Monday, April 3, 2017

PERDAGANGAN – MALAYSIA ‘JAHAT’ DI MATA TRUMP, AMERIKA SYARIKAT?

 

Ada sahaja yang tidak kena mengenai Kuala Lumpur di mata Washington.

Selepas bergelut dengan tindakan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) untuk membekukan harta rakyat Malaysia bernilai RM4Bilion (AS$1B) termasuk milik anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Malaysia kini terkait lagi dengan ‘kemarahan terbaru Amerika Syarikat (AS)’.

Sebelum ini ada juga serangan beberapa pihak di AS terhadap Malaysia dalam isu hak asasi manusia dan juga situsasi pekerja-pekerja, termasuk pekerja asing dasn pendatang di negara ini.

Kali ini dalam isu perdagangan pula.

Benar, Malaysia bukan satu-satunya  negara yang akan disiasat kerana apa yang diklasifikansikan ‘perbuatan jahat’ di samping 15 negara lain lagi, namun kedudukan ini pastinya akan sedikit-sebanyak menggambarkan imej negara ketika ini.

Ia berkaitan  dengan tindakan pentadbiran Presiden Donald Trump pada Jumaat  lalu memulakan siasatannya dalam usaha menghapuskan apa yang didakwanya amalan perdagangan yang merugikan ekonomi AS.

Malaysia adalah antara 16 negara yang disenaraikan yang dikatakan penyebab kepada defisit dagangan tidak berpihak kepada AS.

Persoalannya kenapa jadi begini?

Apakah Washington tidak mempunyai maklumat bahawa lebih 50 peratus eksport Malaysia ke negara itu adalah barangan yang dihasilkan oleh kilang milik negaranya di Malaysia?

Atau memang Trump sengaja menamakan Malaysia kerana rekod buruk akibat kes yang ditimbulkan oleh DOJ itu?

Kenyataan Donald Trump
Kerajaan atau Putrajaya perlu menjelaskan perkara ini agar AS tahu kedududkan sebenar dan rakyat tahu kerajaan di pihak yang benar.

Trump menandatangani arahan eksekutif untuk menyiasat dan mengenal pasti negara dan produk yang menyebabkan AS kerugian hampir AS$50 bilion setiap bulan.

Beberapa laporan termasuk dari Jerman hingga Thailand memetik Setiausaha Perdagangan AS, Wilbur Ross, sebagai berkata penyiasat akan memperincikan setiap negara dalam senarai.

Penyiasat AS akan mengkaji perdagangan di setiap negara bagi mendapatkan bukti amalan “menipu”, di samping kewujudan perjanjian dagang yang tidak memenuhi tuntutan, penguatkuasaan lemah,
penetapan tukaran asing yang salah, dan halangan di bawah Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).

Trump kelihatan bersungguh-sungguh untuk menunaikan sebahagian daripada janji pilihan rayanya untuk mendahulukan kepentingan AS dalam semua urusan antarabangsa.

Ross bagaimanapun mengatakan idak semua perdagangan dua hala boleh merugikan AS dan boleh menyebabkan sesuatu negara dituduh menipu.
“Dalam kes tertentu, ia bermaksud mereka lebih bagus dalam sesuatu produk dan dapat mengeluarkannya dengan lebih murah. Tidak semua dalam senarai ini jahat,” tegasnya.

Hasil siasatan itu kemudian akan dilaporkan  kepada Trump dalam masa 90 hari.

Laporan itu akan menjadi asas kepada apa-apa tindakan yang akan diambil oleh pentdbiran Rumah Putih.

Dalam reaksi balas kepada tindakan AS itu, Malaysia mengatakan ia tidak mengambil peluang untuk menipu AS kerana eksport negara ini kebanyakannya berkaitan elektronik yang dihasilkan di Malaysia oleh syarikat milik AS.

Mungkin Trump tidak ada maklumat bahawa wujudnya pekilang AS  di negara ini kerana kos lebih murah, umpamanya Intel dan Western Digital.

Mereka menghasilkan produk separuh siap yang kemudiannya digunakan untuk menghasilkan computer serta telefon mudah ahli.


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan menjelaskan kelmarin 53 peratus daripada eksport ke AS ialah produk elektronik yang dihasilkan oleh kilang syarikat AS, selebihnya perabot dan bahan kimia.

Berdasarkan kedudukan sebegini, menjadi tugas kementerian itu untuk menjelaskan kedudukan sebenar perdagangan kedua-dua negara agar imej yang sudah tercalar itu dapat dikurangkan.

Perlu diberitahu kepada Washington bahawa cukai dikenakan  oleh negara itu terhadap barang yang dieksport oleh Malaysia kerana kedua-dua negara tidak mempunyai perjanjian perdagangan bebas. Ini antara akibat eksport Malaysia tidak berkembang.

Harapan untuk mempunyai perjanjian perdagangan sedemikian hancur sama sekali selepas gagasan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik  tidak mahu dilaksanakan oleh Trump selepas menjadi Presiden AS ke 45.

Malah, amaran juga perlu diberikan kepada Washington atau Trump bahawa jika ia ‘mengenakan tindakan’ berikutan siasatannya itu, bukan Malaysia akan rugi, sebaliknya syarikat AS di negara ini yang akan menanggung akibatnya.

Sejauh ini China sudah dinamakan sebagai negara yang menyebabkan kerugian paling tinggi kepada AS.

Negara lain turut dipalitkan termasuk Kanada, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Ireland, Itali, Jepun, Mexico, Korea Selatan, Switzerland, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

Mereka pastinya juga akan memberikan reaksi bagi mempertahankan kepentingan mereka.