Thursday, September 10, 2009

AHMAD SAID MAHU DIHUMBAN KE PUSAT?

“Sebagai ulasan kepada catatan blogger di atas, Editor beharap beliau dapat berjumpa dengan seorang Exco kerajaan negeri Terengganu yang tinggal di Kemaman untuk penjelasan lanjut isu Ahmad said ditawarkan menjadi Menteri Pusat”.

Demikian ulasan dalam sebuah blog pro-PAS terhadap entri blog http://teganuku.blogspot.com semalam dengan tajuk “Spin Bodoh, Tidak Masuk Akal oleh Laman Pembangkang”.

Entri http://teganuku.blogspot.com itu menjawab tulisan melalui sebuah blog pro-PAS berkenaan bertajuk ‘Ahmad Said Tolak Tawaran Menjadi ‘Menteri Pusat’ .

Menurut laman itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Ahmad Said berkeras mahu mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Besar negeri Terengganu dan menolak jawatan ’lumayan’ sebagai Menteri Pusat.

Sumber dalaman memberitahu, Ahmad akan dilantik sebagai Senator dan kemudian ’menteri penuh’ sebagai ’pertukaran’ supaya beliau mengosongkan kerusi Menteri Besar Terengganu.
Isu ini diperkatakan di Terengganu ketika ini dan turut ditanya oleh wartawan pada sidang media Ahmad Said selepas mesyuarat mingguan Exco semalam dan beliau menafikan pernah menerima tawaran itu.

Katanya berita itu mempunyai unsur fitnah dan spekulasi daripada pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Melihat kepada ulasan blog berkenaan, bermakna bahawa sumber mengatakan Ahmad Said ditawarkan menjadi menteri pusat datang daripada kalangan UMNO sendiri. Lebih hebat ia daripada Exco.

Kalau Exco dari Kemaman, tidak ada orang lainlah selain Datuk Mohamed Awang Tera (Chukai) iaitu Exco.

Tetapi benarkah sumber blog pro-PAS ini benar?

Apakah blog itu mahu menyatakan bahawa Awang Tera yang menjaja cerita ini? Apa tujuan beliau melakukannya?

Apapun sejauh mana benarnya Exco berkenaan sanggup berbuat demikian?
Ura-ura untuk melantik Ahmad sebagai menteri telah mula didedahkan oleh Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Haji Hanafiah Mat@Ramly dalam laman blognya.

Persoalan juga ialah, apakah Hanafiah mendapat sumber daripada Awang Tera?

Banyak persoalan di sini namun ada kemungkinan pihak di luar UMNO sengaja mencipta cerita untuk melaga-lagakan pemimpin UMNO.

The Malaysian Insider pula dengan tajuk ‘Ahmad Said tolak tawaran jadi menteri ‘ kelmarin turut membincangkan perkara ini kelmarin apabila melaporkan bahawa Ahmad Said menolak tawaran untuk menjadi Menteri Pusat bagi membolehkan beliau meletakkan jawatannya di Terengganu.

Tawaran ini adalah sebagai salahsatu usaha yang dibuat Umno untuk menyelesaikan krisis di Terengganu sekarang. Ia dibuat oleh kepimpinan Umno untuk membolehkan Ahmad Said digantikan oleh pemimpin Umno yang lain di Terengganu untuk menyelesaikan krisis.
Mengikut pelan itu, Ahmad akan dilantik menjadi senator dan seterusnya dilantik sebagai menteri penuh.

Dengan penolakan ini, bermakna UMNO Terengganu akan terus bergolak, kata Malaysian Insider. Yang terakhir, majlis Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyidin Yassin diboikot oleh kebanyakan Adun Terengganu yang tidak menyokong Ahmad Said.

Tidak diketahui siapakah yang mencadangkan Ahmad Said di“buang” dari Terengganu melalui cara itu. Ini kerana sudah menjadi kebiasaan, mana-mana pemimpin yang bermasalah akan di“buang” dari kawasannya.

Kata The Malaysian Insider, Tan Sri Wan Mokhtar, bekas MB Terengganu telah dilantik menjadi duta Malaysia ke Arab Saudi selepas Terengganu jatuh ke tangan PAS pada tahun 1999.
Datuk Seri Jamaludin Jarjis juga di“buang” dari Pahang ke Amerika Syarikat apabila tidak dilantik sebagai menteri lagi.

Jika mengikut lojik ini, bukan Ahmad Said sepatutnya dibuang. Wan Mokhtar dibuang supaya tidak mengganggu Datuk Seri Idris Jusoh.

