Thursday, July 16, 2009

POKET MAKIN MENIPIS...

Nasib baik lepas pilihan raya kecil Manek Urai.

Kalau tidak berpeluh-peluh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed bersilat.

Rakyat di seluruh negara akan mula merasai kesan kenaikan tambang teksi dan bas mulai Ogos ini.

Bermakna - yang rasa boleh enjoy sikit ketika ini terpaksa kurangkan joli mereka kerana poket pasti kempis sikit, apalagi yang ada anak bersekolah menggunakan bas.

Yang asyik naik teksi tu, kena kurangkan makan atau naik bas sahaja jika bajet makan tidak mahu dikurangkan.

Ada hikmahnya kalau kurangkan makan atau belanja untuk barang-barang tidak begitu keperluan – badan makin sihat dan kepala kurang pening!

Pengumuman oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz hari ini mengenai kadar baru untuk tambang teksi di Lembah Klang, akan turut member kesan kepada tambang bas – bas ekspres dan bas sekolah.

Ibu bapa bersiap-siaplah mulai Ogos ini untuk membayar lebih.

Bagi teksi, kadar baru ini akan bermula dengan RM3 untuk satu kilometer yang pertama berbanding dahulu iaitu RM2.

Katanya, bagi jarak pula setiap 115 meter, kadarnya adalah 10 sen berbanding dahulu 10 sen untuk setiap 150 kilometer.

Selain itu, untuk keadaan teksi ketika tidak bergerak pula, kadarnya sekarang adalah 10 sen untuk setiap 21 saat berbanding dahulu 10 sen untuk 45 saat.

Kerajaan juga benarkan tambang bas henti-henti di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya dinaikkan antara 25 sen hingga 70 sen menjadikan tambang baru antara RM1 hingga RM3.10 sen. Tambang bas mini pula naik 20 sen, bas pengantara 20 sen.

Bagi kadar tambang bas sekolah berhawa dingin dibenarkan naik sehingga 30 peratus. Kadar tambang baru bas sekolah di Semenanjung(kadar bulanan) bagi sektor bandar dibenar dinaikkan 6.33 sen, iaitu RM21.10 sekilometer pertama sekarang kepada RM27.43 sekilometer pertama.

Tambang bas ekspres dibenar dinaikkan 2 sen dari 6.5 sen sekilometer kepada 8.5 sen sekilometer mulai 1 Ogos ini.

BERFIKIRLAH SECARA MATANG!

Mudah sahaja menepisnya apabila melukakan hati orang Melayu.

Sama ada mengatakan sebagai ‘tiada niat’ dan ‘wartawan salah petik’ dan lain-lain lagi kenyataan yang menyalahkan media.

Selepas berdiam diri selama seminggu, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), M Manoharan akhirnya memohon maaf secara terbuka kepada orang Melayu dan Bumiputera berhubung isu songkok dan Bumiputera yang beliau persoalkan sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah itu membuat permohonan maaf menerusi sepucuk surat yang diserahkan kepada Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Reezal Merican Naina Merican, di Ibu Pejabat GPMS di Sentul kelmarin.

Manoharan menyerahkan surat memohon maaf bertarikh 15 Julai 2009 menggunakan kepala surat Adun Kota Alam Shah kepada Reezal Merican pada jam 4.15 petang.

Bagaimanapun, Manoharan enggan ditemubual wartawan, sebaliknya terus pulang selepas meluangkan masa kira-kira 15 minit menemui Reezal Merican.

Persoalannya, apakah Manoharan dan mereka yang sewaktu dengannya berfikir secara matang dan rasional sebelum mengeluarkan kata-kata sedemikian.

Ini bukan kes pertama orang India membuat kenyataan sebegini. Karpal Singh umpamanya beberapa kali mengeluarkan kata-kata kesat yang melukai orang Melayu.

Jelas kini, mengeluarkan kata-kata yang melukai orang Melayu semakin banyak kedengaran.
Apakah kerana suasana politik yang terumbang-ambing (maksudnya Barisan Nasional) tidak lagi mengawal 90 peratus kerusi Parlimen dan DUN, rakyat boleh melakukan apa sahaja?

Janganlah kerana sentimen dan kepentingan sokongan politik orang bukan Melayu boleh melakukan apa sahaja.

Dalam suratnya, Manoharan memohon maaf sekiranya kenyataan peribadinya itu mengecilkan hati atau mengguris perasaan mana-mana pihak dan beliau tidak mempunyai apa-apa niat terselindung.

"Saya juga tidak pernah menyoal hak orang Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya sambil mendakwa pihak media elektronik dan akhbar tersalah tafsir kenyataannya.

