Monday, May 25, 2009

MOGOK LAPAR HARAM SAMA SEKALI

(Kemaskini)
Mogok lapar tiga hari. Lepas ini apa pula Labu?

Apakah akan ada lagi peristiwa aneh akan berlaku di negeri Perak gara-gara keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada pembangkang?
Ketika mahkamah memberikan kelebihan kepada Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin tempoh hari, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menerima keputusan dengan ‘tangan terbuka’ dan redha.
Kenapa pada ketika mahkamah membuat keputusan tidak menyebelahinya, Mohd Nizar dan pembangkang ‘tidak redha’?
Selain itu, sebelum ini mereka yang tidak mendapat pembelaan Sultan Perak dan mahkamah pernah mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pokok.
Maka benarlah kata-kata Dr Zambry bahawa gelaran “Menteri Besar Mahkamah’ patut diberikan kepada Mohd Nizar kerana telah memulakan proses mahkamah bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau adalah Menteri Perak yang sah.

Beliau berkata oleh kerana proses mahkamah itu dimulakan oleh Mohd Nizar, sewajarnyanya gelaran itu diberikan kepada bekas menteri besar Perak itu dan bukan dirinya.

“Jadi proses mahkamah itu dilakukan oleh Nizar, bukannya saya. Tok Guru (Mursyidul Am PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat) yang saya hormati pun manusia juga, dia pun buat silap dan bukannya manusia maksum, “ kata Dr Zambry.

Seperti biasa dan sudah dijangka, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak sebagai mengecewakan.

Beliau berkata, keputusan itu juga bukanlah sesuatu yang mengejutkan atau pun diluar dugaan.
Malah, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mendakwa, keputusan tersebut memperlihatkan kepada rakyat bahawa badan kehakiman negara telah 'hancur' dan perlu diperbetulkan.
Anwar menegaskan, apabila isu di Perak diserahkan kepada mahkamah untuk dibuat keputusan, penghakiman telah dibuat mengikut selera politik dan arahan.

"Saya melihat keputusan itu sebagai menghancurkan institusi penting negara kita iaitu badan kehakiman apabila demokrasi di negara ini sudah tidak lagi berkesan,” tegas Anwar.

Yang jelas, krisis politik Perak kini dikatakan melangkah ke tahap baru berikutan keputusan pemimpin pembangkang negeri itu untuk mengadakan mogok lapar tiga hari sebagai sebahagian daripada usaha terbaru mereka untuk mendapatkan kembali hak rakyat. Ia akan berlangsung hari ini.

Mesej mogok lapar itu kononnya menggesa Dewan Undangan Negeri dibubarkan dan kembali kepada rakyat, kata Mohd Nizar. Katanya langkah itu telah lama diputuskan dan tiada kaitan dengan keputusan Mahkamah Rayuan semalam.
Mereka akan mengadakan mogok lapar di Wisma DAP yang terletak berhampiran dengan Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Pejabat Menteri Besar, Exco dan Dewan Undangan Negeri.
Lapan wakil rakyat dikatakan telah mengesahkan penyertaan mereka termasuk dari PAS, Parti Keadilan Rakyat dan DAP.
Jika menurut Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin, ADUN Titi Gajah (http://rajaahmadzainuddin.blogspot.com), isu mogok lapar yang dirancang oleh Pakatan Pembangkang Perak hanyalah mainan politik mereka yang semakin kehabisan modal untuk meraih simpati dan belas ihsan rakyat selepas kerajaan pembangkang hilang kuasa di Perak.

Isu mogok ini adalah modal terbaharu pembangkang selepas Dr Zambry disah dan kekal sebagai Menteri Besar Perak oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya, Jumaat lepas.

Lantas beliau bertanyakan Mufti dan ulamak termasuk yang ada dalam parti politik untuk mengeluarkan fatwa atau ulasan-ulasan tentang mogok lapar ini, jika melibatkan masyarakat Islam.

Fatwa dan ulasan sedemikian penting bagi menggelakan sebarang perpecahan dan gambaran yang bolehmengelirukan generasi muda hari ini.

