Monday, March 27, 2017

PINDAAN RUU355 – UMNO, PAS MEMBELAKANGI MAJLIS RAJA-RAJA?


"Apakah institusi diRaja itu hanya ‘rubber stamp’ dan tidak mempunyai peranan dalam perkara penting membabitkan rang undang-undang Islam...Mereka tidak lagi penting dalam politik dan pentadbiran Malaysia?"

Langkah UMNO dan PAS dalam isu rang undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355), ternyata  silap?

Kalau disebut sebagai bertujuan politik dan mendapatkan laba bersama-sama, kedua-duanya pasti  menafikannya.

Namun amat nyata kini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Hadi Awang secara bersama yang beria-ia mahu RUU355 dibentangkan di Dewan Rakyat dan diluluskan, melakukan kesilapan besar dengan membelakngkan Majlis Raja-Raja.

Sewajarnya, semua pihak perlu mengambil kira pendapat bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim bahawa sebarang cadangan untuk meminda RUU355 perlu di dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu.

Dengan kata lain, dapatkan pandangan majlis dan jangan sekali-kali membelakangi Raja-Raja Melayu.

Apakah Raja-Raja Melayu kita tidak mampu memberikan cadangan atau pandangan?

Apakah tidak perlu untuk meminta ulasan dan pandangan balas mereka dalam perkara RUU355 ini?

Apakah institusi diRaja itu hanya ‘rubber stamp’ dan tidak mempunyai peranan dalam perkara penting membabitkan rang undang-undang Islam seperti ini?

Mengapa UMNO dan PAS membelakangi Majlis? Mereka tidak lagi penting dalam politik dan pentadbiran Malaysia?


Sebagai orang Islam, tidak ada sebab kenapa kita menolak atau menafikan keperluan melakukan pindaan terhadap akta berkenaan apa lagi kes jenayah di bawah akta berkenaan semakin berleluasa.

Malah kita boleh menerima cadangan bahawa peningkatan hukuman ini mampu mengurangkan kesalahan yang dilakukan oleh orang beragama Islam.

Ini  kerana hukuman sedia ada tidak mencukupi bagi memberi kesedaran dan rasa takut kepada orang Islam.

Cumanya UMNO dan PAS jangan memandai-mandai menjadikan sebagai ‘laba politik’ kerana sesuatu yang baik jangan dijadikannya sebagai sesuatu yang hanya dimiliki oleh UMNO dan PAS sahaja.

Apakah penyokong parti lain dan rakyat beragama Islam seluruhnya di Malaysia tidak ada hak ke atas RUU355?

Kenapakah melihatnya sebagai laba politik semata-mat tetapi membiarkan sesuatu yang ‘suci’ dan bertujuan baik untuk semua masyarakat diputar-belit?

Apa jenis pemimpin dan kepemimpinan menggunakan Islam untuk laba politik seperti UMNO dan PAS ini?

Sebagai bekas ahli UMNO, penulis memang diajar supaya melihat PAS sebagai sebuah parti yang menggunakan Islam dalam semua sudut kepentingan dan laba politiknya.

Ahli UMNO diajar supaya ‘membenci PAS kerana menggunakan Islam’ untuk kepentingan dan laba politiknya.

Namun dalam aspek RUU355, siapa yang cuba menggunakan Islam untuk kepentingan dan laba politiknya?

Bukankah UMNO yang sanggup mengenepikan perasaan dan hati rakan komponen politiknya – MCA, MIC, Gerakan, PBB(Sarawak) serta PBS (Sabah) dan parti komponen lain dengan menyokong PAS bagi tujuan politik.

Kenapa UMNO mesti mengambil sama ‘laba daripada Islam’ seperti yang diperjuangkan oleh PAS selama ini?

Apa bezanya antara UMNO dan PAS dalam konteks RUU ini?


Juga jika PAS ‘membelakangkan Raja-Raja Melayu’ dengan membentangkan RUU355 ini di Dewan Rakyat, kenapa UMNO perlu bersekongkol sama?

UMNO pun sudah ikut PAS menjadikan Islam sebagai alat untuk mendapatkan ‘laba politik’?


Cadangan meminda RUU 355 itu buat kali pertama dibawa ke Dewan Rakyat pada Mei 2016 dan usul itu sekali lagi dibaca Hadi pada 24 November tahun lepas.

Ia bertujuan meminda Seksyen 2 akta berkenaan untuk menggantikan perkataan 'penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi RM5,000 atau sebatan melebihi enam kali' dengan perkataan 'penjara selama tempoh melebihi 30 tahun atau denda melebihi RM100,000 atau sebatan 100 kali sebagaimana ditadbir selaras dengan Tatacara Jenayah Syariah'.

Kenyataan Tun Ahmad Fairuz - ketua hakim negara dari 2003 hingga 2007 - perlu diambil perhatian berat oleh semua pihak.

Pendangan beliau bahawa cadangan atau pindaan akta berkaitan agama Islam termasuk Rang Undang-undang (RUU) Persendirian perlu dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu sebelum dibentang di Parlimen jangan di perlekehkan.

Bukan sahaja kerana kedudukan dan pengalamannya tetapi apa yang ditekankan oleh bekas Ketua Hakim Negara itu ialah sebagai ketua agama Islam, Raja-Raja Melayu mempunyai peranan tersendiri.

Ini termasuk dalam menentukan sesuatu perkara berkaitan agama Islam sebelum ia diguna pakai ke atas pihak yang disasarkan.

Malah, berasaskan kepada perdebatan, kemusykilan mengenai mengapa RUU 355 tidak dipersembahkan kepada raja-raja sebelum ia dibentangkan di Parlimen, memang ada lojiknya untuk beliau mempersoalkan langkah dua parti politik itu menguruskan pindaan RUU355 ini.
.
"Hal ini boleh diperhujahkan kerana jelas tercatat dalam Perlembagaan Negara yang mewajibkan rujukan (mengenai agama Islam) dibuat kepada Majlis Raja-Raja yang juga ketua agama Islam dan hal yang termaktub itu mesti kita hormati," katanya.

Pada  sesi soal-jawab mengenai syarahan bertajuk "Islam as the Law of the Land" (Islam sebagai Undang-Undang Tanah Air), di ibu negara kelmarin, Ahmad Fairuz, menegaskan peranan Majlis Raja-Raja sebagai ketua agama Islam tidak seharusnya dipinggirkan.

Katanya, Mahkamah Syariah wujud kerana Islam. Justeru itu, apa-apa yang berkaitan dengan Islam perlulah dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Raja-Raja dan mendapat persetujuan mereka sebelum dibentangkan di Parlimen.

Malah menurut beliau, Majlis Raja-Raja) mempunyai peranan masing-masing dan jika kerana tiada keterlibatan mereka, negara tidak akan merdeka.

Menjawab persoalan mengapa orang bukan Islam menentang RUU 355 walaupun akta itu tidak langsung melibatkan mereka, Ahmad Fairuz berkata, beliau tidak nampak sebab yang kukuh untuk orang bukan Islam menentangnya.

Menurutnya  RUU 355 bukan hukum hudud kerana rang undang-undang itu bertujuan untuk memperluaskan skop hukuman bagi kesalahan syariah sahaja.

Beliau menyatakan  sukar untuk memahami mengapa orang bukan Islam menentang RUU 355 sedangkan tidak ada alasan kukuh untuk mereka bersikap sedemikian.

"Sememangnya RUU 355 tidak melibatkan langsung orang bukan Islam. Apa yang mereka perlu risau?," tanyanya.