Wednesday, February 15, 2012

KELUARLAH DARIPADA ‘KESESATAN’, KEMBALI KE PANGKAL JALAN…

"PAS perlu kembali kepada perjuangan asal seperti yang diamalkan pada masa pentadbiran bekas Presiden, Allahyarham Datuk Mohd Fadzil Noor....Janganlah hanya menumpukan usaha untuk meraih undi dan mendapatkan kuasa sehingga menggadai prinsip parti," - Pengerusi Tetap PAS Kawasan Tanjong, Zaidi Abu Bakar

Tidak usahlah sampai mendesak PAS sampai keluar dari Pakatan Rakyat – yang dianggotai PAS-PKR-DAP – kerana ia sudah jauh ‘tersesat’. Sekadar minta ia kembali ke pangkal jalan pun dah cukup!

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memang wajar meminta PAS keluar pakatan namun, berilah dulu peluang ahli-ahlinya menilai apa yang sedang dilakukan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi DAP terhadap PAS.

Memang benar kata-kata Mohd Shafie, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, bahawa PAS perlu sedar rakan-rakannya dalam pakatan pembangkang bukan hendak memperjuangkan agama Islam tetapi hanya memberi keutamaan kepada hal politik dan duniawi, katanya.

Namun kita mula melihat gerakan bawahan yang menunjukkan ahli biasa mula tidak senang dengan tindak-tanduk pemimpin atasan mereka yang terus bersekongkol dengan pemimpin pakatan pembangkang yang terang-terangan ‘tidak menyokong Islam’.

Semalam di Georgetown, Pengerusi Tetap Kawasan Tanjong, Zaidi Abu Bakar menyifatkan PAS sudah lari daripada prinsip dan perjuangan asalnya dan perlu balik kepada perjuangan sebenar.

PAS diharap dapat kembali kepada perjuangan asal seperti yang diamalkan pada masa pentadbiran bekas Presiden, Allahyarham Datuk Mohd Fadzil Noor.

"Janganlah hanya menumpukan usaha untuk meraih undi dan mendapatkan kuasa sehingga menggadai prinsip parti," katanya di hadapan Pejabat Pos di Komtar di Georgetown.

Sebelum itu beliau mengetuai beberapa ahli PAS Tanjong mengecam Pengerusi DAP, Karpal Singh kerana membantah pendirian parti itu menentang sambutan Hari Kekasih, yang disambut semalam.

Mereka kesal dengan kenyataan Karpal yang mengkritik tindakan Dewan Pemuda PAS yang mencadangkan agar sambutan itu diharamkan."Karpal tidak seharusnya mencampuri urusan yang melibatkan hal ehwal Islam kerana ia membabitkan sensitiviti umat Islam di negara ini khususnya dalam usaha untuk mengekang gejala sosial yang kian menular.

Jangan guna alasan hak asasi manusia. Saya ingin bertanya bagaimana pula dengan hak orang Islam? Bantahan ini berdasarkan hukum Islam, kenapa Karpal campur tangan," katanya.

Tidakkah gesaan sebegini menunjukkan sudah ada suara yang tidak senang dengan percampuran PAS dan rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang?

Diharapkan pemimpin PAS bawahan menunjukkan sikap sebenar mereka agar PAS kembali ke pangkal jalan.

Ahad lalu, Karpal berkata, pendirian PAS menentang sambutan Hari Kekasih bukanlah satu tindakan yang baik.

Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan pun turut meminta Karpal tidak mempolemikkan isu sambutan Hari Kekasih kerana apa yang ditentang PAS bertepatan dengan perjuangan mereka dalam Pakatan Rakyat (PR). Karpal diminta tidak mempersoalkan pendirian PAS kerana mereka tidak pernah menghalang masyarakat bukan Islam daripada meraikannya.

Itu dengan DAP, dan bukan isu Hari Kekasih sahaja.

Bagaimana dengan isu Palestin yang lebih besar?

Semalam juga Dewan Ulama PAS Pusat menyifatkan pendirian Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam, yang menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya mengenai Israel atau menyaman Wall Street Journal menunjukkaan parti itu tidak tunduk kepada mana-mana pihak dalam memperjuangkan isu-isu umat Islam.

Kenyataan ini adalah bukti yang jelas bahawa PAS tetap akan menyuarakan pandangannya dan tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak apabila membicarakan tentang isu-isu prinsip Islam," kata Setiausaha Dewan Ulama PAS, Dr. Khairuddin Razali.

Khairuddin berkata, perkembangan itu juga menunjukkan bahawa PAS tidak akan menjual prinsipnya dalam memperjuangkan Islam.

Kita berharap bukan kali ini tetapi PAS tidak akan menjual prinsipnya selama-lamanya.

Malah, Mursyidul Am PAS dan Majlis Syura Ulama PAS perlu menilai kembali apa untungnya berpakat dengan DAP dan Pakatan Rakyat.

Apakah jalan ke Putrajaya itu lebih baik daripada jalan menyelamatkan akidah dan umat Islam di negara ini?

Semua pihak dalam PAS jangan hanya menyokong apabila isu-isu membabitkan umat Islam dunia sahaja.

Sedangkan perselisihan umat Islam di Malaysia yang lebih penting termasuk di kalangan adik beradik, sanak saudara, jiran dan rakan tidak dipedulikan.

Sikap ‘klu-klek’ PAS sebenarnya merosakkan umat Islam di Malaysia kerana pendiriannya yang tidak konsisten apabila boleh bersahabat dengan syaitan dan pada masa yang sama ‘mensyaitankan’ umat Islam lain yang hanya berpandangan atau berbeza fahaman politik dengan mereka.

Namun pada DAP dan PKR yang juga berbeza politik dan berbeza agama (sedikit sahaja orang Islam di dalamnya) diberikan keutamaan.

Selama mana PAS akan ‘klu-klek’ seperti ini?

Kerana itulkah saya anggap adalah baik beri peluang dulu PAS kembali daripada ‘kesesatannya’ dan kemudian biarlah mereka menilai dalam keadaan SEDAR apakah perlu bekerjasama dengan dua parti bukan Islam itu.