Saturday, July 30, 2011

COLI, SELUAR DALAM BERCORAK HARIMAU UNTUK GUAN ENG

Abdul Ghani memasuki perkarangan Pejabat Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memberi pakaian dalam corak harimau buat Ketua Menteri, Lim Guan Eng serta ADUN Komtar, Ng Wei Aik kerana kecewa dengan kerajaan negeri yang didakwa menganiaya peniaga.

Standard Guan Eng sama dengan coli dan seluar dalam corak Harimau!

Pengkhianat rakyat wajar dihadiahkan sedemikian. Peniaga di Tin gkat Tiga
Haha... dua pakaian dalam diberikan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Setiausaha Politiknya, Ng Wei Aik.

Sebuah bungkusan plastik yang mengandungi dua pasang seluar dalam dan coli bercorak harimau adalah hadiah kepada kerajaan negeri sebagai simbol kepada kerajaan yang tidak berlaku adil, tidak telus kepada rakyat dan telah menindas rakyat.

Kerajaan Guan Eng menindas rakyat kerana tidak memberikan semula tapak niaga di tingkat tiga Komtar.

Tindakan seorang peniaga barangan kulit yang dikenali sebagai Mohamed Ghani Abd Jiman Ghani, 42, semalam cuba menaiki lif untuk ke pejabat Ketua Menteri dengan membawa ‘coli dan seluar bercorak harimau’ menyebabkan kekecohan di Pusat Khidmat Kaunter Jabatan-jabatan kerajaan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di semalam.

Mohamed Ghani yang juga Pengerusi Pertubuhan Suara Anak-Anak Malaysia tiba-tiba mendapat perhatian orang ramai apabila beliau yang membawa bungkusan plastik yang mengandungi dua pasang seluar dalam dan coli bercorak harimau ketika ditahan oleh pengawal keselamatan di hadapan pintu masuk lif.

Beliau berkata pakaian dalam itu adalah sebagai hadiah kepada kerajaan negeri yang didakwanya tidak berlaku adil, tidak telus kepada rakyat dan telah menindas beliau kerana tidak memberikannya semula tapak niaga di tingkat tiga Komtar.

"Pakaian dalam yang bercorak harimau itu sesuai untuk diberikan kepada mereka berdua yang dilabelkan sebagai tarzan kerana kerajaan negeri ini adalah pembohong dan menipu rakyat," katanya kepada pemberita di Komtar semalam.

Mohamed Ghani berkata gerainya yang didapati hilang itu juga hingga kini masih tidak dikembalikan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) setelah beliau enggan beredar untuk pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan kompleks itu Mac lalu.

Beliau berkata tindakan kerajaan negeri merampas gerai miliknya itu mengakibatkan beliau kerugian RM50,000.

Pakaian dalam itu akhirnya digantung di hadapan pintu masuk utama pentadbiran kerajaan negeri setelah pengawal keselamatan tidak membenarkan beliau menaiki lif
.
Sebelum ini, Selasa lalu, Mohamed Ghani Abd. Jiman menyatakan hasratnya 'menghadiahkan' sesuatu kepada kerajaan DAP Pulau Pinang Jumaat ini jika gerai beserta barangannya yang dirampas Mac lalu tidak dikembalikan kepadanya.

Mohamed Ghani yang juga Pengerusi Pertubuhan Suara Anak-Anak Malaysia berkata, beliau kesal kerana sehingga kini gerai yang disewa daripada pengurusan lama Komtar, PG Karisma Events & Services Sdn. Bhd. itu masih disimpan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

"Saya beri tempoh tiga hari kepada kerajaan negeri untuk memulangkan barangan niaga yang dirampas oleh PDC. Jika tidak, Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik bakal menerima 'hadiah' Jumaat ini," katanya Selasa lalu.

Menurut Mohamed Ghani, beliau merasakan ditindas berikutan tindakan kerajaan negeri yang tidak mengembalikan tapak niaga di tingkat tiga Komtar selepas mengubah suai kawasan itu.

