Monday, May 22, 2017

PPBM PERLU NILAI SEMULA HUBUNGAN DALAM PAKATAN HARAPAN...


Kini masa terbaik untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)  menilai dan berfikir secara mendalam bentuk kerjasama di kalangan pembangkang.

Apakah PPBM menyertainya dalam satu organisasi Pakatan Haraoan (PH) berkenaan atau hanya persefahaman untuk berdepan pilihan raya.

Selepas PAS mengambil keputusan untuk menjadi ‘Kuasa Ketiga’ sementara Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula membuat beberapa kenyataan keras terhadap Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, kepimpinan tertinggi PPBm wajar menilai di mana ‘dirinya perlu ditempatkan’.

PPBM lahir daripada perjuangan untuk membela rakyat yang  tertindas oleh sistem pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang memberikan tumpuan kepada kepentingan segelintir pemimpin tertentingginya, khususnya di kalangan pemimpin UMNO.

Malah, PPBM lahir akibat daripada pemecatan dua pemimpin penting UMNO – Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, - bukan kerana merajuk atau cuba menjadi ‘juara’ di pihak lawan pada awalnya.

Kedua-duanya masing-masing Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar Kedah.

Malah gandingan mereka bersama bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri selama 22 tahun, Tun Dr Mahathir Mahathir, mempunyai kekuatan tersendiri. Kedudukan ini sewajarnya diberikan penghormatan yang tinggi,  bukan untuk dijadikan 'belasahan ' oleh pemimpin pembangkang, termasuk di kalangan yang masih berhingus!

Keyakinan rakyat berbagai kaum serta daripada penyokong berbagai parti tidak sewajarnya meletakkan Dr Mahathir atau juga Muhyiddin, sebaris dengan pemimpin parti pembangkang lain yang tidak ada pengalaman memerintah negara, kecuali mungkin sebuah negeri atau peringkat parti sahaja.

Begitu juga dengan  pemimpin PAS, Dr Mahathir dan Muhyiddin sewajarnya dihormati dan berkedudukan lebih tinggi, waima Presiden PAS sekalipun yang hanya pernah menjadi Menteri Besar Terengganu – itupun lima tahun yang kemudiannya dikalahkan oleh BN.


Amat nyata pemimpin pembangkang lain tidak menghormati pengalaman pemimpin PPBM dan hanya kerana PPBM bersetuju menjalin persefahaman dengan mereka, Pengerusi dan Presiden PPBM boleh ‘dibelasah’ sesuka hati, termasuk oleh pemimpin-pemimpin muda yang baru tiga empat tahun terlibat dalam politik.

Kenapa PPBM membiarkan Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin sengaja diperlekeh dan kadang kala ‘dihina’ sebegitu rupa?

Tidak kiralah apa kesnya tetapi dengan PAS, PKR atau juga DAP membiarkan pemimpin bawahan mengkritik pemimpin atasan PPBM, apakah parti-parti berkenaan merasakan mereka mendapat sokongan sepenuhnya rakyat jika bersendirian dan merasakan kehadiran Dr Mahathir akan merugikan mereka?

Sedangkan - bukan mahu bercakap besar - mereka perlukan pemimpin PPBM, khususnya Dr Mahathir untuk menarik kedatangan pengunjung atau penyokong pada majlis anjuran pembangkang dan bukti-bukti pada majlis parti lawan seperti PKR dan AMANAH, sama ada di Selangor atau Kelantan, atau di mana-mana sahaja adalah contoh terbaik.

Apakah aka nada ramai pengunjung atau kedatangan orang ramai jika hanya dengan kehadiran Presiden PKR atau AMANAH pada majlis ceramah atau penerangan anjuran mereka, jika tanpa kedatangan Tun Dr Mahathir?

Malah Dr Mahathir dijadikan tumpuan oleh parti lawan untuk mengunakan beliau sebagai ‘daya penarik’ kepada pengunjung pada majlis-majlis di mana-mana sahaja dan kadangkalanya untuk program PPBM sendiri, bekas Perdana Menteri itu tidak berkesempatan.

Hal ini tidak boleh dinafikan oleh mana-mana parti pembangkang, termasuk DAP sendiri!!!


Kenyataan Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad kelmarin yang mengatakan pakatan antara parti itu dengan bekas Dr Mahathir sebagai menyebabkan atau punca mengucar-ngacirkan ramai ahli parti PKR sewajarnya tidak dibuat secara terbuka.

