menteri pada 10 Mac di mana Najib berkata jumlah wang itu ditebus sepenuhnya
dalam bentuk tunai dan kini disimpan di BSI Bank Limited Singapore.
(Najib berkata bank itu merupakan penjaga bagi pihak 1MDB
untuk aset tersebut. Hakikatnya kini BSI Singapura kini sudah ditutup selepas
Pihak Berkuasa Kewangan Singapura kerana
disyaki ‘melakukan pengubahan wang haram’ dalam isu 1MDB.)
Bagaimanapun, Najib yang juga menteri kewangan kemudian menukar
jawapannya berhubung perkara ini menyatakan tiada tunai dalam bank tersebut
tetapi hanya "aset dalam Dollar Amerika".
Kata Dr Mahathir, hal ini lebih menghairankan lagi apabila
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad
Husni Hanadzlah ketika itu menjelaskan aset sebenarnya dalam bentuk
"unit" tetapi enggan menjelaskan apa yang dimaksudkannya.
Husni mengatakan Putrajaya
tersalah tafsir tentang baki pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang
diuruskan oleh Cayman Monetary Authority sebanyak US$1.103 bilion. Menurutnya, aset
yang dibawa pulang dari Pulau Cayman dan disimpan di sebuah bank itu adalah
dalam bentuk unit, bukan wang seperti yang dilapor sebelum ini.
"Saya rasa ini satu kesilapan, kesilapan dalam erti kata tafsiran apabila mereka (1MDB) mengatakan sudah menebus dan menyimpannya di sebuah bank di Singapura. Ia sebenarnya simpanan, ia dalam bentuk unit, ia disokong oleh dana kekayaan berdaulat. Jadi, kami harap untuk membawanya pulang secepat mungkin," kata Ahmad Husni.
Sebelum itu 1MDB telah menjelaskan bahawa baki pelaburan
yang telah ditebus oleh 1MDB adalah dalam bentuk aset di dalam mata wang Amerika
di sebuah bank di Singapura bertujuan untuk
mengimbangi liabiliti syarikat.
Selain itu, katanya jawapan tersebut merupakan pindaan kepada jawapan kerajaan sebelum bertarikh 10 Mac 2015, bahawa baki dana pelaburan 1MDB ditebus dalam dalam bentuk wang tunai.
Selain itu, katanya jawapan tersebut merupakan pindaan kepada jawapan kerajaan sebelum bertarikh 10 Mac 2015, bahawa baki dana pelaburan 1MDB ditebus dalam dalam bentuk wang tunai.
Sebelum ini, Najib telah memberitahu bahawa baki dana
pelaburan 1MDB yang diuruskan oleh Cayman Monetary Authority tersebut telah
ditebus dalam bentuk wang tunai.
Menurutnya, dana tersebut masih disimpan dalam mata wang Dolar Amerika di BSI yang bertujuan untuk memudahkan urusan pengeluaran wang.
Menurutnya, dana tersebut masih disimpan dalam mata wang Dolar Amerika di BSI yang bertujuan untuk memudahkan urusan pengeluaran wang.
Berikutan itu, Dr Mahathir mendakwa perkara yang amat serius
sedang berlaku. “Wang syarikat milik Kerajaan yang dihutang dengan jaminan
Kerajaan sebanyak RM7 bilion (tujuh ribu juta) sudah tidak dapat dikesan di
mana ia berada dan percubaan dibuat untuk membohongi Parlimen dan Negara berkenaan
dengannya,” katanya.
Pada 15 Jun 2015 Husni turut mengakui bahawa 1MDB bayar
bunga berjumlah RM2.7 bilion setahun kepada bank untuk melunaskan hutang
berjumlah RM42 bilion yang terkumpul sejak enam tahun sebelumnya.
“Jika jumlah hutang tersebut adalah RM42 bilion, jumlah bunga adalah RM2.4
bilion hingga RM2.7 bilion setahun,” katanya.
Sebagai orang kedua di bawah Najib di Perbendaharaan,
Husni akan menurut kata-kata bosnya. Husni tidak akan memandai-mandai.
Setidak-tidaknya perlu menjadi menjadi
‘burung kakak tua’.
Mahfuz dan semua rakyat perlu tunggu sedikit ketikanya
untuk Husni bertenang. Jangan ganggu dan paksa dia.
Dia sudah melepaskan semua jawatan parti. Juga jangan
desaknya letak jawatan sebagai Ahli Parlimen. Itu hak rakyat di Tambun
menentukannya.
Husni tidak keluar UMNO. Jadi jangan memandai-mandai
desak beliau lepaskan jawatan Ahli Parlimen.
Sedangkan berapa ramai lagi yang keluar parti atau
dipecat, tidakpun bertindak meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen.
Mengenalinya sejak bekerja di Parlimen mulai akhir 1990-an
sehingga awal tahun 2006, Husni bukan jenis cakap merapu.
Ciri-cirinya hampir sama dengan Datuk Seri Mustapa
Mohamed. Pendiam tetapi berisi.
Memang mengejutkan apabila beliau membuat kejutan tidak
mahu dilantik semula dalam Kabinet. Perdana Menteri mengatakan dia berbuat
demikian ‘dengan kerelaan hatinya’.
Kedua-dua Wahid dan Husni bukan ‘kayu mati’ dalam
Kabinet. Jadi apabila menteri jenis seperti ini tidak mahu dilantik semula,
pasti ada yang tidak kena. Enggan berkompromi dengan Najib dalam isu-isu kronik
seperti 1MDB?
Seribu persoalan tetap wujud. Namun apakah Wahid dan
Husni sanggup menghuraikan persoalan yang menjadi sebahagian daripada rahsia
dalam dirinya yang juga rahsia kerajaan?