Tuesday, December 8, 2009

KES ‘BINI PUAKA’ – REPUTASI NAJIB MUNGKIN TERJEJAS!

Ketiga-tiga pelajar Universiti Malaya yang dituduh mencerca isteri Perdana Menteri dikatakan memberikan kerjasama baik kepada polis dan diringankan ikat jamin terhadap mereka.

Apakah ini bermakna mereka mungkin punyai sebab kukuh untuk melakukan cercaan itu?

Silap haribulan, mereka selepas ini dilihat bukan sebagai ‘yang patut menerima hukuman’ serta melakukan khianat tetapi hero pelajar kerana menentang isteri Perdana Menteri.

Reputasi mereka di kalangan sesetengah rakyat, khususnya pelajar akan naik mendadak kerana mahkamah mungkin memutuskan mereka bukan ‘jahat’ sebaliknya berjuang menegakkan kebenaran menentang isteri Perdana Menteri yang digambarkan oleh sesetengah media, khususnya media elektronik sebagai ‘bini puaka’.

Ketiga-tiga mereka semalam dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung kes menconteng "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" yang ditujukan kepada isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketiga-tiga mereka - Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan dan Muhammad Saufi Jelani didakwa bersama dua lagi pelajar Akademi Pengajian Islam (API) yang telah dituduh lebih awal, Mohd Izzuddin Hilmi Mohamad Zaini dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada 4 pagi 24 Jun lalu di dewan kuliah utama API, beberapa jam sebelum Rosmah hadir untuk melancarkan kempen mengutip derma bagi kanak-kanak Palestin.

Saya yakin akan banyak perkara diperkatakan mengenai ‘bini puaka’ apabila kes tiga pelajar Universiti Malaya (UM) disebut di mahkamah sesyen pada 12 Januari depan.

Perbicaraan akan menggabungkan tiga tertuduh baru itu dengan dua lagi rakan mereka, Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen.

Semalam , bapa-bapa lima pelajar itu kelihatan berjabat tangan, sementara ibu-ibu mereka saling berpelukan antara satu sama lain, sebagai tanda perkenalan.

Lebih meriahkan lagi suasana di mahkamah ialah kehadiran pemimpin pelajar antaranya exco Majlis Perwakilan Mahasiswa UM, Mohd Aizat Mohd Salleh, presiden Gabungan Pelajar Islam Semenanjung (Gamis) Mohd Idris Mohd Yusoff dan timbalan pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Muhammad Hilman Idham.

Galeri mahkamah semalam penuh sesak dengan anggota keluarga kelima-lima tertuduh dan pelajar yang hadir sewaktu tiga mahasiswa itu didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen-sekyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani – yang bakal dilalui Rosmah – dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani – yang bakal dilalui Rosmah – dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu.

Manakala bagi Seksyen 436, ketiga-tiga dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama. Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Selepas mengaku tidak bersalah, ketiga-tiganya dibebaskan dengan ikat jamin RM3,500 seorang dengan seorang penjamin.

Hakikatnya, kalaupun ketiga-tiga pelajar itu gagal mempertahankan diri, reputasi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib tetap terjejas kerana perbicaraan akan mendedah banyak perkara mengenai Rosmah.

Biarpun Rosmah mungkin menang kes ini (apa lagi jika kalah), pembelaan terhadap tiga pelajar yang dituduh akan membuka ‘banyak perkara’ dan akan tetap memberikan imej dan kesan negatif terhadap Najib.

Bagi saya walaupun keadilan cuba ditegakkan, ia tidak akan menguntungkan pihak yang mendakwa dan sedikit sebanyak akan berkait dengan Perdana Menteri.

Jelas, sejauh ini mahkamah nampaknya memberikan kelebihan kepada tertuduh kerana walaupun Timbalan pendakwa raya berhujah di mahkamah semalam bahawa jumlah jaminan yang dituntut peguam bela terlalu rendah berbanding dengan tiga pertuduhan yang dibacakan kepada mereka, namun hakim membenarkan permohonan berkenaan.

Apakah sikap ‘murah hati’ mahkamah itu membayangkan bahawa cercaan mereka itu ada kebenaran atau memang jaminan hanya berasaskan kerana mereka itu di bawah tanggungan?

Pertuduhan kepada ketiga pelajar itu dibacakan di hadapan Hakim SM Komathy Suppiah kerana hakim yang sepatutnya mendengar kes tersebut Rozana Ali Yusof sedang bercuti.

Ketiga-tiga tertuduh diwakili oleh empat orang peguam yang diketuai oleh Mohamad Arfizi Mohd Ramli, manakala timbalan pendakwa rayanya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar.

Pihak pendakwa memohon kepada mahkamah agar ketiga-tiga agar mereka dikenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun ia dibantah oleh peguam bela yang memohon budi bicara hakim mengurangkannya kerana anak guamnya sedang menuntut dan masih ditanggung keluarga masing-masing.