Selepas melihat kedudukan politik ‘yang menjemukan’ di Perak, elok juga kalau kita Beristifar sebentar – merenung kata-kata Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria.

Beliau membidas rancangan pakatan pembangkang untuk mengadakan kempen mogok lapar selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Dr. Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Beliau berkata, mereka sepatutnya menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan tidak menimbulkan masalah apabila keputusan itu tidak memihak kepada bekas Menteri Besar, Mohd Nizar.

''Kenapa hendak datangkan masalah, kalau menang belah dia tidak apa tetapi apabila kalah hendak bangkang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia ketika berada di Mekah.

Ditanya hukum perbuatan mogok lapar dalam Islam, Harussani berkata: ''Dia punya pasal lah, tidak ada kena mengena dengan hukum Islam tetapi kalau keputusan mahkamah begitu, haramlah hukumnya,".

Pendapat Harussani disokong oleh dua lagi mufti yang menganggap mogok lapar adalah haram dan menyerupai amalan agama lain!

Mufti Perlis, Datuk Dr Juanda Jaya menyifatkan Dr Juanda menegaskan, umat Islam diharamkan sama sekali melakukan mogok lapar kerana perbuatan itu menyerupai amalan dalam agama Buddha dan Hindu.

Kata beliau, jika seseorang penganut Islam itu meninggal dunia ketika sedang melakukan mogok lapar, dia dikhuatiri mati dalam keadaan tidak beriman.

"Justeru saya ingatkan penganut Islam, jangan membudayakan mogok lapar kerana ia jelas berbeza dengan amalan puasa yakni ibadat yang dituntut," tegasnya.

Kata Juanda, selain amalan mogok lapar beliau juga khuatir dengan aktiviti berhimpun sambil menyalakan dan mengarak lilin yang berleluasa di negara ini.

Dalam pada itu, Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Samsudin menegaskan, umat Islam diharamkan menyertai mogok lapar itu dan pihak berkuasa pula perlu menghalangnya daripada berlangsung kerana ia boleh menimbulkan fitnah besar kepada negara.

Katanya, jika sesuatu mogok lapar berjaya dilangsungkan, ia mungkin menjadi permulaan kepada fitnah-fitnah lain pada masa akan datang.

"Orang Islam sama sekali diharamkan terlibat dalam mogok ini walaupun bertujuan memberi sokongan. Ini kerana umat Islam wajib menjaga nyawa sendiri.

"Jika tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara, ia harus diselesaikan melalui rundingan atau perundangan," katanya.

Hakikatnya, bak kata Utusan Malaysia, mogok lapar itu boleh diumpamakan sebagai bayi menangis inginkan perhatian!

Selepas mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri bawah pokok dan membina monumen 'demokrasi', pakatan pembangkang tidak sudah-sudah mahu mencetuskan suasana tidak stabil di Perak.

Apa yang boleh dilihat daripada tindakan mogok lapar ini ialah enggan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya mengisytiharkan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah semalam.

Setiausaha DAP negeri, Nga Kor Ming berkata, kempen tersebut akan dirasmikan oleh Mohd Nizar dan bekas Speaker, V Sivakumar dan ia berterusan selama 72 jam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata pakatan pembangkang seharusnya tidak mentafsir keputusan Mahkamah Rayuan itu sebagai sesuatu yang negatif.

Sebaliknya, kata jika timbul perasaan tidak puas hati, Mohd Nizar boleh membawa perkara tersebut ke Mahkamah Persekutuan.

''Ini merupakan keputusan Mahkamah Rayuan. Jika tidak berpuas hati, hak mereka untuk membawa ke Mahkamah Persekutuan kerana ini adalah proses undang-undang, seperti juga Zambry (Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir) yang merayu ke Mahkamah Rayuan sebelum ini," katanya.

Sebenarnya mogok lapar itu hanya gimik politik pakatan pembangkang untuk menarik perhatian rakyat.

