Wednesday, March 24, 2010

NAZRI - SAIFUDDIN SEBENARNYA PEMBOHONG!

Tabik spring kepada kenalan lama saya Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Macam tulah, baru ada kelas. Jangan nak sentuh Nazri – Dia seperti sarang tebuan. Kini dah ada orang bertempiaran lari cari sungai.

Saifuddin Nasution Ismail yang konon bijak itu jelas cakap ikut sedap mulut.
“Dia bukan peguam, dia tak tahu baca enakmen atau akta, jadi saya minta pada dia tarik baliklah sebab itu merupakan pembohongan dia di dalam dewan...” demikian kata Nazri di Parlimen semalam.

Isunya? Ahli Parlimen Macang itu menuduh Nazri mengelirukan dewan dengan memetik undang-undang yang telah dimansuhkan ketika menggulung perbahasan mengenai isu royalti minyak negeri Kelantan.

Kata Nazri, beliau mempunyai bukti kukuh yang menunjukkan bahawa ordinan ini masih berkuatkuasa dan kenyataan Saifuddin itu sememangnya tidak benar.

"Kalau dia (Saifuddin Nasution) seorang anggota Parlimen yang terhormat, dia akan tarik balik (kenyataannya), kalau dia tidak setuju kita boleh lawan (debat) dalam dewan atau luar dewan," kata Nazri.

Bukan Saifuddin saja yang terkeliru, malah ‘nasi tambah’ - anggota Exco Kelantan, Datuk Husam Musa - menyokong Saifuddin supaya mencadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dihadapkan kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Ahli Dewan kerana tindakannya selama ini mengelirukan Dewan Rakyat dengan memetik Akta yang tidak berkenaan dengan isu tuntutan royalti Kelantan.

Kata Husam melalui blognya : “Jika selama ini Nazri berani mencabar Kelantan pergi ke Mahkamah, tiba masanya Nazri mesti berani menghadapi Jawatankuasa Terpilih Dewan untuk mempertahankan hujjahnya. Lebih menarik jika orang seperti Tun Salleh Abbas, Nik Saghir Mohd Nor dan Tg Razaleigh boleh dipanggil memberikan keterangan samada jawapan Nazri di Dewan Rakyat selama ini 'mislead' atau tidak.”

Harakahdaily kelmarin melaporkan, gara-gara menggunakan Akta Ordinan Darurat 1969, iaitu akta yang telah pun dimansuhkan bagi menafikan hak kerajaan negeri Kelantan daripada menerima royalti minyak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dibuktikan berbohong di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen lepas.

Saifuddin berkata, Nazri pada sesi penggulungan Disember lalu berulang-ulang kali membuat penafian demikian atas alasan minyak tersebut berada di luar kawasan perairan Kelantan, iaitu tiga batu nautika seperti dirujuk pada Akta Ordinan Darurat 1969.

“Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu 1969 dengan ini dimansuhkan, maknanya ketika berhujah di dalam Dewan (Rakyat), yang berhormat Menteri (Nazri) telah memakai akta yang sebenarnya dimansuhkan.”

“Undang-undang yang dimansuhkan, dia tahu tidak boleh dihujahkan di dalam Dewan (Rakyat), perbuatan menipu Dewan Rakyat telah berlaku pada saat itu,” tegas Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR pada siding media di Parlimen kelmarin.

Sehubungan itu, Saifuddin mendesak MNazri dikenakan tindakan keras berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(12), iaitu berkaitan hukuman-hukuman yang wajar ke atas Ahli Parlimen atau Menteri kerana berbohong di Dewan Rakyat.

Disember tahun lalu, Nazri dilaporkan berkata, kedudukan pelantar minyak 170 kilometer, di Zon Ekonomi Eksklusif Melaysia-Thailand melayakkan kerajaan Kelantan menerima wang ehsan semata-mata daripada Kerajaan Persekutuan.

Saifuddin berkata, Nazri secara jelas menyelewengkan fakta apabila menggunakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu 1969) yang telah dimansuhkan sewaktu berhujah dalam isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen PR itu.

"Tadi kita (Ahli Parlimen PR) telah membangkitkan peraturan mesyuarat perkara di bawah 37 (1) dan 36 (12) berkenaan perbuatan yang kita percaya dilakukan oleh Ahli Parlimen Padang Rengas yang mengelirukan dewan.

"Ketika MP Padang Rengas menggulung perbahasan di peringkat dasar Jabatan Perdana Menteri, apabila kami membahaskan isu berkaitan royalti kelantan, apabila kami meneliti semula jawapan yang diberikan menteri iaitu isu tiga batu nautika berdasarkan Ordinan Darurat (kuasa-kuasa perlu 1969) yang dikatakan menghadkan sempadan sesebuah negeri setakat tiga batu nautika. Oleh kerana telaga minyak Kelantan yang berada melebihi tiga batu maka menteri berhujah berdasarkan ordinan ini, Kelantan tidak ada hak membuat tuntutan.

"Tetapi kami menemui undang-undang Malaysia iaitu Akta 216, Akta Darurat (Kuasa-kuasa Perlu 1979), di bawah seksyen 13(1) jelas yang menyebut ordinan (kuasa-kuasa perlu darurat 1969) telah dimansuhkan," katanya.

Berikutan itu, Nazri semalam meminta anggota Parlimen Machang, menarik balik tuduhan bahawa beliau telah berbohong berhubung isu royalti minyak kepada Kelantan.

Nazri berkata Saifuddin sebenarnya yang telah berbohong kerana mengatakan Ordinan (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1969 yang menjelaskan tentang had sempadan sesebuah negeri ialah setakat tiga batu nautika telah dimansuhkan.

"Ordinan ini masih berkuatkuasa, cuma pindaan dibuat pada tahun 2007 yang memansuhkan Seksyen 7 ordinan berkenaan. Dalam hujah saya (pada sidang Dewan Rakyat pada Disember 2009), saya rujuk pada Seksyen 3 dan 4, saya tak rujuk pada Seksyen 7.

"Jadi saya nak nasihat pada Saifuddin Nasution, dia bukan peguam, dia tak tahu baca enakmen atau akta, jadi saya minta pada dia tarik baliklah sebab itu merupakan pembohongan dia di dalam dewan...kalau dia terus mengatakan saya membuat pembohongan, saya seorang menteri saya tak pernah bohong dalam dewan," kata Nazri.