Jadi sepatutnya The Malaysian Insider mencadangkan dibuang bukan Ahmad Said tetapi Idris. Ini kerana masalah yang belaku dan mengganggu Ahmad Said ialah kumpulan Idris.
Bukankah ikan buruknya bermula di kepala?

PENSABOTAJ KERAJAAN – WAJARKAH DIBAYAR HABUAN?

Ada kalangan kakitangan kerajaan yang bersikap membenci kerajaan dan ada yang sanggup menyertai perarakan anjuran pembangkang.

Setengahnya juga ada yang membantah secara diam dengan mengundi pembangkang. Namun, apabila kerajaan membayar bonus atau sebarang sagu hati mereka tidak menolaknya.

Malah, saya yakin ada kalangan mereka yang turut mendesak untuk mendapatkan bonus atau saguhati lain.

Apakah bagi mereka ‘halal’ mengambil bantuan itu sedangkan mereka menentang dan mensabotaj pelbagai usaha kerajaan bagi memajukan rakyat?

Apakah mereka menyumbang kepada kerajaan apabila menjadi penentang dan berusaha menggagalkan sebarang usaha kerajaan?

Seramai 860,000 kakitangan awam kumpulan sokongan akan mendapat bantuan khas kewangan membantu mereka menghadapi Aidilfitri dan sesi persekolahan akan datang.

Kerajaan mengumumkan semalam, pembayaran bantuan khas kewangan itu sebanyak RM500.
Bayaran itu akan dibuat dua kali iaitu RM250 sebelum Aidilfitri dan bakinya pada Disember ini.

Saya mempersoalkan perkara ini kerana dalam sistem pembayaran bonus atau sagu hati, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mempersoalkan sama ada seseorang itu menentang atau menyokong kerajaan.

Sedangkan dalam syarikat swasta, pembayaran bonus dan ex-gratia dibayar mengikut pencapaian seseorang, kecuali bonus yang ditetapkan melalui perjanjian bersama. Yang kurang menyumbang kepada syarikat pastilah mendapat pembayaran kurang.

Tetapi tidak dengan kerajaan. Yang malas, ponteng, berniaga di luar, sakit berpanjangan dan yang menentang kerajaan pun mendapat habuan yang sama.

Tahun lepas, 2 juta kakitangan awam negara ini menerima bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000 dalam pembentangan Bajet 2009 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataannya di Kuala Lumpur semalam menegaskan implikasi kewangan kepada 860,000 kerajaan bagi bayaran tersebut adalah sebanyak RM430 juta.

Keputusan itu diambil setelah mengambil kira kebajikan kakitangan awam dalam kumpulan itu terutama bagi meringankan beban kos persediaan musim perayaan dan persediaan persekolahan hujung tahun ini.

Melihat kepada apa yang dilakukan oleh kerajaan ini, wajarkah kerajaan dilihat zalim dan tidak adil?

Baru-baru ini, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) merayu kerajaan menimbangkan ‘duit raya’ atau bonus kepada penjawat awam dalam pengumuman Bajet, Oktober ini.

Menurut presidennya, Omar Osman, pihaknya bersetuju jika Elaun Sara Hidup (COLA) tidak dapat dinaikkan memandangkan keadaan ekonomi yang lembap ketika ini.

“Tetapi tetapi kita harap biarlah dalam musim perayaan nanti kira-kira 1.2 juta penjawat awam di negara ini menikmati ’duit raya’,” katanya.

Malah, Omar dilaporkan memberitahu, perbincangan mengenai bonus itu telah diadakan menerusi dalam mesyuarat tertinggi kongres tersebut dan dibincangkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Jadi kepada penjawat kerajaan khususnya kepala penentang kerajaan, wajar mereka berfikir sejenak, apakah adil mereka menerima bantuan berkenaan?

Memanglah tidak akan nada perkataan terima kasih daripada mereka. Seperti biasa mereka akan mengatakan itu tugas kerajaan untuk menjaga kepentingan kakitangannya.

Juga apakah ‘rezeki mereka halal’ apabila mengambil habuan berkenaan?

Sedangkan hakikatnya mereka tidak menyumbang secara maksimum malah ada yang mensabotaj pula kepada usaha kerajaan memaju dan menstabilkan negara.

Tetapi bagaimana dengan kerajaan negeri yang diperintah pembangkang, apakah mereka juga akan memberikan habuan seperti ini?

Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang – apakah mereka akan melakukan sama?