Manoharan mendakwa, kenyataannya berhubung isu songkok dan Bumiputera adalah pandangan peribadi mengenai konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Saya amat menghormati baju kebangsaan kita, termasuk songkok," katanya.

Pada 8 Julai lalu, Manoharan dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang beliau enggan memakai songkok dan berbaju kebangsaan walaupun menghadiri majlis rasmi dihadiri Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Manoharan berkata, beliau tidak akan memakai pakaian yang beridentiti atau bercirikan keMelayuan sebagai protes terhadap kerajaan yang enggan memberi status Bumiputera kepada bukan Melayu.

Kenyataan beliau itu dibantah banyak pihak terutama orang dan pertubuhan Melayu kerana dianggap menghina orang Melayu, pakaian kebangsaan dan menghasut.

Susulan itu, GPMS pada Ahad lalu membuat laporan polis terhadap Manoharan kerana berpendapat bekas tahanan ISA yang dibebaskan 9 Mei lalu itu mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.

Reezal Merican dalam sidang media selepas menerima surat itu berkata, GPMS menerima permohonan maaf Manoharan tetapi tetap dengan pendirian untuk tidak menarik balik laporan polis dibuat terhadap wakil rakyat itu.

APA YANG SEDANG BERLAKU DI MALAYSIA?

Ini kes sensitif.

Pada ketika 1Malaysia sedang digerak dan kempennya sedang berjalan lancar, laporan Malaysiakini menyebut sembilan penganut Kristian termasuk dua pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) ditahan polis semalam berhubung dakwaan cuba menukar agama pelajar universiti tersebut.

Dilaporkan kumpulan itu berada beberapa hari di beberapa kolej kediaman UPM dengan bergerak dari bilik ke bilik untuk menyampaikan ajaran mereka.

Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UPM Safwan Abdul Ghani dalam satu kenyataan berkata selain itu, mereka juga didapati menyebarkan risalah kepada warga kampus dan bergerak di tiga buah kolej iaitu Kolej Pendeta Zaaba, Kolej Sepuluh, dan Kolej Sebelas.

"Aktiviti yang berlaku beberapa hari itu akhirnya membawa kepada penangkapan sembilan individu tersebut,” katanya.

Bagaimanapun tiada pengesahan rasmi diperolehi daripada pihak universiti dan polis, setakat ini.

Undang-undang negara melarang seseorang bukan Islam menyebarkan agama kepada seorang Muslim.

Mereka yang ditangkap di kampus Serdang menjelang 10 malam tadi dibebaskan di balai polis Sepang kira-kira 3.45 petang semalam, kata peguam Annou Xavier.

Kesemua mereka ditahan di sebuah bilik pelajar di Kolej ke-10 sewaktu berkunjung ke situ tetapi aduan polis dibuat dengan dakwaan mereka cuba menyebarkan Kristian.

Selain dua mahasiswa, kumpulan itu termasuklah tiga rakyat tempatan dan empat warga Hong Kong.

Tindakan tersebut diambil susulan satu aduan polis yang dibuat oleh lima pelajar UPM terhadap kumpulan tersebut.

Seorang daripada kumpulan itu Yip Bok Wan, selepas dibebaskan, membuat aduan balas di balai polis terbabit, menafikan pembabitan mereka dan menuduh laporan awal berasaskan maklumat palsu.

Beliau dan peguam tersebut enggan memberikan butiran lanjut saat-saat penangkapan mereka.

PERTAMBAHAN UNDI UNTUK BN HARAM?

Musyridul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan peningkatan undi UMNO melalui ‘najis rasuah’ dianggap haram di mana kedua-dua pihak iaitu pemberi dan penerima rasuah akan mendapat balasan api neraka di akhirat nanti.

Katanya, Umno telah menjadikan 'najis rasuah' mengugut serta mempengaruhi pengundi demi untuk meraih kemenangan. “Namun misi mereka masih gagal," ujarnya.

Katanya, pemberian rasuah boleh menyekat percambahan pemikiran manusia untuk bertindak secara normal.

Bercakap di pejabatnya semalam, Menteri Besar Kelantan itu berkata, Umno tidak boleh mendabik dada dengan majoriti kecil yang dimenangi calon PAS.

Menurutnya juga Umno cuba menyuburkan budaya rasuah bukan sahaja dalam pilihan raya sebaliknya ketika perhimpunan agung parti itu seperti dilaporkan dalam media massa.

Beliau yang juuga Menteri Besar berkata, berdasar kepada janji yang dijinakkan kepada penduduk di Manek Urai sepatutnya parti itu sudah menang di Manek Urai.