Dengan kata lain, daripada menunjukkan sikap ‘terpaksa telan’ keputusan mahkamah berkenaan, lebih baik kalau mereka melakukan sesuatu.

Jawapan mereka yang paling mudah ialah mogok lapar.

Hakikat sebenar ialah Mohd Nizar sudahpun memutuskan tindakan selanjutnya – membuat rayuan kesnya di Mahkamah Persekutuan.

TIMBALAN MENTERI BOLEH ENGKAR ARAHAN POLIS?

Saya tertarik dengan satu ulasan pada blog www.kijang-jantan.blogspot.com yang memperkatakan mengenai Timbalan Menteri Boleh.

Menurut Kijang, beliau pening dengan kedudukan politik sekarang. Rakyat dipaksa mengikut arahan polis tetapi orang politik senang-senang dan dengan sengaja boleh langgar arahan polis.

Persoalannya, bagaimana rakyat akan menghormati polis kalau Timbalan Menteri pun tidak reti hormati arahan polis.

Jawapannya ada pada Timbalan Menteri berkenaan.

Baca posting berkenaan:

INILAH TIMBALAN MENTERI BOLEH!

Kijang pening dengan orang politik sekarang. Lebih-lebih lagi kalau dia orang kerjaan Barisan Nasional (BN). Semuanya BOLEH!

Mudahnya memberikan alasan. Dah polis katakan jangan pergi, janganlah pergi. Lagipun perhimpunan itu tiada permit polis.
Bagaimana kita mahu rakyat hormati arahan atau nasihat polis kalau seseorang yang berjawatan Timbalan Menteri kerajaan mengabai atau tidak mengendahkannya?

Walau atas apa kapasiti sekali pun, patuhilah arahan polis, apa lagi kita seorang Timbalan Menteri.

Apa kata Datuk Seri Hishamuddin Hussein, sebagai Menteri Dalam Negeri mengenai perkara ini. Jangan double standard beb!
Semalam Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan mempertahankan tindakannya hadir pada perhimpunan di Kuil Sri Subramaniar, Gombak, dekat sini hari ini, adalah kerana dijemput oleh World Tamil Relief (WTR).

Jika Timbalan Menteri boleh menghadiri perhimpunan tanpa permit polis, apa kita mahu katakana jika rakyat biasa turut melakukan perkara serupa pada perhimpunan lain yang hampir serupa?
Pada perhimpunan semalam, kira-kira 1,000 penyokong kumpulan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) berhimpun di kuil berkenaan.

Beliau memenuhi jemputan itu disebabkan rasa prihatin terhadap nasib masyarakat berketurunan Tamil di Sri Lanka.

Saravanan berkata, pada perhimpunan tersebut, beliau yang turut menyampaikan ceramah telah menyeru masyarakat di dunia supaya mendesak kerajaan Sri Lanka agar menghentikan kekejaman terhadap masyarakat berketurunan Tamil.

Perhimpunan itu sekali gus melanggar amaran polis yang dikeluarkan semalam supaya semua pihak tidak menyertai perhimpunan berkenaan kerana tidak mendapat permit.

Selain M. Saravanan, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam dan Ahli Parlimen Teluk Intan, M. Manogaran turut hadir.

Ahli Parlimen pun boleh langgar arahan polis? Tidak hairanlah kalau sebelum ini ramai pemimpin pembangkang melanggar arahan polis kerana mereka boleh melakukan apa sahaja.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berikutan kedegilan pihak penganjur meneruskan perhimpunan tersebut, pihaknya telah membuat laporan polis terhadap WTR mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967.

"Jika didapati bersalah, penganjur boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 141 kerana mengadakan perhimpunan haram dan 143 Kanun Keseksaan sebagai ahli perhimpunan haram.

"Pihak polis akan meneliti rakaman video yang diambil sepanjang ceramah diadakan itu dan akan melihat perkara itu dari sudut perundangan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kelmarin, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan haram bagi menyokong kumpulan pemberontak LTTE itu.