"Selain enggan memberi tempat untuk saya berniaga, mereka (kerajaan negeri) bertindak sebagai 'kerajaan perompak' dengan merampas gerai dan barangan.

Daripada www.gegernya. blogspot.com

Friday, July 29, 2011

APA LAGI WAHAI PALANIVEL, MIC?

Baca betul-betul kenyataan oleh Presiden MIC yang juga timbalan menteri industri perladangan dan komoditi ini:

"Kami (masyarakat India di Malaysia) hanya dibantu semasa pilihan raya kecil dengan pemberian kecil, peruntukan kerdil untuk sekolah, kuil, pinjaman mudah - (tetapi) kami perlukan bantuan berkenaan dalam skala besar. Hanya dengan itu, masyarakat India akan kembali menyokong kerana tidak ada sesiapa yang boleh kami harapkan kecuali kerajaan BN.

Bercakap pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam beliau menegaskan, sokongan masyarakat India kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) masih menjadi persoalan.

Sebelum itu kita lihat dulu prestasi MIC itu sendiri. Dalam pilihan raya umum (PRU) yang lepas, MIC tewas 6 kerusi Parlimen (kini memiliki 4 kerusi selepas menang di PRK Hulu Selangor); manakala di DUN, hanya menang 7 kerusi.

Sedangkan sebelum 2008, MIC mempunyai 9 kerusi Parlimen dan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum 2008.

Sedangkan jika digabungkan ahli Parlimen kaum India dari pembangkang ialah 11 kesemuanya – 7 daripada DAP; 3 daripada PKR dan seorang PSM. Dengan bilangan lebih besar daripada MIC mereka dilihat mampu membawa agenda India lebih besar.

Pembangkang membawa isu biasiswa untuk pelajar India, meningkatkan penjawat awam India di sektor awam; isu Interlok, isu kegagalan mendapat sijil beranak dan hak kewarganegaraan, gaji minimum sektor perladangan, membaiki ekuiti yang masih 1.5 peratus (%), dan menukar status sekolah separa bantuan kepada bantuan penuh untuk sekolah Tamil.

Salah siapa dalam soal ini? Apakah kerajaan BN tidak bantu masyarakat India? Baca tulisan berikut untuk mengetahui dengan jelas!

Selain itu, orang Melayu sudah memberikan kerjasama dan sokongan baik untuk memenangkan MIC.

Amat jelas Palanivel dan MIC terus bermain politik dan tidak pernah cukup dengan apa yang sudah diberikan kepada masyarakat India.

Palanivel juga bercakap dengan nada mendesak ketika pilihan raya semakin dekat apabila mengatakan ...pemberian kecil, peruntukan kerdil untuk sekolah, kuil, pinjaman mudah - (tetapi) kami perlukan bantuan berkenaan dalam skala besar’.

Kita semakin tidak faham dengan Presiden MIC itu kerana beliau berada dalam kerajaan tetapi menyatakan perkara bukan-bukan.

Dengan spekulasi bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan membubarkan Dewan Rakyat pada akhir tahun ini bagi membolehkan pilihan raya umum ke-13 diadakan, Palanivel berkata penyelesaian segera diperlukan bagi manangani masalah masyarakat India itu.

Parti MIC akan mengadakan Perhimpunan Agung yang ke-65 pada Sabtu ini.

Dan untuk kali pertamanya, sebagai Presiden parti yang baru,.Palanivel perlu menggunakan pentas utama untuk menyampaikan amanat Presiden kepada pada delegasinya selepas Datuk Seri S.Samy Vellu melepaskan jawatan tersebut Disember tahun lalu.

Palanivel jangan asyik tuding jari kepada orang lain. Jadikan perhimpunan dengan kehadiran lebih 3,500 delegasi sebagai landasan memperbaiki prestasi dan memberikan jaminan kepada BN untuk menang besar, bukan klu-klek membuat andaian sokongan masyarakat India kepada kerajaan BN masih menjadi persoalan.