"Umno tambah gagah lagi dengan bantuan segala jentera kerajaan yang datang dari seluruh negara. Kalau diikutkan dengan segala kekuatan itu Umno sudah boleh menang besar," katanya di sini malam tadi.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Haji Abdul Fatah Harun juga berkata, Umno sepatutnya menang di Manek Urai apabila diambil kira dengan segala kekuatan yang ada pada parti itu.

Biar pun Umno kelihatan perkasa dengan segala bantuan itu namun masih tewas sebanyak 65 undi.

Kemenangan Mohd Fauzi Abdullah atau lebih dikenali sebagai Abe Uji cukup bermakna sekali.
Bermakna dari segi ujian kepadanya – pertama untuk menyamai cara Pak Su Wil memenuhi janjinya untuk berkhidmat kepada rakyat di Manek Urai.

Oleh kerana majoritinya masih mahu dan terus memilih pemerintahan Islam setelah memberi kemenangan kepada Fauzi, mereka ini mungkin mereka berserah sahaja kepada nasib dan tidak akan menuntut janji pilihan raya.

Juga dengan kedudukan di mana 80 peratus adalah penduduk miskin, tidak sukar untuk Abang Uji memenuhi permintaan harian mereka.

Namun, cukupkah setakat itu sahaja?

Bagaimana yang menyokong BN? Apakah mereka ini bukan pengundi Manek Urai? Mereka ini yang dicop oleh PAS sebagai yang mementingkan kesenangan di dunia tidak termasuk dalam kumpulan yang juga perlu dibela oleh Fauzi?

Apakah Fauzi boleh lepas tangan?

Bagi Nik Aziz, walaupun 19 tahun PAS mentadbir Kelantan, kawasan Manek Urai yang terletak di bawah jagaan KESEDAR, yang merupakan sebuah agensi kerajaan pusat yang seakan-akan kerajaan negeri boleh lepas tangan.

Katanya secara logik kawasan Manek Urai termasuk dalam kawasan KESEDAR dan adalah menjadi kewajipan kerajaan Pusat yang dipimpin oleh BN melaksanakan projek pembangunan seperti itu.

Beliau juga meminta, kerajaan Pusat melaksanakan projek pembinaan jalan baru dan lebih luas yang menghubungkan Kuala Krai Krai-Gua Musang kerana jalan yang ada sekarang sempit dan mengundang banyak kemalangan.

Juga anehnya, Dewan Pemuda PAS mencabar BN agar menunaikan janjinya untuk membangunkan Manek Urai dengan peruntukan sebanyak RM24 juta termasuklah membina jambatan yang bernilai RM7 juta seperti mana yang diuar-uar kepada pengundi pada pilihan raya kecil lalu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasruddin Hassan berkata, selaku kerajaan yang memerintah negara ini BN sepatutnya boleh melaksanakan pembangunan di DUN itu.

Baru sehari selepas pilihan raya, tiba-tiba mandat untuk membangunkan Manek Urai dilepaskan kepada kerajaan Pusat dan bukan kerajaan negeri yang sepatutnya menjadi peneraju utama.

Jika berasaskan kepada pilihan rakyat Manek Urai yang menolak pembangunan dan memilih Islam, BN tidak perlu berbuat apa-apa.

Kerajaan Pusat tidak perlu ‘gila talak’ di Manek Urai kerana Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin sudah menyatakan dengan jelas “undi BN akan dapat projek” dan faham-fahamlah, kalau tidak undi itu bermakna tidak memerlukan bantuan BN atau kerajaan Pusatlah.

Bukan begitu Tan Sri? Lagipun Tan Sri sudah jelaskan pada 13 Julai lalu, pemimpin PAS tidak berhak meminta kerajaan Pusat meneruskan projek pembangunan yang dijanjikan di dun Manek Urai jika Barisan Nasional (BN) tewas.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, perkara itu adalah hak eksklusif pengundi dan sekiranya mereka berkehendakkan perubahan besar di kawasan yang masih memerlukan banyak perhatian ini, mereka sendiri menentukannya.

''Tak bolehlah, kalau BN kalah ia menunjukkan pengundi tak nak apa yang kita tawarkan. Kerana itu dia tak mengundi kita, apa pula hak pemimpin PAS kata macam itu kerana yang berhak adalah pengundi.

''Kalau mereka tak nak, kita buat tawaran melangit dengan emas sekalipun dia takkan bagi undi juga, dia tak nak, tak naklah,'' tegasnya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di Kampung Laloh.

Jadi kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed tidak payahlah mengumumkan itu dan ini. Rujuklah dahulu kepada UMNO Pusat dan kerajaan Persekutuan sama ada perlu atau tidak pembangunan yang dijanjikan itu dilaksanakan di Manek Urai.