Tulisan ini bukan mahu menghukum ketika era siapa tanah
FELDA di Jalan Semarak terjual.
Sebaliknya ia mengenai apa jadi kepada usaha dan harapan FELDA
dan kerajaan Barisan Nasional/UMNO menjadikan ‘filem atau drama pentas’ tanah FELDA di Semarak yang ternyata tidak menjadi sambutan apalagi sebagai filem ‘
box-office’.
Malah ia suatu ‘filem’ yang tersangat gagal bukan sahaja
daripada segi plot ceritanya, tetapi
juga bentuk lakonan dan arahan.
Spin dan usaha mempengaruhi minda rakyat bahawa tanah FELDA di Jalan Semarak jelas gagal.
Ternyata filem yang diarahkan oleh Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir
Samad kini terdedah bahawa segala bukti yang dipaparkan sebelum ini, hanya
sebuah ‘lakonan’ semata-mata.
Shahrir pada 15 Januari 2018 lalu memberitahu media
bahawa FELDA sudah mendapatkan semula pemilikan terhadap 16 plot tanah itu.
Kenyataan itu ada kaitan dengan laporan media pada 21 Disember
tahun lepas, bahawa FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah
strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia
dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.
Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila FELDA Investment
Corporation Sdn Bhd melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada
3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.
Sedangkan, setakat 31 Januari lalu ketika geran-geran itu
diperolehi, kesemua 16 lot tanah tersebut masih lagi dimiliki Synergy Promenade
KLVC Sdn Bhd (Lot 390) dan Synergy Promenade Sdn Bhd (15 lot yang lain).
Shahrir - filemnya gagal |
Maka ternyatalah seperti dakwaan saya sebelum ini bahawa
cubaan memutarbelitkan minda rakyat atau pendapat umum (public opinion) mengenai kononnya pemulangan kembali tanah FELDA
berjaya dilakukan - adalah semata-mata sandiwara dan lakonan kerajaan BN/UMNO, termasuk
Shahrir sendiri.
Dengan kata lain, terbukti kini penggunaan media –
khsusunya media aliran perdana – tidak menjadi. Isu ini sebaliknya bingkas membantai
diri kerajaan BN/UMNO yang semakin terperosok kini.
Biarlah Shahrir mahu meletakkan kesalahan kepada orang
lain dengan mengatakan pemindahan itu berlaku sebelum ‘zamannya’, namun dia
perlu bertanggungjawab di atas kenyataannya sebelum ini yang mendapat liputan
luas media arus perdana.
Perjanjian jual beli antara FELDA dengan pemaju swasta
berkenaan - syarikat pembangunan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) dan Synergy
Promenade KLVC Sdn Bhd - yang menyebabkan agensi itu kehilangan 16 plot tanah
ditandatangani pada Disember 2015 dan November 2016. (Semua lot itu, yang bernilai
RM270 juta, didaftarkan pada Mac 2017 di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala
Lumpur – proses yang tidak diketahui oleh FELDA).
Rakyat tidak mahu tahu proses pemindahan, termasuk kaveat
atau siapa terlibat dalam proses pemindahan itu tetapi yang penting ialah
kononnya tanah itu sudah balik atau menjadi milik FELDA.
Faktanya ialah audit forensik mengenai pemindahan itu
menunjukkan wujudnya elemen penipuan dan salah guna kuasa dalam transaksi itu.
Namun apa yang berlaku?
1. Seperti didedahkan oleh Naib Presiden
PKR, Rafizi Ramli - susulan pemeriksaan dengan membeli setiap geran yang
bernilai RM30 setiap satu - di pejabat
tanah menunjukkan dua syarikat masih didaftarkan sebagai pemiliknya.
2. Menafikan kata-katanya sendiri (seperti
dilaporkan oleh media arus perdana secara besar-besaran) kini sebenarnya pemaju
hanya menyerahkan dokumen penting (“Apa yang saya kata ialah pemaju menyerahkan
dokumen penting kepada kami supaya kami dapat memindahkan pemilikan tanah itu
kembali kepada FELDA,” kata Shahrir semalam).
3. FELDA kini dalam proses menggunakan
dokumen berkenaan untuk mendapatkan semula pemilikan terhadap plot tanah
berkenaan.
Rafizi - dedah kebenaran |
Berdasarkan hujah berkenaan, banyak lagi proses dan
kemungkinan-kemungkinan hasil daripada
sandiwara Shahrir kerana yang pasti ketika ini,
geran tanah FELDA Jalan Semarak itu tetap hak milik pemaju.
Amat nyata, daripada penelitian yang dibuat oleh Rafizi
tiada satu pun dari tanah-tanah itu yang telah dipindah milik kembali kepada FELDA.
Persoalannya, bagaimana Shahrir boleh mengumumkan bahawa FELDA telah memiliki kembali hak milik tanah
berkenaan?
Apakah maksud Shahrir sedangkan geran-geran hak milik
secara jelas menunjukkan ia masih lagi hak milik pemaju?
Jika pemilik tanah berkenaan masih digengaman dua syarikat
berkenaan, bagaimana Shahrir boleh
memaklumkan kepada rakyat Malaysia ia milik FELDA.
Apakah tindakan Shahrir ini sebagai mempunyai ‘niat
menipu’ dan ‘menyelewengkan fakta sebenar mengenai status pemilikan’ tanah
berkenaan?
Soal penubuhan jawatankuasa menyiasat perjanjian persefahaman yang ditandatangani di
antara FELDA dan SPSB pada 15 Jan 2018 di mana pihak pemaju iaitu SPSB telah
secara sukarela bersetuju mengembalikan hak milik kesemua 16 lot tanah kepada
Felda tanpa kos, adalah soal lain.
Juga kenyataan bahawa SPSB, yang juga pemaju Kuala Lumpur
Vertical City (KLVC) yang turut bersetuju menyerahkan kesemua
suratan hak milik hartanah tersebut untuk didaftarkan semula atas nama FELDA
juga isu lain.
Yang diperkatakan di sini, amatlah malu jika Shahrir
sanggup menjadi pelakon dan pengarah bagi isu ini dengan mengharapkan ia
menjadi ’box office’ tetapi akhirnya penonton dapat juga menghidu bahawa
penipuan terpaksa dilakukan untuk menyelamatkan maruah Falda dan kerajaan
BN/UMNO.
Shahrir tidak wajar bermain sandiwara kalaupun mahu
melindungi pihak tertentu. Beliau juga tidak wajar untuk mengelakkan dirinya
daripada tidak terlibat di dalam pelbagai urusniaga yang merugikan peneroka FELDA.
Beliau perlu bertanggungjawab sebagai pengerusi agensi
itu.
Bukan sahaja peneroka dan warga FELDA yang merasa tertipu
dan tersinggung dengan sandiwara ini.
Pastinya, seluruh
rakyat Malaysia yang mengikuti isu ini turut rasa terkilan dan kecewa dengan lakonan
Shahrir ini.