Friday, April 24, 2009

ANTARA UBI GADUNG DAN AIR NIRA(2)

Ada yang sudah lari hanya memakai seluar dalam.

Ada pula yang pakai seluar dalam di luar – merah + biru – macam Superman tetapi tidak boleh terbang, walaupun mahu lari jauh-jauh dari Terengganu.

Mahu tidak mahu. kena bertahan di Besut dan Setiu. Ramai pemimpin UMNO Terengganu kini benar-benar ‘mabuk ubi gadung’.

Ramai bertempiaran kerana takut ditangkap polis akibat buat kenyataan mengenai sms ugutan bunuh macam orang mabuk ‘mabuk ubi gadung’.

Antaranya sudah ‘melarikan diri’ ke beberapa negeri lain untuk mengelak daripada dikesan.
Mereka bukan sekadar mabuk ubi gabung tetapi juga terminum ‘air nira’.

Mereka yang terminum ‘air nira’ kini benar-benar ketakutan apabila polis dijangka akan menangkap lebih ramai mereka kerana ‘kemanisan air nira’ menyebabkan mereka tidak sedar bahawa sms ugut bunuh ADUN dilakukan oleh ‘puak mereka sendiri’.

Kini beberapa ADUN yang lantang bersuara semakin menurunkan suara, malah ada yang tutup terus telefon mudah alih mereka.

Wartawan semakin sukar menghubungi beberapa pemimpin UMNO yang sebelum ini berdegar-degar menuduh dan mengatakan orang.

Saya mendengar berita polis sedang mencari dan mengesan seseorang yang bergelar Dr. (Doktor Falsafah) kerana dikatakan dikaitkan dengan sms berkenaan.

Benar atau tidak, polis sahaja yang dapat mengesahkannya.

Orang ini menghilang dari kediamannya di Kuala Terengganu dan Bangi. Malah beliau turut di kesan di Kuantan.

Dikatakan, jika orang ini dapat dicekup, siasatan polis akan menjadi lebih mudah.
Dan, apabila polis semalam mengambil keterangan seorang kerani syarikat swasta (ada kaitan dengan UMNO?) yang disyaki menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu, baru-baru ini, ada ADUN yang menggigil.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah II negeri, Superintendan K Manoharan, berkata lelaki berusia 31 tahun itu dibawa ke Terengganu dari Bandar Baru Bangi, Selangor, semalam.

"Kita mengambil keterangan daripada suspek bagi membantu siasatan kes ini," katanya di Kuala Terengganu semalam.

Harian Metro melaporkan semalam kerani yang ditahan selepas disyaki bertanggungjawab menghantar tiga khidmat pesanan ringkas (SMS) berbau ugutan itu didapati mempunyai hubungan dengan seorang ahli politik di negeri itu.

Bagaimanapun, polis enggan mendedahkan hasil siasatan awal serta status ‘hubungan’ dimaksudkan, sebaliknya hanya menceritakan butiran mengenai tangkapan dibuat Isnin lalu.

Kerani terbabit yang berasal dari Seri Kembangan, Selangor ditahan di Bandar Baru Bangi kira-kira jam 9.30 malam, tiga hari lalu (Isnin) kerana dipercayai menghantar SMS berbaur ancaman kepada tiga Adun Barisan Nasional Terengganu, 13 April lalu.

Yang menariknya, di Kuala Terengganu, ada cakap-cakap beberapa kemungkinan berikut semakin terserlah:

1. Mungkin lelaki berkenaan ada kaitan dengan seseorang berprofil tinggi di Terengganu yang rapat dengan seorang ahli politik terkenal;

2. Kerani ini rapat dengan orang tertentu di Ibu Pejabat UMNO Malaysia; dan

3. Kerani ini bekerja untuk seseorang yang memang termasuk dalam kumpulan 10 ADUN yang melancarkan ‘pemulauan terhadap Sidang DUN Terengganu’.

Kerani terbabit kini ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan kes berkenaan.
Setakat ini, polis tidak boleh memberikan sebarang maklumat lanjut kerana kes ini masih disiasat," katanya.

Juga menjadi pelik ialah, beberapa ADUN kini seakan mempertikaikan kecekapan dan keikhlasan polis dalam menjalankan siasatan.

Ada ADUN yang tetap menuding jari kepada Wan Ahamad Wan Muda, iaitu Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, walaupun jelas polis sudah menolak andaian Wan Ahmad terbabit.
Malah, mereka ini bagaikan ingkar bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib sendiri menolak kemungkinan itu.

Mereka bagaikan mencabar polis dan tindakan mereka bertentangan dengan keyakinan awal dalam isu sms ugut bunuh ini kerana:

1. Mereka meyakini polis boleh melindungi ketika ‘diugut’ dan kerana jaminan polis, mereka hadiri Sidang DUN;

2. Mereka membuat laporan polis mengenai ‘ugutan’ dan yakin kepada polis dalam menghuraikan masalah mereka;


3. Bagaimanapun mereka mempersoalkan kecekapan polis apabila membuat kenyataan seolah-olah meragui kecekapan dan ketelusan polis apabila polis bagaikan ‘membebaskan’ Wan Ahamad; dan

4. Beberapa ADUN daripada kumpulan 10 itu sehingga semalam seperti dilaporkan oleh Sinar Harian, meragui siasatan dengan mempersoalkan kredibiliti polis dalam beberapa perkara. Persoalannya, apakah mereka menganggap polis Terengganu tidak telus dan cekap?

Janganlah pada ketika mengharapkan hasil siasatan , kita terus menerus mempersoalkan ‘tugas polis’, lebih-lebih lagi pada saat punca segala masalah ‘sms ugut bunuh ADUN’ kini semakin menampakkan perkembangan meyakinkan.

Apapun, Ahmad Said tetap yakin bahawa “Tuhan Maha Kaya, perkara yang tidak betul akan terbongkar dengan sendirinya...lambat atau cepat Tuhan akan tunjukkan siapa benar, siapa salah dan kini terbukti pihak yang melakukan kesalahan ditahan polis.

“Saya yakin kecekapan polis dan mengucapkan terima kasih atas kepantasan mereka menahan lelaki yang menghantar SMS menggunakan nombor telefon pegawai kanan saya,” katanya.