Ini kerana perhimpunan itu tidak mendapat permit polis dan mana-mana individu yang menyertainya dianggap peserta perhimpunan haram dan boleh dikenakan tindakan.

Abdul Rahim memberitahu, antara isi kandungan ceramah yang disampaikan pemimpin terbabit ialah mengutuk dasar kerajaan Sri Lanka berhubung pembunuhan beramai-ramai ke atas orang awam dan penyokong LTTE.

Beliau berkata, mengikut peruntukan Seksyen 27 Akta Polis 1967, sebarang perhimpunan yang diadakan tanpa permit polis adalah menyalahi undang-undang.

Oleh itu katanya, tindakan akan diambil mengikut Seksyen 141 kerana mengadakan perhimpunan haram dan 143 Kanun Keseksaan sebagai ahli perhimpunan haram.

Pada 20 Mei lalu, kira-kira 100 penyokong LTTE berhimpun di hadapan bangunan OSK Investment di Kuala Lumpur, bagi membantah tindakan kerajaan China yang didakwa membantu Sri Lanka dalam serangan ke atas kumpulan itu.

POSTED BY KIJANGJANTAN AT 12:37 PM 0 COMMENTS

MANEK URAI – BN WAJAR BERTANDING

Manek Urai bukan Penanti. Jelas dan bersuluh.
Benar dan tepat keputusan Barisan Nasional (BN) tidak bertanding pada pilihan raya kecil DUN Penanti kerana pilihan raya itu didakan semula gara-gara permainan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Benar dan tepat juga kalau BN mengambil keputusan untuk bertanding pada pilihan raya kecil Manek Urai.
BN tidak bertanding di Penanti kerana tidak mahu terbabit dengan kerja-kerja PKR yang mahu menyelesaikan kemelut dalamannya.
Menurut Agendadaily, yang diakui oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri, cara mengatasi kemelut PKR ialah dengan mengadakan pilihan raya kecil sebagai cara terbaik ‘menyingkirkan wakil rakyat’ kawasan itu.
Jadi, marilah kita menyahut seruan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat bahawa BN sebagai sebuah pertubuhan politik yang sah, sememangnya harus bertanding.

"Kalau sebagai sebuah parti politik yang sah, dia akan bertanding dengan cara mana sekali pun," katanya.

Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Abdul Rahman ketika dihubungi dari Kuala Krai petang ini berkata, peluang BN cerah.

“Ada petanda perubahan di kalangan rakyat di kawasan ini yang mula kecewa dengan wakil rakyat yang mereka pilih pada pilihan raya umum lalu.

“Mereka tidak membawa apa-apa perubahan. BN dan UMNO perlu membuktikan bahawa hanya mereka yang mampu mentadbir dengan baik dan bertanggungjawab,” katanya.
Ramzi akui memang sukar tetapi peluang tetap ada kerana DUN Manek Urai sebelum ini diwakili UMNO selama sepenggal (2004-2008).

Kesan pembaharuan dan pembangunan yang dibawa ada masih ada tetapi ada sesetengahnya terbengkalai sejak PAS menenangi kerusi berkenaan pada pilihan raya umum lalu.
Ramzi berkata sejauh ini UMNO belum mengenal pasti calonnya untuk diketengahkan pada pilihan raya kecil itu.

“Kita sedang merancang pelan kerja dan soal calon belum dibincang,” katanya.
Amat jelas bahawa kalau BN dan UMNO meletakkan calonnya di Manek Urai, ia bukan kerana masalah dalaman UMNO tetapi kerana kematian wakil rakyat PAS kawasan itu.

Jelas tujuan UMNO dan PKR jauh berbeza dalam menentukan kenapa bertanding pada pilihan raya kecil.

Semasa berucap pada program ceramahnya di Padang Berapit, Jumaat malam, Anwar yang ingin memperlihatkan bahawa beliau adalah ‘supremo’ dalam pakatan pembangkang memberitahu memang beliau meminta bekas ADUN kawasan itu, Firus Khairuddin meletakkan jawatan.