Jika MIC terus bermain api dengan BN, elok kalau dicari jalan lain dengan mendekati beberapa parti kecil India sebagai komponen setia BN yang baru!

Wednesday, July 20, 2011

DEDAH PEMBUNUHAN ALTANTUYA UNTUK “MENGGANYANG NAJIB’

Inilah wajah peguam Perancis yang akan membantu 'menggayang dan mencemarkan nama' Perdana Menteri bermula esok.

Siri dan misi ‘mengganyang’ Mohd Najib Razak dijangka bermula malam esok.

Tujuannya adalah menganggu ‘ketengangan Najib’ ketika berdepan dengan suasana yang semakin hampir pilihan raya sambil misi juga untuk menanam kepercayaan bahawa pembelian dua kapal selam memang ada perkara yang tidak kena.

Peguam hak asasi manusia Perancis, William Bourdon, yang juga peguam anjuran Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bagi kes pembelian dua kapal selam Scorpene yang penuh kontroversi itu akan menceritakan perkembangan terkini kes itu di sebuah hotel malam esok di Pulau Pinang.

Keesokan harinya pula, Jumaat mulai jam 8 malam, beliau dengan disertai sama oleh Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, akan berucap di majlis kutipan dana untuk membiayai kes ini di Dewan Sivik MPPJ, Petaling Jaya.

Hari Sabtu pula, Bourdon akan ke Ipoh dan akan berucap di satu majlis forum di sebuah tokong Cina di sana.

Malam esok, Bourdon dikatakan akan memaklumkan kepada rakyat Malaysia apakah status kes ini sekarang. Malah, menurut Harakahdaily, kes ini dijangka akan dibawa ke mahkamah terbuka Perancis seawalnya bulan Ogos tahun ini.

Di samping Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua juga akan berucap di samping kartunis Zunar akan membuat lakaran kartun secara langsung malam itu.

"Semua kutipan dari jualan meja dan lelongan kartun ini adalah untuk membiayai kes ini," kata wakil Suaran itu.

Harakahdaily dijangka menyiarkan berita ‘siri pendedahan’ dan dijangka menghangatkan lagi politik Malaysia apabila Bourdon akan memberikan ucapan utama di tiga majlis anjuran Suaram bermula malam esok di Pulau Pinang.

Bourdon dijangka akan mendedahkan maklumat terkini perkembangan siasatan mahkamah Perancis terhadap pembelian Scorpene itu.

Kedua-dua kapal kapal selam ini yang melibatkan wang rakyat sebanyak RM7.3 bilion dinamakan KD Tuanku Abdul Rahman dan KD Tun Razak.

Beberapa persoalan perlu dijawab kerajaan termasuk.

1. Kedua-duanya mempunyai masalah tersendiri termasuk tidak boleh menyelam di lautan tropika.
(Menurut Harakahdaily, dilaporkan, pada 23 Disember 2009, Suaram melalui rangkaian mereka di Perancis telah melantik sekumpulan peguam hak asasi manusia di sana untuk memfailkan aduan kepada sistem keadilan Perancis dengan harapan satu siasatan awal dibuat mengenai pembelian Scorpene ini. Langkah ini dibuat untuk membolehkan mereka menyiasat bukan sahaja kematian wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu yang dibunuh dengan kejam di Puncak Alam tetapi juga amalan rasuah yang berlaku dan peranannya dalam pembelian kapal selam itu sehingga membawa kepada pembunuhannya.