Tambahan pula, kata Mohamad Arfizi, ketiga-tiga pelajar itu memberikan kerjasama yang baik kepada polis sewaktu siasatan dijalankan.

Hakim kemudian memanggil pegawai menyiasat Inspektor Mohd Najib Mohd Esam, dan bertanyakan sama ada ketiga-tiga tertuduh benar-benar memberikan kerjasama.

Pegawai polis itu menjawab bahawa tiga pelajar terbabit memberikan kerjasama kepada polis sewaktu mereka ditahan untuk soal siasat.

Ini memberikan tanggapan bahawa ‘ada harapan’ untuk pelajar berkenaan dan mereka menuntut keadilan dan gambaran mula terukir bahawa seolah-olah Rosmah yang ‘bersalah’ dalam kes ini.

Apakah ia akan menguntungkan Rosmah? Tidak sama sekali apa lagi Perdana Menteri sendiri.

Biarpun ketiga-tiga mereka kini diarahkan melaporkan diri di balai polis di Jalan Pantai Baru sebulan sekali, perbicaraan mereka mereka akan tetap ‘menyusahkan Rosmah dan Najib’ selepas ini.

SEKIRANYA AZMIN ALI DISIASAT...

Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari tidak puas hati kerana sehingga kini tiada status laporan berhubung pemilikan saham oleh beberapa individu termasuk Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali yang didakwa mencecah lebih RM8 juta.

Katanya, tiada sebarang perkembangan dimaklumkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuklah sama ada siasatan berkenaan sudah dimulakan atau tidak.

Ramai juga di kalangan kita seronok apabila ada desakan untuk disiasat Azmin.

Katanya, SPRM perlu memaklumkan status perkembangan siasatan kes walaupun diikutkan siasatan tidak perlu libat masa yang panjang kerana dokumen yang disertakan sudah lengkap.

‘‘Dokumen pemilikan saham bertarikh 1992 hingga 1994 itu menunjukkan Azmin selaku pegawai muda kerajaan boleh mempunyai wang untuk membeli saham bernilai jutaan ringgit. Maka, jika di situ ada penyelewengan kita minta siasat.
“Di sini saya tiada niat nak menghukum mana-mana pihak. Seperti rakyat Malaysia yang lain, saya juga ingin tahu kebenaran dan SPRM juga perlu bersikap adil kepada semua dengan bukan sahaja segera menyiasat kes libatkan UMNO tetapi juga PKR,” katanya.

Dalam kita berseronok melihat kes Azmin ini, apakah kita lupa beberapa individu lain yang seusia atau sewaktu dengan Azmin dan pernah bertugas dengan Anwar?

Apakah kita lupa bahawa individu yang sewaktu Azmin kini ada dalam Kabinet Datuk Seri Mohd Najib dan sesetengahnya ada menjadi Ahli Parlimen, ahli perniagaan dan sebagainya?

Tidakkah siasatan terhadap Azmin akan ada tempias juga untuk mereka?

Lupakah kita individu mana yang pernah didedahkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kontrak dan pemilikian sahama pada perhimpunan agung UMNO akhir 1990an dulu?

Jangan hanya melihat kepada objek di tengah matahari terik kerana kadangkala ia berbayang dua atau empat. Silap haribulan, bayang-bayang itu akan turut terpalit dan lebih teruk dariapada objek berkenaan.

Persoalannya, apakah mungkin SPRM lambat bertindak kerana mengambil kira kepentingan individu-individu yang mungkin turut terpalit jika Azmin disiasat?

Ketika membuat laporan polis berhubung kes ini pada 17 November lalu, Anuar turut menyerahkan dokumen berkaitan dakwaan isu pemilikan saham oleh Azmin dan isterinya, Shamshidar Taharin yang dikatakan bernilai jutaan ringgit itu.

Dua hari selepas itu, SPRM dalam kenyataan akhbarnya mengesahkan telah menerima laporan daripada pihak polis berhubung kes tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya
Memanglah pendedahan itu perlu bagi memastikan ketelusan perjalanan kes tersebut selain berlaku adil kepada pengadu. Betullah pendapat Anuar, jika tiada sebarang perkembangan dalam kes tersebut, maka nama baik beliau selaku pengadu turut terjejas apabila sudah ada tuduhan liar dilemparkan ke atasnya.

Juga mungkin benar di pihak keluarga Anwar dan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail juga mahu tahu kebenaran dokumen-dokumen tersebut yang menunjukkan saham-saham ini banyak dinamakan atas nama Azmin dan Shamsidar Taharin.

Tetapi bagaimana dengan mereka yang mungkin turut terpalit?

Tidakkah mereka ini berusaha supaya ‘yang lepas tu lepaslah’, jangan sampai mereka pun turut terseret.

Entahlah....