Monday, June 14, 2010

BAHASA TAMIL & CINA DI SEKOLAH - KERAJAAN JANGAN CARI BEBAN BARU

Saya sokong penuh jika dikatakan semakin banyak bahasa dikuasai, semakin banyak ilmu yang mudah dipelajari.

Namun hasrat kerajaan untuk mengkaji cadangan mewajibkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Tamil dan Mandarin di semua sekolah, perlu diperkata dan dikaji dengan berhati-hati.

Kajian biarlah secara mendalam dan benar-benar telus.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semalam, pembelajaran bahasa ibunda itu sememangnya termaktub sebagai dasar kementerian namun masih belum dilaksanakan sepenuhnya lagi sejak sekian lama.


"Bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris memang penting tetapi bahasa ibunda juga harus kita pelajari untuk memudahkan komunikasi selain mamahami budaya, nilai dan seni kaum lain," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Parti Progresif Rakyat (PPP) Wilayah Persekutuan semalam.


Bila disebut wajib, apakah ia perlu lulus seperti Bahasa Malaysia untuk perkiraan gred atau pencapaian?

Saya mengemukakan pertanyaan ini melihat kepada kesan yang melanda pelajar-pelajar Melayu, khususnya di luar bandar yang menghadapi masalah mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris kerana sebab-sebab kekurangan guru dan kemudahan pembelajaran lain.

Selain itu, mempelajari bahasa sebenarnya sukar apabila lagi jika ‘wajib’ yang ditetapkan itu membabitkan umpamanya kelulusan bagi dua kertas seperti diamalkan sekarang.

Bagi ibu bapa pula, mereka tentu bimbang mengenai keputusan peperiksaan untuk dua bahasa ini dan bagi yang tidak mampu menghantar anak untuk kelas tambahan (kebanyakan ibu bapa sekolah kebangsaan adalah keturunan Melayu) kerisauan dan kebimbangan mereka mungkin bertukar kepada ‘kemarahan kepada kerajaan’.

Kita sudah melihat bagaimana pembangkang menggunakan isu pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris untuk tujuan kempen dan undi pilihan raya. Apakah kerajaan mahu mencari satu lagi ‘bala dan malapetaka politik’untuk pilihan raya umum akan datang?

Kita akui bahawa bahasa amat penting dalam memupuk persefahaman, namun persoalannya, tidak cukupkan dengan Bahasa Malaysia?

Juga, sekiranya pembelajaran bahasa akan menjadi masalah seperti pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, beban apa lagi yang perlu ditanggung oleh kerajaan?

Pada ketika isu Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris belum selesai, pengumuman seperti ini mengundang pelbagai tuntutan dan masalah.

Dari kaca mata politik, Muhyiddin mengumumkan perkara ini sebagai mengulas permintaan Presiden PPP Datuk M Kayvaes supaya kerajaan mempertimbang menjadikan pembelajaran bahasa ibunda berkenaan sebagai subjek wajib di sekolah.
Persoalan lain ialah siapa yang akan mengajarnya dan apakah tambahan subjek ini tidak membebankan pelajar?

Muhyiddin berkata, kerajaan bercadang mewajibkan guru-guru Bahasa Cina dan Tamil disediakan di sekolah-sekolah kebangsaan tetapi apakah ia mencukupi dan bagaimana tahap pengajarannya?

Walaupun sekolah kebangsaan memang sudah ada dasar untuk menyediakan guru-guru tersebut supaya kelas-kelas POL (bahasa ibunda pelajar) dapat dilaksanakan sepenuhnya di semua sekolah kebangsaan, ia tidak semudah diucapkan.

Mungkin saya salah seorang ibu bapa yang boleh dikategorikan sebagai mmpunyai sindrom ‘bimbang yang melampau’.

Saya kemukakan masalah ini kerana ada pengalaman sedikit kerana ketiga-tiga anak lelaki saya belajar di sekolah Cina dan untuk membolehkan mereka sedikit mahir bercakap.faham dan menulis ia memerlukan usaha yang benar-benar gigih dan perbelanjaan agak tinggi.

Persoalannya, dalam konteks perlaksanaan dan kesannya, tidakkah ia kelak akan menimbulkan masalah lebih besar?

Bagaimana jika kemudian kerajaan mendapati usaha ini sukar dilaksanakan? Atau kedua-dua bahasa itu hanya wajar dijadikan pilihan, bukan wajib kerana sebab-sebab tertentu.

Tidakkah kelak, Menteri Pelajaran selepas ini salah satu kerjanya ialah menjawab isu mewajibkan pengajaran dan pempelajaran bahasa Tamil dan Mandarin di sekolah-sekolah?

Tidakkan ini akan menyebabkan kerajaan perlu mencari jawapan lain yang mungkin akan menyukarkan diri sendiri, sedangkan asalnya hanya untuk memuaskan segelintir orang politik!