2. Mempertikaikan keputusan Mahkamah yang membebaskan Razak Baginda yang dikaitkan dengan pembunuhan kejam Altantuya mengguna peledak C4 oleh dua pegawai polis pengiring yang bertugas dengan Datuk Seri Najib.
(Pada bulan April 2010, peguam yang mewakili Suaram memaklumkan, mahkamah Perancis telah menerima permohonan penyiasatan aduan rasuah yang melibatkan pembayaran sebanyak Euro114 juta (USD151.1 juta) yang dibayar oleh syarikat Perancis, DCNS kepada Perimekar, syarikat yang dimiliki rakan Perdana Menteri, Abdul Razak Baginda. Peguam Perancis berkenaan telah datang ke Malaysia April lepas untuk mengumpulkan bukti. Isteri kepada Abdul Razak Baginda, Mazlinda, adalah antara yang tersenarai sebagai pengarah syarikat yang dimiliki kawan baik Perdana Menteri ini. Perimekar adalah syarikat Malaysia yang dipercayai dibuka pada tahun 2001, iaitu sebelum kontrak pembelian kapal selam itu ditandatangani. Ia dibuka hanya untuk menerima komisyen dari Malaysia dan juga Perancis Pasukan peguam Perancis membuat tuduhan bahawa wang dari dalam akaun Perimekar telah dipindah ke akaun lain yang tidak diketahui ke mana lagi sehingga kini..)

3. Siri ‘menganyang’ Perdana Menteri juga bertujuan mengutip dana pada majlis-majlis itu untuk membiaya kes ini. Bermakna kedatangan peguam Perancis itu bukan sekadar berceramah tetapi menggunakan pentas ‘mengutuk Perdana Menteri’ untuk mengutip derma dan membawa kes ke mahkamah antarabangsa.

Amat nyata pembangkang akan menggunakan apa saja kes mengikut selera mereka asalkan dapat mengelirukan rakyat walaupun mahkamah di negara memutuskan untuk membebaskan Razak Baginda!

Sasaran kini kepada Najib dan kes ini dianggap penting untuk mencemarkan maruah Perdana Menteri, isterinya serta juga mereka yang ada kaitan dengan Najib dalam kes ini.

Kita tunggu sejauh mana kesannya! Yang pasti Suaram, sebuah NGO turut serta dalam usaha 'mengayang Perdana Menteri'.

Monday, July 18, 2011

LARANGAN HIBURAN - KERAJAAN PAS KEDAH TIDAK KONSISTEN

PAS memang parti tidak konsisten. Bagai lalang, ikut arah angin!

Betapa Kerajaan PAS Kedah tidak konsisten. Buat keputusan tergesa-gesa. Kini terpaksa undur kembali!

Namun yang disalahkan ialah media arus perdana. Itulah mentaliti pemimpin PAS termasik Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Hakikatnya perkara ini bukan isu pun. Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak membuat larangan bagi orang Islam mengunjungi pusat hiburan sepanjang Ramadan tetapi bagi orang Islam, mereka dilarang sama sekali tidak kira bulan Ramadan atau sebaliknya.

Tidak ada kekeliruan langsung!

Pelik juga apabila Abdul Hadi berlebih-lebih buat kenyataan sedangkan perkara itu berlaku di Kedah, Mana kenyataan Menteri Besarnya?

Kerajaan Kedah dilaporkan sudah menarik balik larangan ke atas pusat hiburan di negeri itu daripada beroperasi sepanjang bulan Ramadan, demikian laporan agensi berita AFP memetik seorang pegawai negeri, semalam.

Kerajaan Kedah membuat keputusan larangan itu Mei lalu tetapi mendapat bantahan daripada operator pusat hiburan serta parti dalam Pakatan Rakyat, yang bimbang ia akan menjejaskan sokongan pengundi bukan Islam.

Pegawai negeri itu berkata, kontroversi berkenaan selesai selepas Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bertemu wakil pusat hiburan, semalam dan bersetuju membenarkan mereka beroperasi tetapi tidak boleh membenarkan umat Islam memasuki premis mereka.

"Hiburan pada bulan Ramadan hanya untuk bukan Islam," katanya.

Portal berita Malaysian Insider melaporkan kenyataan bahawa pusat hiburan di Kedah boleh beroperasi seperti biasa pada bulan Ramadan namun ia terhad kepada orang bukan Islam sahaja.

Abdul Hadi berkata, kekeliruan berlaku berhubung perkara itu ekoran media arus perdana yang tidak menyiarkan laporan tepat sehingga membangkitkan rasa kurang senang di kalangan orang bukan Islam.