Jelas sekali Firus sebelum ini dikatakan meletakkan jawatan atas kerelaannya kerana mahu melanjutkan pelajarannya memang tidak benar sama sekali.

Dengan pengakuan Anwar bahawa beliau yang menyuruh Firus meletakkan jawatan, ia mengesahkan andaian banyak pihak selama ini bahawa Anwar sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan percaturan politiknya dapat dilaksanakan.

Jika selama ini Anwar sering melaungkan hormati pilihan rayat, dalam soal Firus Anwar sendiri mengkhianati pilihan rakyat Penanti terhadap Firus kerana menyuruh Firus meletakkan jawatan bagi diganti dengan orang yang lebih berkelayakan.

“Memang saya menyuruh Firus meletakkan jawatan. Sebabnya saya mahu Dr Mansor bertanding kerana Dr Mansor (Othman) orang yang mempunyai kelayakan dan sesuai menjadi Timbalan Ketua Menteri bagi membantu Ketua Menteri, Lim Guan Eng,” katanya.

Menurut Agendadaily, tanpa rasa bersalah kerana menggunakan proses demokrasi bagi mencatur urusan politik dalaman partinya, Anwar dengan bangga memberitahu perkara itu sambil mengangkat tangan Dr Mansor yang turut berada pada majlis ceramah tersebut.

Anwar berkata, Dr Mansor bukan sahaja berkelayakan tetapi pencapaian akademiknya diiktiraf oleh institusi pengajian tinggi dunia.

Mungkin PAS tidak tahu isu sebenar dan kerana itu ia bersifat sinikal sendikit apabila mengatakan BN tidak perlulah bertanding di kawasan itu kerana membazir wang rakyat.
PAS jangan terikut-ikut dengan taktik PKR kerana suatu masa PAS juga akan terkena tempias sebagamana kini PKR menggunakan modal BN tidak bertanding di Penanti untuk menggenakan BN.

Modal itu adalah juga bertujuan mengelirukan rakyat bagi memancing undi.
Yang pasti, ketetapan yang diambil BN sebelum ini bukannya untuk tidak bertanding terus dalam mana-mana pilihan raya kecil, tetapi hanya untuk pilihan raya yang 'diatur' oleh pihak pembangkang.

BBN sudah nyatakan dengan jelas dan terang sejak awal lagi bahawa ia akan bertanding ddalam pilihan raya kecil yang perlu diadakan akibat faktor kematian wakil rakyat atau kerana perintah mahkamah.

Jadi, perkara itu memang jelas. Jika BN menolak untuk bertanding di Penanti adalah kerana ia bersifat taktikal iaitu tidak mahu jatuh dalam perangkap PR.

Namun, jika ia memutuskan untuk bertanding di Manik Urai, maka jangan pula perkara itu cuba diputar-belitkan seperti mana yang cuba dilakukan Pas hari ini.

Sejauh ini UMNO Kelantan sudah pun mendengar taklimat mengenai keadaan di Manek Urai daripada Ramzi semalam, bagaimanapun langsung tidak membincangkan soal calon di DUN itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed berkata semalam, mesyuarat biro politik Umno negeri di Kota Bharu itu hanya membincangkan situasi politik semasa di Manek Urai.

AZALINA JADI MANGSA?

Kalaulah keputusan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesahkan beliau tidak terlibat dengan rasuah diumumkan sebelum pemilihan UMNO lalu, rasanya Azalina tidak menghadapi masalah ‘tinggi menggunung’ untuk menang.

Mungkin menyedari keadaan inilah Datuk Seri Azalina Othman Said menggesa SPRM segera menyiapkan siasatan dan jika tiada kes yang membolehkan beliau didakwa, kes berkenaan harus digugurkan segera.
Beliau juga dilaporkan berkata, SPRM dilihat berdiam diri tanpa memberi sebarang alasan terutama selepas selesai Perhimpunan Agung Umno hujung Mac lalu yang menyaksikan beliau tewas dalam merebut jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.
Apapun, Azalina sendiri sudah merasa lega dan bersyukur selepas disahkan tidak terlibat dengan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ahli Parlimen Pengerang itu juga berterima kasih kepada SPRM dan Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Said Hamdan kerana menjalankan siasatan dengan telus dan adil.