Apakah dalam kedudukan di mana semua pihak sedang berunding, Nik Nazmi pada ucapan dasarnya di kongres Belia PKR kelmarin wajar dengan lantangnya mengatakan sedemikian?

Malah, Nik Nazmi seperti mendapat ‘lampu hijau’ daripada kepimpinan tinggi parti itu mengatakan, “ia merupakan satu peluang yang baik untuk parti menunjukkan kepada bekas Perdana Menteri itu bagaimana keputusan boleh dibuat dengan mencapai kata sepakat”.

Memanglah rundingan untuk kerjasama adalah sesuatu yang rumit, namun wajarkah ia dibuat oleh pemimpin pemuda sesebuah parti terhadap Pengerusi sebuah parti lain yang mahu dijadikan ‘rakan seperjuangan’ menentang kebobrokan UMNO/BN dalam pilihan raya dengan cara itu?

Kenyataan seolah-olah mahu mengajar Dr Mahathir mengenai apa itu ‘rundingan yang rumit dan berprinsip’ yang perlu dilalui sebelum membuat keputusan bersama-sama.

Apakah sebagai Perdana Menteri sebelum ini, beliau tidak pernah melalui proses perundingan yang rumit? Apakah rundingan dalam negara dan antarabangsa melalui berbagai organisasi dunia sesuatu yang tidak pernah dilalui oleh Dr Mahathir.

Kerana itulah penulis merasakan ada hadnya PPBM ‘merendahkan kedudukannya’ untuk mencapai kata sepakat dalam kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Kita faham bukan mudah untuk mencapai persefahaman, khususnya kerjasama dalam PH tetapi tidak bermakna PPBM boleh membiarkan pemimpinnya ‘dilanyak’ dan ‘dibelasah sebegitu rupa’.

Apakah PPBM tidak mempunyai kekuatan tersendiri?

Apakah kerana PKR ada 30 kerusi yang dimenanginya atau parti-parti lain juga ada kerusi di Dewan Rakyat sementara PPBM hanya ada satu kerusi sahaja, PPBM berada dalam keadaan yang terlalu terdesak dan  sanggup membiarkan dirinya diperlekehkan sedemikian rupa.

Isunya, apakah pemimpin selain 3M (Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz) membuat kenyataan bersifat politik menghentam pemimpin dan parti pembangkang lain seperti dilakukan oleh pemimpin bawahan dalam PKR dan PAS?


Memanglah PPBM perlukan kerjasama dengan semua pembangkang untuk tumbangkan UMNO/BN. Namun, jika sampai pemimpin utama parti boleh dibelasah dan ‘dikritik secara terbuka’, ia bukan suatu perkara yang  wajar dilihat dengan sebelah mata.

Pemimpin PPBM perlu menilai kerjasama bagimana sepatutnya dengan PKR, AMANAH atau juga DAP. Perlukah berada di dalam PH atau hanya ‘+ PH’ atau persefahaman lain agar kerusi tidak bertindih dan sama-sama berjuang demi pembangkang.

Dengan kedudukan di mana kerusi  masih dirundingkan, logo serta manifesto belum dimuktamadkan, masa masih untuk menilai sejauh mana kerjasama wajar dibentuk.

Kerjasama dan rundingan tidak boleh diasaskan di atas kesombongan kononnya sudah kuat dengan kedudukan mempunyai kerusi di Dewan Rakyat. Itu senario selepas PRU-13.

Realiti berdepan PRU14 adalah berlainan dan sentimen rakyat sudah berubah, apalagi dengan kehadiran PPBM yang pastinya akan memberikan saingan sengit kepada ketua BN, iaitu UMNO.

Kerana itu PKR, AMANAH, DAP dan juga PAS perlu melihat dan meneliti senario baru ini,  bukan berasaskan kepada sejarah PRU lalu.

Hanya yang bijak menilai situasi semasa dan masa hadapan sahaja akan mampu membaca kemungkinan-kemungkinan dalam PRU14.


Contohnya jika UMNO masih dengan ‘Dulu, Kini dan Selamanya’, bagi PPBM pula yang tinggal hanya ‘Dulu...’ kerana ‘Kini dan Selamanya’ berada pada senario politik yang baru.

Paling penting, semua rakyat memerlukan semangat dan perjuangan baru untuk menumbangkan BN yang menuntut tindakan ke arah ‘Berani Berubah’.