Friday, January 31, 2014

BAHAS KALIMAH ALLAH - MASYARAKAT ISLAM, KRISTIAN PERLU FAHAM UNDANG-UNDANG


"Perkara berkaitan agama yang termasuk di bawah bidang kuasa negeri, perlu ditangani dengan paling sensitif agar sebarang tindakan yang diambil, tidak melukai perasaan mana-mana kaum di negara ini. Itulah sebabnya Kabinet menganjurkan penyelesaian 10 Perkara, yang membenarkan orang Kristian menggunakan 'Allah' dalam Bible Bahasa Malaysia. Ia juga membenarkan Bible dalam semua bahasa, bukan setakat diimport ke negara ini, malah dicetak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak."

Bagi memelihara keamanan dan keharmonian dalam kalangan rakyat, masyarakat Islam dan Kristian perlu berhenti daripada berbahas tentang isu kalimah Allah.

Ketika menyuarakan saranan itu, bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah berkata ini kerana kebanyakan kumpulan Islam dan Kristian tidak memahami atau tidak mahir tentang undang-undang negeri dan persekutuan.

Menurutnya peruntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan membenarkan orang Islam menyebarkan ajaran agamanya kepada bukan Islam, manakala orang bukan Islam pula dibenarkan menyebarkan agama atau kepercayaannya kepada orang atau pengikut agama lain, kecuali kepada orang Islam.

Beliau berkata Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa setiap individu berhak menganut, mengamalkan dan menyebarkan agama atau kepercayaan masing-masing.

"Bagaimanapun, Perkara 11 (4) perlembagaan itu menyebut bahawa penyebaran agama orang bukan Islam dalam kalangan orang Islam adalah dilarang. "Ini bermakna, Perkara 11(4) memberi kuasa kepada negeri melalui badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang bagi mengawal penyebaran agama atau kepercayaan bukan Islam kepada orang Islam," katanya kepada Bernama di Menara Felda di Kuala Lumpur.

Mohd Noor berkata ini bererti sesebuah kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menyekat penyebaran mana-mana agama, akidah, ideologi atau malah kepercayaan yang mengandungi walaupun sedikit ajaran bukan Islam dalam sebarang bentuk.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa Seksyen 9 (1) Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Dalam Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 melarang orang bukan Islam daripada menggunakan dalam penulisan atau ucapan, mana-mana daripada 25 perkataan yang terkandung dalam Bahagian 1 Jadual berkaitan agama bukan Islam.


"Seseorang bukan Islam didapati melakukan kesalahan sekiranya dia menggunakan perkataan Allah dan perkataan Arab lain seperti Firman Allah, Ulama, Hadith, Ibadah, Kaabah, Kadi, Ilahi, Wahyu, Mubaligh, Syariah, Qiblat, Haji, Mufti, Rasul, Iman, Dakwah, Injil, Salat, Khalifah, Wali, Fatwa, Imam, Nabi dan Sheikh," katanya.

Seksyen 9 (2) juga melarang orang bukan Islam daripada menggunakan 10 kalimah berasal daripada agama Islam seperti yang ditetapkan di dalam Bahagian II Jadual berkenaan, termasuk Alhamdulillah, Insya-Allah, Allahu Akbar, Astaghfirullahal Azim dan Masya Allah.

Di samping Seksyen 9, Mohd Noor berkata Enakmen Selangor itu juga mendapati adalah menjadi kesalahan bagi seseorang bukan Islam apabila di: mempengaruhi atau menghasut seseorang Islam supaya menukar agamanya (Seksyen 4); menyebabkan seseorang Islam bawah umur terpengaruh dengan agama bukan Islam (Seksyen 5).

Perbuatan lain yang menjadi kesalahan ialah: mengajak orang Islam mendengar ucapan tentang atau melihat pameran tentang sebarang perkara berkaitan agama bukan Islam (Seksyen 6); mengirim atau menyampaikan sebarang penerbitan berkaitan agama bukan Islam kepada seseorang Islam (Seksyen 7); dan menyebar di tempat awam sebarang penerbitan berkaitan agama bukan Islam kepada orang Islam (Seksyen 8).