Ini kerana kata beliau, kerajaan negeri Kedah pimpinan Azizan hanya melaksanakan undang-undang yang digubal oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Hadi berkata, undang -undang itu telah “diperbetulkan” agar hak orang bukan Islam tidak dinafikan dalam pentadbiran negeri Pakatan Rakyat.

Friday, July 1, 2011

BERDOSA BESAR JIKA SERTAI PERHIMPUNAN BERSIH...

Jangan sertai gerakan yang mahu menghancurkan negara.

Jangan dekati musuh Islam yang sengaja mempergunakan orang Islam, termasuk pemimpin parti yang mendakwa Islam untuk goncang pemerintahan yang menegakkan Islam.

Sertai himpunan haram anjuran Bersih boleh menyebabkan huru hara. Jangan gadai maruah dan kemerdekaan hanya kerana terpengaruh dengan dakyah Ambiga dan kumpulannya.

Ingatlah, sekali negara Islam jatuh, ia tidak akan bangkit semua. Renungkanlah di pagi Jumaat yang mulia ini.

Juga renungkan pandangan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ini. Selain itu baca fatwa Imam Shaukani 220 tahun lalu:

Umat Islam dilarang membabitkan diri dalam semua perkara yang disedari boleh menjurus kepada perpecahan ummah dan kehancuran negara termasuk demonstrasi seperti perhimpunan haram Bersih 9 Julai ini sekiranya ia juga boleh membawa mudarat.”

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata di Kuala Terengganu semalam, adalah berdosa besar jika umat Islam terlibat dalam perkara-perkara yang membawa kesan buruk kepada diri sendiri.

"Sebenarnya Islam sentiasa menggalakkan umatnya berusaha ke arah perpaduan dan keharmonian, bukannya melakukan kerosakan sehingga memecah-belahkan perpaduan dan menjejaskan syiar agama," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu mengulas perhimpunan haram 9 Julai ini selepas majlis perasmian Wacana Pendidikan Fatwa Negeri Terengganu 2011 di sebuah hotel di Kuala Terengganu semalam.

"Dalam Islam, yang baik itu jangan kita rosakkan, yang berpadu, jangan kita pecahkan kerana ia adalah merupakan satu dosa besar bagi kita," katanya.

Kerana itu beliau menasihatkan umat Islam serta rakyat pelbagai kaum di negara ini supaya sentiasa berbaik-baik sekali gus mengelak pertelagahan sesama mereka.

"Kita perlu jaga atau tingkatkan hubungan baik, dalam Islam kita dilarang melakukan kerosakan dan perpaduan pula jangan dipisahkan kerana ia adalah dosa besar," katanya.

Menurut Dr. Abdul Shukor, umat Islam sepatutnya lebih menumpukan kepada cara untuk bersatu padu serta membangunkan diri agar menjadi umat yang bertamadun dan dihormati.

Berikutan itu Dr. Abdul Shukor Husin meminta umat Islam khususnya dan masyarakat negara ini amnya supaya tidak menyertai perhimpunan haram berkenaan.

Katanya, ini kerana negara ini sekarang bukan sahaja aman, malah orang luar menjadikan negara ini sebagai contoh.

"Ertinya kalau sudah ada yang baik itu, kita perlu jaga, kita perlu pertingkatkan dan perlu dibaiki untuk menjadi lebih baik.

Beliau berkata, Malaysia yang mempunyai ekonomi teguh sedang menuju ke arah yang lebik baik, jika perkara yng boleh menyekat atau merosakkan negara, maka perhimpunan itu tidak harus diteruskan.

"Dalam Islam kita boleh memberi pandangan, tetapi ia melalui saluran. Islam suruh kita berbincang dulu, kalau sudah tidak ada peluang, nak jumpa tak boleh, kita ditekan, pada saya itu boleh kita buat apa yang patut untuk mencari keadilan," katanya.

