Tuesday, August 9, 2016

BUDAYA APA & KE MANA HALUAN PARTI BAHARU PIMPINAN MUHYIDDIN?


Jika sebelum ini ada tuduhan UMNO adalah ‘Parti Najib’,  parti baharu ini jangan pula dikawal atau dimiliki oleh seseorang atau kalangan tertentu sahaja...juga apakah pemimpinnya akan tunduk selama-lamanya kepada percaturan ‘Godfather’ mereka iaitu  Dr Mahathir?”

Wujudnya parti baharu memang  lebih meriah. Ia  menawarkan pilihan kepada rakyat khususnya orang Melayu dan Bumiputera memilih wadah perjuangan baharu yang mereka kehendakli.

Namun, apakah pilihan yang dibuat itu akan mendatangkan kekuatan dan kepaduan dalam perjuangan untuk mencapai cita-cita dan kepentingan orang Melayu?

Ini antara persoalan apabila petang ini, parti baharu yang mungkin dikenali dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia didaftarkan secara sah.

Parti ini akan didaftarkan oleh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin selepas ditunggu penubuhannya secara rasmi sejak beberapa bulan yang lalu.

Ramai tidak sabar dan teruja untuk mengetahui apa perjuangan sebenar parti Melayu dan Bumiputera ini. Apakah perjuangannya berbeza atau bertindan dengan perjuangan parti Melayu yang sudah ada atau yang sudah berkubur sebelum ini.

Memanglah akan ada yang mahu mencuba ‘rasa dan nikmat politik baharu’ selain akibat merajuk atau kecewa atas sebab-sebab tertentu, ada yang  memilih untuk menikmati ‘resepi baru.’

Malah, mungkin  kerana teruja atau mahu menguji, mereka mungkin menterjemahkan sikap mereka dengan memberi undi kepada parti baharu dalam pilihan raya umum akan datang.


Persoalannya ialah, apakah parti baharu akan dibayangi oleh budaya politik UMNO kerana hampir keseluruahnya ia bakal diterajui oleh bekas pemimpin tertinggi UMNO sebelum ini.

Sekiranya cara pentadbiran dan budaya perjuangan adalah celupan (duplication) daripada Umno, tidak ada sebab untuk rakyat menyertai parti baru. Lebih baik mereka kekal atau yang baru, sertai sahaja UMNO.

Rakyat memerhatikan  jati diri pemimpin-pemimpin parti baharu. Paling utama, apa sahaja buitran kritikan yang dilemparkan kepada pemimpin UMNO, pemimpin parti baharu mesti melakukan sesuatu yang bertentangan. Yang paling utama mereka hendaklah  mengamalkan budaya politik BERSIH, dilihat BERSIH serta memiliki rekod BERSIH.

Memang ramai teruja pada peringkat permulaan ini tetapi bagaimana jika ia tidak mampu mengekalkan momentum perjuangan dan wujud pemimpin yang boleh dipersoalkan kredibiliti mereka?

Jika sebelum ini ada tuduhan UMNO adalah ‘Parti Najib’ maka parti baharu ini jangan dijadikan atau menjadi yang dikawal atau nampak dimiliki oleh seseorang atau kalangan tertentu sahaja.

Apa juga tindakan dan keputusan sewajarnya adalah keputusan semua pihak.menjadi milik eksklusif sesetengan pemimpin sahaja.


Yang paling utama, apakah pemimpin parti baharu ini akan tunduk selama-lamanya kepada pandangan dan pendirian ‘Godfather’ mereka iaitu Tun Dr Mahathir mohamad?

Persoalan juga dari mana lagi mahu dicari lagi ahli kepada parti baru ini?

Yang ada pun sudah terhad, kecuali golongan muda yang masih belum menyertai parti politik. Yang sudah berusia, kebanyakannya sudah menetapkan pendirian mereka.

Jarang yang mahu berubah.