Mohd Noor berkata setakat ini, 10 negeri meluluskan enakmen serupa yang mempunyai peruntukan hampir sama, kecuali dari segi hukuman, perkataan dan ungkapan.

Kata beliau Kelantan mengenakan hukuman paling berat, termasuk sebatan mandatori bagi semua kesalahan, manakala Enakmen Negeri Johor pula, walaupun tidak mengandungi sebarang Jadual, tetapi mengenakan larangan menyeluruh tentang penggunaan sebarang kalimah berasal daripada agama Islam.

"Dalam kata-kata lain, secara undang-undang, kalimah dan ungkapan tertentu ini menjadi milik eksklusif agama Islam. Tidak akan menjadi masalah sekiranya kalimah berkenaan tidak langsung digunakan oleh agama lain.

"Enakmen Selangor tidak menyebut tentang kesalahan syariah, tetapi kesalahan sivil, yang bermakna, sesuatu kes itu akan dibicarakan di mahkamah sivil, bukan di mahkamah syariah, yang bidang kuasanya hanya meliputi orang Islam," kata beliau.

Mohd Noor berkata perkara berkaitan agama yang termasuk di bawah bidang kuasa negeri, perlu ditangani dengan paling sensitif agar sebarang tindakan yang diambil, tidak melukai perasaan mana-mana kaum di negara ini.

"Itulah sebabnya Kabinet menganjurkan penyelesaian 10 Perkara, yang membenarkan orang Kristian menggunakan 'Allah' dalam Bible Bahasa Malaysia. Ia juga membenarkan Bible dalam semua bahasa, bukan setakat diimport ke negara ini, malah dicetak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya.





Kontroversi berhubung kalimah Allah tercetus daripada keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009, yang mengekalkan hak gereja Katolik dari segi perlembagaan untuk menggunakan perkataan itu dalam seksyen bahasa Malaysia penerbitan majalah mingguannya, 'The Herald'.'


Isu ini timbul semula awal bulan ini apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu Bible Society of Malaysia (BSM) dan merampas kira-kira 300 naskhah Bible dalam bahasa Melayu dan Iban serta menahan dua pegawai BSM.

Ketegangan, khususnya antara masyarakat Islam dan Kristian, reda apabila pada 14 Okt tahun lepas, Mahkamah Rayuan membuat keputusannya tentang penggunaan kalimah Allah dalam seksyen bahasa Malaysia, 'The Herald'.

Keputusan itu dilihat sebagai melarang penggunaan kalimah Allah oleh semua orang bukan Islam.

Keputusan mengenai pertikaian undang-undang antara kerajaan dan Gereja Katolik masih tertangguh di Mahkamah Persekutuan, yang mendengar kes itu pada 5 Mac ini.

Sementara itu, Exco Pemua Umno dan cendekiawan Islam Dr Fathul Bari Mat menegaskan bahawa gerakan dakwah atau usaha menyebarkan ajaran Islam perlu mematuhi tiga kriteria iaitu Perlembagaan, hukum Islam dan sensitiviti masyarakat tempatan.

"Walaupun tiada siapa boleh disekat daripada menunaikan hak asasinya, mereka masih mempunyai pilihan. Bagi orang Islam, kami tidak mempunyai pilihan selain daripada menggunakan kalimah Allah, tapi bagi orang Kristian, mereka boleh memilih sama ada menggunakan 'Lord' atau God' atau 'Jesus' bagi merujuk kepada Tuhan mereka.

"Bagaimanapun, dalam kes ini, mereka bertegas untuk menggunakan kalimah Allah, yang telah mengelirukan umat Islam dan menimbulkan suasana sensitif serta tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam," katanya.

Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Agung India yang mengekalkan larangan yang dikenakan kerajaan negeri Gujarat terhadap penyembelihan lembu pada 2005 dan berpendapat rakyat Malaysia juga perlu mengelak daripada melukai perasaan, kepercayaan dan amalan satu sama lain.

BUKAN, BUKAN, BUKAN…ANWAR GUNAKAN PLATFORM KEMPEN PRK UNTUK HODOHKAN NAJIB, BN & UMNO!

`
Ramai yang melihat hasrat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang sebagai loncatan ke Putrajaya.

Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin menyifatkan keinginan Anwar bertanding di DUN Kajang sebagai usaha untuk mencapai matlamatnya menjadi perdana menteri.

Bekas perdana menteri itu berkata ia adalah langkah untuk naik ke atas dan Anwar tidak akan berhenti pada tahap itu sahaja.
 
"Saya fikir itu bukan matlamatnya tetapi itu adalah tangga yang digunakan untuk mencapai matlamatnya (menjadi perdana menteri)," katanya kepada pemberita selepas ditemu bual dalam program 'Dalam Radar Khas' terbitan Bernama Radio24 di Wisma Bernama kelmarin.

Kelmarin, Anwar dinamakan sebagai calon PKR bagi pilihan raya kecil Dun Kajang, sekiranya diadakan, selepas kerusi itu dikosongkan oleh wakil rakyat PKR sendiri Lee Chin Cheh.

Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS turut melahirkan rasa terkejut dan terkilan berhubung peletakan jawatan tanpa alasan yang munasabah oleh bekas Adun Kajang Selangor, Lee Chin Cheh semalam.

Menurut Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan, tanpa ada berlakunya tsunami politik yang menggila, peletakan jawatan itu telah mewujudkan satu persepsi yang tidak baik kepada rakyat Selangor seterusnya kepada kesepaduan PR Selangor.

"Rakyat akan meluat dan bosan dengan keletah politik rakus kuasa dalam kalangan pemimpin PKR Selangor dan merosakkan imej baik kerajaan PR Selangor itu sendiri.

Kami menganggap peletakan jawatan ini sebagai satu pengkhianatan amanah yang telah diberikan oleh rakyat Selangor kepada PR dan membelakangkan semangat ‘syura’ dalam kalangan rakan komponen PR Selangor,” katanya.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat berkata, tindakan meletakan Anwar sebagai calon, adalah untuk merealisasikan agenda lebih besar.

Penganalisis itu tidak menolak dakwaan pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PRK Dun Kajang sebagai tangga Ketua Umum PKR itu menjadi Perdana Menteri.

“Kemasukan Anwar sebagai Adun Kajang adalah tangga mencapai cita-citanya jadi perdana menteri. Jika cita-cita Anwar mahu menjadi perdana menteri tercapai maka Azmin akan diangkat menjadi Menteri Besar Selangor,” katanya semalam.

Jawapan saya kepada sebab dan kesan Anwar bertanding ialah berlainan dengan pendapat Dr Mahathir serta beberapa pemimpin UMNO yang mengatakan Anwar menggunakan PRK DUN Kajang sebagai alat untuknya melonjak lebih tinggi.

BUKAN, BUKAN, BUKAN! Kenapa BUKAN? 

1. Anwar mahu menggunakan KEMPEN PRK DUN Kajang sebagai platformnya MENGKRITIK KERAJAAN secara terbuka khususnya dalam isu kenaikan harga barang, kenaikan harga minyak, kenaikan tol, kenaikan tambang bas dan pakaian sekolah serta kepimpinan Perdana Menteri;

2. ‘Menghodohkan lagi Barisan Nasional (BN) dan UMNO dengan pelbagai isu semasa yang menyentuh hati dan naluri rakyat;

3. Mencipta isu yang boleh ‘memeningkan orang ramai’ umpamanya kononnya Dr Mahathir sedang berusaha menggulingkan Najib;

4. Menggembalikan semula isu lapuk kepada masyarakat seperti isu Altantuya, rasuah serta banyak lagi;

5. Mempersoalkan tindakan pemimpin UMNO dan yang bergerak melalui Perkasa dalam isu KALIMAH ALLAH di mana pendirian Najib dan Majlis Tertinggi dikatakan ‘ingkar perintah Yang Di-Pertuan Agong’; 

6. Akan terus menerus membuat tuduhan bahawa kerajaan gagal menangani segera kos sara hidup dan harga barang akan diperkatakan dengan bebas. 