"Saya gembira dan bersyukur kepada Ilahi kerana sudah terlepas daripada dugaan ini," demikian lapor Utusan Malaysia kelmarin.

Ke mana haluan Azalina selepas ini?

Hanya cukup sekadar Ahli Parlimen sahaja? Beliau pasti memunyai perancangan sendiri untuk membuat comeback dalam kadar segera.

Beliau tidak boleh terlalu lama ‘menghilangkan diri’.

Sekarang tiada apa lagi perlu dimalu atau disegankan.
Lagipun sumbangannya sebagai Ketua Puteri UMNO sejak merangka penubuhan hinggalah pergerakan itu menjadi kuat, tidak boleh diabaikan. Saya ada menulis mengenai usaha beliau menggerakkan Puteri UMNO dalam buku saya yang diterbitkan pada 2001.

Apa yang pasti, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Menteri Pelancongan itu yang dikatakan terbabit dalam rasuah mendapati, tiada kes untuk mendakwa beliau.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, berkata siasatan terhadap Azalina yang dilengkapkan SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur baru-baru ini mendapati tiada aspek yang membolehkan bekas menteri itu dikaitkan dengan rasuah.

Bagaimanapun, Ahmad Said berkata, ada kemungkinan pihak lain yang turut terbabit dalam siasatan terhadap kes Azalina yang dikatakan menyalah guna kuasa dan penyelewengan pengagihan projek kementerian itu, boleh dikaitkan dengan dakwaan terbabit.

"Tiada kes terhadap beliau (Azalina) tetapi ada kemungkinan ia membabitkan orang lain," katanya pada sidang media selepas menutup program Jati Diri Rakan Muda anjuran SPRM, Biro Tatanegara (BTN) dan Jabatan Belia dan Sukan, di Pusat Latihan Membakut, Khamis lalu.

Bagaimanapun, Ahmad Said enggan mengulas lanjut sama ada pihak lain yang dimaksudkannya itu adalah pegawai Kementerian Pelancongan atau dua pegawai kanan Azalina yang pernah diambil keterangan oleh SPRM berkaitan isu berkenaan Mac lalu.

Siasatan terhadap dakwaan Azalina terbabit dalam rasuah dijalankan SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak Mac lalu.

Pada 12 Mac lalu, akhbar melaporkan SPRM merampas sejumlah fail dan menyoal siasat beberapa pegawai Kementerian Pelancongan bagi membantu siasatan berhubung rasuah politik dan salah guna kuasa dalam pengagihan projek kementerian itu.

Dua pegawai kanan Azalina turut ditahan SPRM, tetapi dibebaskan selepas keterangan mereka diambil. Bagaimanapun, pada awal April lalu, Azalina menyelar SPRM dengan mendakwa organisasi berkenaan melengahkan siasatan berhubung dakwaan rasuah terhadapnya.

Ahmad Said pada sidang akhbar di Beaufort, Sabah semalam berkata siasatan SPRM mendapati tiada kes rasuah melibatkan Ahli Parlimen Pengerang itu.

Pada Mac lalu, Azalina disiasat oleh SPRM berhubung kes rasuah melibatkan kementeriannya.
SPRM pada 11 Mac turut menyiasat lapan pegawai kanan Azalina bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan.

Azalina yang juga bekas Ketua Puteri UMNO berkata, sepanjang tempoh siasatan kes itu sejak Mac lalu, beliau menumpukan kepada tugasnya sebagai wakil rakyat dengan melawat dan bertemu penduduk di kawasannya.

Sebagai penyokong kerajaan, sudah pasti Azalina kini tidak sabar untuk menghadiri sidang Parlimen pada Jun ini.

Kita akan dapat menyaksikan bagaimana Azalina perform sebagai Ahli Parlimen berbanding sebelum ini sebagai Menteri Belia dan Sukan, selain Menteri Pelancongan.