Tumpuan kepada orang muda penting bukan sahaja mereka lebih terbuka dan sangat hampir dengan media baharu tetapi lebih penting mereka kumpulan terbesar pengundi pada pilihan raya umum nanti.

Ada kebenarannya apabila kelmarin (7 Ogos),  Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO,  Datuk Seri Mahdzir Khalid mengatakan dalam konteks Melayu, sudah banyak parti dan mahu ambil siapa lagi sebagai ahli?

Mahu tidak mahu, ambil Melayu jugalah sedangkan parti utama pembangkang seperti PAS, AMANAH dan PKR turut mensasarkan penyertaan Melayu dalam parti masing-masing.

Selain itu, Menteri Pendidikan itu  yakin bahawa ahli Umno tidak akan menyertai parti baru yang akan ditubuhkan Dr Mahathir.

“Saya tak nampak ahli UMNO akan pergi (parti baru), sebab yakin dengannya (apa yang ada dalam Umno),” sambil menyeru agar semua ahli di setiap peringkat memberikan sokongan terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak.

Selain itu persoalan juga apakah ia boleh bertahan?

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Abdul Muati Ahmad berpendapat, penubuhan parti-parti baharu dari serpihan parti berteraskan Melayu, UMNO dan PAS selalunya tidak boleh bertahan lama atau sekadar hanya membabitkan satu atau dua pilihan raya umum sahaja.

Beliau mengambil contoh apa yang berlaku kepada Parti Negara dan Semangat 46 dan mengaitkannya dengan pengumuman penubuhan parti baru oleh Dr Mahathir itu.

“Kalau kita tengok pada sejarah yang lepas-lepas, parti-parti serpihan daripada parti arus perdana parti berasaskan orang Melayu cuma dua sahaja, UMNO dan PAS. Dalam sejarah UMNO pun pernah pecah parti serpihan umpamanya dulu Datuk Onn menubuhkan Parti Negara kemudiannya Semangat 46, diikuti PKR.

“PAS pun ada Berjasa, HAMIM dan sebagainya, tapi paling lama pun parti-parti serpihan ini boleh bertahan cuma satu atau dua pilihan raya dan selepas itu akan hilang dan berkubur,” ujarnya, menurut laporan UMNO Online.

Selain itu,  parti baharu ini sudah menghadapi ujian besar apabila pada Ahad lalu, bekas  Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengakui beliau hanya mengiktiraf kepimpinan Dr Mahathir berbanding pemimpin lain di negara ini.

Pengakuan terbuka itu sekaligus memberi penjelasan kepada sikap dinginnya terhadap penubuhan parti baharu yang bakal dipimpin bekas Timbalan Perdana Menteri berkenaan.

Malah dua hari sebelum itu, Khairuddin menegaskan beliau tidak berminat untuk menyertai parti baharu yang turut diusahakan Dr Mahathir sebaliknya mahu berjuang menentang rasuah atas platform peribadi.


Selain itu, bekas naib presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang dilihat rapat dengan gerakan ‘Deklarasi Rakyat’ tajaan Dr Mahathir sebelum ini menolak tawaran daripada Muhyiddin untuk menjadi timbalan presiden dalam parti baharu.

Anggota parlimen Semporna itu, menegaskan: "Sudah tiba masa saya balik kampung. Saya perlu bantu orang saya," pada majlis sambutan hari raya bersama penyokongnya di Kota Belud, Sabah pada hari Ahad yang lalu.

Apapun, dengan jaminan Mohd Shafie akan bekerjasama dengan parti baharu ini, ia akan menjadi lebih kukuh.

Malah dengan sinergi melalui kerjasama dengan parti pembangkang, jika 'kena caranya' ia akan memberikan persaingan yang kuat kepada UMNO selain BN sendiri, apa lagi jika mendapat sokongan golongan muda yang dahagakan wadah perjuangan yang memahami dan meletakkan kepentingan mereka antara perjuangan utama.