Banyak lagi isu yang akan dimainkan Anwar dengan ‘bala tenteranya’ akan bercakap dengan satu nada.

Di manakah semua ini akan diperkatakan olh Anwar?

a. Di pentas ceramah; 

b. Di media sosial pembangkang dan propembangkang; 

c. Di laman web dan portal berita pembangkang, youtube dan apa juga medium milik mereka, termasuk radio internet dan tvPAS serta media parti lain.

d. Media antarabangsa yang banyak menyokong Anwar.

Berikutan ‘pendedahan Anwar’ itu, penyokong BN dan UMNO seperti biasa akan tertanya-tanya sesame sendiri apakah tuduhan-tuduhan itu benar.

Sedangkan keseluruhan pembangkang akan menyifatkannya benar belaka. Kesannya bukan sahaja penyokong pembangkang akan bertambah ‘yakin’ dengan Anwar, malah penyokong BN dan UMNO serta mereka di atas pagar akan menanyakan diri mereka dengan pelbagai soalan yang ditimbulkan Anwar.

Kesan daripada ini akan memberikan IMPAK jangka panjang kepada semua rakyat Malaysia dan ‘krisis keyakinan’ inilah yang cuba digerakkan oleh Anwar mulai PRK berkenaan.

Ingatlah  PRK DUN Kajang ini bukan membabitkan orang di Kajang, di Selangor atau di Malaysia sahaja. Juga penyokong Anwar bukan di Kajang, Selangor, Pulau Pinang sahaja.

Mungkin alasan bahawa kemasukan Anwar dalam Selangor adalah strategi bagi memudahkan PR memenangi PRU14. Sebelum ini dia ternyata gagal melakukannya di Pulau Pinang – negeri yang diterajui DAP.

Selangor merupakan negeri paling strategik dan mendapat perhatian masyarakat.

Jadi sebarang usaha Anwar memajukan Selangor seandainya beliau menang di Dun Kajang akan membuka mata masyarakat. Ini seterusnya membuka peluang besar kepada PR menguasai PRU14.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mengakui walaupun langkah ini tidak popular tetapi ia sesuatu diperlukan PR untuk menjadikan Selangor sebagai kubu kuat dan dalam masa sama menjadi wadah PR menawan Putrajaya.

Anwar, kalaupun MUNGKIN KALAH pada PRK DUN Kajang ini, hakikatnya dia menang dalam konteks menyampaikan pendirian serta pendapatnya sebagai persediaan ke arah PRU 14.

Setidak-tidaknya Anwar sudah mula memalukan ‘gendang perang’ di PRK Dun Kajang.

Apakah peranan BN dan UMNO hanya menjawab dan cuba menjelaskan apa yang diperkatakan Anwar, sedangkan amat nyata BN dan UMNO dituduh gagal menangani beberapa masalah nasional. Dengan ‘modal politik’ yang Anwar ‘belanjakan’ untuk pengundi Kajang kelak, ia akan turut meresapi rakyat di negeri lain dan di luar negara.

Jangan memperkecilkan agenda Anwar ini!

Soal Anwar jadi MB tidak penting tetapi bagaimana dia ‘memporak-perandakan’ BN dan UMNO yang sewajarnya diambil kira.

Apakah BN dan UMNO bersedia berlawan dengan Anwar selain menepis dakwaan, pembohongan serta mainan politiknya?

Jangan sampai BN kalah dan Anwar pula sebagai orang yang memiliki ‘the last laugh’!