Bagaimanapun katanya, selagi ada sumber, maka ia digalak menggunakan 'syura' (berbincang).

Beliau berkata, selain itu semua pihak harus melihat masa depan dan kemajuan negara.
Katanya, kemajuan bukan bererti yang ada ini kita runtuhkan dan bina yang baru.

"Dalam sejarah tamadun manusia, kemajuan itu apa yang ada. Kalau kurang, kita tambah, yang kurang baik, kita perbaiki supaya ia menjadi lebih baik.

"Seperti di Terengganu, kita nak lahirkan generasi Ulul Albab, generasi celik Al-Quran dan Hadis, nak menjadikan ornag Islam itu baik.

Apakah kita kena runtuhkan yang ini dan nak bina yang baru yang dikatakan satu tamadun," kata Abdul Shukor.

Betulkah Perhimpunan Haram 9 Julai Bukan Perhimpunan Politik?

Betulkah perhimpunan haram anjuran kumpulan pengacau yang dijadualkan berlangsung pada 9 Julai ini bukan perhimpunan politik?

Jika bukan, kenapakah wujud begitu banyak pemimpin Pembangkang dalam barisan jawatankuasa penganjurnya dan kenapakah pula parti terbabit begitu bersungguh-sungguh mengerahkan anggota dan penyokong masing-masing supaya turun ke jalan raya pada hari berkenaan?

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan memberitahu anggotanya bahawa beliau akan meminta bekas presiden Majlis Peguam, yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur perhimpunan haram itu, Datuk S. Ambiga membatalkannya jika kerajaan bersetuju memenuhi tuntutan kumpulan pengacau berkenaan.

Bagaimanapun, pada hari berikutnya, apabila Ambiga dilaporkan berkata beliau tidak akan mempedulikan kenyataannya itu, Anwar mendakwa beliau telah disalah petik oleh media berhubung perkara tersebut.

Penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian berkata berikutan episod itu, mungkin sesetengah pihak beranggapan bahawa Anwar tidak mempunyai kuasa untuk mengawal keadaan, tetapi ada pula kelompok yang melihatnya sebagai suatu cubaan oleh kedua-dua pihak untuk mengawal kerosakan bagi mengelak orang ramai daripada mengubah pandangan mereka terhadap peranan tersembunyi yang dimainkan oleh PKR.

"Bagaimanapun, hakikat yang tidak boleh diubah ialah Anwar telah membayangkan kepada media yang beliau boleh meminta Ambiga membatalkan rancangan untuk mengadakan perhimpunan haram itu sekiranya Barisan Nasional (BN) bersetuju mengadakan pilihan raya secara bebas dan adil.

"Ini sudah pasti menimbulkan keraguan tentang dakwaan pengerusi jawatankuasa penganjur perhimpunan itu bahawa ia bukan perhimpunan bersifat politik, tetapi semata-mata diadakan untuk memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya secara bebas dan adil," katanya.

Pensyarah di Universiti Sains Malaysia itu berkata perhimpunan haram berkenaan, kali kedua diadakan selepas perhimpunan pertama anjuran pihak yang menggelarkan diri mereka Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 2007, merupakan tindakan populis yang berasaskan politik.

"Walaupun pengerusinya adalah bekas presiden Majlis Peguam, tapi mereka yang membarisinya diketahui umum mempunyai kaitan dengn parti politik, terutama parti pembangkang. Mereka terkenal kerana gemar menimbulkan isu melalui pendekatan populis untuk mempersoalkan tentang hak serta kebebasan, tetapi akhirnya menyalahkan pihak lain, dalam dalam kes ini, SPR," katanya.

Beliau berkata orang ramai sudah mula mempersoalkan motif perhimpunan haram itu dirancang dan mereka juga akan memerhati siapa yang akan menyertainya.

"Ia berbeza dengan Hindraf kerana perhimpunan yang diadakan pergerakan itu pada 2007 hanya melibatkan satu kumpulan. Tapi, perhimpunan yang akan diadakan ini dirancang supaya melibatkan pelbagai kaum dan sudah tentu ia akan memberi isyarat berbeza. Oleh itu, bagaimana kerajaan bertindak dan memberi reaksi terhadapnya amat penting kepada majoriti rakyat," kata beliau.

Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Gerakan Pulau Pinang Baljit Singh berkata perkara yang menarik untuk dilihat ialah siapakah yang akan mengiringi Ambiga apabila beliau menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong kelak.

"Adakah pemimpin Bersih atau ahli politik yang akan mengiringi beliau?" tanya Baljit.

Beliau berkata kenyataan Anwar bahawa "beliau boleh berbincang mengenainya" memberi tanggapan kepada orang ramai bahawa pakatan pembangkang yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS mempunyai pengaruh besar terhadap bekas presiden Majlis Peguam itu.

Malah, Makkal Sakti, yang anggotanya mengambil bahagian dalam perhimpunan haram Hindraf pada 2007 dan cuba melancarkan kempen membantah novel Interlok pada awal tahun ini, tidak berupaya mempengaruh orang ramai supaya berhimpun di jalan raya untuk mengadakan tunjuk perasaan.

"Memang tidak masuk akal lah jika dikatakan Pakatan tidak berada di belakang perhimpunan haram ini," kata pemimpin akar umbi Hindraf yang tidak mahu dikenali.

Beliau berkata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu memberi jaminan bahawa kira-kira 100,000 anggota dan penyokong parti itu akan menyertai perhimpunan haram berkenaan, yang beliau sifatkan sebagai "Berjalan Untuk Demokrasi", manakala presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula meminta semua anggota PAS (berjumlah kira-kira sejuta orang) supaya menyertainya.

Parti pembangkang lain seperti DAP dan PKR juga berikrar akan menyokong perhimpunan haram itu.

"Ini dengan jelas menunjukkan bahawa ia adalah perhimpunan Pakatan. Perlu diingat bahawa secara peribadi, Ambiga tidak akan berupaya mempengaruhi walaupun 10 orang untuk menyertai perhimpunan itu, jika bukan kerana peranan Pakatan," katanya.

Pemimpin Hindraf P. Uthayakumar dilaporkan berkata anggota pertubuhan itu tidak akan menyertainya kerana gabungan parti pembangkang yang menggelarkan diri mereka sebagai "Pakatan Rakyat" tidak memberi sokongan terhadap tuntutan 18 perkara mereka pada 2007.

Uthayakumar, yang pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), berkata suatu ketika dulu, pergerakan itu menyokong Pakatan kerana ia tidak mempunyai pilihan daripada segi politik, tetapi selepas Pilihan Raya Umum 2008, keadaan menjadi semakin jelas bahawa gabungan parti pembangkang itu hanya mahukan undi kaum India dan tidak berminat untuk memperjuangkan nasib mereka.

Dalam temu bual dengan Bernama, Anggota Parlimen Wangsa Maju peguam Wee Choo Keong berkata Ambiga sepatutnya menyertai parti politik untuk memperjuangkan perkara berkaitan politik dan tidak berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan.

Katanya penegasan Ambiga bahawa perhimpunan haram itu akan tetap diadakan di jalan raya dan bukan di tempat tertutup seperti stadium, yang lebih selamat, menimbulkan tanggapan bahawa perhimpunan itu memang didalangi parti pembangkang dengan tujuan untuk mencari momentum politik.

Sebagai contoh, kata Wee, pada 2009, ketika menjadi presiden Majlis Peguam, Ambiga mengadakan jamuan malam untuk anggota majlis itu di hotel JW Marriot dengan mengundang beberapa ahli politik terpilih, khususnya daripada pembangkang.

"Selepas itu, pendedahan dibuat bahawa kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi membelanjakan RM90,000 untuk majlis itu.

"Kenapa mengadakan majlis itu atas nama Majlis Peguam, tanpa mengumumkan bahawa ia ditaja oleh kerajaan," soal Wee.

Bernama